Followers

Tuesday, July 6, 2010

PKR cabar undang-undang jika terus terbit Suara Keadilan: TPM

MUAR: Timbalan Perdana Menteri menyifatkan tindakan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berkeras untuk menerbitkan akhbar lidah rasmi parti itu walaupun permitnya tidak diperbaharui oleh pihak berkuasa, sebagai suatu usaha mencabar undang-undang negara.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tidak ada pihak yang terkecuali dari undang-undang negara ini.
"Hendak langgar, engkar dan mencetak dengan tiada kebenaran, sudah tentu hendak mencabar (undang-undang), nak tunjuk siapa lebih besar dan siapa lebih berani," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat tertutup pembangunan Parlimen Pagoh di sini, hari ini.
Beliau percaya, pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap pihak yang melanggar undang-undang selepas melakukan pertimbangan yang teliti terhadap perkara itu.

Muhyiddin berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Strategi PKR, Tian Chua, bahawa parti itu tetap akan meneruskan penerbitan akhbar Suara Keadilan walaupun permohonannya untuk memperbaharui permitnya ditolak oleh KDN.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata, perkara berkenaan permit akhbar Suara Keadilan adalah satu isu undang-undang dan tidak ada kena mengena dengan politik.

"Ini bukan soal politik, tetapi membabitkan undang-undang tetapi Keadilan mahu menjadikan ia soal politik kerana ia adalah pembangkang," katanya.
Mengenai permohonan MCA sebagaimana yang disuarakan Presidennya, Datuk Dr Chua Soi Lek, bagi peruntukan RM1 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMKe-10) bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Muhyiddin berkata perkara itu masih dibincangkan.

"Kita (kementerian dan MCA) telah berbincang tetapi masih belum selesai," katanya sambil menambah Kementerian Pelajaran tidak mengetahui peruntukan yang bakal diterimanya di bawah rancangan pembangunan lima tahun itu.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata, taklimat hari ini adalah mengenai usaha untuk membangunkan Parlimen Pagoh di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan dan RMKe-10.

Katanya, tanah seluas 4,000 hektar di Pagoh yang dimiliki oleh syarikat Sime Darby akan dijadikan hab pendidikan, menempatkan beberapa institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara. - BERNAMA

Media perlu bina akal budi rakyat: Najib

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini menggesa pengamal media di negara ini supaya tidak merosakkan akal budi dan pemikiran masyarakat dengan menyiarkan cerita rekaan, pembohongan, fitnah ataupun dusta.

Najib berkata, secara peribadi beliau sendiri boleh menerima jika berita yang disiarkan media massa adalah perkara benar, walaupun laporan itu menyentuh kelemahan beliau sebagai perdana menteri.
"Saya boleh terima apa sahaja cerita, asalkan ceritanya benar, ada kredibiliti dan bukannya rekaan, fitnah. Jangan reka cerita, jangan buat pembohongan, bidaah (dusta). Felda bankrap la...nak sebut kelemahan saya, saya boleh terima tapi jangan nak kata sesuatu yang tidak benar," katanya ketika berucap sempena lawatan beliau ke Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd di sini, hari ini.
Najib berkata, cerita atau laporan yang mengandungi unsur sedemikian hanya akan memberi padah buruk dan tidak akan boleh membina masyarakat Malaysia yang kuat.

"Kalau bangunan rosak, jalan rosak kita boleh baiki, tetapi kalau rosak akal budi, nilai masyarakat...akan hanya bawa padah.

"Kita tidak mungkin akan menjadi masyarakat yang kuat dan hebat. Jadi media boleh memainkan peranan untuk membina akal budi, nilai murni dan daya keintelektualan masyarakat," katanya. - BERNAMA

Semua jabatan kerajaan sedia khidmat online akhir tahun: KSN

PUTRAJAYA: Kerajaan mensasarkan menjelang akhir tahun ini bagi semua jabatan kerajaan menggunakan perkhidmatan secara dalam talian (online) bagi perkhidmatan yang bersesuaian, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau berkata, setakat ini 50 peratus sahaja jabatan kerajaan yang memperkenalkan perkhidmatan secara online dan yakin sasaran itu tidak mustahil untuk dicapai.
"Satu lagi cabaran yang perlu dihadapi jabatan kerajaan ialah bagaimana untuk meningkatkan keyakinan masyarakat bagi menggunakan perkhidmatan dalam talian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd Sidek berkata, masih ramai anggota masyarakat cenderung untuk menggunakan proses manual berbanding perkhidmatan online meskipun sistem itu dapat menjimatkan tenaga dan masa.

