Followers

Saturday, January 16, 2010

Guna kemudahan Facebook dengan bertanggungjawab: Rais

SEREMBAN: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata rakyat Malaysia perlu membentengkan diri dengan sikap tanggungjawab dan pegangan agama sebelum menerima bulat-bulat pemakaian budaya internet seperti Facebook dan Twitter.

Beliau berkata ini kerana seseorang itu perlu bertanggungjawab terhadap apa juga komen atau ulasan yang dimuatkan dalam laman sosial Facebook atau Twitter termasuk dikenakan tindakan undang-undang.

"Apabila memakai dan menggunakan alat-alat ini (Facebook dan Twitter), sifat keMalaysiaan, sifat keIslaman, sifat buddhisme, sifat kristian yang ada pada seseorang itu perlu dijadikan benteng," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran 1Malaysia di sini hari ini.


Katanya selain itu mereka juga perlu berhati-hati dan menimbangkan kebenaran dan ketepatan maklumat yang dipaparkan dalam internet yang tidak semuanya benar.

"Kita (masyarakat) menerima ini semua (internet) dalam satu keadaan kejutan budaya," katanya sambil mengkritik sesetengah rakyat Malaysia yang suka mencemuh golongan yang tidak mahu mengikuti budaya baru itu.

"Kita jangan lekas sangat `condemn'' atau memandang rendah pada mereka yang tidak menggunakan Facebook. Surat khabar akan tetap relevan, Facebook pun begitu tetapi jangan terima semua isian ini seolah-olah yang lama ini tidak pakai lagi," katanya.

Beliau memuji tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas kejayaan mengesan salah laku seorang pelajar dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang mendakwa bertanggungjawab membakar sebuah gereja berhubung isu kalimah Allah, di laman sosial Facebook, baru-baru ini.

"Tahniah kepada SKMM yang meneliti salah laku rakyat kita dalam pemakaian Facebook, Twitter dan SMS. Jadi, saya suka menerangkan sebagai seorang bekas peneliti perundangan negara, pemakaian (menggunakan internet) bukan bermakna kita (boleh) melepaskan diri dari tanggungjawab."

Mengenai gagasan 1Malaysia, beliau berkata lebih banyak program akan disusun untuk menerapkan kefahaman 1Malaysia di kalangan rakyat terutama kepada masyarakat kampung dan pelajar. - Bernama

Pelancong tak perlu bimbang keselamatan di Sabah: TPM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata pelawat tidak perlu terlalu bimbang untuk mengunjungi Sabah, terutama bahagian timur negeri itu kerana kerajaan sentiasa memastikan keselamatan di kawasan itu terkawal.

"Kerajaan Malaysia tidak pernah mengeluarkan sebarang notis mengenai ancaman keselamatan di kawasan berkenaan. Kita lebih tahu.

"Saya berpendapat atas dasar itu jangan mereka terlalu bimbang situasi di Sabah, saya yakin situasinya masih aman", katanya mengulas "warden notice" yang dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika Syarikat semalam dalam laman webnya.

Notis itu memberi amaran mengenai kemungkinan adanya kumpulan jenayah dan pengganas yang merancang serangan ke atas pelawat asing di Sabah.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Mesra Rakyat bersama Timbalan Perdana Menteri di Bandar Baru Sentul di sini, hari ini.

Beliau berkata pihak berkuasa keselamatan negara sentiasa meneruskan segala bentuk kawalan dan penguatkuasaan di kawasan sempadan di negeri itu bagi memastikan aspek keselamatannya terjaga.

Timbalan Perdana Menteri menyifatkan tindakan kedutaan itu mengeluarkan amaran itu sebagai "biasa dibuat oleh Amerika Syarikat".

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata "warden notice" itu mungkin juga dikeluarkan kedutaan berkenaan berdasarkan perkembangan di Filipina.

"Mungkin mereka bimbang perkembangan yang berlaku di Filipina akan melimpah masuk ke Malaysia seperti kes terdahulu, bukan kerana Malaysia tidak mengambil langkah berjaga-jaga di kawasan perairan kita," tegasnya.

Notis Amerika Syarikat itu menggesa agar langkah amat berjaga-jaga diambil oleh para pelawat yang mahu mengunjungi negeri itu, dan turut menyatakan tumpuan utama serangan mungkin pada resort-resort di kawasan terpencil di bahagian Timur negeri itu termasuk Semporna, Pulau Mabul dan Sipadan.

Notis itu turut mengingatkan mengenai kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di Selatan Filipina yang pernah terlibat dalam penculikan beberapa warga asing di Sabah sebelum ini.

Pada 2002, Amerika Syarikat pernah mengeluarkan nasihat perjalanan (travel advisory) memberi amaran mengenai ancaman keselamatan daripada kumpulan Abu Sayyaf di Filipina.

Dalam amaran itu, AS turut menyentuh kebimbangannya terhadap keselamatan pelawat yang menggunakan pengangkutan untuk mengunjungi resort di lokasi terpencil di bahagian Timur Sabah. - Bernama

Lawatan PM tarik pelabur UAE tanam modal di Malaysia

ABU DHABI: Lawatan rasmi empat hari Datuk Seri Najib Razak ke Abu Dhabi mulai hari ini mampu meningkatkan lagi hubungan diplomatik dan dagangan dua hala antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), terutama menarik kemasukan dana pembiayaan asing.

Duta Malaysia ke UAE, Datuk Yahaya Abdul Jabar, berkata kunjungan Perdana Menteri dilihat usaha terbaru Malaysia menarik lebih banyak penanaman modal UAE, terutama dana pembiayaan asing berikutan banyak pelabur negara rantau Teluk beralih ke rantau Asean.

