Followers

Wednesday, December 1, 2010

HIV: Jangkitan kanak-kanak meningkat 46 peratus

KUALA LUMPUR: Sekalipun jangkitan baru HIV menunjukkan trend menurun di rantau ini, HIV/AIDS masih menimbulkan masalah kesihatan serius, dengan kanak-kanak adalah kumpulan paling mudah dijangkiti.
Dr Samlee Plianbangchang, Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bagi rantau Asia Tenggara, berkata jangkitan kanak-kanak meningkat sebanyak 46 peratus antara 2001 dan 2009.
Bagaimanapun, beliau berkata penghapusan jangkitan HIV ibu-ke-anak menjelang 2015 mungkin dapat dijayakan dan WHO komited mencapai matlamat ini.
"Ancaman HIV/AIDS terhadap kanak-kanak menggariskan perlunya memperkukuh sistem kesihatan di peringkat penjagaan kesihatan asas dan menggabungkan langkah pencegahan HIV khas dalam perkhidmatan kesihatan ibu dan anak," katanya.

Dalam satu kenyataan bersempena sambutan Hari Aids Sedunia hari ini, Dr Samlee berkata di peringkat global, anggaran 33.3 juta orang hidup dengan virus itu, dan 2.6 juta dijangkati pada 2009.

Di rantau Asia Tenggara, 3.5 juta orang hidup dengan HIV/AIDS, kebanyakan di India, Indonesia, Myanmar, Nepal dan Thailand.

Menurut WHO, pada 2009 dianggarkan 220,000 jangkitan baru HIV di rantau ini dan 230,000 orang mati akibat penyakit berkaitan AIDS.
Penduduk dengan risiko tertinggi mendapat HIV termasuk pekerja seks wanita, lelaki yang mengadakan seks dengan lelaki, populasi mak nyah dan mereka yang menyuntik dadah.

Menurutnya, isu akses penjagaan kesihatan, rasa hina dan jahil, dan pentingnya menyekat jangkitan HIV kepada generasi baru adalah perkara asas terhadap respons kepada HIV/AIDS.

Di peringkat serantau, wanita mencakupi 37 peratus daripada 3.5 juta orang yang mempunyai HIV/AIDS, dan tanpa langkah perlu, kira-kira satu pertiga daripada kanak-kanak yang dilahirkan ibu yang positif HIV boleh mendapat virus itu.

Walaupun virus itu boleh berjangkit kepada bayi semasa kehamilan, kelahiran atau penyusuan, hanya satu dari setiap tiga wanita positif HIV pada masa ini mendapat rawatan "prophylactic anti-retroviral" (ART) di rantau ini.

Pelaksanaan secara meluas garis panduan baru WHO tentang penggunaan ubatan "antiretroviral" bagi merawat wanita hamil dan mengelakkan penularan HIV kepada bayi boleh mengurangkan dengan ketara HIV pediatrik dan meningkatkan kelangsungan hidup ibu dan anak.

Menurut WHO, Thailand adalah negara pertama di rantau ini yang mendapat liputan langkah cegahan berkesan universal dan telah dapat menghapuskan HIV/AIDS pediatrik. - BERNAMA

Ramai tidak sedar bahaya makanan yang disimpan lama

GEORGETOWN: Kesedaran mengenai bahaya mikotoksin masih rendah apabila ramai di kalangan rakyat negara ini tidak menyedari makanan yang dimakan mungkin dicemari bahan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Persidangan Antarabangsa Mikotoksin, Prof Baharuddin Salleh berkata mikotoksin, iaitu sejenis racun atau toksin, terhasil daripada kulat yang tumbuh pada makanan dan hasil pertanian.
"Contohnya roti atau makanan lain yang kita simpan lama dan ditumbuhi kulat, kulat berkenaan akan menghasilkan mikotoksin dan jika kita memakan makanan itu, ia boleh mengakibatkan kesan jangka panjang terhadap kesihatan," katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan itu di sini hari ini.
Baharuddin yang juga pensyarah Pusat Pengajian Sains Biologi, Universiti Sains Malaysia berkata, apa yang membimbangkan ialah racun berkenaan mempunyai sifat yang tahan panas dan akumulatif.