"Misalnya perkhidmatan yang disediakan Jabatan Tanah dan Galian untuk membayar cukai tanah terlalu sedikit yang menggunakan perkhidmatan dalam talian kerana lebih rasa yakin untuk menggunakan cara manual," katanya.

Terdahulu Mohd Sidek menjalankan proses bancian di kediamannya secara online dan merasakan proses itu lebih mudah berbanding secara manual sebelum ini, kerana ia boleh dibuat walau di mana seseorang itu berada dengan syarat perlu mempunyai kod akses.

Banci Penduduk dan Perumahan 2010 bermula hari ini hingga 22 Ogos ini.
Ia adalah satu usaha kerajaan untuk mengetahui bilangan penduduk Malaysia ketika ini dan jangkaan akan datang untuk tujuan perancangan kemudahan bagi rakyat.

Proses bancian penduduk kali ini menggunakan tiga kaedah iaitu temu ramah secara bersemuka, drop off and pick updan secara online dikenali e-Census di laman web www.statistics.gov.my.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof, berkata keputusan awal bancian daripada aspek gender dijangka dapat diperoleh pada November ini manakala keputusan lengkap termasuk umur dan pendapatan hanya boleh diperoleh dalam tempoh dua hingga tiga tahun. - BERNAMA

Malaysia meterai konvensyen hak OKU, kanak-kanak dan wanita

M'SIA TANDATANGANI KONVENSYEN HAK OKU 

KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini menandatangani instrumen ratifikasi Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (OKU) dan penarikan balik reservasi terhadap beberapa artikel dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak serta Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita.
Pemeteraian instrumen itu yang disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, memberi gambaran jelas komitmen kerajaan terhadap golongan OKU, kanak-kanak dan wanita tidak diabaikan.
Beliau berkata, konvensyen berkaitan dengan OKU itu menggariskan lapan prinsip umum, termasuk sikap hormat dan hidup berdikari, tiada diskriminasi serta penyertaan penuh dan efektif dalam masyarakat.

"Harapan kami begitu tinggi supaya ia dapat memberi perubahan dalam serba-serbi kehidupan OKU di negara ini," katanya ketika berucap di majlis itu di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Luar, Datuk Richard Riot Jaem.

Pada majlis itu, Shahrizat menyerahkan instrumen konvensyen berkenaan kepada Riot untuk dihantar ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRPD) bagi tindakan selanjutnya.
Mengenai penarikan balik reservasi beberapa artikel dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, Shahrizat berkata kerajaan akan memberi kebebasan kepada kanak-kanak untuk bersuara dan memberi hak kepada mereka untuk berpersatuan dan berhimpun secara aman.

Katanya, langkah itu seiring dengan pengiktirafan terhadap hak kanak-kanak sebagai pemimpin masa depan dan juga penerus bangsa.

Selain itu, kerajaan akan menetapkan umur minimum perkahwinan wanita serta mewajibkan pendaftaran perkahwinan, menghapuskan prejudis dan adat resam yang mempunyai unsur diskriminasi terhadap wanita dan menekankan peluang bagi wanita memegang jawatan dan menjalankan tugas awam.

Beliau berkata, dengan pelantikan dua wanita sebagai hakim syarie baru-baru ini membuktikan langkah positif kerajaan dalam memartabatkan wanita untuk memegang jawatan penting.

"Bila Kabinet bersetuju terhadap Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita, kerajaan mengambil tindakan dengan melantik dua hakim mahkamah syariah. Ini amat memberi life atau meaning," katanya. - BERNAMA

Tren elektrik KL-Ipoh beroperasi bulan ini: KTMB

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang dijangka menjimatkan masa perjalanan antara Ipoh ke Kuala Lumpur daripada tiga jam kepada dua jam akan beroperasi pertengahan bulan ini.
Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr Aminuddin Adnan, bagaimanapun tidak menyatakan tarikh pelancaran perkhidmatan yang bergerak pada kelajuan 140 kilometer sejam (km/j) itu.
Beliau berkata, KTMB mensasarkan pengguna daripada golongan profesional dan ahli perniagaan, selain pengguna pengangkutan awam sedia ada.
"Dengan kelajuan yang tinggi 140km/j, kita akan mengurangkan masa perjalanan dan menjimatkan masa. Perkhidmatan pramugari dan pramugara yang disediakan dapat memberi keselesaan dan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna.

