Followers

Wednesday, September 2, 2009

Sabah&Sarawak: Penubuhan konsortium bela nasib pekebun kecil

Pelbagaikan kegiatan perkongsian ekonomi seperti dicadangkan Perdana Menteri

KOTA KINABALU: Nasib pekebun kecil getah dan kelapa sawit di Sabah diyakini lebih terjamin menerusi penggabungan tiga agensi pertanian terbesar negara iaitu Felda Berhad, Felcra Berhad dan Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bagi mewujudkan konsortium menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi secara perkongsian seperti dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Yang Dipertua Yayasan Awadnir, Awadnir Matanggal, berkata ramai pekebun kecil hidup miskin kerana bergantung kepada penjualan hasil kelapa sawit dan getah kepada orang ketiga yang membelinya pada harga rendah.

Pada masa sama, katanya, kebun kecil dikesan tidak produktif untuk membebaskan keluarga daripada belenggu kemiskinan kerana pengeluaran sekadar cukup makan.

"Kewujudan konsortium akan memudahkan pekebun kecil bergabung dengan pekebun lain dan tidak perlu menjual hasil kebun mereka kepada pihak ketiga yang ada ketikanya mencekik darah.

"Kami harap cadangan ini dapat dilaksanakan segera bagi membela nasib pekebun terutama di luar bandar dan pedalaman Sabah," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Ahad lalu, Najib mencadangkan tiga agensi pertanian terbesar negara iaitu Felda, Felcra dan Risda bergabung mewujudkan konsortium bagi menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi secara perkongsian, sekali gus meningkatkan pendapatan peneroka dan pekebun kecil.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah meminta ketua eksekutif dan pengerusi ketiga-tiga agensi itu menemuinya bersama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal bagi membincangkan bagaimana gabungan dan perkongsian itu boleh dilaksanakan.

Awadnir yang juga Yang dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Sabah berkata, berdasarkan maklum balas di beberapa kampung di luar bandar Sabah seperti Kota Marudu dan Pitas, ramai pekebun kecil getah dan kelapa sawit mahu penubuhan konsortium itu disegerakan.

Katanya, mereka yakin ekonomi lebih terjamin menerusi kewujudan konsortium berbanding kaedah pertanian secara tradisional sekarang.

Beliau berkata, beberapa pekebun kecil yang ditemui sedia bergabung dengan syarat mendapat manfaat daripada operasi konsortium terbabit.

Sementara itu, Ahli Parlimen Silam, Salleh Kalbi, berkata penubuhan konsortium berkenaan mampu mewujudkan jaringan kerjasama ekonomi dan peluang pekerjaan.

Katanya, idea penggabungan berkenaan memanfaatkan rakyat dengan mengambil kira fungsi dan hala tuju ketiga-tiga agensi berkenaan selepas puluhan tahun penubuhannya.

"Ia meliputi manfaat konsortium itu kepada golongan peneroka, projek yang bakal dilaksanakan dan mengelak pertindihan fungsi tiga agensi berkenaan," katanya.

Sabah & Sarawak: 'Raja rimba' tumpas

Perbuatan curi kulit tangar didalangi warga asing kaut untung

KUDAT: Selama tiga bulan, mereka berleluasa bebas bergerak menjadi 'raja rimba' yang licik mengikis kulit kayu tangar di kawasan hutan bakau sepanjang pesisir laut di Pitas, dekat sini, sambil membayangkan keuntungan bakal diraih.

Ada pokok yang ditebang, ada yang sekadar diambil kulitnya. Difahamkan, 100 kilogram (kg) kulit kayu tangar dijual RM400 di pasaran tempatan dan di negara jiran, ia dijual RM1 bagi setiap kg dan digunakan sebagai bahan dalam minuman keras dikenali sebagai tanduay, cat, pewarna dan produk minuman.

Lebih menyakitkan hati, dalang perbuatan mencuri kulit tangar itu adalah warga asing yang menyusup masuk semata-mata untuk mengikis khazanah bumi Sabah dan membawanya keluar ke negara asal secara sembunyi.

Di sebalik `kegigihan' mereka mengaut hasil bumi dipelihara di Sabah, sekumpulan anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) Kudat nyata tidak kurang cekalnya dalam mengesan penjenayah itu.

Cubaan demi cubaan, intipan demi intipan, akhirnya bertemu juga buku dengan ruas apabila lima pencuri kayu tangar memasuki perangkap pihak berkuasa.

