Followers

Friday, May 7, 2010

Mahkamah tolak permohonan isytihar PPSMI tidak sah

KUALA LUMPUR: Usaha empat pelajar untuk mendapatkan perisytiharan bahawa Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di sekolah sejak 2003 sebagai terbatal dan tidak sah, gagal apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan mereka.

Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh menolak dengan kos permohonan itu selepas mendengar penjelasan daripada kedua-dua pihak di dalam kamar.
Dalam prosiding ini, peguam Mohamed Hanipa Maidin mewakili empat pelajar terbabit dan Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan, mewakili pihak kerajaan.
Suzana yang ditemui pemberita berkata hakim memutuskan, dua surat pekeliling ikhtisas berhubung pelaksanaan PPSMI di sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan (Cina dan Tamil) adalah tidak bercanggah dengan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, peruntukan itu adalah berkenaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan di sekolah, bahasa Melayu masih kekal sebagai bahasa perantara.

Empat pelajar terbabit telah mengemukakan permohonan menerusi saman pemula yang difailkan pada 21 Januari 2006.

Mohammad Syawwaal Mohammad Nizar yang ketika itu pelajar tahun empat, mengemukakan permohonan melalui bapanya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, seorang jurutera yang juga bekas Menteri Besar Perak.
Selain Mohammad Syawwaal, pemohon terdiri daripada dua pelajar tingkatan tiga, Mohammad Fadzil Nor Mohd Rosni dan Nur Najihah Muhaimin serta Syazaira Arham Yahya Ariff, pelajar tingkatan empat, melalui bapa masing-masing.

Mereka menamakan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Pemohon dalam saman pemula antaranya mendakwa, hak mereka sebagai pelajar untuk mempelajari dua mata pelajaran itu dalam bahasa kebangsaan telah dinafikan dengan adanya dasar itu.

Sehubungan itu, mereka memohon agar mahkamah memerintahkan pihak responden menukar semula dasar itu menurut kehendak dan peruntukan Perlembagaan dan undang-undang bertulis.

Mereka memohon perisytiharan bahawa responden tiada kuasa melaksanakan dasar PPSMI seperti yang terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas bertarikh 27 November 2002.

Peguam Mohamed Hanipa berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan atas keputusan itu. - Bernama

H1N1: 73 kes baru dilaporkan

PUTRAJAYA: Sejumlah 73 kes baru H1N1 dilaporkan petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kes berkenaan sebanyak 13,962 setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata kes ILI yang masih dirawat pula adalah 616 kes dan daripada jumlah itu, 92 disahkan sebagai H1N1.
Katanya, sepuluh kes masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lapan daripadanya dikategorikan sebagai kes yang berisiko.
"Bagaimanapun, tiada kematian terbaru yang dilaporkan dan jumlah kematian buat masa ini masih kekal 82 orang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Ismail berkata, penularan wabak H1N1 masih aktif di dalam komuniti, justeru langkah penjagaan perlu diamalkan dengan serius.

"Mereka yang mempunyai gejala ILI seperti demam, batuk, selsema dan sakit tekak dinasihatkan supaya tidak mengunjungi tempat awam dan hendaklah memakai penutup hidung dan mulut apabila berhubung dengan orang lain.

"Mereka juga perlu mendapatkan rawatan pada kadar segera terutamanya jika mereka termasuk dalam golongan yang berisiko tinggi," katanya. - Bernama

Kim akui kepentingan rundingan nuklear: Beijing

BEIJING: Media rasmi China menyatakan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il, mengulangi perakuan kepentingan rundingan pelucutan senjata nuklear semasa lawatan ke China minggu ini.
Lawatan itu diharap dapat memulakan semula proses pelucutan program nuklear Korea Utara walaupun stesen CCTV tidak menyatakan Kim ada memberi komitmen atau meletakkan syarat baru untuk memulakan semula rundingan.
Siaran stesen itu adalah pengesahan rasmi pertama China terhadap lawatan Kim ke China. Ia juga menyiarkan rakaman Kim mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Hu Jintao, dan pegawai kanan lain. - AP

Dua lagi remaja cuba samun kafe siber ditahan

KUALA LUMPUR: Polis sudah menahan dua lagi remaja yang terbabit dalam kejadian cubaan samun sebuah pusat internet 24 jam di Jalan Genting Klang di sini oleh lapan remaja awal pagi Rabu lalu, menjadikan semuanya lima remaja sudah ditahan berhubung kes itu.
Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Zakaria Pagan, berkata kedua-dua remaja berumur 17 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Antarabangsa antara jam 8 dan 12 tengah malam.
Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua remaja itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka kini ditahan reman sehingga 12 Mei ini bagi membantu siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tiga lagi suspek kejadian samun Rabu lalu diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam kejadian awal pagi pada Rabu lalu, tujuh lelaki bersenjatakan pedang, gergaji dan pisau menyerbu pusat internet itu dan mengugut pengurus premis supaya menyerahkan wang manakala seorang lagi rakan mereka menunggu di dalam sebuah kereta di luar premis berkenaan. - Bernama

Ekonomi 9% tahun ini - RAM


KUALA LUMPUR  - Ekonomi dijangka tumbuh sekitar sembilan peratus tahun ini berikutan eksport yang bertambah baik dan meningkatnya perbelanjaan domestik, kata firma penarafan tempatan, RAM Holdings Bhd. (RAM) hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri C. Rajandram berkata, peningkatan pertumbuhan ekonomi dilihat cukup positif berikutan ramalan perkembangan pesat pada separuh kedua tahun ini dengan kadar tempahan dan permintaan yang tinggi.
Walaupun ekonomi dunia masih belum stabil, sektor eksport Malaysia didapati semakin meningkat.
"Tanda-tanda pemulihan itu akan mewujudkan satu fenomena yang memberangsangkan dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia," kata beliau selepas mesyuarat agung tahunan RAM Holdings di sini hari ini.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember lalu, RAM mengekalkan kedudukan kewangan yang baik dengan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM11.52 juta dengan perolehan RM49.34 juta.
Menurut Rajandram, pihaknya melihat prestasi ekonomi pada separuh pertama tahun ini juga cukup memberangsangkan berikutan pencapaian suku pertama yang amat baik.
Katanya, kesan penstrukturan semula ekonomi kuasa besar, Amerika Syarikat (AS) dan China, memberi impak besar kepada pertumbuhan ekonomi tempatan khususnya pada suku pertama tahun ini.
Dalam perkembangan lain beliau berkata, terbitan sukuk untuk tahun ini dijangka perlahan berbanding tahun lalu tetapi akan kembali rancak sebaik sahaja keadaan pasaran kembali seperti sedia kala, dirangsang oleh pelaburan dan pembiayaan besar terutamanya di negara-negara Asia dan Teluk.
Pertumbuhan sukuk lembap sejak enam bulan lepas ekoran keadaan pasaran kredit yang kurang memberangsangkan.
"Sebaik sahaja keyakinan kembali mungkin dalam enam hingga sembilan bulan ini, terbitan sukuk akan mempamerkan semula aliran penguasaannya dan kembali mencatat pertumbuhan dua digit," katanya.
Sementara itu, RAM menyasarkan bon korporat bernilai RM50 bilion hingga RM60 bilion akan diterbitkan pada tahun ini berbanding RM59 bilion tahun lalu.
Terbitan bon korporat menunjukkan peningkatan 18 peratus pada tahun lalu berbanding tahun 2008.
Rajandram berkata, jumlah bilangan terbitan bon yang mengalami mungkir bayar adalah lebih baik berbanding jangkaan.