Followers

Sunday, December 13, 2009

PM puas hati pencapaian enam NKRA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata beliau secara umumnya berpuas hati dengan pencapaian enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang dibentangkan hari ini. - Bernama

Dengan Tinta Oleh Aidil Khalid

Bahagian 9

SAYA semakin larut dalam dunia yang saya istilahkan sebagai pelarian ini. Rogayah dan Nadzreen. Hutan dan belukar. Rimba dan belantara. Jepun dan British. Melayu dan Melayu. Oh, dunia yang latarnya adalah bertahun-tahun dahulu. 60 lebih tahun yang lampau. Keadaan yang penuh keresahan dan ketidaktentuan. Semuanya sudah berakar umbi dalam kepala dan fikiran, cuma tinggal tunggu untuk diturunkan dalam bentuk tulisan. Aneh, dunia yang penuh keresahan itu ternyata sekali begitu berkesan untuk dijadikan terapi diri. Sering kali ketika saya membenamkan diri ke dalam keresahan itu, saya malahan melupakan dunia sekeliling buat sementara waktu. Ada semacam keasyikan dan keindahan. Bagai ia suatu bentuk eskapisme. Barangkali benarlah seperti kata Sasterawan Negara, Pak Samad Said, bahawa menulis itu resah yang bahagia, duka yang indah.

Tetapi dalam keterlarutan itu, hakikatnya, saya masih lagi seorang mahasiswa. Justeru tidak dapat tidak, sering kali saya akan terpaksa meninggalkan dunia itu bagi kembali ke realiti yang sebenar. Tugasan-tugasan kuliah yang semakin menimbun. Tesis kajian yang memerlukan telaah dan perhatian. Ujian-ujian yang memerlukan ulang kaji. Soalan-soalan tutorial yang memerlukan jawapan. Juga pembentangan demi pembentangan yang memerlukan persediaan.

Sehinggakan saya akan terpaksa membenamkan diri ke dalam buku teks yang tebal dan nota kuliah yang hitam dan putih. Saya selalu jadi mengeluh kerananya. Dan sering kali juga saya tertanya-tanya, apakah mungkin, suatu hari nanti, saya akan dapat membenamkan diri selama-lamanya ke dalam dunia eskapisme itu tanpa perlu lagi keluar ke alam realiti? Saya tidak mencari jawapan kepada persoalan itu kerana tahu ia hanya ditimbulkan oleh rintih dalam hati saya yang letih.


Saya melihat buku catatan harian sekali lagi. Suasana sunyi dalam perpustakaan terasa nyaman. Cuma dingin penyaman udaranya yang dipasang terlalu kuat sedikit mencengkam. Ada beberapa perkara sahaja hari ini yang harus dilangsaikan. Sesi rundingan kertas kajian desertasi. Diskusi berkumpulan untuk pembentangan minggu hadapan. Dan petangnya nanti bertemu Pak Cik Osman bersekali dengan Haji Zizan.

Perkara pertama sebetulnya sudah saya selesaikan tadi pagi - bertemu untuk sesi rundingan dengan Profesor Saleem. Saya letakkan tanda selesai di hujungnya.

Waktu pertemuan itu tadi, kebetulan pula bersamaan dengan Min sekali. Kami memang sama-sama mendapat pensyarah penyelia yang sama walaupun tajuk kami saling berbeza. Tetapi perbezaan itu diikat oleh cabang perundangan yang sama - undang-undang perlembagaan. Saya memilih tajuk Malaysia: Antara Sekular dan Islam, manakala Min pula memilih tajuk Hak-Hak Wanita dalam Mahkamah Syariah.

Saya mengagak, tentunya pemilihan tajuk itu oleh Min ada kaitannya dengan kisah-kisah yang saya dengar mengenai latar perceraian antara ayahnya dengan ibunya. Entahlah, saya hanya mampu mengagak - betul atau tidak, tidak dapat dipastikan. Soalnya kami belum selalu berbual soal peribadi. Setiap kali pertemuan, lebih selalu daripada tidak, hanya topik-topik mengenai kertas tesis yang menjadi bualan. Saya tidak pasti sama ada dia masih marahkah lagi kepada saya, tetapi memangnya soal menulis kisah atuknya itu sudah tidak pernah lagi timbul sama sekali. Dia tidak pernah tanya dan saya tidak pernah memberitahu.

