Followers

Thursday, June 4, 2009

Muhyiddin lawat Pasar Tani Putatan

KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melawat Pasar Tani Putatan dekat sini sejurus tiba dari ibu negara.

Muhyiddin, yang diiringi isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, melawat 67 gerai, termasuk 14 gerai agensi dan jabatan kerajaan, yang mempamer dan menjual pelbagai produk makanan dan kraftangan.

Turut sama, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin.

Malam ini, Timbalan Perdana Menteri dijadual menghadiri jamuan bersama pemimpin-pemimpin Barisan Nasional negeri dan anggota perkhidmatan awam di sini.

Esok, Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, akan merasmikan Hari Guru peringkat megeri di SMK Ken Hwa, Keningau. - Bernama

RM20 juta untuk nelayan Sabah

KOTA KINABALU: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan RM20 juta kepada nelayan di Sabah untuk tahun ini, kata Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Rahim Ismail.

Beliau berkata, peruntukan tersebut termasuk untuk pembangunan infrastruktur, pembangunan dana nelayan dan transformasi nelayan.

Berucap merasmikan mesyuarat agung tahunan ke-12 Persatuan Nelayan Sabah (Perkasa) di sini, hari ini, beliau berkata Sabah adalah peserta transformasi nelayan yang tertinggi di negara ini iaitu 22 daripada 77 kesemuanya. - Bernama

3 kes baru H1N1 dikesan hari ini: Liow

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memaklumkan tiga kes baru Influenza A dikesan hari ini sehingga jam 5 petang tadi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kes pertama membabitkan pelajar tempatan berusia 23 tahun di Seremban yang baru pulang dari Amerika Syarikat untuk bercuti.

Katanya, kes kedua dan ketiga pula membabitkan dua lelaki warga Jerman, masing-masing berusia 32 dan 30 tahun, yang bercuti di Malaysia.

"Mereka tiba dengan penerbangan AirAsia AK702 dari Singapura semalam dan membuat pemeriksaan di sebuah hospital swasta selepas mengalami demam dan kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur," katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Ulat merawat luka kronik


ULAT yang melakukan 'rawatan.'


Mungkin ulat-ulat ini dapat menyelamatkan kaki mak cik daripada dipotong," itulah kata-kata semangat seorang perawat kepada seorang penghidap kudis kronik di kaki akibat diabetis yang teruk.

"Jangan bimbang mak cik, ulat-ulat ini cuma makan luka dan kulit yang mati sahaja, yang elok langsung dia tak usik," kata perawat itu lagi.

Itulah kata-kata seorang perawat yang mengamalkan Maggot Debridement Therapy bagi pesakit diabetis yang mempunyai luka atau kudis yang kronik dan sukar untuk sembuh.

Menurut pengurus Edaran Arif Medik Sdn. Bhd., Mohd. Ashraf Kamarul Zaman, yang juga pengurus projek Maggot Debridement Therapy, penggunaan 'ulat lalat' di Malaysia untuk tujuan perubatan adalah yang pertama setakat ini.

"Kajian mengenai kaedah ini telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR)," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Menurut Mohd Ashraf, spesies ulat lalat yang digunakan itu adalah dari jenis Lucilia Cuprina iaitu lalat tempatan, manakala di negara-negara Barat, spesies yang digunakan dikenali sebagai Lucilia Sericata.

Kedua-dua spesies ini telah dikenalpasti berkesan dalam merawat luka kronik yang sukar sembuh.

"IMR telah membuat kajian mengenai ulat lalat ini dan menemui satu spesies berlainan dengan yang terdapat di Eropah, ianya dikenali sebagai Lucilia Cuprina yang dapat memainkan peranan dalam menyembuhkan luka", kata beliau lagi.

Mohd. Ashraf berkata syarikat Medical Biotheraphy Sdn. Bhd., anak syarikat Edaran Arif Medik, telah pun mendapat hak eksklusif daripada IMR untuk memasarkan ulat-ulat tersebut bermula Disember 2008 di negara ini.

