Followers

Thursday, June 4, 2009

Sabah & Sarawak: Peniaga usah terjerat pujukan along

KOTA KINABALU: Golongan peniaga dan penjaja kecil diingat supaya mengelak daripada perangkap tawaran ceti haram atau along yang didapati semakin hilang rasa perikemanusiaannya.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Sabah, Senator Datuk Armani Mahiruddin, berkata cara along meminta bayaran balik hingga mengancam keselamatan peminjam dan ahli keluarga mereka perlu dijadikan pengajaran.

"Paparan di media sejak kebelakangan ini memadai untuk menimbulkan rasa gerun kita terhadap perangkap along selaku penindas masyarakat di zaman moden.

"Jangan jadikan along sebagai `bank segera' jika di akhirnya kita dan keluarga menanggung akibat jika gagal membayar hutang," katanya di sini, kelmarin.

Beliau berkata, ada segelintir along dikesan memberi perhatian terhadap peniaga Bumiputera dengan menampal pelbagai iklan berhampiran premis perniagaan sasaran.

Walaupun tawarannya dianggap menarik, Armani berkata, peniaga dan penjaja kecil Bumiputera wajar membuat pinjaman daripada institusi yang diiktiraf kerajaan.

"Kerajaan menyediakan pelbagai dana dan bantuan bagi kemudahan peniaga kecil. Prosedurnya mungkin lebih rumit tetapi sekurang-kurangnya ia dijamin dan selamat.

"Ada along yang mengambil kesempatan kegawatan ekonomi sebagai `umpan' menarik lebih ramai mangsa berhutang.

"Pinjamannya sedikit tetapi di akhirnya mangsa perlu membayar jauh lebih tinggi kerana faktor faedah," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta agensi seperti Tekun dan Mara serta institusi kewangan mencari penyelesaian mudah bagi menyalur pinjaman kepada peniaga dan penjaja kecil-kecilan supaya tidak beralih kepada along.

0 comments: