Followers

Monday, September 28, 2009

Gempa 5.5 Richter gegar Jawa Barat

JAKARTA: Satu gempa bumi berukuran 5.5 pada skala Richter menggegarkan Sukabumi, di Jawa Barat jam 7.26 pagi ini waktu tempatan.

Pusat gempa bumi itu terletak di latitud 8.17 darjah selatan, 107.23 darjah ke timur, kira-kira 143 kilometers tenggara Sukabumi, Jawa Barat, pada kedalaman 10 km bawah paras laut.

Agensi berita Antara memetik Pejabat Meteorologi, Cuaca dan Geofizik Indonesia (BMKG) sebagai berkata kejadian itu tidak berpotensi mencetuskan bencana tsunami.

Indonesia yang memiliki kepulauan terbanyak di dunia terletak di sekitar "Lingkaran Api" Pasifik yang sering terdedah kepada bencana gempa bumi.

Pada 2 September lalu, gempa bumi 7.2 pada skala Richter menggegarkan Wilayah Jawa Barat dan merosakkan sekurang-kurangnya 3,199 rumah di bandar raya dan daerah Sukabumi.

Gempa bumi kuat itu jelas dirasakan di 16 daerah di Jawa Barat, mengakibatkan 73 orang maut dan lebih 700 orang tercedera. - Bernama

SPRM gagal dalam cubaan tangguh inkues

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini gagal dalam cubaannya untuk menangguhkan prosiding inkues kematian seorang setiausaha politik, Teoh Beng Hock, selepas Mahkamah Rayuan hari ini mengarahkan supaya ia diteruskan.

Hakim Datuk Wira Low Hop Bing, yang mengetuai panel yang terdiri daripada Datuk K N Segara dan Datuk Ramly Ali berkata mahkamah tidak berhasrat untuk mengganggu prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dan SPRM boleh terus memanggil lain-lain saksi.

Terdahulu timbalan pendakwa raya C K Wong yang mewakili SPRM memohon penangguhan sementara inkues itu sementara menunggu keputusan rayuan SPRM terhadap keengganan Mahkamah Tinggi Petaling Jaya membenarkan permohonannya bagi mengenepikan keterangan seorang saksi T Sivanesan, yang mendakwa beliau didera dan diseksa oleh pegawai-pegawai SPRM semasa disoal siasat tahun lalu.

Low berkata mahkamah juga akan mendengar kedua-dua perkara bersama memandangkan penghakiman bertulis Mahkamah Tinggi Petaling Jaya masih belum disiapkan.

"Pendaftar mahkamah akan menetapkan tarikh awal untuk mendengar kedua-dua perkara bersama. Pendaftar juga akan menulis kepada setiausaha Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi untuk kenyataan sebab penghakiman, supaya ia disediakan dengan kadar segera," katanya.

Sivanesan sudah memberi keterangannya sebelum ini, namun beliau masih belum disoal balas oleh SPRM.

Inkues ditetapkan esok untuk mendengar keterangan daripada lain-lain saksi.

Pada 10 September lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Datin Yeoh Wee Siam mengenepikan permohonan SPRM untuk semakan semula selepas memutuskan bahawa tiada apa yang menyalahi undang-undang, yang tidak betul atau tidak kena, dalam tindakan koroner membenarkan Sivanesan memberi keterangan pada inkues itu.

Beliau turut menolak permohonan SPRM untuk penangguhan.

Pada 9 Sept koroner Azmil Muntapha Abas berhujah bahawa laporan polis yang dibuat oleh Sivanesan pada 11 September tahun lalu yang mendakwa beliau didera dan diseksa oleh sekumpulan pegawai SPRM, adalah berkaitan bagi membantu inkues dalam menentukan punca kematiah Teoh.

Beliau kemudiannya membenarkan Sivanesan untuk memberi keterangan dan menerima laporan polis bersama dengan satu set gambar yang dikemukakan di mahkahmah yang dikatakan memaparkan kecederaan sebagaimana yang didakwa.

Ekoran keputusan itu SPRM menfail semakan semula keputusan koroner.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penylahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Peguam Karpal Singh dan Gobind Singh Deo mewakili keluarga Teoh, manakala peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Azmah Yunus bagi kerajaan Selangor. - Bernama

Angka kematian H1N1 kekal 77 orang

KUALA LUMPUR: Angka kematian akibat influenza A (H1N1) masih kekal 77 orang selepas tiada kematian baru dilaporkan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata bagaimanapun, 40 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa influenza (ILI) dimasukkan ke hospital untuk dirawat manakala jumlah pesakit yang dibenar pulang ialah 97 orang.

