Followers

Friday, May 21, 2010

Pelatih PLKN dapat tawaran IPTA dilepas mulai esok

KUALA LUMPUR: Semua pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kumpulan 2 Siri 7/2010 yang akan mendaftar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi program asasi di UM, UIAM, UNIMAS, UiTM, USIM dan UPNM akan diberikan pelepasan awal mulai esok.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata pelatih berkenaan dianggap telah selesai menjalani latihan dan akan diberi sijil tamat latihan.
"Keputusan ini dibuat setelah pihak Jabatan Pengajian Tinggi memohon kepada Jabatan ini untuk pelepasan awal kepada pelajar IPTA berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, bagi bakal pelatih untuk kumpulan 3 Siri 7/2010 pula, mereka tidak perlu menghadirkan diri dan hanya perlu mengisi borang penangguhan yang akan disertai bersama Notis Panggilan Pelatih yang akan dikeluarkan kepada mereka nanti.

"Ini termasuk juga, pelatih yang perlu mendaftar bagi Program Asasi di UPM dan Program Diploma di UTM, UPSI, UiTM, UTHM, UMT, UTeM, UMP, UNIMAP, UDM dan UPM pada 3 dan 4 Julai nanti," katanya.

Abdul Hadi berkata, kumpulan 3 Siri 7/2010 ini akan bermula pada 19 Jun ini, dan bakal pelatih yang perlu mendaftar ke IPTA boleh mendaftar pada tarikh yang ditetapkan IPTA seperti biasa. - Bernama

Jangan puas hati menjadi negara ke-10 berdaya saing: Mohd Sidek

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak harus berpuas hati dengan pencapaiannya sebagai negara ke-10 paling berdaya saing di dunia sebaliknya mesti berusaha untuk menambahbaik pencapaian itu.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, berkata sekalipun pencapaian Malaysia jauh lebih baik berbanding negara-negara seperti New Zealand, usaha untuk maju adalah ''tugas yang tidak berakhir''.
Beliau berkata, dalam konteks itu semua segmen harus meningkat dan ianya memerlukan penambahbaikan dalam sistem penyampaian sektor awam dan swasta serta masyarakat amnya.
"Adalah tidak bagus meningkat ke kedudukan ke-10 tetapi dalam konteks yang lain tidak meningkat," kata beliau ketika diminta mengulas ucapannya pada bengkel mengenai pemikiran kepimpinan, di sini hari ini.

Dalam syarahan bertajuk ''Etika-etika Sejagat dalam Masyarakat Majmuk'' di sini, Mohd Sidek berkata, walaupun Malaysia berada di depan berbanding negara seperti China, Itali dan New Zealand dalam kedudukan daya saing, ianya belum memadai.

Beliau berkata demikian mengulas pencapaian Malaysia menjadi negara ke-10 paling berdaya saing di dunia, iaitu meningkat daripada kedudukan ke-18 sebelum ini, dalam World Competitiveness Yearbook 2010.

Mengulas ucapannya yang turut menegaskan bekerja di sektor awam tidak boleh lagi dianggap sebagai ''pekerjaan selamat'', Mohd Sidek berkata, era globalisasi sekarang hanya mengambil kira faktor merit.
"Saya rasa jika anda tidak memenuhi prestasi maka kita akan mencari jalan yang lebih baik untuk memastikan anda melakukanya," katanya.

Mohd Sidek berkata, pada masa kini semakin ramai yang menyertai perkhidmatan awam termasuk mereka dari syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta, menjadikan perkhidmatan awam semakin berdaya saing.

"Saya berpendapat keadaan ini akan menjadi satu trend dan ianya adalah suatu yang baik," kata beliau.

Dalam ucapannya, Mohd Sidek berkata, masih banyak yang harus dilakukan Malaysia untuk mencapai matlamat seperti menghapuskan kemiskinan tegar menjelang akhir tahun ini, meningkatkan kadar celik huruf daripada 88 peratus kepada 100 peratus dan membasmi rasuah dalam sektor awam dan swasta.