"Bila kita masak pun ia tidak akan musnah dan apabila ia berada dalam mana-mana organ badan kita, ia akan membiak dari masa ke masa hingga mengakibatkan kerosakan pada organ berkenaan," katanya.

Baharuddin berkata, sesetengah kulat itu menghasilkan mikotoksin yang sangat berbahaya yang dinamakan aflatoksin.

Katanya, manusia yang memakan makanan yang mengandungi aflatoksin boleh menghidapi kerosakan hati dan barah hati.
Selain itu, katanya, mikotoksin juga boleh didapati dalam susu dan daging binatang ternakan yang memakan makanan yang dicemari racun itu.

"Pengambilan susu dan daging yang dicemari mikotoksin itu turut membahayakan kesihatan," katanya.

Justeru, katanya, orang ramai perlu menyimpan makanan dengan baik bagi mengelak daripada dicemari kulat yang menghasilkan mikotoksin. - BERNAMA

Kerajaan belum berhasrat mansuhkan hukuman mati

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum berhasrat untuk memansuhkan hukuman mati terhadap kesalahan membunuh dan jenayah berat yang disabitkan di mahkamah.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata soal pemansuhan itu perlu diberi penelitian yang rapi kerana ia boleh memberi impak yang besar kepada sistem perundangan negara selain pindaan sewajarnya perlu dibuat kepada undang-undang jenayah tertentu.
"Bagaimanapun kerajaan menyambut baik cadangan supaya hukuman mati dimansuhkan, dengan penelitian rapi dibuat dalam pelbagai aspek dan setelah mengambil kira pandangan dari pelbagai pihak," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Radzhi Sheikh Ahmad (BN-Kangar) di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Katanya kerajaan juga tidak bercadang untuk menukar cara hukuman mati dijalankan berikutan hukuman gantung sampai mati yang dilaksanakan kini diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah Seksyen 281 sejak zaman British lagi.

Beliau berkata bagaimanapun kerajaan akan menimbang pandangan berkenan kaedah lain yang lebih sesuai dan berperikemanusiaan mengikut peredaran zaman, dan perubahan teknologi yang kini boleh menawarkan kaedah lain seperti ''suntikan maut'' sebagaimana dicadangkan Mohd Radzhi.

Menjawab soalan tambahan dari Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mengenai kewibawaan hakim-hakim dalam menjatuhkan hukuman ke atas kes yang dibicarakan di mahkamah pula Liew berkata, hakim melaksanakan tanggungjawab dan menjalankan hukuman berdasarkan keterangan saksi dan bukti yang dikemukakan semasa perbicaraan dan ia tidak boleh dipertikaikan.

Berhubung bilangan kes pembunuhan yang dibicarakan di mahkamah dan disabit kesalahan sejak tahun 2000 sehingga tahun ini, Liew berkata 1,601 kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) didaftarkan di Mahkamah Tinggi dalam tempoh itu.
"Setelah melalui proses rayuan di Mahkamah Rayuan, 47 kes disabitkan di bawah Seksyen 302 Akta 574 yang direkodkan sabitan di Mahkamah Persekutuan," katanya.

Katanya hanya sembilan hukuman gantung dijalankan bagi kes yang disabitkan di bawah Seksyen 302 Akta 574 dan selebihnya belum dilaksanakan kerana masih menunggu keputusan Petisyen Jemaah Pengampunan Negeri. - BERNAMA

Penalti pembalakan haram akan dinaik sehingga RM1 juta

KUALA LUMPUR: Kadar penalti dan hukuman bagi mengambil hasil utama hutan, terutama pembalakan haram, akan dinaikkan daripada tidak lebih RM500,000 dan penjara tidak kurang satu tahun tetapi tidak lebih 20 tahun kepada denda tidak lebih RM1 juta dan penjara tidak kurang lima tahun tetapi tidak lebih 20 tahun.
Timbalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Jabatan Peguam Negara akan mengkaji jumlah denda minima sebelum rang undang-undang itu dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Permohonan syarikat Sosilawati dalam kes saman didengar Isnin