"Pada masa akan datang, kami akan sediakan wifi dan kami sedang mendapatkan 'service provider' untuk menyediakan perkhidmatan itu," katanya.

Buat permulaan, perkhidmatan ETS akan beroperasi dari Kuala Lumpur ke Ipoh dan ia akan diperluaskan ke Seremban.

Aminuddin berkata, lima set tren yang telah menjalani ujian statik merangkumi sistem enjin serta kelengkapan lain itu, akan menyediakan perkhidmatan 16 perjalanan satu hari, iaitu lapan perjalanan pergi dan lapan perjalanan balik dari Kuala Lumpur ke Ipoh.
Beliau berkata, operasi ETS pula akan bermula seawal jam 5 pagi, dan tren terakhir adalah pada jam 11 malam.

"Mengenai harga, kami masih menunggu kelulusan daripada kementerian pengangkutan dan kami mensasarkan harga mungkin dalam lingkungan RM30 hingga RM35 untuk satu perjalanan," katanya.

Aminuddin berkata, KTMB telah menyediakan sistem penyelenggaraan yang lebih terancang supaya ia tidak mengalami masalah yang sama seperti perkhidmatan tren sebelum ini.

"Sistem elektrik ini lebih senang diselenggara. Kami harap dapat sediakan perkhidmatan yang cekap dan tidak akan menghadapi masalah seperti yang kita hadapi untuk perkhidmatan komuter dan inter-city," katanya.

Setiap unit tren dilengkapi kemudahan litar tertutup pada setiap gerabak bagi mengawasi keselamatan penumpang, selain boleh membawa 350 penumpang pada satu-satu perjalanan.

Syarikat telah memulakan ujian dua set pertama ETS yang diserahkan pada Disember tahun lalu dan Januari tahun ini yang terdiri daripada tren enam koc setiap satu daripada pengeluarnya, Hyundai Rotem di Changwon, Korea Selatan. - BERNAMA

Sabah & Sarawak: 20 sen sebatang

Penjual rokok murah kuasai kaki lima pekan Keningau

KENINGAU: "Dua puluh sen sebatang. Siapa cepat dia dapat, kalau lambat jangan menyesal. Murah saja bos!"

Itulah ayat yang kerap dilaung penjual rokok murah dipercayai diseludup kepada orang ramai yang lalu lalang di kaki lima kedai pekan ini tanpa mengira tua atau muda, kanak-kanak atau dewasa, lelaki atau wanita.
Berdasarkan pemerhatian Berita Harian, tawaran itu kerap memikat golongan belia dan dalam sekelip mata, wang dan rokok bertukar tangan.
Lokasi yang kerap menjadi pilihan penjaja rokok – kebanyakannya remaja itu adalah lorong berhampiran tapak pasar malam, kaki lima premis menjual makanan, laluan ke pasar raya dan perhentian bas.

Ada juga bertindak lebih berani dengan menghampiri pelanggan yang menikmati juadah di restoran.

Keadaan itu tidak disenangi orang ramai kerana bau badan penjual rokok jalanan itu serta-merta boleh mematikan selera, selain dianggap kurang sopan di kalangan mereka yang membawa anak kecil bersama.

Penjual rokok murah didapati beroperasi mulai awal pagi hingga larut malam kerana ada yang melebarkan kawasan jualan hingga ke pusat hiburan.
Seorang pengunjung, Rashid Mahadi, 45, berkata kegiatan berkenaan perlu dibanteras oleh pihak berkuasa termasuk Majlis Daerah Keningau (MDK) kerana dilihat semakin membimbangkan.

"Penjualan rokok seperti itu akan menyebabkan remaja terpengaruh untuk merokok kerana harganya murah berbanding di kedai.

"Anggota penguatkuasa MDK ada buat operasi mengesan kumpulan ini tetapi penjual rokok murah terus berleluasa seolah-oleh mahu mencabar undang-undang," katanya.

Penduduk tempatan, Rayner Tangkang, 23, berkata segelintir pelajar memakai seragam sekolah dikesan tidak malu membeli rokok 20 sen dan merokok secara terbuka.

"Kita mesti melihat tindakan penjual rokok jalanan ini sebagai ancaman kepada masyarakat. Hari ini rokok, esok lusa entah apa pula boleh berlaku," katanya.