Cabaran-cabaran lain, katanya, ialah menarik bakat-bakat baru dan menaikkan standard bakat tempatan serta membuka peluang pasaran baru menerusi inovasi, selain meningkatkan standard ekonomi kepada model pendapatan tinggi dan tidak lagi terperangkap sebagai negara berpendapatan kelas menengah.

Mohd Sidek berkata, semua polisi kerajaan pada semua peringkat sama ada persekutuan mahupun negeri adalah saksama dan setanding.

"Kita bekerja keras untuk menghapuskan kemiskinan pada semua lapisan masyarakat, menyediakan pendidikan tanpa mengira bangsa, warna kulit, agama dan jantina.

"Wanita mempunyai peluang yang sama seperti lelaki. Barangkali kita adalah satu daripada beberapa negara di dunia yang boleh berbangga kerana mempunyai wanita memegang jawatan utama dalam negara," katanya.

Menyentuh isu masyarakat majmuk, Mohd Sidek berkata, yang paling utama adalah kepentingan masyarakat iaitu untuk kebaikan bersama.

"Kehebatan pencapaian kita tidak bermakna jika kita tidak dapat mempertahankan keamanan pada semua peringkat dalam masyarakat. Ini hanya dapat dicapai jika semua pihak diambil kira," katanya.

Beliau turut menyentuh peranan aktif Malaysia dalam dunia Islam khususnya menerusi Pertubuhan Persidangan Islam yang disifatkannya bukan saja untuk menjaga kepentingan umat Islam tetapi juga masyarakat majmuk. - Bernama

Inflasi April naik 1.5 peratus berbanding tahun lalu

KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi April lalu naik sebanyak 1.5 peratus berbanding bulan sama tahun lalu tetapi tidak berubah bulan ke bulan.
Bagi tempoh Januari-April, IHP meningkat 1.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan hari ini.
Tahun ke tahun, indeks makanan dan minuman bukan alkohol dan indeks bukan makanan masing-masing meningkat 2.2 peratus dan 1.2 peratus, kata jabatan itu.
Bagaimanapun, bagi asas bulan ke bulan, indeks makanan dan minuman bukan alkohol dan indeks bukan makanan kekal tidak berubah.

Bagi asas bulan ke bulan, jabatan itu berkata kumpulan utama menunjukkan kenaikan kecuali pakaian dan kasut (-0.3 peratus) dan komunikasi (-0.3 peratus).

Kenaikan ketara bagi kumpulan utama yang berwajaran tinggi ialah makanan dan minuman bukan alkohol (1.6 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.0 peratus); dan pengangkutan (0.7 peratus).

Kenaikan lain ialah minuman alkohol dan tembakau, dan pelbagai barangan dan perkhidmatan masing-masing pada 2.9 peratus; perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.7 peratus); pendidikan (1.8 peratus); restoran dan hotel (1.6 peratus); kesihatan (1.5 peratus); dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.7 peratus). - Bernama

Bursa Malaysia mengakhiri minggu lebih rendah

KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia mengakhiri minggu ini lebih rendah, sejajar dengan bursa serantau yang lemah berikutan kebimbangan mengenai situasi ekonomi di Eropah dan Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.
Penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur Bursa Malaysia FTSE (FBM KLCI), dalam jajaran sempit, mencecah tahap paling rendah lima bulan, didorong oleh kejatuhan pada CIMB Group dan Axiata Group.
FBM KLCI merosot 18.43 mata, atau 1.4 peratus untuk ditutup pada 1,285.73, berbanding paras paling rendah hari ini, 1,280.63.
Ia dibuka 13.65 mata lebih rendah pada 1,290.51.

Bursa tempatan didagangkan pada zon negatif bagi hari keenam berturut-turut, umumnya kerana kelemahan di pasaran antarabangsa.

Ketua Inter-Pacific Research, Anthony Dass, berkata pelabur mengambil petunjuk daripada pasaran serantau yang lemah, yang menyaksikan Indeks MSCI Asia Pasifik merosot kepada paras paling rendah sembilan bulan.