“Saya nak ke pejabat Pertubuhan Persaudaraan Wanita Se-Islam,” umum Min kepada saya sebentar tadi sebaik keluar daripada kamar Profesor Saleem, “awak nak ikut sama?”

Tentunya saya sedikit tidak menyangka, justeru reaksi saya pun hanya sekadar mengangkat satu kening.

“Untuk tesis,” jelas Min kemudiannya apabila melihat saya tercangak-cangak, “nak temuramah tentang persoalan Islam dan wanita. Awak pun patut ikut juga, sebab tajuk awakkan berkaitan.”

“Tapi saya tentang Islam dan sekularisme, bukan tentang hak wanita dalam Islam.”

“Skopnya masih samakan. Mau tak ikut?” soalnya dengan pipi kemerahannya yang sungguh menarik hati.

“Bila?”

“Saya baru nak hubungi mereka bertanya waktu yang sesuai. Kalau awak nak ikut sama, saya akan beritahu kita datang berdua.”

Oh, oh, oh, bayangkan bagaimana reaksi saya! Selama ini bersusah payah menyusun strategi mengatur rencana - sehingga sampai terjebak dalam membantu menuliskan kisah atuknya - semata-mata kerana ingin mendapatkan Min. Ternyata sekali sekarang Min mengajak saya menemaninya. Min mengajak saya! Apa ini sebuah mimpi?

Dari ajakan sekali lalu itu, kami ternyata akhirnya berbual panjang, panjang sekali seputar topik kami. Tentang Islam, tentang sekular, tentang hak wanita, dan tentang kedudukannya di Malaysia. Ah, pokoknya tentang kajian disertasi kami. Daripada hadapan bilik Profesor Saleem, Min mengajak untuk ke kafe.

“Jom,” katanya, “ternyata banyak pula yang kita bincangkan, tak sangka. Tak patut berdiri di sini saja. Awak dah makan?”

Dalam hati saya tentulah melonjak gembira tidak terhingga. Cuma saya mengesan suatu perbezaan kali ini kerana ternyata yang menarik perhatian saya bukan lagi terlalu sangat kepada penampilannya yang indah (walaupun dia masih lagi luar biasa menawan seperti biasa) sebaliknya adalah pada daya fikirannya. Perbualan kami yang panjang menyerlahkan apa-apa yang sebenarnya terkandung di sebalik dirinya. Ia menyerlahkan intelektualnya, dan ia juga menyerlahkan pegangannya - di situlah letak peribadinya yang sebenarnya.

Saya fikir sering kali hal ini selalu diambil lewa oleh ramai lelaki. Dalam ghairah terpesona oleh keindahan wanita, ada kalanya sampai terlupa bahawa di sebalik keindahan itu ada yang lebih penting harus digali - hati nuraninya serta pegangan dirinya.

Tetapi sayang sekali, keterujaan saya itu tidak dapat lama saya nikmati dengan perasaan yang membuai asyik, kerana apabila dengan berdikit-dikit, semakin banyak yang dibicarakan oleh Min, semakin pula saya mengesan sesuatu yang nyata, sesuatu yang jelas, dan sesuatu yang - jujur saja - sedikit menakutkan saya: bahawa Min, dia seorang cauvinis! Entahlah, mungkin ini tuduhan melulu berdasarkan reaksi awal, tapi entahlah. Atau mungkin juga tuduhan ini atas rasa tercabarnya ego saya, tapi entahlah. Saya tahu saya tidak sepatutnya terlalu awal membuat konklusi.

“Awak tahu,” kata Min sebaik sahaja kami sama-sama mengambil tempat di sudut kafe yang penuh, “kita harus banyak memberi kredit kepada Pertubuhan Persaudaraan Wanita Se-Islam itu atas usaha mereka selama ini. Kedudukan wanita di Malaysia hari ini kebanyakannya adalah hasil jerih perjuangan mereka selama ini.”

“Perjuangan yang bagaimana?” soal saya bersahaja.

“Contohnya ketika undang-undang hudud hendak dilaksanakan dahulu. Siapakah yang banyak membuat bising? Pertubuhan inilah antaranya yang lantang menyuarakan bantahan. Kalau tidak ....”

“Awak tak setuju pada perundangan Islam?”

