Followers

Tuesday, September 28, 2010

Peguam Negara bimbang siasatan kes Sosilawati diperbesarkan

PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, hari ini melahirkan kebimbangan berhubung kemungkinan siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, akan diperbesar-besarkan.
Beliau berkata, terdapat banyak kenyataan yang dibuat pelbagai pihak dalam kes itu, dan media sepatutnya melaporkan hanya fakta tanpa sebarang penambahan kerana ia mungkin menjejaskan kes berkenaan.
"Saya fikir ikut saja nasihat KPN (Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar). Bertenanglah dan biarkan kami lakukan tugas kami.
"Saya rasa pada masa yang betul dan apabila siasatan telah selesai, mereka akan memberi satu kenyataan yang wajar serta mendedahkan segalanya. Ketika itu, tiada sebarang masalah," katanya selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed.

Abdul Gani ditanya sama ada beliau melihat campur tangan pelbagai pihak yang tampil membuat kenyataan berhubung kes itu, termasuk keluarga ahli perniagaan India, akan menjejaskan siasatan kes pembunuhan itu.

Ahad lalu, Ismail mengingatkan media supaya tidak menulis cerita berunsur spekulasi berhubung kes itu, sebaliknya menunggu pengesahan daripada polis.
Peringatan itu dibuat berikutan laporan media bahawa dua kubur ditemui di ladang tempat Sosilawati dan tiga yang lain didakwa dibunuh.

Sosilawati, 47, pemandu peribadi Kamaruddin Shansudin, 44, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu, selepas mereka ke Banting, Selangor, untuk urusan penjualan tanah.

Pada 13 September lalu, polis mengesahkan kesemua mangsa telah dibunuh dan mayat mereka dibakar serta abunya dibuang ke dalam sungai berhampiran Ladang Gadong, Banting.

Polis menemui tulang serta barangan lain dari sungai berkenaan dan telah menahan lapan suspek, termasuk dua adik beradik peguam, bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan kejam itu.

Ditanya jika Jabatan Peguam Negara boleh meyakinkan orang ramai bahawa akan ada satu keputusan di akhir siasatan kes berkenaan, Abdul Gani berkata: "Setahu saya, dalam semua siasatan, sesuatu akan berlaku iaitu sama ada kami dakwa atau tidak. Itu adalah sesuatu yang pasti".

Mengulas mengenai kertas siasatan kes berkenaan yang dikembalikan kepada polis, beliau berkata, tidak ada tarikh akhir untuk penghantarannya.

"Saya perlu menunggu mereka menghantarnya (kertas siasatan). Biar mereka siasat kes tersebut secara terperinci kerana ia membabitkan kepentingan awam.

"Terdapat banyak perkara yang perlu disiasat. Saya tidak boleh memberikan tarikh akhir kepada mereka, tetapi saya tahu mereka sedang bertungkus-lumus.

"Dan mereka akan memberikannya kepada saya secepat mungkin. Malah, saya bertemu dengan mereka hampir setiap hari," katanya.

Mengulas kawasan yang perlu disiasat semula, beliau berkata: "Banyak, tetapi saya tidak boleh memberitahu anda mengenai kelemahannya."

Sementara itu, Pengarah Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara mengenai kertas siasatan kes Sosilawati dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

"Kita mempunyai kertas siasatan yang boleh dianggap sebagai mantap, tetapi terpulang kepada perbincangan kita dengan pihak Jabatan Peguam Negara. Iaitu sama ada mereka memerlukan kami untuk mencari bahan-bahan tertentu lagi dalam siasatan kami terhadap kes ini," katanya ketika ditemui di rumah terbuka Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas laporan DNA kes itu, Mohd Bakri berkata, polis masih menunggu laporan daripada Jabatan Kimia.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memberi tekanan kepada Jabatan Kimia berhubung perkara itu kerana mereka memerlukan masa bagi menjalankan tugas yang rumit.

"Kita mesti berikan mereka masa, pakar patologi, Jabatan Kimia, bagi menganalisis tulang yang kita jumpa. Untuk mendapatkan DNA, bukanlah sesuatu yang mudah," katanya.

Mohd Bakri juga mengulangi amaran bahawa polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemberita yang salah melaporkan kes Sosilawati.

"Saya mesti memberi amaran kepada anda (pemberita) kerana saya akan mengambil tindakan sewajarnya, kami telah memberikan peluang secukupnya bagi anda mendapatkan maklumat, namun bukan untuk menulis sesuatu yang tidak benar, jika tidak, kami akan mengambil keterangan daripada anda," katanya.

Sementara itu, Mohd Bakri berkata, polis akan melawat beberapa lokasi lagi di sekitar Ladang Gadong, Banting untuk mencari bukti terbaru berhubung kes yang membabitkan suspek kes pembunuhan Sosilawati, berdasarkan beberapa petunjuk baru yang muncul dalam siasatan mereka.