"Ia juga terjadi ketika kemerosotan semalaman pada Wall Street berikutan data pengangguran yang tinggi dan kebimbangan mengenai krisis hutang zon euro," katanya.
Bagaimanapun, kegiatan pencarian untung lewat pada saham berwajaran tinggi, Nestle dan UMW Holdings, membantu mengekang kerugian, katanya.

Pada pasaran luar negara, berita bahawa Senat AS telah meluluskan "Rang Undang-undang Reformasi Wall Street", membantu mengurangkan kebimbangan pasaran.

Indeks FBM Emas jatuh 131.99 mata kepada 8,625.67, Indeks FBM70 merosot 138.28 mata kepada 8,423.03 dan Indeks FBM Ace susut 89.38 mata kepada 3,836.73.

Indeks Kewangan jatuh 225.54 mata kepada 11,590.88, Indeks Perusahaan susut 28.49 mata kepada 2,612.63 dan Indeks Perladangan merosot 67.09 mata kepada 6,089.73.

Terdapat 678 kaunter untung dan 145 rugi, sementara 169 kaunter tidak berubah, 384 tidak didagangkan dan 32 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 886.436 juta saham bernilai RM1.764 bilion daripada 765.419 juta saham bernilai RM1.415 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 737.108 juta saham bernilai RM1.731 juta daripada 648.250 juta saham bernilai RM1.393 bilion semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 77.112 juta unit bernilai RM11.290 juta daripada 67.711 juta unit bernilai RM8.621 juta pada Khamis.

Warrant meningkat kepada 53.555 juta saham bernilai RM6.440 juta daripada 41.508 juta saham bernilai RM6.383 juta sebelum ini.

Mendahului saham aktif, Talam merosot setengah sen kepada 14 sen, Advance Information naik setengah sen kepada 14.5 sen dan CIMB Group jatuh 21 sen kepada RM6.86.

Unisem susut sembilan sen kepada RM2.66 dan KNM Group jatuh setengah sen kepada 51 sen.
Di kalangan kaunter untung, Nestle naik 50 sen kepada RM34.48, UMW Holdings naik enam sen kepada RM6.25 dan Petronas Gas meningkat empat sen kepada RM9.80.

Di kalangan saham berwajaran tinggi, Tanjong susut 48 sen kepada RM17.50, Maybank jatuh 16 sen kepada RM7.32 dan Axiata Group merosot 11 sen kepada RM3.61.

Hong Leong Bank Bhd (HLB) jatuh 10 sen kepada RM8.55. Ini adalah di sebalik pengumuman oleh EON Capital Bhd (EONCap) bahawa pengarahnya telah menerima satu tawaran pengambilalihan daripada HLB.

Saham EONCap tidak berubah pada RM6.92.

Produk pengguna mewakili 33.908 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk industri 115.634 juta, pembinaan 45.625 juta, dagangan dan perkhidmatan 254.051 juta, teknologi 56.204 juta, prasarana 13.227 juta, kewangan 95.438 juta, perhotelan 13.593 juta, harta 81.397 juta, perladangan, 23.094 juta, perlombongan 147,600, REIT 4.195 juta dna dana tertutup 595,700. - Bernama

Gempa bumi kuat mengegarkan Costa Rica

COSTA RICA: Gempa bumi kuat melanda di sepanjang pesisir Pasifik Costa Rica, hari ini, tetapi tiada laporan kerosakan dan kematian dilaporkan.
Amaran tsunami tidak dikeluarkan susulan kejadian terbaru ini.
Menurut jabatan Kajiselidik Geografikal Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi dicatatkan pada ukuran magnitud 5.9 di pusat gempa 65 kilometer selatan-barat daya ibu kota San Jose, Costa Rica pada kedalaman 23 kilometer.
Ia berlaku di pesisir pantai barat di tengah-tengah Costa Rica pada jam 4.16 petang (waktu tempatan). - AFP

