Followers

Friday, January 15, 2010

Pemilihan peserta PLKN ikut komposisi kaum

KUALA KANGSAR: Mulai tahun ini, pengambilan peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan berdasarkan kepada komposisi kaum selaras dengan konsep 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pemilihan secara rawak peserta PLKN telah dilupuskan dan Kumpulan 1 Siri 7/2010 telah ditetapkan mengikut komposisi kaum iaitu 60 peratus Bumiputera, Cina (28), India (10) dan dua peratus lain-lain kaum.

"Komposisi ini sengaja dibuat bagi menterjemahkan hasrat Perdana Menteri untuk melihat supaya konsep 1Malaysia dapat dicerminkan dalam pengambilan peserta PLKN.

"Ianya bagi mewujudkan interaksi yang mendalam dan dijadikan satu proses asimilasi sosial, agar terdapat komunikasi silang budaya antara peserta bagi memahami perbezaan antara mereka," katanya kepada pemberita selepas pelancaran 1Malaysia PLKN di Kem Desa Rimba, Chenderoh, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Ahmad Zahid berkata, PLKN yang masuk tahun ke tujuh semakin diterima masyarakat termasuk pihak pembangkang yang kini menerima hakikat bahawa PLKN adalah untuk menjadikan pesertanya sebagai warga yang baik dan bukannya sebagai pusat indoktrinasi politik.

"Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) sendiri mempunyai seorang cucu di PLKN Balik Pulau. Kalau cucunya cedera ataupun 'mentally disturbed', tentu dia akan bercakap dengan penuh kebisingan di Parlimen.

"Itu memperlihatkan bahawa pembangkang juga menerima bahawa PLKN ini bukan satu tempat untuk memprovokasikan minda ke arah kerajaan atau pun parti tertentu, tapi acuan untuk menjadikan individu yang keluar sebagai warganegara yang baik," katanya.

Sementara itu, Mohamed Nazri turut sependapat bahawa PLKN sekarang semakin diterima masyarakat berdasarkan jumlah soalan berkaitan PLKN yang semakin berkurangan di Parlimen dengan tiada soalan langsung dikemukakan pada sesi Parlimen lalu.

"Keduanya, perbahasan dalam bajet berkenaan dengan PLKN 'kurang panas'... tidak seperti dulu. Jadi saya rasa ini boleh kita baca sebagai bahawa sudah ada penerimaan terhadap PLKN oleh masyarakat," katanya. - Bernama

Hospital kerajaan, swasta hadapi kekurangan darah

KUALA LUMPUR: Beberapa hospital kerajaan dan swasta mengalami kekurangan bekalan stok darah akibat pendermaan darah yang tidak begitu memberangsangkan sedangkan permintaannya adalah tinggi.

Hospital Pantai Kuala Lumpur hanya mempunyai bekalan stok darah 15 unit pain sehari dan terpaksa meminta bekalan darah dari Pusat Darah Negara sekiranya berlaku kes kecemasan bekalan seperti untuk kegunaan pembedahan dan bersalin.

Rabu lalu, hospital berkenaan memerlukan lebih 20 pain darah dan terpaksa meminta bantuan dari Pusat Darah Negara untuk menampung kekurangan bekalan darah hospital itu

Pegawai Penyelidik Hospital Pantai Kuala Lumpur, Lim Yen Yen, berkata walaupun hospital itu menganjurkan program derma darah bagi menampung keperluan bekalan darahnya tetapi ia tidak mendapat sambutan.

"Hanya 30 peratus sahaja penderma yang menderma berbanding sasaran kami iaitu sebanyak 70 peratus penderma melalui program derma darah yang diadakan di hospital kami pada hujung minggu dan pada hari-hari tertentu. Biasanya pun mereka terdiri kalangan pengunjung hospital sahaja," katanya.

Pegawai Makmal Transfusi Tabung Darah Hospital Serdang, Ruzaina Ariffin, pula berkata bekalan di hospital itu adalah terhad dan hanya akan meminta stok darah dari Pusat Darah Negara apabila diperlukan.

Katanya, kebanyakan kes yang memerlukan darah di hospital itu membabitkan penyakit jantung.

"Kami mendapatkan stok darah secara langsung dari Pusat Darah Negara yang sentiasa bekerjasama dengan kami untuk memastikan bekalan darah terus ada," katanya.

Pegawai Juruteknologi Makmal Perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Noor Azura Ismail, berkata hospital itu memerlukan 1,000 pain darah sebulan tetapi masa ini ia hanya mempunyai 600 pain.