Kini ia dipasarkan di hospital, klinik dan pusat yang berdaftar.

Beliau berkata, ulat lalat ini mampu membantu merawat luka kronik yang dialami oleh manusia.

Menurut Mohd. Ashraf, ulat lalat ini merawat kulit yang ada luka terlalu kronik, contohnya pesakit diabetes apabila mempunyai luka yang kecil mudah merebak, membesar dan payah untuk sembuh.

"Kesukaran pesakit diabetes sembuh daripada luka pula adalah disebabkan terdapatnya tisu mati yang menyebabkan peredaran darah menjadi terbantut dan jangkitan senang berlaku."

Menurut beliau, ulat-ulat berkenaan berfungsi dengan memakan tisu yang sudah mati dan apabila menjumpai tisu yang hidup ulat-ulat itu akan berhenti daripada memakan bahagian tersebut.

Katanya lagi, proses untuk menyembuhkan luka pesakit bergantung kepada tahap teruk luka yang dialami.

"Kalau luka di peringkat awal, tapi ada tisu mati, kita letak lava (ulat) ini dalam 48 jam, sekali aplikasi. Maksudnya jika kita letak ulat tu hari ini, lusa baru kita akan buka (balutan).

Mohd Ashraf berkata, penggunaan ulat ini dalam penyucian luka memang bagus kerana ulat lalat ini mempunyai enzim yang mampu untuk mempercepatkan penumbuhan tisu.

"Ulat ni tak makan macam kita (manusia) makan, ulat ni bila dia nak makan dia akan rembeskan enzim dulu. Enzim tersebut akan mencairkan tisu-tisu mati dan ia pulihkan balik luka tersebut dengan mempercepatkan penumbuhan tisu," kata beliau lagi.

Beliau berkata, selain penggunaan ulat lalat ini bukan sahaja tertumpu pada pesakit kencing manis tetapi juka luka-luka lain seperti luka akibat kemalangan, kebakaran dan seumpama.

"Sebenarnya rawatan ini bukan pada pesakit kencing manis sahaja, cuma antibodi pesakit kencing manis sahaja yang agak kurang, jadi luka tu cepat merebak dan susah nak sembuh," kata beliau.

Kaedah rawatan ulat ini tidak boleh digunakan bagi mereka yang baru mengalami luka dalam kemalangan, cuma bagi pesakit yang mempunyai tisu yang mati sahaja.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulat lalat ini bolehlah menghubungi Edaran Arif Medik di talian 03-61891042 ataupun melayari laman web Http://sterilarvae.com. -- BERNAMA

Kes ketiga H1N1 di Malaysia

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar berusia 23 tahun yang baru pulang dari Amerika Syarikat pada Isnin lalu disahkan positif Influenza A (H1N1).

Pelajar terbabit yang pulang menaiki pesawat Penerbangan Malaysia (Mas) kini dirawat di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban.

Ia adalah kes H1N1 ketiga yang disahkan di Malaysia. - NST

H1N1: Penumpang MH091 diminta hubungi kementerian

KUALA LUMPUR: Seramai 276 penumpang serta anak kapal penerbangan MH091 yang tiba dari Amerika Syarikat Isnin lalu diminta menghubungi Kementerian Kesihatan untuk diberikan nasihat kesihatan berhubung Influenza A (H1N1) serta keperluan kuarantin di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata, ini berikutan pengesahan seorang pelajar Malaysia yang menaiki penerbangan itu sebagai kes ketiga positif influenza A (H1N1).

Beliau berkata, pelajar berusia 23 tahun itu menaiki penerbangan MH091 dari Amerika Syarikat dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7.15 pagi Isnin lalu.

"Pelajar ini tidak mengalami demam semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, tetapi mula mengalami demam dan batuk semalam dan dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pelajar itu disahkan menghidap jangkitan influenza A (H1N1) oleh Institut Penyelidikan Perubatan pada 4 pagi tadi, dan beliau dalam keadaan stabil serta telah diberi rawatan antiviral.

