Followers

Thursday, May 20, 2010

Kerajaan sasar naikkan paras daya saing Malaysia

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan mensasarkan untuk menaikkan lagi paras daya saing negara ini ke paras lebih tinggi lagi daripada kedudukan ke-10 sekarang dengan menambah baik secara berterusan keefisienan dan keberkesanan perniagaan dan kerajaan.
Perdana Menteri yang gembira dengan kedudukan daya saing Malaysia yang dinaikkan ke paras ke-lapan daripada paras ke-18 sebelum ini, berkata pencapaian itu adalah hasil pelaksanaan banyak inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan sejak setahun lalu.
Antara usaha yang dilaksanakan ialah mewujudkan Pasukan Petugas Khas Untuk Memudahkan Perniagaan (Pemudah), pelan transformasi kerajaan, liberalisasi dan penyahkawalaturan.
Selepas menerima kesan krisis ekonomi global, ekonomi pulih pada suku keempat tahun lalu dengan mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 4.4 peratus dan lebih kukuh lagi kepada 10.1 peratus pada suku pertama tahun ini.

Najib berkata, beliau terkejut dengan pertumbuhan KDNK itu.

"Jika kita terus mencatatkan pertumbuhan seperti itu, ekonomi kita boleh meningkat lagi," katanya pada majlis pecah tanah bangunan ibu pejabat baru Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, dengan lebih banyak perubahan akan dilaksanakan melalui pelan transformasi kerajaan, Malaysia boleh mencapai kedudukan yang lebih tinggi.
Ketika memberi Malaysia markah yang tinggi dan menaikkan kedudukannya sebanyak lapan tingkat, Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) di dalam World Competitiveness Yearbook 2010, berkata faktor lain ialah pelaksanaan secara berkesan keputusan kerajaan, yang sebahagian besarnya kerana keupayaan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan mengemudikan ekonomi negara.

IMD World Competitiveness Yearbook (WCY) itu adalah laporan tahunan paling terkemuka dan komprehensif mengenai daya saing negara-negara, kedudukannya dan analisis bagaimana persekitaran negara itu mewujudkan dan mengekalkan daya saing enterprisnya.

Sementara itu, mengulas pengumuman Bon Kedaulatan Sukuk, Najib berkata, Malaysia tidak akan dapat melaksanakan bon itu jika pasaran dunia tidak berkeyakinan terhadap keupayaan negara ini menguruskan ekonomi.

Perdana Menteri melancarkan penanda aras Sukuk Global yang didominasi dolar Amerika Syarikat (AS) di bawah inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Sukuk itu, yang distrukturkan mengikut prinsip Ijarah syariah akan menjadi sukuk yang didominasi dolar AS kedua Malaysia sejak kejayaan penerbitan sukuk global kedaulatan pertama dunia pada 2002.

Barclays Capital, CIMB dan HSBC telah diberi mandat sebagai pengurus akaun bersama bagi tawaran sukuk itu. - Bernama

Lembu jantan laga pertama kali diklonkan di Sepanyol

MADRID: Sepanyol buat pertama kalinya mengklonkan lembu jantan laga, kata pasukan pakar sains di sebalik pencapaian terbaru mereka, hari ini.
Lembu jantan itu yang diberi nama Got, bermaksud kaca dalam bahasa Catalan, dilahirkan semalam berdekaran bandar Palencia, utara Sepanyol.
Got menyamai bapanya, Vasito, bermaksud kaca kecil di Sepanyol, adalah lembu jantan laga yang mati Mac lalu selepas dilahirkan sebagai pembaka.
Klon kedua Vasito dijangka dilahirkan beberapa hari lagi.

Lembu jantan laga dilahirkan untuk laga lembu di mana kebanyakannya mati ketika bertarung dan sesetengahnya menghabiskan masa sebagai pembaka.

Ketua pasukan ahli veterinar dan biologi, Vicente Torrent, berkata kejayaan mereka adalah dengan mengetengahkan teknik yang boleh digunakan bagi membantu spesis yang semakin pupus. - AFP

Kadar levi pekerja asing dinaikkan awal 2011: Muhyiddin

PUTRAJAYA: Kadar levi pekerja asing akan dinaikkan mengikut sektor mulai awal 2011 dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, bermula dengan pekerja asing tidak mahir. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian di sini, sebentar tadi.

Thailand: Perintah berkurung dilanjut tiga malam lagi


BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand mengenakan perintah berkurung untuk tiga malam lagi di Bangkok dan 23 wilayah lain untuk menangani konflik selepas tindakan tegas tentera terhadap penunjuk perasaan antikerajaan. - AFP

Pelatih PLKN mati kerana Acute Leukemia

KUALA LUMPUR: Seorang pelatih khidmat negara meninggal dunia semalam kerana penyakit acute leukemia yang hanya diketahui keluarganya apabila diberitahu pakar perubatan.
Chu Kar Wai, 18, yang mengikuti latihan di Kem Akademi Kepimpinan Segari di Pantai Remis, Perak, meninggal dunia pada jam 2.20 petang semalam dan jenazahnya dibawa pulang ke rumahnya di Shah Alam jam 11 malam tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata demikian selepas menghadiri seminar komandan-komandan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di sini, hari ini.
"Mendiang meninggal dunia di Hospital Seri Manjung,Perak. Sebelum ini, pada 8 Mei lalu, Chu telah mendapat rawatan awal dari Penolong Pegawai Perubatan di klinik kem berkenaan kerana demam dan sekali lagi mengalami demam pada 10 Mei dan telah dirujuk ke hospital.

"Keluarga terdekat iaitu ibu bapa mendiang dimaklumkan berhubung perkara itu dan berada di samping pelatih terbabit sejak dia dimasukkan ke wad sehingga dia meninggal dunia. Kita difahamkan penyakit yang dihidapi Chu tidak disedari ibunya sehingga diberitahu pakar," katanya.

Rekod pengesahan kesihatan Chu tidak melaporkan remaja itu mempunyai penyakit.

Ditanya sama ada keluarga Chu menyalahkan JLKN berhubung insiden itu, Abdul Hadi berkata, keluarga berkenaan dapat menerimanya dengan baik selepas diterangkan pakar perubatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sudah dimaklumkan berhubung perkara itu dan beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

JLKN menyerahkan RM3,000 kepada keluarga Chu untuk urusan pengebumian sebagai sebahagian daripada perlindungan insurans berjumlah RM55,000.

Sementara itu, Abdul Hadi menggesa semua ibu bapa supaya memastikan borang pengesahan kesihatan pelatih diisi dengan telus serta memahami setiap butiran yang terdapat dalam borang itu.

"Jika tidak pasti, mereka boleh mendapatkan penjelasan dengan doktor," katanya.

Berhubung dua kem PLKN di Negeri Sembilan dan Pahang yang ditutup masing-masing pada 7 April dan 10 Mei lalu, Abdul Hadi berkata, mereka mempunyai tempoh tiga bulan untuk membuat penambahbaikan termasuk daripada aspek kebersihan dan keselamatan sebelum ia dibenar beroperasi semula.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelatih tidak diambil ringan oleh pengurus kem itu.

"Jika dalam masa tiga bulan mereka masih tidak dapat memenuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh JLKN, kita tidak teragak-agak untuk menamatkan kontrak kem itu.

"Kita juga akan mengeluarkan pelatih di kem yang gagal memenuhi apa yang telah ditetapkan oleh kita kerana kita tidak mahu ada yang mengambil ringan perkara ini," katanya. - Bernama