Beliau berkata, pihak hospital itu telah mewujudkan unit bergerak pusat darahnya sendiri untuk mendapatkan bekalan darah.

Dalam usaha meningkatkan jumlah kutipan darah, Pusat Darah Negara dengan kerjasama pelbagai pihak akan menjalankan kempen menderma darah di beberapa lokasi dari 18 Januari hingga 24 Januari ini.

Orang ramai di sekitar Lembah Klang boleh menderma di unit-unit bergerak berkenaan bagi memastikan stok bank darah di hospital mencukupi.

Pada 18 Januari ini, unit bergerak Pusat Darah Negara antaranya akan berada di Blok Pasifik Wisma Rampai Setapak, Pusat Perubatan Taman Desa, The Legend Hotel Kuala Lumpur dan Concorde Hotel Kuala Lumpur, manakala pada 19 Januari pula ia akan berada di Terminal AMC KLIA Sepang dan Universiti Tunku Abdul Rahman di Setapak.

Pada 20 Januari pula kawasan terbabit ialah Bursa Malaysia Bhd, UTAR Sungai Long dan Ibu Pejabat Korporat KLIA, pada 21 Januari di Hospital Sungai Buloh, MMC Corporation Bhd Jalan Sultan Ismail, Segi Training College di Sri Kembangan, Unit Pertahanan Nasional Berhad dan Institut Profesional Baitulmal, Kuala Lumpur.

Pada 23 Januari, kempen derma darah akan diadakan di Jusco Cheras Selatan, Jusco Taman Maluri, Kolej Teknologi Maklumat Perubatan, KPJ Damansara Specialist Hospital dan Kelab Unity Ampang.

Pada 24 Januari pula orang ramai boleh menderma di Dewan Serbaguna Salak Selatan. - Bernama

40,000 hingga 50,000 maut akibat gempa di Haiti

BANDARAYA PANAMA: Palang Merah Antarabangsa menganggarkan antara 40,000 dan 50,000 orang terbunuh akibat gempa kuat di Haiti, dua hari lalu.

"Angka sebenar sudah diberi oleh kerajaan Haiti dan mereka menganggarkan antara 40,000 dan 50,000 nyawa melayang sehingga kini," kata Xavier Castellanos, ketua zon Amerika bagi Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Antarabangsa.

"Dengan kesan bencana ini amat besar, angka korban yang dikeluarkan kerajaan itu dianggap relevan," katanya.

Castellanos berkata, sekurang-kurangnya tiga juta rakyat Haiti menerima kesan dalam bencana berkenaan.

Pegawai Haiti sebelum ini memberi amaran angka kematian akibat gempa kuat berukuran 7.0 magnitud itu boleh mencecah 100,000 orang berikutan ia gempa terburuk sejak 160 tahun lalu. - AFP

Haiti: Sekat jalan dengan mayat tanda protes

PORT-AU-PRINCE: Penduduk Haiti yang arah mmengadakan sekatan jalan dengan mayat di Port-au-Prince bagi memprotes kelewatan bantuan kecemasan sampai kepada mereka selepas gempa bumi yang menyebabkan banyak kerosakan.

Shaul Schwarz, jurugambar majalah TIME, berkata beliau melihat sekurang-kurangnya dua sekatan jalan yang dibuat dengan mayat dan batu.

“Mereka mula menyekat jalan dengan mayat, keadaan semakin buruk di luar sana, orang ramai kecewa kerana bantuan tidak tiba," katanya. - Reuters

Mercy Malaysia gesa bantuan untuk Haiti

KUALA LUMPUR: Mercy Malaysia merayu rakyat negara ini membantu mangsa gempa bumi di Haiti dengan menghulurkan bantuan kepada pertubuhan yang kini berada di negara itu.

Presidennya, Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, berkata Mercy Malaysia sedang memantau situasi di negara itu dari ibu pejabatnya dan melalui rakannya, Merlin, sebuah badan bukan kerajaan yang beribupejabat di United Kingdom, yang kini berada di tempat kejadian di Haiti.

"Mercy Malaysia kini menghadapi kekurangan dalam aspek kewangan dan tenaga kerja. Bagi Haiti, jarak geografi memerlukan kos yang tinggi.

"Dengan itu kita tidak dapat menghantar kakitangan dan atau sukarelawan untuk memberikan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Haiti ketika mereka memerlukannya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

haiti dilanda gempa bumi dengan magnitud 7.0 semalam dan ramai penduduk dikhuatiri mati.

Ramai mangsa gempa bumi dikhuatiri terperangkap atau tertimbus di bawah runtuhan bangunan sekolah, hospital dan rumah. - Bernama