"Ini menjadikan baki sebanyak 704 kes ILI sedang dirawat di 86 hospital termasuk lima hospital swasta di seluruh negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata hanya 113 pesakit atau 16 peratus disahkan positif H1N1 selepas ujian makmal dilakukan, dengan 17 orang atau 15 peratus daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Semua kes yang disahkan positif H1N1 dan dirawat di ICU mempunyai faktor risiko iaitu tujuh kanak-kanak di bawah umur lima tahun, empat pesakit obesiti, tiga berpenyakit kronik dan dua lagi menghidap penyakit respiratori kronik," katanya.

"Tiada pesakit baru yang dimasukkan ke ICU hari ini, manakala dua lagi dibenar pulang," katanya.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya menghantar anak-anak yang sihat sahaja ke sekolah selepas bercuti Hari Raya selama seminggu, manakala pelajar yang mengalami simptom seperti demam atau batuk mesti mendapatkan rawatan segera.

"Ibu bapa perlu segera membawa anak ke hospital jika mereka mengalami simptom seperti masalah pernafasan, batuk atau kahak berdarah, sakit dada berterusan, cirit birit atau muntah yang kerap dan kurang kencing," katanya.

Maklumat dan perkembangan terkini mengenai jangkitan influenza A (H1N1) boleh diperoleh melalui talian hotline 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 dari 8 pagi hingga 5.30 petang, melalui e-mel di cprc_h1n1@moh.gov.my serta laman web kementerian iaitu di http://www.moh.gov.my. - Bernama

Juruterbang Air India mogok, penerbangan Chennai-KL tergendala

CHENNAI: Operasi perkhidmatan udara di beberapa lapangan terbang di India sekali lagi dilanda kemelut selepas kira-kira 150 juruterbang Air India yang tidak berpuas hati, enggan bertugas dan mengambil 'cuti sakit' semalam.

Juruterbang berkenaan, kebanyakannya eksekutif kategori bukan ahli kesatuan sekerja, tidak berpuas hati dengan keputusan penjimatan pengurusan Air India untuk memotong insentif berkaitan produktif mereka sebanyak 50 hingga 70 peratus pada Rabu lalu, langkah yang akan mengurangkan secara drastik jumlah gaji mereka sekurang-kurangnya sebanyak 50 peratus.

Setakat pagi tadi, sekurang-kurangnya 20 penerbangan domestik dan antarabangsa sama ada dibatalkan atau ditangguhkan.

Penerbangan syarikat penerbangan kebangsaan itu dari Chennai ke Kuala Lumpur, yang dijadual berlepas pada jam 2 pagi Ahad dibatalkan dan satu lagi penerbangan dari Chennai ke Singapura, dijadual 12.45 pagi tadi juga tergendala.

"Semua penumpang Air India ditempatkan dalam pesawat Air India Express yang berlepas ke Kuala Lumpur pada jam 2.30 pagi.

"Masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai penerbangan pagi esok ke Kuala Lumpur.

"Perbincangan sedang diaturkan dan kami berharap semuanya dapat diselesaikan," kata pegawai kanan Air India yang berpejabat di Chennai hari ini.

Air India, dan anak syarikatnya, Air India Express yang juga syarikat penerbangan tambang murah, beroperasi ke 25 destinasi di seluruh dunia.

Kemelut itu berlaku dalam tempoh kurang dua minggu selepas kira-kira 400 juruterbang Jet Airways secara beramai-ramai "cuti sakit" selama beberapa hari, yang hampir melumpuhkan operasi domestik dan antarabangsa syarikat penerbangan itu.

Juruterbang Jet Airways mendesak pihak pengurusan mengambil semula dua daripada rakan mereka yang dipecat oleh syarikat penerbangan itu kerana cuba menubuhkan kesatuan sekerja.

Pertikaian itu diselesaikan selepas syarikat penerbangan itu bersetuju untuk mengambil semula mereka bekerja dan menggugurkan semua pertuduhan terhadap juruterbang yang mengadakan mogok. - Bernama

Tiada kematian akibat H1N1 sejak seminggu lalu

KUALA LUMPUR: Tiada kematian baru akibat influenza A (H1N1) dilaporkan sejak seminggu lalu dengan angka kematian kekal 77 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Bagaimanapun beliau berkata, 45 pesakit baru dengan gejala penyakit serupa influenza (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan 140 pesakit dibenarkan pulang.

"Ini menjadikan baki sebanyak 761 kes ILI yang sedang dirawat di 92 hospital termasuk 10 hospital swasta di seluruh negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, hasil ujian makmal hanya 103 pesakit atau 14 peratus yang mendapatkan rawatan didapati positif H1N1.