“Banyak perkara dalam hudud yang boleh dipertikaikan. Misalnya dalam hukum untuk mendapatkan empat orang saksi dalam permasalahan zina. Bagaimana kalau jenayah rogol berlaku? Mustahil empat orang saksi akan boleh dicari, jadi adakah itu bermaksud perogol itu harus dilepaskan begitu sahaja dan mangsa yang mengadu pula disebat atas kesalahan menuduh tanpa asas? Bukankah itu zalim?”

“Min,” kata saya dengan lembut, “persoalan hudud ini tidak semudah itu. Ia hukum Tuhan yang wajib kita laksanakan sebagai hambanya tanpa banyak soal.” Saya sekadar menyuarakan pendapat sekilas.

Min mengangkat keningnya. Comel alangkah comel pipi merahnya begitu menyerlah. Tetapi dalam kecomelan itu, saya mengesan ada sinis yang ingin disampaikan terhadap kenyataan saya yang terakhir itu - dan ini membuatkan saya tidak sedap hati.

“Begini,” kata saya kemudiannya, “hudud itu adalah salah satu daripada cabang undang-undang jenayah dalam Islam, tapi bukan hanya satu-satunya. Malah banyak lagi cabang lain, misalnya kita ada Qisas, dan ada juga Takzir. Yang selalu menjadi masalah ialah apabila hukum hudud dilihat secara berasingan, secara bersendirian, secara terpisah daripada sistem perundangan jenayah yang lainnya. Ini yang menimbulkan masalah kerana hukum Islam itu saling melengkapi antara satu sama lain, kalau dipisah-pisahkan dan hanya disorot secara bersendirian, memanglah akan menimbulkan keraguan dan ketidakadilan. Justeru yang salah adalah mereka yang memisah-misahkan, bukan hudud itu sendiri.”

Minuman di atas meja sesekali kami sedut melalui penyedut straw. Suasana bingar sekeliling kerana telah masuknya waktu makan tengah hari tidak mampu mengganggu perbincangan kami. (Saya sebetulnya kagum dengan diri sendiri kerana berjaya berhadapan dengan Min, wanita yang telah lama saya simpan harap dan pendam perasaan terhadapnya, dan telah lama juga setiap kali mendekatinya, lidah tak pernah berhenti daripada menjadi kelu-kejang, tetapi kali ini dapat saya hadapi dengan tenang malah dapat berhujah dengan panjang lebar pula). Saya meneruskan argumen dengan mengatakan bahawa hukum untuk mendapatkan empat orang saksi dalam jenayah zina itu memang telah ditetapkan dalam al-Quran, justeru tak mungkin diubah-ubah lagi. Begitu juga dengan hukuman sebat 80 kali bagi jenayah qazaf andai orang yang membuat tuduhan gagal mendapatkan empat orang saksi itu. Tetapi, kata saya menghujahkan, itu tidaklah bermaksud seseorang mangsa rogol akan teraniaya sekiranya gagal mendapatkan saksi yang cukup. Kerana hukuman takzir masih ada bagi mendapatkan keadilan andai saksi dalam hudud gagal didapatkan. Dari hukum takzir inilah kita boleh dapatkan bukti-bukti seperti laporan perubatan, DNA dan sebagainya. Nah, di sinilah peranannya pihak pemerintah dalam menentukan keadilan terjamin.

Saya tak pasti sama ada dia mengerti atau tidak akan penerangan saya itu. Soalnya persoalan ini sangat kompleks kalau sekadar hendak dihujahkan sekali lalu. Ia persoalan rumit yang seharusnya diserahkan kepada para fakih yang ahli, bukan untuk dibualkan sekadar di kedai kopi.

Min nampak gayanya tidak berminat mendengar lanjut. Dia mengacau-ngacau airnya yang tinggal separuh dengan straw. Matanya juga mengikut hala strawnya itu. Justeru saya tak meneruskan lagi. Saya tahu saya tak harus terlalu memaksa. Cukuplah sekadar memberi hujah, dan selebihnya biarkan dia yang menilainya sendiri.

“Banyak lagi hal sebenarnya,” suara Min kemudian, “contohnya seperti poligami yang selalu memangsakan wanita. Pertubuhan inilah yang banyak memperjuangkan hak-hak secara adil dan saksama. Saya tak sabar nak menemuramah mereka! Malah sedari mula menyambung dalam bidang undang-undang, memang hasrat saya apabila lulus nanti, kalau boleh hendak berkhidmat dengan mereka.”

