Followers

Friday, August 27, 2010

Kewarganegaraan satu anugerah, bukan untuk dituntut: KDN

KUALA LUMPUR: Pemberian taraf kewarganegaraan Malaysia adalah satu anugerah tertinggi kepada warga asing dan bukan satu hak yang boleh dituntut oleh mana-mana individu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Lee Chee Leong.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius dan sentiasa berhati-hati dalam mempertimbangkan setiap permohonan kewarganegaraan seseorang itu.
"Ini adalah penting bagi memastikan hanya mereka yang betul-betul memahami dan mendalami budaya masyarakat Malaysia serta berkelakuan baik sahaja yang dianugerahkan taraf kewarganegaraan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ia dikeluarkan susulan kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, berkaitan kira-kira 25,751 pemegang kad pengenalan merah yang masih belum menerima status warganegara.

Lee berkata, KDN juga perlu memastikan mereka memberi taat setia kepada negara, menghormati dan menjunjung asas Perlembagaan negara serta prinsip Rukun Negara.

"Di dalam keadaan-keadaan tertentu, kepakaran dan sumbangan-sumbangan pemohon yang boleh memberi manfaat kepada negara dan rakyat negara ini akan diambil kira," katanya.

"Kajian juga akan dijalankan oleh kementerian untuk menentukan sama ada pemohon mempunyai pertalian kekeluargaan atau akar umbi di negara ini sebelum sesuatu permohonan diputuskan," katanya.
Lee berkata, hakikatnya masih ramai di kalangan pemegang kad pengenalan merah belum mengemukakan permohonan sebagai warganegara.

Jumlah permohonan taraf kewarganegaraan yang tertunggak yang diterima KDN dari tahun 1997 hingga 2006 bagi semua perkara di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah 32,927 dan semua permohonan telah selesai diproses dan dikeluarkan keputusannya pada tahun 2009, katanya.

Pada masa kini, katanya, kementerian sedang memproses permohonan kewarganegaraan bagi tahun 2007, 2008 dan 2009 yang berjumlah 29,677.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 16,302 keputusan telah dikeluarkan dan bakinya telah diproses adalah sebanyak 13,375 di mana keputusannya akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada 31 Disember tahun ini," katanya.

Mengenai cadangan pemberian taraf kewarganegaraan secara automatik kepada pemohon berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai anak-anak berstatus warganegara Malaysia, Lee berkata cadangan itu perlu dikaji secara menyeluruh kerana peraturan sedia ada telah ditetapkan berdasarkan sebab yang jelas.

Selain itu, katanya, mulai 1 Mac tahun ini, KDN telah mempermudahkan permohonan bagi pemohon yang berumur 50 tahun dan ke atas di mana mereka tidak lagi perlu menduduki ujian bertulis dalam Bahasa Melayu.

"Mereka hanya dikehendaki hadir sesi temuduga untuk memastikan pemohon tersebut mempunyai pengetahuan Bahasa Melayu yang memadai sepertimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya. - BERNAMA

Demonstrasi depan kedutaan dilakukan kumpulan upahan: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata tunjuk perasaan yang diadakan di hadapan pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia baru-baru ini dilakukan oleh kumpulan upahan.

Perdana Menteri berkata, kumpulan itu diupah pihak tertentu untuk melakukan demonstrasi dengan tujuan merenggangkan hubungan antara kedua-dua negara.
"Itu tujuan dia supaya kita marah, kita bertindak balas dan renggang hubungan dengan Indonesia. Jadi kita jangan terperangkap dengan mainan ini," katanya dalam satu persidangan akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini hari ini.
Semalam, kira-kira 600 penunjuk perasaan bersikap liar dengan membakar dan meludah Jalur Gemilang dan berteriak "ganyang Malaysia" bagi membantah apa yang mereka dakwa pencerobohan pihak berkuasa Malaysia di perairan perbatasan kedua dua negara.

Najib berkata, beliau tidak menganggap tindakan tunjuk perasaan itu mencerminkan pendirian pemerintah Indonesia kerana kedua-dua negara mempunyai hubungan yang sangat baik.

"Jadi kita selesa dengan hubungan kita dan jangan sesiapa merosakkan hubungan antara pimpinan Malaysia dan Indonesia. Kita anggap ini sebagai perbuatan kumpulan upahan Indonesia, mereka dapat upahan," katanya.

