Followers

Friday, September 17, 2010

PM mahu perpaduan dipupuk antara lapisan kaum

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak mahu melihat Malaysia terus aman damai dengan semangat perpaduan terjalin secara intra dan inter kumpulan di kalangan semua kaum.
Perkara itu dinyatakan oleh Najib ketika pertemuan dengan Jawatankuasa
Mempromosikan Keharmonian dan Persefahaman antara Penganut Agama pada Selasa
lepas di pejabatnya di Putrajaya.

Penyelaras Khas Perhubungan antara Penganut Agama Datuk Ilani Isahak, yang
juga pengerusi jawatankuasa itu, berkata Perdana Menteri semasa menyampaikan
amanatnya mengakui perlunya diadakan banyak lagi perjumpaan dengan jawatankuasa ini dan beliau menganggap perjumpaan kali ini senagai permulaan.

"Beliau (Najib) melafazkan sokongan kepada jawatankuasa ini sebagai sebuah
mekanisme yang boleh menyelesaikan masalah atau isu dan menyatakan persetujuan
untuk menyediakan bajet bagi membantu kerja-kerja jawatankuasa ini," kata Ilani
dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ilani berkata jawatankuasa itu ditubuhkan untuk memupuk keharmonian di
kalangan masyarakat sebagai menepati hasrat gagasan 1Malaysia yang membawa
perpaduan ke tahap lebih bermakna.

Perjumpaan selama 45 minit itu turut dihadiri dua penasihat jawatankuasa
berkenaan, masing-masing Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu
Koon dan Datuk Seri Mej Jeneral (B) Jamil Khir Baharom.

Rombongan itu, yang diketuai oleh Ilani, terdiri daripada wakil-wakil
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Institut Kefahaman Islam Malaysia
(Ikim), Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs (ACCIN), Institut
Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (Infad), Majlis Perundingan Malaysia
Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) dan Interfaith Spiritual
Fellowship (INSAF).

Presiden MCCBCHST Reverend Dr Thomas Philips berkata kesudian Najib
meluangkan masa bertemu jawatankuasa itu merupakan manifestasi komitmen dan
kesungguhan beliau untuk mentransformasikan negara dan memupuk perpaduan
berasaskan semangat 1Malaysia. -- BERNAMA

"Hantar maklumat ke laman Facebook saya jika takut buat laporan

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyelewengan anggota polis di negeri itu tetapi tidak berani membuat laporan supaya menyalurkan maklumat berkenaan ke laman Facebook beliau.
Khalid berkata orang ramai mungkin takut diancam atau diugut jika laporan yang dibuat diketahui oleh anggota yang menyeleweng tetapi ini tidak akan berlaku jika ia disalurkan terus kepada beliau.
"Orang ramai tidak perlu takut melaporkan sebarang penyelewengan anggota polis kepada pihak berkuasa...kalau tak berani, terus berhubung dengan saya.
"Bagaimana sesuatu penyelewengan itu hendak disiasat jika tiada sebarang laporan yang dibuat dan jika benar ada penyelewengan berlaku kenapa takut untuk membuat laporan?," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Khalid diminta mengulas dakwaan terdapat anggota polis telah "dibeli" (dirasuah) oleh suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain bagi menutup kegiatan jahatnya.

Semalam, Khalid meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat tentang kegiatan itu supaya melaporkan terus kepada beliau, Bukit Aman, atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengulas lanjut beliau tidak menafikan terdapat anggota polis yang bergaji kecil tetapi hidup mewah dan berkata unit tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau perkara berkenaan.
"Unit tatatertib sendiri yang ditugaskan untuk menyiasat jika seseorang pegawai itu hidup mewah dibandingkan dengan gaji mereka.