Seorang pengusaha restoran yang enggan namanya disiarkan, mengakui ada pelanggan cenderung membeli rokok dari penjaja jalanan berbanding yang dijual secara sah.

"Saya mematuhi larangan penjualan rokok kepada pelajar dan kanak-kanak tetapi penjaja jalanan mana fikir itu semua. Mereka cuma tahu rokok mesti habis dijual dan tidak mengira siapa yang menjadi pelanggan.

"Difahamkan, ada penjaja jalanan turut menjual rokok secara borong kepada pelanggan secara tertutup dengan menggunakan plastik hitam sebagai taktik dikesan pihak berkuasa.

"Kita harap masalah ini dapat ditangani segera. Ini bukan soal siapa untung atau siapa rugi tetapi lebih kepada pematuhan undang-undang, selain mengurangkan amalan merokok terutama di kalangan remaja dan belia," katanya.

Kerajaan awasi pelaksanaan RMKe-10: Najib

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan akan memastikan semua langkah yang digariskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMKe-10) dilaksanakan dan diawasi dengan teliti bagi mengekalkan lajakan pertumbuhan ekonomi.

"Sesetengah projek membabitkan kerajaan, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ini adalah projek utama yang menyediakan rangsangan dan meningkatkan permintaan domestik.
"Jika berlaku sebarang kemelesetan di segi persekitaran luaran di dalam separuh kedua tahun ini, kita perlu memastikan permintaan domestik sangat tinggi akan terus kekal agak kukuh dan bertenaga di negara ini," katanya semasa berucap di majlis Perundingan Bajet 2010 di sini hari ini.
Najib berkata, walaupun berlaku ketidaktentuan pada sektor luaran, ekonomi Malaysia terus berdaya tahan.

Katanya, ekonomi negara telah menunjukkan pemulihan yang kukuh dengan mencatatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 10.1 peratus pada suku pertama, iaitu yang tertinggi sejak suku pertama 2000. - BERNAMA

Umno bukan parti memuja pemimpin: Mustapa

JELI: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata Umno bukan sebuah parti primadona yang berkonsepkan pemujaan terhadap seseorang pemimpin tetapi berjuang atas dasar parti dan masa depan bangsa Melayu.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata parti yang berjuang atas dasar pemujaan terhadap seseorang pemimpin tidak akan kekal lama.
"Malah, ia akan mudah hilang pengaruh apabila tiba masanya menyebabkan anggotanya berpaling tadah kepada Umno atau Barisan Nasional (BN)," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Umno empat peringkat di Kompleks Umno Bukit Nangka, dekat sini, malam tadi.
Mustapa yang juga Ketua Umno Bahagian Jeli, berkata gabungan parti dalam pakatan pembangkang, seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP adalah rapuh dan bukan ikatan yang kuat.

"Tetapi oleh kerana rakyat terlalu terpengaruh dengan emosi politik ketika itu (pilihan raya umnum 2008) menyebabkan rakyat menolak Umno atau BN.

"Tetapi kini keadaan ternyata berubah apabila ramai pemimpin atau wakil rakyat daripada parti pakatan pembangkang itu mula berpaling tadah dan hilang kepercayaan dengan pemimpin tertinggi mereka," katanya. - Bernama

Bajet 2011 tetapkan rentak transformasi ekonomi: Najib

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata Bajet 2011, yang akan dibentangkan pada 15 Oktober, menetapkan rentak transformasi ekonomi ke arah ekonomi maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.
"Ini akan dicapai melalui empat tonggak agenda transformasi negara, iaitu Konsep 1Malaysia, Program Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi (MBE) dan Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10), katanya semasa berucap di Perundingan Bajet 2011 di sini.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata bajet kali ini akan mengaktifkan Lima Teras Strategik yang digariskan di dalam RMK10.
"Ini membabitkan mentransformasikan Malaysia menggunakan kaedah Bidang Hasil Utama Nasional (NKRA), meningkatkan pertumbuhan ekonomi, yang merangkumi pembangunan sosio ekonomi, memajukan dan mengekalkan asas bakat dunia pertama serta meningkatkan kualiti kehidupan," katanya.

Untuk mencapai sasaran pertumbuhan itu, Najib berkata sektor swasta akan menjadi pemacu utama manakala kerajaan memainkan peranan pemudahcara.