KUALA LUMPUR: Mahkmah Tinggi di sini hari ini menetapkan Isnin ini untuk mendengar permohonan oleh Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd, syarikat milik jutawan kosmetik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, bagi mendapatkan masa mengemukakan pembelaannya dalam satu saman berhubung penjualan hartanah bernilai RM3 juta.
Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh itu selepas menemui pihak-pihak yang terlibat dalam kamarnya hari ini.
Pada 5 Ogos lalu, Low Choong Yen, 59, dan isterinya Lim Bee Geok, 52, memfailkan saman itu dengan menamakan Nouvelle Beauty Centre sebagai defendan kerana melanggar perjanjian jual beli hartanah berkenaan di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Saman itu difail 25 hari sebelum Sosilawati, 47, dan tiga yang lain terdiri pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, mati dibunuh di Tanjung Sepat, Banting.

Mohd Hadi Ar Rais Muhamad, peguam yang mewakili Nouvelle Beauty, memberitahu pemberita hari ini bahawa syarikat itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan masa mengemukakan pembelaan dan afidavit jawapan.

Mohd Hadi daripada Azra & Associates, berkata syarikat guaman itu dilantik baru-baru ini oleh pengarah urusan baru syarikat itu, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, yang merupakan anak Sosilawati, bagi mewakili syarikat itu kerana peguam syarikat itu, Ahmad Kamil, telah meninggal dunia.

Pada prosiding pada 3 November lalu, syarikat itu tidak diwakili mana-mana peguam.
Dalam writ saman mereka, Low dan isterinya, berkata berdasarkan surat tawaran oleh Nouvelle Beauty Centre pada 2 April lepas, syarikat itu bersetuju menjual tanah seluas 144.9 meter persegi bersama sebuah bangunan empat tingkat di situ pada harga RM3 juta.

Low dan Lim berkata mereka telah membayar RM60,000 sebagai cengkeram semasa mendatangani surat tawaran penjualan hartanah itu manakala baki deposit sebanyak RM240,000 akan dibayar apabila perjanjian jual beli ditandatangani.
Baki RM2,700,000 akan dibayar dalam tempoh 90 hari selepas perjanjian itu dimeterai.

Menurut mereka, syarat dan terma draf perjanjian jual beli itu telah dipersetujui dan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak pada 22 April 2010.

Low dan isterinya berkata bahawa selepas perjanjian jual beli itu ditandatangani, Nouvelle Beauty Centre telah memberitahu mereka dalam satu surat bertarikh 30 April 2010, bahawa syarikat itu tidak bercadang meneruskan penjualan itu kerana ia perlu menunggu antara enam dan 12 bulan bagi menukar hak milik hartanah itu kepada bukan Bumiputera dan untuk mendapatkan bayaran penuh bagi penjualan hartanah berkenaan.

Dalam sepucuk surat pada 3 Mei, pasangan suami isteri itu memberitahu Nouvelle Beauty Centre bahawa syarikat itu terikat dengan terma dan syarat perjanjian jual beli yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Low dan isterinya berkata bahawa pada 25 Mei 2010, Nouvelle Beauty Centre memulangkan kepada mereka perjanjian jual beli itu, surat pertukaran hak milik, borang permohonan kebenaran tukar hak milik dan cek RM240,000.

Bagaimanapun, menurut mereka, Nouvelle Beauty Centre tidak memulangkan cengkeram RM60,000 itu.

Low dan Lim memohon perisytiharan bahawa perjanjian antara mereka dan Nouvelle Beauty Centre mengenai penjualan dan pembelian hartanah berkenaan adalah sah dan mahu syarikat itu meneruskan transaksi itu.