Beliau berkata, Duta Indonesia di Malaysia Tan Sri Da'i Bachtiar juga sudah dipanggil untuk meminta pihak berkuasa Indonesia melakukan kawalan yang lebih ketat supaya perkara berkenaan tidak berlaku lagi.
Sementara itu, Najib yang juga Presiden UMNO turut menghadiri majlis berbuka puasa bersama anggota-anggota parti komponen Barisan Nasional serta melakukan solat Tarawih di surau Pusat Dagangan Dunia Putra. - BERNAMA

Gejala sosial isyarat bahaya kepada masyarakat: Rosmah

GEJALA SOSIAL ISYARAT BAHAYA KEPADA MASYARAKAT
KUALA LUMPUR: Masyarakat tidak seharusnya mengambil mudah terhadap gejala sosial yang berleluasa di negara ini kerana ia berkemungkinan menyampaikan isyarat yang tidak tepat mengenai Malaysia, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau berkata, isyarat tidak tepat ini boleh mencerminkan sikap tidak peka masyarakat negara ini dalam menangani gejala sosial yang boleh merosakkan imej rakyat Malaysia yang kini dianggap amat prihatin, pemurah dan penyayang.
"Dalam kita sibuk mengejar keberkatan dengan menunaikan kewajipan kita di bulan Ramadan yang mulia ini, masih terdapat gejala sosial yang amat mendukacitakan berlaku hampir setiap hari.

"Sebagai seorang ibu, apa yang amat memilukan saya ialah berkenaan pembuangan bayi yang tidak berdosa yang kini semakin berleluasa," katanya semasa berucap pada majlis sumbangan bantuan Hari Raya Aidilfitri bersama Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di sini hari ini.

Katanya, kejadian seperti ini jelas menunjukkan sikap tidak bertamadun sesetengah golongan masyarakat yang zalim sehingga sanggup melakukan perkara yang terkutuk dan hina.

Rosmah menyeru masyarakat terutamanya ibu bapa membantu pihak berkuasa serta kerajaan dengan meningkatkan pemantauan ke atas segala aktiviti anak-anak mereka.
"Ibu bapa hendaklah memberi lebih penekanan akan aspek keagamaan kepada anak masing-masing bagi mengelakkan kejadian yang bakal menjurus ke arah gejala yang semakin menular sejak akhir-akhir ini," katanya.

Sumbangan Ramadan YPC yang bernilai RM75,000 diberikan kepada 444 pelajar sekolah yang terdiri daripada anak-anak yatim dan daripada keluarga berpendapatan rendah dan miskin dari 36 sekolah angkat YPC.

Sementara itu, Pengerusi YPC Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata program-program yang dilaksanakan oleh YPC sinonim dengan Konsep 1Malaysia kerana tiada golongan atau kaum yang dipinggirkan dalam usaha menggerakkan transformasi besar dalam gagasan 1Malaysia.

Katanya, YPC akan terus membantu sistem kerajaan dalam memperkasakan pendidikan anak bangsa melalui pelaksanaan program-program motivasi kecemerlangan pelajar, kursus motivasi guru dan program pembelajaran berasaskan internet. -BERNAMA

Indonesia jamin keselamatan rakyat Malaysia di Jakarta

KUALA LUMPUR: Indonesia memberi jaminan mengenai keselamatan rakyat Malaysia di republik berkenaan berikutan tindakan penunjuk perasaan anti-Malaysia yang memijak dan membakar Jalur Gemilang serta membaling najis manusia ke halaman Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Prof Dr Da’i Bachtiar, berkata pihak keselamatan Indonesia akan memastikan bahawa undang-undang negara sentiasa dipatuhi walaupun pemerintah Republik Indonesia membenarkan demonstrasi diadakan.
“Polis Indonesia sudah memperkukuhkan kawalan keselamatan di Kedutaan Malaysia dan kediaman rakyat Malaysia di Jakarta supaya kejadian yang tidak diingini dapat dicegah.
“Pihak berkuasa di Indonesia juga sedang menyiasat dan mengumpul bukti berhubung kejadian penunjuk perasaan membaling najis dan memijak Jalur Gemilang dan jika ada pihak yang didapati bersalah, tindakan akan diambil kepada mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dr Da’i berkata demikian untuk mengulas insiden penunjuk perasaan membaling najis dan memijak Jalur Gemilang di depan Kedutaan Malaysia sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, tindakan penunjuk perasaan di Kedutaan Malaysia pada 13 Ogos adalah tidak beretika tetapi dakwaan sukar dilakukan kerana peruntukan undang-undang Indonesia membenarkan rakyatnya berkumpul dan menyuarakan pendapat.

Katanya, pihak berkuasa di Indonesia juga belum dapat memastikan dakwaan bahawa sebuah parti politik di republik berkenaan mendalangi demonstrasi berkenaan untuk mendesak Presiden Susilo Bambang Yudhoyono supaya bertegas dengan Malaysia.

Nik Aziz sifatkan tunjuk perasaan anti Malaysia memalukan

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan sekumpulan rakyat Indonesia membakar Jalur Gemilang dan melempar najis manusia ketika berdemonstrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Isnin lepas sebagai "memalukan".

Mursyidul Am Pas itu berkata, sepatutnya sebagai negara berjiran, kedua-dua kerajaan boleh menyelesaikan sebarang perselisihan faham secara kekeluargaan.
"Memang perkara itu memalukan kerana kita berjiran, sebangsa dan seagama, kenapa boleh jadi begitu? Ini memalukan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Mingguan Jumaat di Dataran Ilmu, di sini hari ini. Nik Abdul Aziz sebelum itu diwawancara sebuah stesen televisyen Indonesia, TV One.

Beliau yang diminta mengulas insiden Isnin lalu itu juga berpandangan Malaysia dan Indonesia adalah seperti dua beradik yang seharusnya menjadi contoh baik kepada negara lain. - BERNAMA

Geran khas bantu belia laksana program 1Malaysia

GERAN KHAS BANTU BELIA LAKSANA PROGRAM 1MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyediakan geran khas bagi membantu dan menyokong pelaksanaan program berkaitan dengan Konsep 1Malaysia yang dikendali oleh golongan belia, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, geran itu yang akan dipercepatkan kelulusannya, akan membolehkan lebih ramai golongan muda membabitkan diri dalam program 1Malaysia yang dianjurkan.
Ketika menjawab soalan dalam dialog sempena sesi TownHall Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN) di sini hari ini, beliau berkata kebanyakan cadangan yang dikemukakan pada sesi itu adalah bernas dan akan diteliti oleh kerajaan.

"Satu daripada cadangan yang menarik perhatian saya ialah mewujudkan dana khas bagi menyokong program 1Malaysia yang dijalankan oleh belia. Kita akan sediakannya tidak lama lagi supaya lebih ramai orang muda terlibat dalam program 1Malaysia," katanya.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, dan Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin.

Berdasarkan laporan akhir Makmal Pemuda BN yang dibentangkan oleh Khairy, antara cadangan yang dikemukakan ialah supaya Geran 1Malaysia diwujudkan bagi membantu pelaksanaan projek atau program yang menggalakkan atau meningkatkan hubungan antara kaum dan prinsip 1Malaysia.
Najib berkata, kerajaan akan mencari mekanisme terbaik untuk memperkenalkan geran berkenaan.

"Mungkin kita boleh masukkan (pengwujudan geran) dalam ucapan belanjawan untuk dibentangkan dalam belanjawan akan datang dan mungkin juga dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) sebab ia merupakan pelan berterusan," katanya.

Perdana Menteri berkata, walaupun mungkin tidak semua cadangan yang dikemukakan oleh makmal berkenaan diterima dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting ialah kerajaan telah mendengar suara orang muda di negara ini.

Turut dibangkitkan pada sesi dialog berkenaan ialah mengenai isu gaji minimum pekerja tempatan dan dalam soal ini.

Najib berkata, perbincangan sedang dilakukan dengan pihak majikan berhubung cadangan berkenaan.

"Bagaimanapun pelaksanaan gaji minimum itu hanya akan dilaksanakan berdasarkan sektor pekerjaan," katanya.

Mengenai desakan supaya golongan mahasiswa dibenarkan untuk berpolitik, Najib berkata beliau masih terbuka untuk sebarang cadangan walaupun Kabinet secara dasarnya tidak begitu bersetuju.

"Saya masih memikirkan perkara ini dan terbuka untuk berdebat mengenai isu ini untuk membolehkan keputusan yang lebih baik dibuat," katanya.

Menjawab satu soalan lain, Perdana Menteri berkata BN sedang menimbangkan mengenai cadangan membenarkan keahlian terus ke dalam BN, yang sekaligus menunjukkan kesungguhan parti itu untuk berubah.

Mengenai laporan akhir Makmal Pemuda BN itu, Najib berkata kerajaan bersedia untuk menimbangkan cadangan yang dikemukakan.

Makmal Pemuda BN yang telah dicetuskan sendiri oleh Perdana Menteri pada Februari lalu adalah satu usaha untuk mencari titik sentuh antara kerajaan BN dengan golongan muda negara ini selain bertujuan untuk memahami aspirasi, permasalahan dan cadangan orang muda ke arah menjana dasar-dasar kerajaan yang mesra orang muda.

Laporan akhir Makmal hari ini terbahagi kepada empat sektor utama iaitu ekonomi, kualiti hidup, pendidikan serta perpaduan dan demokrasi.

Antara cadangan yang dikemukakan termasuk gesaan supaya kerajaan memperkenalkan dasar gaji minimum tidak kurang daripada RM1,000 sebulan bagi pekerja sepenuh masa, membina pangkalan data bagi membantu golongan muda yang di dalam fasa "peralihan" seperti kehilangan kerja, sakit teruk atau krisis kewangan.

Dalam sektor pendidikan pula, kerajaan disaran untuk melancarkan kempen penjenamaan semula perguruan sebagai profesion terpilih dan membenarkan lebih kebebasan dalam pilihan mata pelajaran di sekolah.

Bagi menggalakkan proses integrasi antara kaum, kerajaan disaran memberi insentif termasuk pelepasan cukai kepada syarikat-syarikat yang mempunyai pekerja pelbagai kaum dan pelepasan cukai kepada restoran yang mendapat sijil perakuan halal.

Dalam menjamin proses demokrasi diamalkan, Makmal Pemuda BN mencadangkan supaya waktu maksimum dua tahun ditetapkan bagi tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ia juga mencadangkan supaya pelajar universiti dibenarkan bergiat aktif di dalam politik dengan memberi kebenaran kepada mereka untuk menjadi ahli atau memegang jawatan di dalam mana-mana parti politik. - BERNAMA