Followers

Sunday, May 2, 2010

PM ingatkan rakyat agar kekal di bawah bumbung 1Malaysia


SIBU - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat supaya kekal di bawah bumbung gagasan 1Malaysia untuk masa depan bersama.
Perdana Menteri berkata, jika mahukan kejayaan, permuafakatan bersama akan menghasilkan ikatan yang tidak boleh dirungkaikan dan tidak termakan dengan hasutan yang boleh menjahanamkan negara. - Utusan

Najib yakin rundingan persempadanan laut, darat untungkan Malaysia-Brunei

SIBU: Datuk Seri Najib Razak yakin bahawa rundingan antara Malaysia dan Brunei berkaitan dengan persempadanan laut dan darat akan mencapai satu bentuk penyelesaian yang saling menguntungkan kedua-dua negara.

Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara jiran itu sedang berunding perkara berkenaan dalam semua aspek, termasuk peranan dan peluang yang boleh diraih Petroliam Nasional Bhd (Petronas) daripada segi kerja cari gali dan pembangunan serta pelaburan yang boleh dibuat oleh Brunei di Malaysia sebagai satu pakej.

"(Duli Yang Maha Mulia) Sultan Hassanal Bolkiah selalu sebut perkara ini bahawa baginda berkehendakkan penyelesaian yang berasaskan satu formula yang saling menguntungkan," katanya.
Najib berkata demikian selepas menghadiri jamuan tengah hari dan menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 32 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sarawak di Kem Rascom, Briged Kesembilan Infantri di Jalan Ulu Oya dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, persetujuan pada prinsipnya dicapai pada 2009 dan kini kedua-dua pihak sedang melihat rundingan daripada segi kajian yang dilakukan dalam satu semangat perjanjian yang menguntungkan.

Najib diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menulis dalam laman blognya Khamis lalu, mempersoalkan sebab dua medan cari gali, konsesi blok L dan blok M, yang bukan lagi kepunyaan Malaysia dan berkata kehilangan itu boleh mengakibatkan kerugian kepada Malaysia sekurang-kurangnya AS$100 bilion (RM320 bilion).

Dr Mahathir mendakwa penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kedua-dua blok itu sebagai pertukaran bagi Limbang.
Abdullah, yang menandatangani Pertukaran Surat pada Mac 2009, menjelaskan bahawa perjanjian darat dan laut dengan Brunei diluluskan Kabinet Malaysia dan Malaysia akan dibenarkan mengambil bahagian dalam usaha sama pembangunan minyak dan gas atas dasar komersial di kedua-dua kawasan itu bagi tempoh 40 tahun.

Sementara itu, Petronas pula berkata, syarikat minyak nasional itu dipelawa oleh Brunei untuk membangunkan dua kawasan penerokaan luar pesisir tersebut atas dasar persetujuan komersial.

Petronas berkata, syarikat itu sudah menubuhkan satu pasukan dan memulakan rundingan dengan Brunei untuk memperincikan terma bagi pembangunan kedua-dua kawasan itu yang kini dikenali sebagai Blok CA1 dan CA2. - Bernama

Isu kenaikan gaji pengawal keselamatan diputuskan minggu depan

KUALA LUMPUR: Permintaan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia untuk menangguhkan pelaksanaan gaji pengawal keselamatan yang dijadual bermula 1 Julai akan diputuskan hujung minggu depan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.
"Kita akan membuat satu kenyataan tentang isu itu pada hujung minggu depan, Khamis atau Jumaat di mana segala isu mengenai hal ini akan dijelaskan," katanya pada sidang media selepas merasmikan perhimpunan anjuran Sri Murugan Centre di dewan Pandu Puteri, Brickfields di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas permintaan persatuan itu, Khamis lalu supaya menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji pengawal ke tahun depan.
Penangguhan itu bagi membolehkan syarikat keselamatan merundingkan semula kontrak dengan pihak yang menggunakan perkhidmatan mereka.

Ketika ditanya sama ada pihaknya sudah menerima memorandum daripada persatuan tersebut, Dr Subramaniam berkata: "Saya tidak lihat itu tetapi mungkin mereka sudah hantar".

Menerusi kenaikan gaji ini, kira-kira 150,000 pengawal keselamatan akan menikmati gaji pokok antara RM1,100 dan RM1,450 sebulan iaitu kenaikan antara 67 peratus dan 75 peratus mulai 1 Julai ini.

Mengulas permintaan pihak tertentu supaya keahlian MIC dalam kabinet ditambah, Dr Subramaniam yang juga Naib Presiden MIC berkata, beliau menyokong permintaan itu dan berkata ia sudah lama timbul.
Katanya, penambahan itu akan memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat India mengutarakan isu-isu terkini terutamanya yang membabitkan peningkatan taraf hidup.

"Dulu kita ada dua orang menteri mewakili masyarakat India.. tinggal satu," katanya. - Bernama