Mereka juga memohon mendapatkan injunksi melarang syarikat itu daripada menjual hartanah berkenaan kepada pihak lain. - BERNAMA

HK tubuhkan inkues siasat rampasan bas di Manila

HONG KONG: Hong Kong akan menubuhkan inkues awam bagi menyiasat lebih terperinci krisis rampasan bas Manila, sehingga menyebabkan lapan pelancong dari negara itu terbunuh, Ogos lalu.
Jurucakap mahkamah koroner berkata, inkues itu dijadualkan selama 25 hari, bermula 14 Februari, iaitu kurang sebulan selepas polis Hong Kong menamatkan siasatan mereka, susulan kelemahan menangani tragedi yang turut menyebabkan hubungan kedua-dua negara terjejas.
Pegawai di wilayah selatan China mengkritik pihak berkuasa Filipina atas kaedah yang digunakan ketika berdepan dengan krisis berkenaan; di mana membabitkan seorang penembak Rolando Mendoza dan keputusan tidak mengenakan hukuman terhadap pegawai yang terbabit pada hari kejadian. - AFP

Penangguhan pemilihan untuk kuatkan UMNO: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Penangguhan pemilihan UMNO adalah untuk mengukuhkan parti dan mengelak tindakan kempen yang boleh memberi kesan kepada kedudukan parti, kata Tan Sri Muhyiddin yassin.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata terpulang kepada media untuk mentafsir kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan tahun depan.
"Biasanya mengikut yang lalu, pemilihan diadakan selepas pilihan raya selesai. Bagaimanapun, saya tidak tahu untuk yang akan datang ini," katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Parlimen hari ini.

Penstrukturan Suruhanjaya perlindungan data peribadi di peringkat akhir: Rais Yatim

KUALA LUMPUR: Penstrukturan organisasi Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi kini di peringkat akhir, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.
"Kita kini sedang meminta Jabatan Perkhidmatan Awam memberikan beberapa nama untuk kita pilih sebagai pesuruhjaya dan eksekutif serta tenaga kerja yang lain bagi menganggotai suruhanjaya tersebut.
"Setelah selesai, undang-undang yang ditetapkan di bawah suruhanjaya ini akan kita taklimatkan kepada semua kakitangan bagi memperjelaskan tahap kepentingan perlindungan data peribadi," katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi dan melancarkan logo baru kementerian itu di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu adalah kedua-dua timbalan menteri, Datuk Joseph Salang dan Datuk Maglin Dennis D’Cruz serta Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.

Rais berkata, selepas selesai penstrukturan itu, suruhanjaya yang diwujudkan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2009, akan menjadi agensi ke-19 Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Akta yang diluluskan Parlimen pada April lalu antara lain bertujuan mengawal selia pemprosesan data peribadi individu terbabit dalam transaksi komersial oleh pengguna data untuk mengadakan perlindungan kepada data peribadi individu, yang dengan demikian melindungi kepentingan individu terbabit.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan pihak media tidak tersalah lapor mengenai desas-desus yang kononnya kerajaan telah memberikan spektrum komunikasi 700 MHz kepada YTL Communications.
Beliau menegaskan, spektrum berkenaan tidak pernah diagihkan kepada mana-mana pihak kerana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyimpannya untuk keperluan penyiaran yang lebih penting.

"Disebabkan media tidak faham, mereka telah terperangkap dengan kenyataan tersebut dan ini menyebabkan pemimpin syarikat telko (telekomunikasi) merasakan kenyataan tersebut menjejaskan perniagaan mereka," katanya sambil menyatakan bahawa penjelasan telah diberikan kepada syarikat telko dalam satu mesyuarat baru-baru ini.

Sementara itu, Rais turut berpuas hati dengan daya inovasi yang dicapai petugas kementerian sambil berharap ia akan menjadi trend yang mampu melahirkan minda cemerlang. - BERNAMA

Tawaran diskaun saman kurangkan beban rakyat: Hishammuddin

PUTRAJAYA: Tawaran diskaun bagi semua saman trafik yang bermula hari ini adalah bagi meringankan beban rakyat, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira rintihan orang ramai berhubung perkara itu dan ia juga selaras dengan saranan pucuk pimpinan "Rakyat Didahulukan".
"Kita mendengar rintihan daripada orang ramai yang mengatakan ada notis yang dihantar tidak sampai kepada tuannya.
"Kita juga mendengar bahawa pengurangan saman jika tidak diberikan kelonggaran dan sebagainya, ada kes-kes tertentu yang (boleh menimbulkan) tidak adil.

