Followers

Monday, December 7, 2009

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4 hingga 5 peratus pada 2010

TOKYO: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2010, tanpa mengambil kira sebarang krisis ekonomi dan kewangan global yang tidak dijangka.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan bahawa ekonomi terus menunjukkan prestasi yang lebih baik pada suku ketiga dan keempat.

"Pelbagai langkah kerajaan bersama-sama dengan keadaan ekonomi global yang bertambah baik, telah membantu menstabilkan ekonomi," katanya pada pertemuan dengan peneraju industri dan perniagaan Jepun di sini hari ini.

Muhyiddin berada di Jepun bagi melaksanakan misi khusus perdagangan dan pelaburan selama empat hari mulai hari ini. Selain Jepun, beliau akan turut melawat Osaka.

Yang turut hadir di pertemuan itu ialah Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk Jalilah Baba dan Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Shaharuddin Mohd Som.

Untuk mengurangkan kesan krisis global sekarang ini, kerajaan telah melaksanakan dua pakej rangsangan yang berjumlah RM67 bilion (AS$18.6 bilion) atau kira-kira 9.0 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang akan dibelanjakan dalam tempoh dua tahun. - Bernama

Malaysia komited sedia iklim pelaburan lebih baik: Muhyiddin

TOKYO: Kerajaan Malaysia komited menyediakan persekitaran yang lebih baik untuk menarik pelaburan asing termasuk dari Jepun, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Malaysia kini berada dalam kedudukan lebih baik dalam sektor perindustrian dengan fokus untuk menarik kemasukan pelabur berkualiti.

Beliau berkata, ia termasuk pelaburan berteknologi tinggi, berintensifkan modal dan menumpukan pembangunan dan penyelidikan.

Beliau berkata demikian ketika pada majlis persidangan meja bulat bersama ketua industri Jepun di sini, hari ini.

Muhyiddin tiba di Jepun bagi misi pelaburan

TOKYO: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini hari ini bagi melakukan lawatan empat hari dalam misi pelaburan khusus ke Jepun.

Misi yang bertujuan menarik pelaburan Jepun di dalam bidang elektronik canggih, teknologi automotif hijau, peralatan dan komponen pengangkutan, petrokimia dan produk kimia serta produk perubatan dan makanan.

Beliau dijadual menemui dan mengadakan pertemuan berasingan dengan Presiden dan Pengerusi beberapa syarikat Jepun di dalam usaha untuk menarik peningkatan pelaburan ke Malaysia.

Muhyiddin dan isterinya, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman, disambut semasa tiba di hotel oleh kakitangan Kedutaan Malaysia, kakitangan Konsulat Jeneral dan para pegawai Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

Selain Tokyo, yang dikenali sebagai salah satu daripada tiga "pusat kuasa" ekonomi dunia bersama-sama dengan London dan New York, Muhyiddin akan turut melawat Osaka, yang dari segi sejarahnya merupakan pusat komersial Jepun dan pusat kawasan metropolitian kedua terbesar Jepun, iaitu Keihanshin.

Ini lawatan kerja pertama beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. - Bernama

Mangsa banjir di Pahang berkurangan

KUANTAN: Mangsa banjir di Pahang terus berkurangan kepada 517 orang yang ditempatkan di sembilan pusat pemindahan di dua daerah yang masih terjejas akibat banjir, pagi ini.

Jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir negeri berkata, jumlah mangsa banjir di Kuantan seramai 386 orang daripada 83 keluarga masih ditempatkan di lapan pusat pemindahan.

"Sehingga 9 pagi tadi lapan pusat pemindahan yang masih dibuka ialah balairaya Kampung Pahang, Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar, Dewan Orang Ramai Kampung Semangat, Sekolah Kebangsaan Pandan, balairaya Kampung Soi, Sekolah menengah Gudang Rasau, Dewan Orang Ramai Sri Damai dan Surau Kampung Sri Melati," katanya.

Katanya mangsa banjir di daerah Bera pula masih kekal 131 orang daripada 30 keluarga dari Kampung Paya Tateh yang ditempatkan di Kompleks Rakan Muda Kerayong. - Bernama