Usaha berbulan-bulan memantau pergerakan penjenayah terbabit menerusi rondaan 'Op Barracuda' menemui kemuncak pada awal pagi 20 Ogos lalu apabila PGM Sabah berjaya menahan lima lelaki pendatang tanpa izin bersama empat tan kulit tangar sudah siap diikat, dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Ia adalah hasil serbuan ke atas sebuah pondok dan bot di kawasan bakau Sungai Bongkol, Pitas.

Pegawai Pemerintah PGM Kudat, Asisten Superintendan Mohd Nazri Ibrahim, mengakui usaha menangkap kumpulan itu bukan mudah kerana intipan dan pemantauan perlu dilakukan terlebih dulu.

"Tangkapan kali ini adalah percubaan ketiga kami dan Alhamdulillah, ia membuahkan hasil. Sebelum ini, kami cuma dapat merampas kulit tangar tetapi gagal menangkap suspek.

"Untuk Ops Barracuda, kami menjalankan intipan selama 10 hari dan menetapkan modus operandi penjenayah dengan teliti kerana kawasan laluan bakau lazimnya kecil dan hanya memuatkan bot kecil.

"Oleh kerana bot PGM besar, sukar untuk kami memasuki kawasan lebih dalam. Penjenayah itu menggunakan bot kecil, sekali gus pantas melarikan diri apabila dikejar.

"Kita membuat serbuan pada awal pagi kerana sebelum ini dua operasi dijalankan pada waktu malam memudahkan suspek menyedari kehadiran kami kerana ia adalah waktu mereka berehat," katanya ketika dihubungi Berita Harian, baru-baru ini.

Semua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 30(1)(g) Enakmen Hutan kerana memiliki hasil hutan secara haram.

Mohd Nazri berkata, tangkapan berkenaan adalah yang pertama tahun ini dan operasi dijalankan bagi membanteras kegiatan mencuri kulit tangar, terutama di kawasan Sungai Kanibungan dan kawasan berpaya oleh pendatang tanpa izin.

Katanya, tangkapan bagi kes sama turut dilakukan tahun lalu oleh PGM atau dengan kerjasama Jabatan Perhutanan.

"Kegiatan mencuri kulit tangar bukan hanya di Kudat tetapi turut dikesan di kawasan hutan bakau Sandakan. Siasatan awal mendapati semua suspek berasal dari Filipina dan kulit kayu tangar ini dipercayai untuk dibawa pulang ke negara asal mereka," katanya.

Beliau berkata, lazimnya mereka masuk secara berkumpulan dari negara asal menggunakan bot kecil dengan menjadikan kawasan perairan Kanibungan di Pitas antara lokasi utama.

Beliau berkata, mereka dikesan mengumpulkan kulit tangar kira-kira seminggu sebelum menyelinap keluar dari Sabah untuk menjual hasil yang dicuri itu dengan untung lumayan.

Mengenai laluan lazim digunakan pencuri, Mohd Nazri berkata, kumpulan berkenaan bergerak dari Cagayan (Filipina) sebelum melalui perairan Jambongan, Beluran di Sandakan dan seterusnya memasuki perairan Kanibongan menaiki bot kecil tetapi laju supaya mudah melarikan diri.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Perhutanan berkata, seramai 1,235 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan membabitkan hutan sepanjang 2002 hingga 2008 dan 90 orang setakat tahun ini.

Sabah&Sarawak: Prebet sapu gugat rezeki pemandu teksi

Kenderaan tanpa permit pikat pengguna kerana kadar tambang lebih murah

LAHAD DATU: Bilangan 'prebet sapu' (teksi tanpa permit) atau dikenali sebagai 'koreng-koreng' yang beroperasi di daerah ini dikesan hampir sama banyak dengan pengangkutan awam berpermit, sekali gus menyukarkan pemandu teksi mencari rezeki.

Pemandu teksi, Lengkuarang Bapasiwa, 50, mendakwa kira-kira 1,000 teksi beroperasi di sini dengan 500 daripadanya adalah prebet sapu.

Katanya, kewujudan kenderaan awam yang beroperasi secara haram itu menyebabkan mereka sukar mencari rezeki kerana kadar tambang yang dikenakan prebet sapu lebih murah.

"Ramai pemandu teksi bakal kehilangan pendapatan kerana sukar membayar sewa bulanan kepada pemilik kenderaan awam itu," katanya kepada Berita Harian di sini, kelmarin.