Katanya 19 kes atau 18 peratus kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua kemasukan baru, manakala dua kes lagi dibenarkan keluar hari ini.

"Semua kes disahkan positif H1N1 dan sedang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko iaitu lapan kanak-kanak di bawah umur lima tahun, empat pesakit obesiti, tiga orang berpenyakit kronik dan dua lagi menghidapi penyakit respiratori kronik," katanya. Beliau turut mengingatkan bahawa penularan penyakit H1N1 dalam komuniti adalah masih aktif dan menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan jika mengalami simptom ILI. Maklumat dan perkembangan terkini mengenai jangkitan Influenza A (H1N1) boleh diperolehi melalui talian hotline 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 dari 8 pagi hingga 5.30 petang, melalui e-mel di cprc_h1n1@moh.gov.my serta laman web kementerian iaitu di http://www.moh.gov.my. - Bernama

16 kematian hari ke-14 Ops Sikap

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 lagi kematian dicatatkan pada hari ke-14 Ops Sikap semalam menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya terus meningkat kepada 238 orang sejak operasi itu dimulakan dua minggu lalu.

Menurut statistik yang dikeluarkan Cawangan Trafik Bukit Aman hari ini, kemalangan maut melibatkan pengguna motosikal masih mendahului jumlah senarai dengan 11 kematian dan diikuti lima pengguna kereta.

Daripada 1,021 kemalangan yang berlaku semalam, jalan bandaran mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi iaitu 423 kes, diikuti jalan persekutuan (295), jalan negeri (184), lebuh raya (69) dan jalan-jalan lain (50 kes).

Dalam operasi semalam, sebanyak 9,664 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Ops Sikap ke-20 yang dilancarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Muar Johor pada 12 September lalu dan berakhir hari ini membabitkan kira-kira 2,000 penguatkuasa termasuk polis, bomba dan ambulans dalam usaha mengurangkan kemalangan jalan raya termasuk kemalangan maut sepanjang sambutan Aidilfitri. - Bernama

Tiada IPTA, IPTS keluarkan 'PhD' ekspres, palsu

JOHOR BAHRU: Kementerian Pengajian Tinggi menegaskan tiada institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini terlibat mengeluarkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) secara ekspres atau palsu.


Menterinya, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin, berkata berdasarkan laporan yang diterima, tiada juga pensyarah yang memperolehi PhD mereka secara ekspres ataupun palsu dilaporkan mengajar di IPTA dan IPTS di negara ini.

"Tiada IPTA mahupun IPTS di negara ini yang terlibat dalam pengeluaran PhD secara ekspres ataupun palsu, begitu juga pensyarah yang memiliki PhD mereka secara ekspres ataupun palsu mengajar di IPTA dan IPTS negara kita," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan hari raya Parlimen Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang meminta Jabatan Peguam Negara memutuskan sama ada pembelian gelaran seperti "Datuk" dari luar negara atau PhD secara ekspres adalah perbuatan jenayah atau sebaliknya.

Rais turut melahirkan kebimbangan terhadap kegiatan itu yang akan melahirkan satu generasi "ilmuwan palsu".

Mohd Khaled berkata prosedur pengambilan pensyarah amat ketat dengan kementerian melakukan semakan terhadap kelulusan sebelum seseorang itu diambil sebagai tenaga pengajar di universiti.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, dalam era teknologi maklumat ketika ini, kenyataan Rais yang mudah tersiar di seluruh dunia itu dikhuatiri akan menimbulkan persepsi yang tidak baik kepada sektor pengajian tinggi negara.

Sehubungan itu, beliau meminta Rais menjelaskan secara terperinci kenyataannya itu dan menurutnya beliau akan merujuk perkara itu pada mesyuarat Kabinet, Rabu depan.

Sementara itu, Mohd Khaled berkata kementeriannya akan melihat pelbagai faktor sebelum memindahkan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ke kampus tetap yang dirancang di Kuantan, Pahang, dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

Beliau berkata buat masa ini kementerian menumpukan soal-soal pembangunan intelektual termasuk pembelajaran dan pengajaran berbanding pembangunan kampus baru.

"Walaupun kerajaan Pahang mahu beri tanah, tetapi kita kena ambil kira aspek pemantapan pembelajaran dan tidak hanya melihat pembesaran ataupun pembinaan kerana itu bukan ukuran untuk mengukur kedudukan sesebuah universiti.

"Kita sedang bina bangunan lagi di kampus UPNM di ibu negara untuk menempatkan fakulti-fakulti. Maka sama ada perlu atau tidak kampus baru, kita tunggu sampai masanya. UPNM adalah universiti baru, bila sudah mantap baru kita ambil kira soal perpindahan," katanya. - Bernama