Perbualan kami berlarutan dari satu isu ke satu isu yang lain, melompat dari satu ke satu, dan sesekali kembali lagi ke isu yang telah dibincangkan untuk dibedah dengan lebih mendalam lagi. Tetapi segala isu-isu terpisah itu diikat oleh satu ikatan: iaitu pada nada dan cara Min melihat isu-isu terpisah itu.

“Awak tahu, Zaqwan,” kata Min kepada saya kemudiannya, “Taslima Nasrin itu seorang wira wanita yang sungguh berani.”

Saya mengerut dahi. Cuba-cuba mengingat dari mana pernah mendengar nama itu.

“Taslima Nasrin. Pejuang feminis. Malah pernah diugut untuk dibakar hidup-hidup atas pendiriannya yang teguh.”

Saya mengeluh. “Apa yang diperjuangkannya sampai begitu sekali diugut - sesuatu yang baikkah?”

“Perjuangan tak selalu mudah, Zaqwan. Yang diperjuangkan adalah hak asasi, yang dilaungkan adalah kesamarataan, dan yang dikibarkan adalah kebebasan ekspresi.”

“Hanya atas tiga perkara itu dia diugut bunuh?” Saya semakin nampak sisi lain Min. Begitulah, selama ini hanya memandangnya dari jauh, hanya mengagumi tampilan luaran, manakan sama kalau sudah mengenal dengan lebih dekat.

“Soalnya dia mencabar banyak kepercayaan-kepercayaan tradisi Muslim, Zaqwan, dengan penuh lantang. Di situlah letaknya perjuangannya. Dia menentang tradisi yang zalim sehingga dihalau keluar dari negaranya sendiri.”

“Dan awak kagumi dia kerana itu?”

Perbualan kami berlarut-larutan. Terus-terusan meloncat dari satu hal ke satu hal. Tapi hanya satu perkara yang sangat nyata. Bahawa pandangan saya terhadap Min menjadi semakin keliru. Saya menjadi sedikit tergugat - antara perasaan yang telah begitu lama terpendamkan terhadapnya dengan apa-apa yang baru saya dengar diucapkan olehnya. Antara Min yang berwajah comel manja, berpipi merah indah berbibir lembayung menawan di satu belahan hati, dengan pendiriannya yang dalam banyak hal, kedengaran membara, sedikit menakutkan.

Saya menutup buku catatan harian. Melihat ke jam tangan. Masih ada beberapa jam sebelum perlu bertemu dengan Pak Cik Osman dan Haji Zizan. Kami berjanji untuk bertemu makan malam di restoran biasa. Sementara menunggu, saya buka komputer riba. Jari-jemari saya letup-letupkan sementara berfikir untuk menyambung menulis kisah Nadzreen dengan Rogayah, kisah atuk Min, kisah bapa Pak Cik Osman. Tetapi kemudian wajah Min datang menjelma lagi dalam fikiran. Saya mengeluh. Min, ada sesuatu padanya yang sukar hendak saya perjelaskan. Akhirnya saya putuskan melayari internet sahaja bagi mencari tentang Taslima Nasrin. Tokoh yang disebut oleh Min tadi.

Pengarang wanita asal Bangladesh itu ibu bapanya penganut kuat Islam. Taslima melanjutkan pelajaran ke sekolah perubatan, dan di sana mulai menyerlahkan bakat dalam penulisan. Menjuruskan pengajiannya dalam cabang gaenokologi - cabang perubatan yang mengkhusus kepada masalah kewanitaan. Setelah itu membuka klinik wanita sendiri. Di situlah mulanya kesedaran perjuangannya yang timbul daripada dua perkara yang begitu menjentik perasaannya: pertama, mangsa-mangsa rogol yang ramai menjadi pasiennya, dan kedua, apabila dia mendengar melalui gegendang telinganya sendiri bagaimana ibu-ibu yang melahirkan meraung-raung kesedihan meratapi anak yang mereka lahirkan berjantina perempuan. Begitu menurut ringkasan biodatanya.

Saya meneruskan pembacaan.

Taslima, dalam dia memperjuangkan hak asasi emansipasi wanitanya, ternyata telah membuat keputusan untuk meninggalkan agamanya dan menjadi seorang aties tanpa Tuhan. “To me, this conflict is basically between rational, logical thinking and irrational blind faith,” begitu katanya, “to me this is a conflict between modernity and anti-modernism. While some strive to go forward, others strive to go backward.”

Saya membayangkan wajah Min. Entahlah.

BERSAMBUNG