Yahaya berkata, pelabur UAE komited untuk mengalirkan modal kira-kira AS$2.7 bilion ke Malaysia dan dijangka beberapa memorandum (MoU) termeterai menerusi kunjungan Perdana Menteri kali ini.

"Serentak dengan dasar liberalisasi kewangan, kita berusaha meningkatkan pelaburan UAE dalam projek koridor pembangunan wilayah serta sektor kewangan, terutama perbankan Islam.

"Kita sedang mengenal pasti beberapa pelabur UAE, termasuk Abu Dhabi Islamic Bank dan National Bank of Abu Dhabi untuk mempertimbangkan operasi perbankan Islam di Malaysia," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, lewat petang ini.

Perdana Menteri bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang singgah dari lawatan rasmi ke Arab Saudi dijadual tiba di sini lewat malam ini.

Sempena lawatan rasmi ke UAE, Perdana Menteri dijadual berucap pada sidang pleno Sidang Puncak Tenaga Masa Depan Dunia di Dewan Pameran Kebangsaan Abu Dhabi, esok.

Usahawan luar negara perlu bantu jaya ekonomi negara: PM

JEDDAH: Datuk Seri Najib Razak mahu usahawan Malaysia yang berjaya di luar negara membantu menjayakan Model Ekonomi Baru yang diperkenalkan kerajaan untuk membawa kemakmuran ekonomi di dalam negara.

Perdana Menteri berkata, mereka disaran membuat pelaburan membangunkan ekonomi negara, sekali gus mengembangkan ekonomi domestik agar Malaysia tidak terlalu bergantung kepada pelaburan syarikat asing.

"Jika telah buat duit di luar negara, kita boleh membawanya ke dalam negara menerusi pelaburan. Ini bukan saja akan mengembangkan ekonomi negara, malah membawa kemakmuran ekonomi ke negara kita.

"Ia selaras dengan Model Ekonomi Baru kerajaan untuk menghasilkan usahawan yang berjaya di dalam negara dan mampu berkembang dan bersaing di peringkat antarabangsa," katanya pada majlis makan malam Majlis Perniagaan Malaysia (MBC Arab Saudi), di sini malam tadi.

Perdana Menteri berada di sini bersama Datin Seri Rosmah Mansor untuk rangka lawatan rasmi tiga hari atas undangan Raja Abdulllah bin Abdulaziz Al-Saud.

Najib juga berkata, negara mengimpikan kelahiran syarikat tempatan yang mampu bersaing di peringkat global seperti Samsung dan Hyundai dari Korea Selatan yang kini berjaya mengatasi syarikat terulung dunia seperti Panasonic dan Sony.

Katanya, negara memang menggalakkan pelaburan asing, tetapi pada masa sama mahu syarikat dan usahawan tempatan menyertai industri masa depan serta muncul usahawan peringkat serantau dan global.

Perlu tangani isu hadapi dunia Islam: Najib

JEDDAH: Datuk Seri Najib Razak berkata Malaysia dan Arab Saudi perlu meningkatkan usaha dalam menangani pelbagai masalah getir yang dihadapi dunia Islam.

Perdana Menteri berkata hubungan antara kedua-dua negara sepatutnya melampaui bidang ekonomi.

"Arab Saudi adalah negara yang amat penting bagi kita daripada segi menjalin kerjasama dalam memperjuangkan perjuangan umat Islam," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada perhimpunan anjuran Majlis Perniagaan Malaysia di sini malam tadi sempena lawatan rasmi empat hari beliau ke Arab Saudi.

Najib dijadual menghadap Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud di Riyadh hari ini.

"Saya berhasrat berbincang dengan baginda bukan sahaja mengenai cara terbaik untuk meningkatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara tetapi juga mengenai perlunya kedua-dua negara bekerjasama lebih rapat dalam membantu menyelesaikan isu-isu yang dihadapi umat Islam," katanya.

Isu berkenaan, katanya termasuk yang melibatkan umat Islam di negara yang dilanda konflik.

Perdana Menteri turut menyentuh mengenai perlunya menangani isu berhubung imej agama dan umat Islam yang sering diputarbelitkan.

"Banyak perseptif negatif dilemparkan terhadap umat Islam di banyak negara di dunia," katanya. - Bernama

Gempa di Haiti: Lebih 50,000 disahkan maut

PORT-AU-PRINCE: Lebih 50,000 orang maut manakala 250,000 lagi cedera akibat gempa di Haiti, tiga hari lalu yang dianggap bencana terburuk di negara itu sejak 160 tahun lalu.

Gempa 7.0 magnitud itu juga menyebabkan 1.5 juta rakyat negara itu hilang tempat tinggal.

Angka korban dan cedera itu dikeluarkan Menteri Kesihatan Awam Haiti, Alex Larsen hari ini pada sidang akhbar mengenai keadaan terkini akibat gempa berkenaan.

Beliau juga mengumumkan ibu pejabat kerajaan dipindahkan ke balai polis berhampiran lapangan terbang antarabangsa manakala semua pusat sukan di ibu negara itu dijadikan hospital sementara untuk merawat ribuan mangsa yang cedera.

"Mayat lebih 15,000 kini sudah dikumpul dan dikebumikan," kata Perdana Menteri Haiti, Jean-Max Bellerive sambil menambah angka kematian mungkin melonjak.

“Kami kini menguruskan usaha mengutip mayat di sepanjang jalan raya utama terlebih dulu," katanya.

Beliau berkata, ribuan mayat lagi masih tertimbus di celah runtuhan bangunan dan rumah kediaman. - AFP