Sabah & Sarawak: Bantuan kerajaan untuk diguna bukan dijual

PAPAR: Golongan sasar yang menerima pelbagai bantuan daripada kerajaan diingatkan supaya tidak menyalahgunakan sumbangan itu untuk mendapat keuntungan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis, Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata pemberian seperti zink dan kemudahan asas lain perlu dimanfaatkan seperti sewajarnya supaya keluarga mereka dapat tinggal dalam suasana selesa.

"Saya harap penerima memanfaatkan bantuan zink ini untuk membaiki atap rumah yang rosak.

"Jangan salah gunakan bantuan kerajaan dengan menjualnya kerana wangnya tidak seberapa manakala kediaman kekal tidak sempurna.

"Saya sudah mengarahkan Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Pantai Manis memastikan bantuan itu digunakan sepenuhnya oleh penerima terbabit," katanya di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan zink menerusi peruntukan DUN Pantai Manis bagi 110 rumah rakyat miskin di Kampung Kuala dalam kawasan itu bagi menggantikan atap rumah mereka yang usang.

Beliau berkata, keseluruhan bantuan bernilai RM90,000 meliputi 5,000 keping zink.

Seorang penerima yang juga ibu tunggal, Kamariah Hassan, 62, berkata bantuan itu membolehkan beliau dan anaknya hidup lebih selesa.

"Selepas ini kami tidak perlu bimbang lagi setiap kali hujan kerana bumbung banyak yang bocor," katanya.

Dalam majlis berasingan, Abdul Rahim yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkata, rakyat Sabah yang menjadi ikon integrasi kaum di negara ini berikutan semangat muhibah dan toleransinya, perlu mengekalkan keistimewaan itu dan memelihara budaya murni yang menjadi amalan.

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Papar berkata, keistimewaan itu perlu diperturunkan kepada generasi muda supaya mereka mewarisi kehidupan aman, bahagia dan sejahtera.

"Tanpa integrasi kaum, suasana kehidupan sekarang akan bertukar kepada saling bermusuhan dan porak-peranda, sekali gus menyukarkan usaha memajukan rakyat.

"Rakyat di segenap pelusuk Negeri di Bawah Bayu saling menghormati pelbagai adat resam dan budaya etnik lain serta dikongsi asalkan tidak bercanggah dengan agama dan budaya mereka," katanya berucap merasmikan perayaan `Tadau Kaamatan' (Pesta Menuai) peringkat Kampung Sabandil dekat sini, kelmarin.

Hadir sama PKR Pantai Manis, Amri Abu Bakar; Ketua Kampung Sabandil, Anjohn Singah dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung itu, Lunchi Linjanun.

Pada majlis itu, Abdul Rahim turut merasmikan balai raya baru Kampung Sabandil bernilai RM80,000 yang memudahkan masyarakat setempat menjalankan pelbagai program kemasyarakatan dan kebudayaan.

Sabah & Sarawak: LPKP ambil tindak jika tak guna Wawasan Plaza

KOTA KINABALU: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha bas yang enggan berhenti di terminal Wawasan Plaza berikutan pelaksanaan bas bandar raya sejak Isnin lalu.

Pengarahnya, Arifin Samsuddin, berkata pihaknya mengambil keputusan tidak membenarkan bas lain selain bas bandar raya beroperasi dalam bandar dengan mewajibkan pengusahanya menunggu penumpang di terminal Wawasan Plaza.

Katanya, arahan itu perlu dipatuhi semua pengusaha bas, termasuk syarikat bas yang sebelum ini menggunakan kawasan letak bas di hadapan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu sebagai terminal bas mereka.

"LPKP Sabah sudah memohon kerjasama daripada semua agensi penguat kuasa termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memantau pelaksanaan peraturan baru ini.

