Followers

Sunday, June 13, 2010

Gempa bumi kuat pada magnitud 6.1 gegarkan Jepun

TOKYO: Gempa bumi kuat pada magnitud 6.1 menggegarkan kepulauan Honshu, Jepun hari ini, kata pakar seismologi.
Bagaimanapun, amaran tsunami tidak dikeluarkan susulan kejadian itu.
Agensi Meteorologikal Jepun, berkata gempa yang melanda pada jam 12.33 tengah hari tadi (waktu tempatan) dicatatkan pada kedalaman 40 kilometer, iaitu 100 kilometer utara Tokyo.
Agensi terbabit menambah, tiada kemungkinan berlakunya tsunami dan laporan kerosakan atau kecederaan tidak diterima.

Pada awalnya, Jabatan Kajiselidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan catatan yang diterima adalah pada magnitud 6.4.

USGS berkata, gempa berkenaan dicatatkan pada magnitud 6.1 walaupun agensi di Jepun mengukurnya pada 6.2. - AFP

Kabinet tangguh pelaksanaan kenaikan gaji pengawal keselamatan

PUTRAJAYA: Kabinet bersetuju menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji pengawal keselamatan yang dijadualkan 1 Julai ini.
Menteri Sumber Manusia , Datuk Dr S Subramaniam dalam kenyataannya, berkata keputusan itu dibuat selepas menerima dan mengkaji maklum balas daripada persatuan perkhidmatan kawalan keselamatan.

Gempa bumi sederhana melanda San Diego

BORREGO SPRINGS (California): Gempa bumi sederhana melanda kawasan gurun di timur San Diego, tetapi tiada laporan kerosakan harta benda atau kecederaan diterima sehingga kini.
Jabatan Kaji selidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), berkata gempa pada magnitud 4.8 itu berlaku pada jam 8.08 malam (waktu tempatan) kira-kira pada jarak 16 kilometer utara Borrego Springs.
Penduduk di kawasan sekitar San Diego turut merasai gegaran itu. - AP

Piala Dunia: England 1 Amerika Syarikat 1

PENJAGA gol England, Robert Green kecewa selepas kesilapannya pada minit ke-40 menyebabkan England berkongsi mata dengan Amerika Syarikat pada perlawanan Kumpulan C, Piala Dunia 2010 FIFA di Stadium Royal Bafokeng, Afrika Selatan, awal pagi tadi. Keputusan England, 1,  Amerika Syarikat, 1. - Foto AFP

PENJAGA gol England, Robert Green kecewa selepas kesilapannya pada minit ke-40 menyebabkan England berkongsi mata dengan Amerika Syarikat pada perlawanan Kumpulan C, Piala Dunia 2010 FIFA di Stadium Royal Bafokeng, Afrika Selatan, awal pagi tadi. Keputusan England, 1, Amerika Syarikat, 1. - Foto AFP

RUSTENBURG: Kesilapan penjaga gol England, Robert Green memaksa England berkongsi mata dengan Amerika Syarikat pada perlawanan Kumpulan C, Piala Dunia 2010 FIFA di Stadium Royal Bafokeng, Afrika Selatan, awal pagi tadi.

Cubaan pemain Amerika Syarikat, Clint Dempsey pada minit ke-40 yang menuju terus ke penjaga gol England gagal ditangkap kemas penjaga gol itu. England yang kerap mengasak kubu Amerika Syarikat selepas gol penyamaan itu bagaimanapun gagal membolosi gawang lawan dan memaksa perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Sebelum itu, pemain tengah England, Steven Gerrard berjaya menceriakan kem England selepas cubaannya pada minit keempat permainan menghasilkan gol pertama pasukannya.

Prestasi Najib tadbir negara cemerlang: Tun Abdullah

KEPALA BATAS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menunjukkan prestasi cemerlang dalam mentadbir negara dan ini dibuktikan melalui pelaksanaan beberapa dasar baru yang memberi manfaat kepada rakyat, kata bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata, antara kejayaan itu ialah pengenalan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang bermatlamat memastikan kesejahteraan rakyat dan kejayaan Malaysia tersenarai dalam kedudukan 10 negara paling kompetitif di dunia.
"Seperti contoh tersenarai di tempat ke-10 negara paling kompetitif, fakta ini bukan direka dan ia bukannya dikeluarkan Barisan Nasional (BN) tetapi oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa.
"Tiada satu negara dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Negara-Negara Berkecuali (NAM) tersenarai dalam kedudukan 10 terbaik. Ini satu perkara baik dan pihak lain tidak perlu lagi pertikai kredibiliti Perdana Menteri," katanya.

Abdullah yang juga ahli Parlimen Kepala Batas berkata demikian ketika merasmikan Minggu Perpaduan peringkat negeri di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas di sini, hari ini.

Enam NKRA berkenaan ialah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, menambahbaik sistem pengangkutan awam, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman dan akses lebih luas kepada pendidikan.

Abdullah berkata, Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015) yang dibentangkan Najib pada Khamis juga adalah pelan pembangunan lima tahun yang mapan.
Oleh yang demikian, katanya, jangan ada pihak yang cuba mempertikaikan usaha Najib dalam mentadbir negara yang telah membuahkan hasil dan memberi banyak faedah kepada rakyat dan negara.

Sementara itu, beliau menyeru rakyat supaya terus berpegang kepada semangat muafakat serta perpaduan bagi memastikan kelancaran pembangunan Malaysia.

"Berpegang kuat kepada perpaduan dan jangan timbulkan prasangka tidak baik di kalangan masyarakat. Kalau tiada perpaduan akan berlaku kacau bilau serta pergaduhan, tiada siapa senang dan merugikan ramai pihak," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Azman Amin Hassan. - Bernama