Sehubungan itu, beliau meminta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) negeri dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) daerah meningkatkan operasi memburu dan mengambil tindakan kepada pemilik prebet sapu terbabit.

Katanya, memandu teksi adalah punca pendapatan utama bagi membolehkan mereka menghantar anak ke sekolah dan perbuatan prebet sapu itu sedikit sebanyak menjejaskan sumber rezeki.

Sementara itu, seorang pemilik prebet sapu, Manuan Jakusa, 48, mendakwa operasi teksi berpermit di daerah berkenaan dikuasai pendatang tanpa izin yang menyewa permit atau teksi daripada penduduk tempatan.

Katanya, permit pengangkutan awam sukar diperoleh dan permohonan mendapatkannya kerap ditolak, menyebabkan mereka tiada pilihan kecuali beroperasi tanpa permit.

"Saya dan beberapa penduduk tempatan pernah beberapa kali memohon permit teksi namun tidak diluluskan LPKP, oleh itu terpaksalah kami menjadi prebet sapu.

"Kami tidak ganggu orang dan mahu mencari rezeki secara halal untuk menyara keluarga sama seperti pengusaha teksi berpermit. Kami juga memberikan perkhidmatan dengan jujur," katanya.

Seorang pengguna, Meriam Numkak, 43, dari Sandakan mendakwa kerap ditipu pengusaha teksi berpermit dengan mengenakan tambang mahal biarpun jarak dekat.

Beliau yang bertugas di sebuah syarikat swasta di Libaran kerap berulang-alik ke daerah ini atas urusan rasmi pejabat dan pernah dikenakan caj RM100 selepas pemandu teksi membawanya berpusing-pusing selama sejam di sekitar bandar, kononnya bagi mengelak kesesakan jalan dan jalan sedia ada rosak teruk selepas mengetahui beliau dari daerah lain.

"Ada kalanya prebet sapu lebih jujur dan tidak mengenakan caj mencekik darah sehingga menyusahkan pengguna menyebabkan saya memilih pengangkutan awam berkenaan biarpun terdedah kepada bahaya pemandu ditahan pihak berkuasa LPKP dan JPJ," katanya.

Jenazah kakak sulung Dr Mahathir selamat dikebumikan

ALOR SETAR: Jenazah kakak sulung bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu Rafeah yang meninggal dunia malam tadi, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Akar Peluru, di sini kira-kira jam 11 pagi tadi.

Sebelum itu, jenazah beliau dibawa dari rumah anak saudaranya, Datin Yasmin Mashahor di Jalan Pegawai untuk disembahyangkan di Masjid Al-Ghufran di Akar Peluru.

Rafeah, 94, dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah (KMC), petang semalam selepas mengadu sukar bernafas, menghembus nafas terakhir kira-kira jam 9.45 malam tadi.

Allahyarham, anak sulung kepada sembilan beradik, meninggalkan seorang anak serta empat cucu.

Turut kelihatan di kediaman Yasmin ialah Tun Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Datuk Mukhriz Mahathir serta Datin Paduka Marina Mahathir.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, antara yang turut hadir untuk memberikan penghormatan terakhir. - Bernama

H1N1: Tiada kematian, 87 pesakit baru dikesan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini melaporkan tiada kematian terbaru dikesan akibat jangkitan influenza A(H1N1).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Seri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sehingga jam 9 pagi tadi, 87 pesakit baru dengan tanda-tanda influenza-like illness (ILI) dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, katanya, 160 kes sudah didiscaj menjadikan baki pesakit ILI kepada 1,238 kes yang dirawat di 106 hospital termasuk 12 hospital swasta di seluruh negara.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 264 pesakit atau 21.3 peratus disahkan positif H1N1.

Daripada 264 kes yang disahkan H1N1, 39 kes ditempatkan di ICU, di mana dua kes adalah kemasukan baru, sementara sembilan lagi kes sudah dikeluarkan dari ICU, katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang disiarkan di laman web Kementerian Kesihatan di sini, hari ini.

Daripada 39 kes yang sedang dirawat di ICU, 29 (74 peratus) mempunyai faktor risiko.

Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah berdasarkan penyakit kronik (11), obesiti (8), kanak-kanak/bayi (4), post-natal/hamil (2), penyakit jantung (2) dan asma (2).