"Kita tidak akan melindungi mana-mana anggota mahupun pegawai yang menyeleweng," katanya. - BERNAMA

Kes bunuh Sosilawati: Pemimpin politik jangan buat tafsiran sendiri

KULIM: Pemimpin politik di negara ini sepatutnya tidak membuat tafsiran sendiri mengenai kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi lelaki bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan orang ramai.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail Nasution, berkata semua pihak sepatutnya bermengambil sikap bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa iaitu polis dan Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan tugas mereka.
“Jika terlalu banyak pihak membuat pelbagai tafsiran...akan menjadi lebih mengelirukan terutama persepsi umum terhadap kes yang belum selesai," katanya kepada pemberita selepas program Rapat 1Malaysia di sini petang semalam.
Lebih 500 peserta terdiri daripada ketua-ketua cawangan dan anggota jawatankuasa parti komponen Barisan Nasional (BN) Bahagian Kulim/Bandar Baharu hadir pada majlis anjuran Penyelaras Parlimen kawasan berkenaan sebagai sebahagian majlis menyambut Hari Malaysia.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Kulim/Bandar Baharu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang juga Penyelaras Parlimen kawasan itu.

Sahlan berkata mana-mana pihak tidak perlu turut masuk campur dengan tugas polis dan menyerahkan kepada pihak berkenaan menjalankan tugas mereka secara profesional kerana kelak akan lebih mengelirukan lagi suasana.

“Adalah menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk memastikan tugas yang dijalankan pihak polis adalah memuaskan dan adil untuk semua pihak," katanya.
Sementara itu, Sahlan berkata ada kumpulan-kumpulan yang telah mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya satu Suruhanjaya Kesamarataan diwujudkan tetapi sehingga kini kerajaan tidak menerima ataupun menolaknya.

“Ia adalah satu cadangan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri dan terpulang kepada beliau untuk membuat pertimbangannya,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Perdana Menteri masih kekal dengan prinsip “keadilan untuk semua”. - BERNAMA

15 maut hari ke-14 Ops Sikap ke-22

KUALA LUMPUR: Lima belas lagi kematian dicatat pada hari ke-14 Ops Sikap Ke-22 semalam, melonjakkan angka korban jalan raya sejak operasi bermula pada 4 September lalu kepada 226 orang.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan penunggang dan pembonceng motosikal mencatat angka tertinggi dengan lapan kematian, diikuti enam pengguna kereta dan seorang pejalan kaki.
Jumlah kematian yang dicatat pada hari ke-13 kempen itu ialah 15 orang.
Statistik itu turut merekodkan 869 kemalangan iaitu jumlah tertinggi dilapor di jalan bandaran dengan 384 kemalangan, 235 di jalan persekutuan, 131 di jalan negeri, 79 di lebuh raya dan 40 di lain-lain jalan.

Sebanyak 10,556 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Ops Sikap sempena sambutan Aidil Fitri itu berakhir hari ini. - BERNAMA

PM Jepun bersiap buat rombakan Kabinet

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan kini bersiap sedia untuk membuat rombakan ke atas barisan Kabinetnya yang berusia tiga bulan dalam usaha untuk memperoleh sokongan rakyat.
Sehari selepas dipilih semula sebagai presiden parti memerintah, Kan dilaporkan akan menamakan Menteri Pengangkutan yang juga seorang pakar keselamatan, Seiji Maehara menjadi Menteri Luar.
Beberapa akhbar termasuk akhbar terbesar Asahi dan Yomiuri melaporkan mengenai perubahan pada barisan Kabinet itu.
Kan yang menewaskan Ichiro Ozawa dalam saingan jawatan presiden Parti Demokrat Jepun (DPJ), awal minggu ini, semalam menawarkan Menteri Luar,
Katsuya Okada menerima jawatan nombor dua dalam perti itu.

Langkah itu dianggap untuk mengurangkan pengaruh Ozawa dalam pemerintahan kerajaan.

Menteri Kewangan, Yoshihiko Noda, Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshito Sengoku, Menteri Perkhidmatan Kewangan, Shozaburo Jimi dan Menteri Reformasi Pentadbiran, Renho disebut-sebut kekal dalam potfolio masing-masing.
Anggota Kabinet sedia ada dijangka akan menyerahkan surat meletakkan jawatan pagi ini, sebelum kerajaan mengumumkan Kabinet baru, lewat hari ini, lapor akhbar harian, Yomiuri. - AFP