Lesen untuk guru

Syarat mengajar bagi pelihara integriti profesion

KOTA BHARU: Kementerian Pelajaran menimbang untuk mensyaratkan guru memiliki lesen perguruan, seperti doktor, peguam dan akauntan, bagi memelihara integriti profesion itu serta menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia.
Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata lesen perguruan itu telah dilaksanakan di Kanada dan sudah tiba masanya Malaysia menimbangkannya secara serius.
“Isu integriti menjadi perhatian kementerian saya dan perlu dicari satu kaedah bagaimana hendak mengekalkan integriti perguruan. Oleh itu, ada cadangan kita kaji atau lihat sama ada guru perlu ada lesen perguruan seperti doktor, peguam atau akauntan.

"Mereka perlu ada lesen, kalau langgar peraturan profesion mereka, lesen berkenaan akan ditarik balik dan tidak boleh membuat amalan pekerjaan itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin, Pengkalan Chepa, semalam.

Mohd Puad berkata demikian ketika mengulas kes seorang guru mencabul lima murid perempuan berusia antara 11 hingga 12 tahun di Sibu, Sarawak, ketika isterinya sedang menunggu waktu melahirkan anak sulung mereka.

Perbuatan guru berusia 32 tahun itu dikatakan bermula Mac lalu, tetapi semua mangsa termasuk seorang murid Tahun Enam yang juga adik iparnya, hanya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu, Rabu lalu.
Mohd Puad berkata, kementerian memandang serius kejadian seumpama itu kerana sekiranya integriti guru tercemar, masyarakat akan hilang kepercayaan kepada guru.

Beliau bagaimanapun berkata, cadangan memperkenalkan lesen perguruan masih di peringkat awal dan belum dikemukakan ke Kabinet.

“Kajian juga belum dibuat kerana benda ini bukan mudah, ia membabitkan 390,000 guru di negara ini. Namun, kementerian sedang berusaha untuk menerokainya demi menjaga kepentingan profesion perguruan,” katanya.

Lukis nabi cetus perang di Facebook

Warga Pakistan bantah idea kempen kartunis Amerika
SEATTLE: Idea kartunis Amerika Syarikat, Molly Norris, mengisytiharkan 20 Mei (semalam) sebagai ‘Everybody Draw Mohammed Day!’ (Hari Melukis Muhammad) menyebabkan beribu-ribu orang mengambil bahagian selain mencetuskan bantahan lebih ramai lagi menyebabkan Pakistan menyekat laman web Facebook.

Norris asalnya mengemukakan cadangan itu sebagai membantah keputusan rancangan Comedy Central menapis episod South Park memaparkan Nabi Muhammad dalam kostum beruang.
Cadangannya bulan lalu kemudian menyebabkan ramai pengguna Facebook mengambil bahagian dengan melukis wajah nabi di laman web itu.
Sehingga kelmarin, lebih 41,000 pengguna Facebook menyokong karikatur nabi di laman mereka, manakala 56,000 lagi membantah.

Sementara itu, Pakistan mengarahkan pembekal perkhidmatan internet menyekat Facebook kerana menggalakkan pengguna menyiarkan imej Nabi Muhammad
Kemarahan disuarakan di Pakistan dan negara lain kerana Islam melarang penyiaran imej Nabi. Kerajaan Pakistan bertindak selepas sekumpulan peguam Muslim memperoleh arahan mahkamah supaya menyekat Facebook sehingga 31 Mei.

Petang kelmarin, akses kepada laman berkenaan tidak menentu kerana pembekal perkhidmatan internet mula melaksanakan arahan itu.
Di Karachi, kira-kira 2,000 pelajar mengadakan perhimpunan dan mendesak Facebook diharamkan kerana membenarkan karikatur nabi disiarkan.

Berpuluh-puluh pelajar berhimpun di kawasan berhampiran sambil memegang papan tanda menggesa jihad terhadap penghina nabi.

Beberapa negara lain seperti China sudah mengharamkan Facebook buat selama-lamanya. – AP