"Tetapi yang paling penting kita menyampaikan mesej yang jelas iaitu yang salah tetap salah (yang melanggar peraturan jalan raya)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Imigresen di Jabatan Imigresen, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rasional tawaran kadar kompaun yang munasabah bagi semua saman trafik mengikut beberapa syarat yang ditetapkan mulai hari ini.

Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi laman Facebook miliknya, menyebut semua saman yang dikeluarkan pada atau sebelum semalam, kadar munasabah akan diberikan secara automasi melalui semua kaedah bayaran iaitu kaunter PDRM, pejabat pos dan internet.
Ditanya sama ada keputusan itu berkaitan dengan pilihan raya umum akan datang, Hishammuddin berkata keputusan mengenai pilihan raya hanya akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Semua perkara yang kita buat adalah proses yang kita lakukan selepas mengadakan perbincangan yang sedalam-dalamnya. Tidak berkisar dengan politik," katanya.

Mengenai dua syarikat berpangkalan di Malaysia yang dinamakan oleh Amerika Syarikat sebagai firma yang dikawal oleh rangkaian Iran untuk membeli teknologi peluru berpandu dari China, Hishammuddin berkata siasatan akan dilakukan jika berkaitan dengan undang-undang dan keselamatan.

Katanya, ini kerana teras perkhidmatan kementerian ialah untuk memastikan keselamatan dan keamanan negara terjamin. - BERNAMA

Kadar huni rendah bangunan tinggi mungkin jejas bank: Dr M

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melahirkan rasa bimbang terhadap kadar penghunian yang rendah di bangunan tinggi di Kuala Lumpur.
Dr Mahathir berkata, keadaan ini mungkin boleh memberi kesan kepada sektor perbankan kerana ia boleh membawa kepada hutang jangka panjang.
"Saya hanya menyuarakan kebimbangan saya. Saya lihat di bandar-bandar banyak bangunan untuk dijual atau disewakan. Jelas sekali, bangunan-bangunan ini tidak berpenghuni dan tidak mendatangkan keuntungan. Jika pemaju tidak dapat untung daripada apa yang ia bina, di mana pula ia akan dapatkan wang untuk membayar semula hutang bank.
"Kita pernah melihat ini berlaku di Jepun, Hong Kong dan Dubai baru-baru ini. Jika kita terlebih bina bangunan dan tidak dapat raih pendapatan, maka kita tidak dapat membayar hutang kepada bank dan ini menjuruskan kepada muflis.

"Jadi, kita perlu lebih berhati-hati," kata beliau pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Mobiliti Mampan 2010 di sini hari ini.

Beliau mengulas artikel di blog beliau baru-baru ini yang berpendapat kemungkinan berlakunya letusan gelembung hasil daripada lebihan bangunan di Kuala Lumpur.

Mengenai Menara Warisan PNB setinggi 100 tingkat, Dr Mahathir berkata projek itu perlu diteruskan seperti yang dirancang jika pembeli asli benar-benar berminat terhadap menara itu dan bukannya semata-mata spekulasi.
"Jika ada pembeli, tak mengapa. Apa yang saya bimbangkan ialah jika mereka hanya spekulator, membeli dengan harapan yang hartanah itu akan meningkat," katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pembinaan menara itu akan diteruskan jika ia berdaya maju secara komersial dan menyumbang ke arah pembangunan ekonomi yang lebih luas dalam lingkungan kawasan berkenaan serta menyediakan peluang perniagaan.

Mengenai persidangan berkenaan, Dr Mahathir berkata ia adalah platform yang amat sesuai untuk para penyelidik dan pakar dalam bidang itu untuk membincangkan kepentingan pergerakan yang mampan dan teknologi hijau.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk semua pengeluar kereta merealisasikan dan menggunakan sepenuhnya potensi teknologi hijau kepada industri.

Persidangan tiga hari yang bermula hari ini itu dianjurkan SAE International Malaysia Section dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Ia bertujuan menyediakan peluang untuk peserta bertukar pendapat, penemuan, meningkatkan perkongsian pengetahuan dan bekerja sama dalam bidang mobiliti mampan.

Persidangan itu turut mengetengahkan model elektrik Proton Saga yang dimajukan hanya dalam tempoh 11 bulan oleh Proton dengan kerjasama UTM.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui. - BERNAMA