Followers

Monday, January 25, 2010

Ghazali Shafie main peranan besar reda Konfrontasi: Dr Mahathir

SINTOK: Bekas Menteri Dalam Negeri, Tun Ghazali Shafie, adalah seorang negarawan yang amat berjasa dan memainkan peranan yang cukup besar bagi meredakan ketegangan konfrontasi Malaysia dengan Indonesia, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Beliau orang yang berpengalaman luas dalam perkara berkaitan perhubungan luar. Kelebihannya kerana mengenali ramai orang dan pemimpin negara asing menjadi aset dalam usaha Malaysia menjalin hubungan antarabangsa," katanya selepas menyampaikan ucaptama bertajuk "Pendidikan Pada Masa Hadapan" pada Kolokium Pendidikan Kedah di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, hari ini.

Turut hadir pada program anjuran bersama Persatuan Pendidikan Negeri Kedah (Cerdik), College of Artsand Sciences UUM, Jabatan Pelajaran Kedah dan Majlis Guru Besar Kedah itu adalah isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr Nordin Kardi, Pengerusi Cerdik, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir, dan Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Nawawi Ahmad.

Dr Mahathir mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Semasa saya jadi Ahli Parlimen, beliau adalah Setiausaha Kementerian Luar. Bermula dari situ dia banyak bercakap dengan saya," kata Dr Mahathir yang menganggap Ghazali sebagai rakan yang banyak mengajarnya.

Ghazali, 88, meninggal dunia di kediamannya di Subang Jaya kira-kira 7.45 malam tadi. - Bernama

Semua pusat operasi banjir di Sabah diarah siap sedia

SANDAKAN: Semua Pusat Kawalan Operasi Banjir di daerah yang sering dilanda banjir di negeri ini diarahkan supaya bersiap sedia dan mengaktifkan pusat itu apabila keadaan memerlukan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, berkata langkah itu penting bagi memastikan pemantauan keselamatan dan bantuan makanan kepada mangsa banjir di kawasan mereka dapat dilakukan dengan cepat.

Katanya, dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa sekarang, agensi kerajaan negeri dan persekutuan yang terbabit perlu berjaga-jaga dan bersiap sedia bagi membantu penduduk kampung yang terjejas akibat banjir.

"Kita perlu memberikan khidmat yang terbaik bagi memastikan rakyat berada di dalam keadaan selamat dan mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku apabila berlaku banjir," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kepimpinan Pelajar dan Ceramah Keibubapaan di Sekolah Menengah Elopura Bestari di sini hari ini.

Beliau berkata, penduduk kampung di kawasan yang terjejas banjir juga diminta berpindah ke kawasan selamat atau ke pusat pemindahan banjir dan mengikut arahan pihak keselamatan jika mereka diarahkan untuk berpindah.

Katanya, ia perlu bagi memastikan pihak keselamatan dapat memantau keadaan keselamatan mereka dan memudahkan bantuan makanan diagihkan.

Ditanya mengenai kelewatan membina empat pusat penempatan mangsa banjir di Kinabatangan, Musa berkata beliau telah mengarahkan pegawai yang terbabit menyediakan laporan mengenai kelewatan pelaksanaan membina empat penempatan itu.

"Saya telah meminta pegawai berkenaan menyediakan laporan itu dan memberikan kepada saya kenapa pelaksanaan pembinaan empat penempatan baru itu lambat dimulakan," katanya.

Empat penempatan tersebut ialah di kampung Bukit Garam, Muhibbah, Mengaris dan Balat bagi menempatkan penduduk yang menghadapi masalah banjir setiap tahun. - Bernama

Jolokan 'King Ghaz' bukti Ghazali pemimpin hebat: TPM

KUALA LUMPUR: Jolokan "King Ghaz" terhadap bekas Menteri Dalam Negeri, Allahyarham Tun mohd Ghazali Shafie tepat bagi menggambarkan beliau sebagai pemimpin yang hebat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Allahyarham mempunyai sikap kepimpinan yang hebat dan sebab itulah beliau diberi jolokan "King Ghaz".

"Allahyarham juga adalah seorang yang tegas dan tidak suka berdolak-dalik," kata Muhyiddin yang pernah bertugas sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Luar semasa Ghazali menjadi Menteri Luar.

Muhyiddin berkata, sikap tegas itu bukan sahaja kepada penjawat awam tetapi kadang-kadang media juga kelu lidah untuk bertanya kerana takut dimarahi jika tidak mengetahui sesuatu isu.

Ghazali, 88, meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Subang Jaya pada 7.45 malam tadi.

Jenazahnya dikebumikan di Makam Pahlawan Masjid Negara hari ini. - Bernama

Jenazah Tun Ghazali Shafie selamat dikebumikan

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Dalam Negeri, Tun Ghazali Shafie, yang meninggal dunia semalam disemadikan di Makam Pahlawan di perkarangan Masjid Negara di sini hari ini kira-kira jam 2.30 petang.

Lebih 200 sanak saudara, kenalan dan dif kehormat hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Negara.

Antara dif kehormat ialah Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; dan beberapa menteri dan timbalan menteri Kabinet lain.

Ghazali, 88, meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Subang Jaya pada 7.45 malam.

Sebelum itu, jenazah dimandi, dikapan dan disembahyangkan di Masjid Al-Mujahiddin, Damansara Utama berhampiran rumah adik perempuan Allahyarham, Datin Yuhanie Shafie, 78, pada kira-kira jam 10 pagi.

Jenazah Allahyarham turut disembahyangkan selepas solat zohor pada jam 1.30 petang di Masjid Negara dengan diimamkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Suasana pilu menyelubungi Makam Pahlawan bila talqin dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syeikh Ismail Muhammad.

Anak saudaranya, Datuk Amin Raiffe Othman, yang mewakili anggota keluarga Ghazali, berkata beliau sekeluarga merakamkan penghargaan kerana diberi penghormatan pengkebumian Allahyarham di Makam Pahlawan.

"Saya mewakili anggota keluarga mengucapkan terima kasih dan penghargaan tinggi kami sekeluarga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan kerajaan kerana memberi penghormatan negara dengan pengkebumian di Makam Pahlawan," katanya kepada pemberita selepas upacara pengkebumian.

Mengenai cadangan Najib agar kerajaan melantik seseorang untuk menulis memoir Ghazali, beliau berkata keluarganya akan membantu mengumpul bahan untuk penghasilan memoir itu termasuk mendapatkan beberapa catatan yang pernah ditulis oleh Allahyarham.

"Kami akan bantu kerana dia (Tun Ghazali) ada tulis, catat dalam buku dia walau tidak complete (lengkap), kami akan bantu usaha membukukan supaya rakyat tahu keadaan dan contribution (sumbangan) yang orang lain tak tahu," katanya. - Bernama

Gegaran kecil di Batu Niah, Suai

KUALA LUMPUR: Gegaran kecil dilaporkan dirasai di Batu Niah dan Suai di Sarawak berikutan gempa bumi berskala rendah yang berlaku berhampiran Batu Niah pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gegaran berskala 3.2 Richter itu berlaku pada 7.47 pagi berpusat kira-kira 26 kilometer (km) dari Batu Niah, 90 km barat daya Miri dan 99 km di timur laut Bintulu.

Menurut kenyataan itu lagi sebelum ini gegaran lemah berskala 3.3 Richter pernah berlaku di kawasan itu pada 12.13 tengah hari 23 Disember tahun lalu. - Bernama