Followers

Wednesday, June 3, 2009

Sabah & Sarawak: Buka kilang perlu ambil kira kemudahan pekerja

SEPANGGAR: Penggerak sektor perindustrian diingatkan supaya mengenal pasti potensi perusahaan yang dimajukan seiring aspek persekitaran seperti logistik dan kemudahan prasarana bagi mengelak timbul masalah sampingan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata antara faktor pertama perlu diambil kira ialah kemudahan pekerja berulang-alik.

"Dalam usaha kita mewujudkan kluster atau cabang perusahaan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat, ada kalanya kita terlepas pandang soal jarak perjalanan, penempatan dan masalah pengangkutan pekerja ke kilang.

"Jangan terlalu ghairah memikirkan aspek meluaskan perniagaan hingga kita mengabaikan soal lokasi. Ini kerap berlaku dan akhirnya kita terpaksa mengeluarkan belanja tambahan menyediakan penempatan dan kemudahan pengangkutan atau berdepan masalah penduduk sekitar kurang berminat bekerja kerana sukar bergerak.

"Dengan suasana ekonomi yang mencabar seperti sekarang, kos logistik semakin melambung dan pada akhirnya, pengusaha mungkin tidak mendapat pulangan seperti diharapkan," katanya di sini, kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas melawat Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan mendengar taklimat operasinya oleh Ketua Pegawai Eksekutif KKIP, Datuk Chong Hon Len.

Mukhriz berkata, Sabah perlu meneroka kelompok industri yang benar-benar berdaya maju dan menggunakan sepenuhnya kelebihan dimiliki bagi membolehkan usaha menjana ekonomi dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Katanya, Negeri di Bawah Bayu itu memiliki banyak keistimewaan terutama dalam sektor pelancongan berikutan pelbagai nilai eksklusif yang boleh dikomersialkan.

"Sabah sangat berpotensi untuk melangkah jauh meninggalkan negeri lain dari segi pelancongan berdasarkan faktor tarikan semula jadi yang dimiliki merangkumi gunung, laut, kebudayaan dan sektor ekopelancongan.

"Adalah lebih wajar jika industri ini diterokai ke tahap optimum daripada kita terlalu ghairah memajukan pelbagai sektor tetapi tiada pengkhususan," katanya.

0 comments: