Followers

Friday, February 19, 2010

Finas sasar lulus 10 filem tahun ini

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mensasarkan sekurang-kurangnya 10 filem diluluskan di bawah Dana Pinjaman Filem Cereka tahun ini.

Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim, berkata sasaran itu adalah antara petunjuk prestasi utama (KPI) perbadanan itu pada tahun ini bagi strategi permodalan dan insentif industri perfileman.

"Setakat ini dua filem diluluskan di bawah dana yang diuruskan SME Bank itu," katanya kepada Bernama di sini ketika mengulas mengenai KPI perbadanan itu dalam memperkasa industri perfileman negara.

Sebanyak 11 filem diluluskan tahun lalu di bawah dana dengan modal pusingan RM50 juta yang bertujuan memberikan bantuan pinjaman modal kepada pembikin filem tempatan.

Antara filem yang mendapat pinjaman dana itu ialah Magika, Mentera, Libas, Dua Hati Satu Jiwa dan Niyang Rapik yang kini mula ditayang di lebih 90 pawagam di seluruh negara.

Mahyidin berkata, Finas juga menetapkan sasaran untuk meluluskan 20 projek bernilai RM500,000 di bawah Dana Pembangunan Seni Filem dan Multimedia bagi tempoh sama.

Katanya, Bank Simpanan Nasional (BSN) juga akan mengadakan taklimat mengenai Dana Industri Kreatif RM200 juta yang diwujudkan tahun lalu di bawah Bajet 2010) di Pawagam Mini P Ramlee, Finas, esok sempena Hari Terbuka Finas. - Bernama

4 terkorban pada hari ke-12 Ops Sikap 21

KUALA LUMPUR: Sebanyak empat kematian dicatatkan pada hari ke-12 Ops Sikap ke-21 semalam, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya seramai 172 orang sejak operasi itu bermula 7 Februari lalu.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Supt Rasdi Ramli, dalam satu kenyataan berkata mereka yang terkorban adalah dua pengguna motosikal dan masing-masing seorang pengguna kereta dan bas.

Jalan bandaran mencatatkan kemalangan paling tinggi dengan 397 kes diikuti jalan persekutuan (230 kes), jalan negeri (155 kes), lebuh raya (68 kes) dan jalan lain (47 kes) yang menjadikan jumlah kemalangan sebanyak 897 kes.

Beliau berkata, dalam operasi semalam, sebanyak 12,917 saman dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan trafik.

Ops Sikap ke-21 yang bermula Ahad lalu sempena Tahun Baru Cina akan berakhir Ahad ini. - Bernama

Keputusan STPM 2009 Khamis depan

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 akan diumumkan pada 25 Februari ini.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM dan hantar ke 36363, atau menaip STPM Result dan hantar ke 15888.

Keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai 12 tengah hari pada tarikh itu.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan jam 11.30 pagi pada tarikh sama di pejabat MPM, Persiaran 1, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Tahun lalu, 52,348 calon menduduki peperiksaan STPM.

Daripada jumlah itu, 47,260 orang atau 90.28 peratus adalah calon sekolah kerajaan, 1,747 (3.34 peratus) calon sekolah swasta dan 3,241 (6.38 peratus) calon persendirian. - Bernama