Followers

Wednesday, March 17, 2010

Pendidikan seks: Jawatankuasa ditubuhkan dapatkan pandangan pelbagai pihak

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini berkata satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak berhubung polisi pendidikan seks di sekolah di negara ini.

Beliau berkata, jawatankuasa itu perlu dianggotai pakar dalam bidang pendidikan seks, biologi dan hal-hal yang berkaitan.

"Mungkin kita boleh mengambil sedikit contoh daripada apa yang berlaku di setengah-setengah negara yang sudah memperkenalkan (polisi ini) dan juga pakar yang ada di kementerian," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk pembangunan sukan di sekolah di bangunan Parlimen di sini. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, isu pendidikan seks di sekolah telah dibincangkan oleh banyak pihak.

"Cuma kementerian yang belum lagi membuat keputusan kerana kita faham bahawa ia adalah suatu perkara yang agak besar dan dinanti bukan saja oleh kementerian tetapi pelajar, ibu bapa dan masyarakat. Oleh itu, ia adalah satu perkara yang perlu kita halusi semasak-masaknya.

"Jadi, saya bercadang untuk menubuh satu jawatankuasa untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak yang setakat ini (hanya menyuarakannya) kepada media saja, ada pakar kata bagus, ada yang kata tak bagus, ada yang kata sudah sampai masanya, ada yang bimbang macam mana cara...jadi hal-hal sebegini kita kena ambil kiralah sebelum kita putuskan," katanya. - Bernama

Peguam Negara, KPN perlu segerakan siasat isu perkahwinan bawah umur: Shahrizat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah menghantar surat kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya menjalankan siasatan terhadap isu perkahwinan bawah umur yang membabitkan kanak-kanak berusia 11 tahun di Kelantan, baru-baru ini.

Menterinya, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, beliau juga berharap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dapat menjalankan siasatan segera terhadap kes berkenaan dan mengambil tindakan secepat mungkin sekiranya wujud kesalahan yang membabitkan pelanggaran undang-undang.

Beliau berkata demikian di Lobi Parlimen di sini, sebentar tadi.

Najib gesa rakyat tidak prejudis, berpegang pada Gagasan 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu rakyat Malaysia mencari titik persamaan serta tidak prejudis antara satu sama lain dengan berpegang pada Gagasan 1Malaysia.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kapit, Alexander Nanta Linggi.

Dalam soalannya, ahli Parlimen itu bertanyakan kepada Perdana Menteri sejauh manakah Gagasan 1Malaysia berjaya menyatu padukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama ketika in

Chile dilanda gegaran susulan pada magnitud 6.7

WASHINGTON: Gegaran susulan pada magnitud 6.7 menggegarkan pesisir pantai Chile, hari ini, iaitu 86 kilometer dari bandar Concepcion, di mana bandar terbabit antara paling teruk dilanda gempa bumi pada magnitud 8.8, bulan lalu.

Agensi Kajiselidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), berkata gempa terbaru berlaku pada kedalaman 35 kilometer, pada jam 2.21 pagi tadi.

Bagaimanapun, katanya lagi, tiada amaran tsunami dikeluarkan. “Tidak ada ancaman kemusnahan teruk akibat tsunami berlaku, berdasarkan sejarah gempa bumi dan data tsunami,” kata pejabat pemantauan bencana itu.

“Bagaimanapun, gempa bumi pada saiz itu kadang kala mampu mewujudkan tsunami tempatan yang boleh membawa kepada kemusnahan,” tambahnya lagi. - AFP