Followers

Friday, April 9, 2010

Najib berlepas pulang selepas hadiri Sidang Kemuncak Asean

HANOI: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berlepas pulang ke tanah air tengah hari ini selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-16 di sini.

Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, berlepas dari lapangan terbang

Antarabangsa Noi Bai di sini pada 12.40 tengah hari (1.40 petang waktu Malaysia).

Semalam, Perdana Menteri yang tiba di sini Rabu lalu menghadiri majlis perasmian sidang kemuncak itu dan menyertai sesi pleno di Pusat Konvensyen Nasional, di sini.

Beliau turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Tan Dung; Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo; dan Perdana Menteri
Laos, Bouasone Bouphavanh, di luar mesyuarat itu semalam.

Sebelum menghadiri sidang kemuncak semalam, Najib sempat merasmikan hotel
InterContinental Westlake yang dimiliki usahawan Malaysia, sebelum bersama rakan sejawatannya dari Vietnam, Nguyen, menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara syarikat Malaysia Jaks Resources Bhd dan empat entiti Vietnam di sebuah hotel di sini.

Perjanjian dengan pihak Vietnam yang membabitkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Elektrik Vietnam, Vinacomin dan Hai Doung Province Office itu
adalah bagi pembangunan sebuah kilang tenaga termal batu arang 600MW berharga AS$2 bilion (RM6.4 bilion) di wilayah Hai Duong.

Najib turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Gamuda Berhad dari Malaysia dan Gamuda Land Vietnam serta Hanoi City Peoples' Committee bagi perlaksanaan projek rawatan sisa buangan di daerah Hoang Mai dan projek pembangunan bandar di sini yang nilai kedua-duanya berjumlah AS$500 juta (RM1.6
bilion).

Syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia AirAsia Berhad dan VietJet Aviation Joint Stock Company pula menandatangani satu perjanjian perkongsian strategik bagi penyediaan perkhidmatan berkaitan penerbangan kepada VietJet Aviation Joint Stock Company dengan pelaburan bernilai kira-kira USD3.5 juta (RM11.3 juta), dan majlis menandatangani perjanjian itu juga disaksikan Najib.

Perdana Menteri turut menyertai pemimpin dari Vietnam, Filipina, Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura, Kemboja, Laos dan Myanmar untuk sesi retreat sidang kemuncak itu di pusat konvensyen berkenaan hari ini sebelum berlepas pulang.

Najib dijangka berlepas ke Washington malam ini untuk menghadiri Sidang
Kemuncak Keselamatan nuklear. - Bernama

Pertemuan Najib-Obama Isnin ini

HANOI: Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di luar Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington, AS, Isnin ini.

Perdana Menteri berkata, tarikh dan masa mesyuarat itu telah disahkan dan mereka akan membincangkan isu-isu dua hala.

"Walaupun ia adalah mesyuarat dua hala, saya bersedia membincangkan perkara berkaitan Asean sekiranya Obama membangkitkan isu itu," katanya selepas menghadiri hari terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-16 di Pusat Konvensyen Kebangsaan di sini, hari ini.

Najib akan berlepas ke Washington dari Kuala Lumpur malam ini untuk menyertai 40 pemimpin dunia pada sidang kemuncak dua hari itu bermula Isnin ini.

Kehadiran Najib pada sidang kemuncak itu adalah atas jemputan Presiden Obama menerusi sepucuk surat yang diutuskan kepada Perdana Menteri akhir tahun lalu.

Sidang itu dihoskan oleh Obama dengan tujuan meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam mengelak keganasan nuklear, iaitu ancaman serius kepada keselamatan global. - Bernama

Najib dijadual bertemu Obama di sidang kemuncak nuklear

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan melakukan lawatan kerja ke Washington DC dan New York, Amerika Syarikat pada 10 hingga 16 April.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri hari ini, Perdana Menteri dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear yang diadakan pada 12-13 April di ibu negara Amerika atas jemputan Presiden Barack Obama.

Semasa di Washington DC, Najib dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Obama di luar sidang kemuncak bagi membincangkan isu hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa.

"Penyertaan Perdana Menteri dalam Sidang Kemuncak Mengenai Keselamatan Nuklear akan memberikan peluang kepada Malaysia untuk bertukar-tukar pandangan dengan negara lain termasuk Amerika mengenai isu-isu keselamatan serta menjadi satu platform untuk Malaysia mengemukakan pendiriannya mengenai isu nuklear," menurut kenyataan itu.

Najib akan diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Penerangan
Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah; dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Rastam Mohd Isa.

Delegasi Malaysia dianggotai pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri,
Kementerian Luar Negeri, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertahanan dan
agensi berkaitan serta tokoh perniagaan dan wakil media.

Menurut kenyataan itu, semasa lawatan berkenaan Najib dijangka mengadakan
pertemuan dengan pegawai kanan Kerajaan Amerika, Ahli Kongres dan tokoh perniagaan Amerika.

Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama di Pusat Strategik dan Kajian Antarabangsa (CSIS) serta Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan di Dewan Perniagaan Amerika di Washington DC serta menyampaikan ucapan pada jamuan tengah
hari di Asia Society di New York.

Najib juga akan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman
antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Stevens Institute of Technology
(SIT) serta perjanjian antara Microsoft dan Hitech Padu.

Perdana Menteri turut dijadual melancarkan "Faces of Malaysia Showcase,"
satu program khas yang diadakan bertujuan mempromosikan Malaysia kepada khalayak
Amerika serta mengukuhkan jalinan antara rakyat kepada rakyat kedua-dua negara.

Faces of Malaysia Showcase akan diadakan mulai 10 hingga 11 April 10 dan 13
April.

"Lawatan kerja Perdana Menteri ke Amerika akan meningkatkan lagi hubungan
dua hala dan kerjasama antara Malaysia dan Amerika. Lawatan ini juga akan
profail Malaysia melalui penganjuran program Faces of Malaysia Showcase,"
menurut kenyataan itu.

Ini adalah lawatan kedua Najib ke Amerika sejak menjadi Perdana Menteri
pada April tahun lalu. Lawatan kerja pertama ke Washington DC dan New York
adalah pada 22 hingga 25 September semasa dalam perjalanan bagi menghadiri
Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel di Trinidad dan Tobago. - Bernama