"Kita harap semua pengusaha bas memberi kerjasama dan mematuhi peraturan ditetapkan bagi memastikan pelaksanaan projek bas bandar raya ini berjalan lancar," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelaksanaan bas bandar raya (City Bus) yang memulakan operasi pada Isnin lalu seperti yang diumumkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, baru-baru ini.

Arifin berkata, pihaknya sudah menentukan laluan bagi semua bas beroperasi di bandar raya yang berakhir di terminal Wawasan Plaza untuk mengelak kesesakan lalu lintas di pusat bandar, selain memastikan pelaksanaan bas bandar raya tidak terganggu.

"LPKP juga memberi jaminan semua bas yang berpangkalan di hadapan mahkamah akan diarah berpindah ke terminal Wawasan Plaza secepat mungkin selepas selesai perbincangan dengan agensi terbabit.

"Pemindahan ini perlu bagi meredakan rasa tidak puas hati di kalangan pengusaha bas lain yang mahu semua bas dipusatkan di terminal Wawasan Plaza berbanding menggunakan terminal berasingan ketika ini," katanya.

Ketika ini, Arifin berkata, terminal di hadapan mahkamah Kota Kinabalu digunakan syarikat Tuaran United Transport (TUT), Penampang Union Transport (PUT), Luen Tung Tanjung Aru Transport (LTT) dan syarikat City Bus.

Mengenai operasi bas bandar raya, beliau berkata, laluan perkhidmatan itu ditawarkan bayaran 50 sen sehala dengan dibahagikan kepada dua sektor, masing-masing mempunyai dua laluan berbeza.

Bagi Laluan Satu Sektor Satu, katanya, bas akan bergerak dari terminal Wawasan Plaza dengan melalui Jalan Tun Fuad Stephen, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Kemajuan (pusingan U di bawah jejantas) sebelum kembali ke terminal Wawasan Plaza.

Untuk Laluan Dua Sektor Satu pula, katanya bas akan bergerak dari terminal Wawasan Plaza melalui Jalan Wawasan, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Tun Fuad Stephen dan kembali ke terminal Wawasan Plaza.

"Bagi laluan Satu Sektor Dua pula, bas bandar raya akan bergerak dari Terminal Wawasan Plaza dengan melalui Jalan Tun Fuad Stephen, Jalan Tun Abdul Rahman, Jalan Kemajuan dan kembali ke terminal Wawasan Plaza.

"Untuk Laluan Dua Sektor Dua, bas bandar raya bergerak dari terminal Wawasan Plaza melalui Jalan Wawasan, Jalan Tun Abdul Rahman, Jalan Tun Fuad Stephen dan kembali ke terminal Wawasan Plaza," katanya.

Arifin berkata, pihaknya mengalu-alukan maklum balas berkaitan perkhidmatan bas bandar raya yang boleh dikemukakan kepada LPKP Sabah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) 088-231024.

Sabah & Sarawak: Kontraktor sambil lewa punca projek gagal siap

KOTA KINABALU: Sabah dikesan tidak terkecuali daripada masalah projek kecil gagal disiapkan mengikut jadual dan tidak menepati piawaian ditetapkan kerajaan berikutan sikap sambil lewa kontraktor kelas F sambilan.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) cawangan Sabah, Awadnir Matanggal, mendakwa masalah itu tidak berlaku sekiranya dijayakan kontraktor sepenuh masa yang mahukan hasil kerja berkualiti untuk memastikan terus mendapat tender bagi jangka panjang.

Beliau berkata, laporan itu diterima daripada beberapa pegawai kanan kerajaan yang tidak berpuas hati dengan mutu kerja kontraktor yang mendapat tender projek di bawah pentadbiran jabatan mereka.

Bagaimanapun, katanya, kontraktor terbabit dikenal pasti bukan anggota PKMM cawangan Sabah.

Sehubungan itu, beliau berkata, PKMM Sabah menyokong langkah Kementerian Kerjaraya menetapkan syarat supaya kontraktor kelas F yang mahu mendapatkan projek pembinaan kerajaan adalah golongan sepenuh masa bagi memastikan kualiti kerja.

"Langkah itu akan membantu mengatasi masalah projek kecil yang gagal disiapkan mengikut jadual dan tidak menepati piawaian yang turut berlaku di Sabah," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Ahad lalu, Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata negara mempunyai kira-kira 31,000 kontraktor kelas F ketika ini dan mereka seharusnya menjadikan bidang itu sebagai bidang utama dan bukan sumber pendapatan sambilan.

Katanya, bilangan kontraktor kelas F yang terlalu ramai itu perlu dikecilkan dengan hanya mengekalkan kontraktor sepenuh masa dan benar-benar serius melakukan kerja mereka.

Awadnir berkata, PKMM Sabah menyokong cadangan pengecilan jumlah kontraktor yang kini keseluruhannya 45,000 orang di seluruh negara dengan cara menubuhkan konsortium dan bergabung.

Menerusi sistem itu, katanya, mereka bukan saja mampu menyiapkan projek mengikut jadual dan spesifikasi, malah menyelamatkan kontraktor kecil kurang modal daripada gulung tikar.

"Saya yakin kontraktor kecil di Sabah tiada halangan menubuhkan konsortium dan bergabung untuk menjayakan sesuatu projek. Langkah itu juga tidak menjejaskan pendapatan kontraktor kecil sepenuh masa," katanya.

Sabah & Sarawak: Peniaga usah terjerat pujukan along

KOTA KINABALU: Golongan peniaga dan penjaja kecil diingat supaya mengelak daripada perangkap tawaran ceti haram atau along yang didapati semakin hilang rasa perikemanusiaannya.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Sabah, Senator Datuk Armani Mahiruddin, berkata cara along meminta bayaran balik hingga mengancam keselamatan peminjam dan ahli keluarga mereka perlu dijadikan pengajaran.

"Paparan di media sejak kebelakangan ini memadai untuk menimbulkan rasa gerun kita terhadap perangkap along selaku penindas masyarakat di zaman moden.

"Jangan jadikan along sebagai `bank segera' jika di akhirnya kita dan keluarga menanggung akibat jika gagal membayar hutang," katanya di sini, kelmarin.

Beliau berkata, ada segelintir along dikesan memberi perhatian terhadap peniaga Bumiputera dengan menampal pelbagai iklan berhampiran premis perniagaan sasaran.

Walaupun tawarannya dianggap menarik, Armani berkata, peniaga dan penjaja kecil Bumiputera wajar membuat pinjaman daripada institusi yang diiktiraf kerajaan.

"Kerajaan menyediakan pelbagai dana dan bantuan bagi kemudahan peniaga kecil. Prosedurnya mungkin lebih rumit tetapi sekurang-kurangnya ia dijamin dan selamat.

"Ada along yang mengambil kesempatan kegawatan ekonomi sebagai `umpan' menarik lebih ramai mangsa berhutang.

"Pinjamannya sedikit tetapi di akhirnya mangsa perlu membayar jauh lebih tinggi kerana faktor faedah," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta agensi seperti Tekun dan Mara serta institusi kewangan mencari penyelesaian mudah bagi menyalur pinjaman kepada peniaga dan penjaja kecil-kecilan supaya tidak beralih kepada along.

Kes pertama H1N1 dikesan di Saudi

RIYADH: Arab Saudi mengesahkan kes pertama selesema babi di negara itu, membabitkan jururawat Filipina, semalam.

Menteri Kesihatan, Abdullah al-Rabeeah, berkata wanita terbabit tiba dari Filipina dan menunjukkan simptom penyakit itu pada Isnin.

“Selepas dikuarantin, ujian mengesahkan dia dijangkiti virus H1N1,” katanya.

Penumpang lain kini dicari untuk diperiksa. - Agensi

Al-Fatihah

Al Fatihah kepada mak 2a sayag yg telah pergi buat selama2nya.. Sama-sama kita mendoakan Al fatihah dan mudah-mudahan beliau ditempatkan si samping Allah S.W.T. Amin..