"Anda semua perlu ingat, kita menyiasat dalam dua aspek, satu kes yang kita siasat sekarang iaitu kes (pembunuhan) Sosilawati bersama tiga orang, dan satu lagi ialah berkenaan kehilangan tiga orang, dan satu kes pembunuhan yang berlaku di Banting," katanya. - Bernama

Kes bunuh Sosilawati: Peguam tidak tahu bila anak guamnya didakwa

KUALA LUMPUR: Peguam Ravi Nekoo yang mewakili dua adik beradik peguam yang ditahan berhubung pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, berkata beliau tidak tahu bila pelanggannya dan enam lagi suspek akan didakwa.
"Perintah tahanan reman pelanggan saya akan berakhir Sabtu, jadi saya rasa mereka mungkin didakwa Jumaat ini, atau polis mungkin memutuskan untuk memohon tempoh tahanan dilanjutkan kepada majistret," katanya hari ini.
Ravi akan menulis kepada pemangku ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah, bagi membolehkan beliau dan seorang lagi peguam mempunyai akses kepada suspek kerana kedua-dua pelanggannya yang berumur 41 dan 38 tahun kini ditahan kontinjen polis negeri itu.
"Setakat ini, hanya sekali polis memberikan akses kepada kami dan isteri suspek bertemu mereka. Bagaimanapun, kami mahu bertemu dengan mereka tanpa kehadiran pegawai polis," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan undang-undang, peruntukan Seksyen 28A(5) Kanun Prosedur Jenayah membenarkan peguam mempunyai akses kepada pelanggannya dalam penglihatan pegawai polis, tapi bukan pendengaran.

"Dalam kata lain, mereka (polis) boleh menyaksikan perbualan kami namun mereka tidak boleh mengikutinya. Kami perlukan privasi sepenuhnya dalam perkara ini, yang telah dinafikan sejak kunjungan pertama lagi," katanya.

Beliau berkata, polis telah mengguna pakai Seksyen 28A(8) Kanun Prosedur Jenayah yang menyatakan peguam mungkin mengganggu bukti, atau mereka bimbang suspek akan melarikan diri.
Sosilawati, 47, pemandu peribadi Kamaruddin Shansuddin, 44, peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru di sini Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu selepas mereka dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 September lalu, polis mengesahkan keempat-empat mereka dipukul sehingga mati, mayat mangsa dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting.

"Mereka sudah pun mempunyai lebih daripada 14 hari untuk mengumpul bukti daripada suspek, maka kini berikan akses untuk kami bertemu dengan pelanggan kami," katanya yang turut meminta polis membenarkan enam lagi suspek dalam kes itu diberikan akses bertemu peguam mereka.

Ravi juga berkata, ketika ini, hanya beliau dan isterinya, Pushpa Ratnam berada dalam pasukan pembelaan bagi kes itu, manakala seorang lagi peguam iaitu D P Vijandran belum memutuskan sama ada akan menyertai mereka atau tidak. - BERNAMA

SKMM diarah siasat klip video paderi hina Islam: Rais

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya membuat siasatan serta merta terhadap klip video dalam laman YouTube yang memaparkan seorang paderi menyampaikan ceramah menghina Islam.

Rais berkata, beliau sudah mengarahkan SKMM supaya merekodkan perkara-perkara yang perlu seperti masa penyiaran, kandungan suara dan simbol yang dikeluarkan oleh paderi tersebut dalam klip video itu.
"Kita akan buat siasatan secepat mungkin di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, saya sendiri akan tentukan supaya kes ini dibawa ke perhatian pihak berkuasa secepat mungkin," katanya selepas merasmikan seminar "Isu dan Cabaran Dalam Memulihara Arkib Audiovisual di Rantau Tropika" di sini, hari ini.
Semalam, seorang penulis blog yang juga Presiden Penaja Perikatan Blogger Muslim (MBA), Zainol Abideen, mendedahkan tindakan seorang paderi, Benjamin Stephen yang didakwa menghina agama Islam dan Rasulullah.

Paderi tersebut dilaporkan menghina Islam ketika menyampaikan ceramahnya di sebuah gereja di Kuching, Sarawak baru-baru ini.

Zainol dalam blognya, http://mahaguru58.blogspot.com turut meminta pihak berkuasa bertindak pantas sebelum umat Islam bertindak sendiri.

Rais berkata, isu itu adalah hal yang serius dan kementerian akan mengambil tindakan tidak kira di mana ia dipancarkan sama ada menerusi laman YouTube atau Yahoo, asalkan ia disiarkan di negara ini kepada pendengar dan pemerhati internet.
"Saya juga akan hubungi pihak penguatkuasa supaya semua laporan dan siasatan SKMM yang dikemukakan dapat perhatian segera oleh mereka," katanya. - BERNAMA

Najib cadangkan Hari Malaysia di NYSE

NEW YORK: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat Bursa Saham New York (NYSE) pada hari Isnin dan seterusnya membunyikan loceng penutup urus niaga pada hari lawatan berkenaan.
Terdahulu, beliau mengadakan perbincangan dengan eksekutif penting bursa diketuai oleh ketua pegawai eksekutif (CEO) NYSE Euronet, Duncan Niederauer, mengenai cara-cara membantu pelabur Malaysia untuk akses ke pasaran modal Amerika Syarikat (AS).
Dalam taklimat ringkas selepas menandatangani buku tetamu, Najib berkata yang beliau telah mencadangkan supaya diadakan Hari Malaysia di bursa berkenaan bagi menarik pelabur AS ke pasaran Malaysia serta pasaran-pasaran lain di rantau Asia Tenggara.
Beliau berkata, Malaysia boleh menjadi pintu laluan ke pasaran ASEAN yang beliau sifatkan sebagai antara yang paling pesat berkembang di Asia.

Perdana Menteri berkata, bursa-bursa ASEAN seharusnya bekerjasama rapat dan lebih bersepadu untuk menarik pelabur asing.

Mengiringi Najib pada lawatan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Duta Malaysia ke AS, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis; pengerusi Bursa Malaysia, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan beberapa pegawai lain.

Perdana Menteri berada di New York bagi menghadiri sesi ke-65 Perhimpunan Agung PBB.
Bursa NYSE, terletak di 11 Wall Street, ialah bursa saham terbesar di dunia dengan permodalan pasaran dianggarkan $11.9 trilion setakat Ogos tahun ini. - BERNAMA