"Kita perlu bekerjasama sebagai satu pasukan, di dalam semangat 1Malaysia, untuk merangsang ekonomi negara."

"Masalah semasa tidak dapat diselesaikan menggunakan pendekatan lama. Kita perlukan strategi yang berani, kreatif, inovatif dan kompetitif untuk membawa kita ke paras pembangunan lebih tinggi. Kita perlu mengubah cara kita berfikir untuk mendapatkan penyelesaian untuk menyelesaikan masalah kita. Satu perubahan cara berfikir perlu dilakukan."
Najib berkata tema Perundingan Bajet tahun ini ialah Bersama Berusaha Mencapai Ekonomi Berpendapatan Tinggi.

"Kita telah berjaya mengharungi krisis ekonomi. kita tidak akan berjaya tanpa keyakinan sektor swasta dan usaha anggota perkhidmatan awam melaksanakan pakej rangsangan serta sokongan rakyat."

"Marilah kita berusaha lebih gigih dan bersama-sama memacu negara ini ke paras pertumbuhan lebih tinggi dan kemakmuran. Kita telah berjaya melaksanakannya sebelum ini dan saya berkeyakinan kita akan berjaya melakukannya sekali lagi dan dengan hasil yang lebih baik."

Proses perundingan bajet ini bermula dengan permintaan bagi mendapatkan memorandum dari komuniti perniagaan, NGO, badan profesional, akademia dan kumpulan pemikir untuk mendapatkan pandangan masing-masing.

Najib berkata kementeriannya telah menerima 64 memorandum yang meliputi pelbagai spektrum makro, sektor dan isu sosial yang meluas. - BERNAMA

Israel kendurkan sekatan Gaza

KEREM SHALOM CROSSING, Israel: Israel mengendurkan sekatan terhadap Gaza membabitkan hampir semua barangan pengguna daripada bahan pencuci kepada kayu yang disekat sebelum ini.
Namun, disebabkan Israel akan terus menyekat perjalanan dan eksport dan mengehadkan import bahan binaan yang amat diperlukan, peraturan baru itu tidak mungkin memulihkan ekonomi wilayah itu yang musnah sejak peperangan tahun lalu.
Rumah Putih mengalu-alukan perubahan itu ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, terbang ke Washington untuk pertemuan dengan Presiden Barack Obama.
Peraturan baru itu dibuat berikutan tekanan masyarakat antarabangsa berikutan serangan Israel terhadap flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza akhir bulan lalu. - AP

Rumus fakta sejarah hubungan Melaka-China: Tun Khalil

MELAKA: Sejarawan dan tokoh akademik diminta membuat ketetapan berasaskan fakta sejarah yang tepat mengenai sejarah silam perhubungan antara Kesultanan Melaka dan Empayar China yang bermula pada awal kurun ke-15.
Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, berkata mereka perlu merumuskan tafsiran sejarah yang tepat mengenai hubungan Melaka dan Empayar China bagi memastikan perbezaan antara fakta atau sekadar rekaan semata-mata, bagi sesetengah perkara.
"Sejarah telah mencatatkan betapa Kerajaan Kesultanan Melaka telah mula menjalin hubungan dengan Kerajaan China semasa Dinasti Ming kira-kira 605 tahun lalu (1405) dan sejarah juga mencatatkan betapa Melaka pada masa itu kerapkali dikunjungi Laksamana Cheng Ho," katanya ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Cheng Ho Asia-Afrika di sini hari ini.
Seminar tiga hari yang dihadiri lebih 300 peserta itu adalah anjuran bersama Perbadanan Muzium Melaka, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Jabatan Muzium Malaysia, Persatuan Antarabangsa Cheng Ho dan Muzium Budaya Cheng Ho.

Mohd Khalil juga mengajukan pertanyaan kepada peserta seminar sama ada armada Cheng Ho benar-benar singgah di pelabuhan Melaka ketika itu kerana Melaka baru sahaja dibuka.

Oleh itu, beliau berharap melalui seminar itu, ia dapat mengumpul seberapa banyak fakta mengenai sejarah hubungan Kesultanan Melaka dan Empayar China.

Cheng Ho telah menjelajah hampir 30 buah negara dengan 200 kapal bersama 28,000 kelasi dan pelayarannya itu memberi kesan yang mendalam kepada sejarah maritim serta hubungan dua hala dan pertukaran kebudayaan antara China dengan negara yang beliau lawati termasuk Melaka. - BERNAMA