Followers

Thursday, December 24, 2009

Najib ingin lihat Krismas yang 'hijau'

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berharap semua rakyat Malaysia, tidak kira apa jua kepercayaan agama, mempamerkan kemurahan hati dan perasaan belas kasihan dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang paling memerlukannya.

Sempena sambutan Krismas esok, Perdana Menteri dalam blognya www.1malaysia.com.my hari ini, berkata golongan yang paling memerlukan bantuan itu termasuk daripada mereka yang tidak berdaya kepada yang susah sehinggalah kepada perkhidmatan kecemasan yang sentiasa sedia berkhidmat.

"Dengan semangat kemurahan hati ini, kita harus juga menunjukkan keprihatinan terhadap alam sekitar. Satu perayaan Krismas yang lebih hijau boleh diadakan.

"Misalnya, dengan mendermakan hadiah-hadiah yang tidak diperlukan, menggunakan kertas kitaran semula sebagai pembalut hadiah dan berjimat cermat dengan penggunaan lampu Krismas," katanya.

Najib berkata, dalam keseronokan meraikan Krismas kali ini boleh membuatkan rakyat berbelanja lebih walaupun dalam waktu mereka kurang bebas berbelanja kini.

Katanya, musim perayaan ini adalah waktu untuk menyemarakkan perasaan muhibah dan keriangan terutamanya dalam kalangan mereka yang kurang bernasib baik.

Perdana Menteri juga berkata, perayaan seperti ini memberikan satu peluang kepada orang ramai untuk berehat dan bermesra bersama keluarga, sahabat handai dan jiran tetangga.

"Seperti Hari Raya sebelum ini, kenapa tidak gunakan perayaan ini untuk merapatkan hubungan tetamu daripada latar belakang yang berbeza di bawah satu bumbung?

"Dengan ingatan ini, saya mengucapkan kepada semua yang merayakan hari yang paling istimewa ini satu Krismas yang sangat menggembirakan, aman dan damai serta harmoni," katanya. - Bernama

4 maut kilang kimia Jepun meletup

TOKYO: Empat lelaki maut dalam letupan di kilang kimia di Osaka, Jepun, hari ini, ketika mangsa sedang memotong penutup tangki kimia bagi membersihkan tangki itu, kata Kyodo News.

Letupan berlaku jam 8.50 pagi di kilang pengeluaran sebatian fluorin milik Morita Chemical Industries Co (Morita Chemical) di wad Yodogawa, Osaka.

Anggota bomba berkata, sebahagian daripada bumbung kilang itu musnah akibat daripada letupan itu.

Menurut laporan media negara itu, dua daripada empat mangsa ditemui jatuh di atas bumbung tingkat tiga bangunan berkenaan manakala bakinya berada di atas tanah.

Tangki itu menyimpan bahan kimia toksik yang dikenali sebagai borontrifluoride, yang digunakan dalam pengeluaran semikonduktor dan penyelesaian electrolytic bagi bateri litium.

Sementara itu, Morita Chemical berkata, syarikat itu mengeluarkan sebatian fluorin untuk industri yang digunakan di kilang dan kebiasaannya sebatian fluorin tidak meletup. - Bernama

Enjin F-5E yang hilang dikesan di Argentina

KUALA LUMPUR: Dua enjin jet pejuang buatan Amerika Syarikat F-5E bernilai AS$29 juta yang hilang dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dikesan berada di Argentina.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata pegawainya sedang menyemak dengan rakan setugas di Buenos Aires untuk memastikan enjin yang hilang itu masih berada di negara berkenaan.

“Enjin yang dicuri itu dibawa ke Aregntina. Kami perlu periksa sama ada enjin itu masih berada di negara berkenaan," katanya kepada AFP hari ini.

Laporan berita minggu ini menyatakan enjin berkenaan dijual di pasaran gelap oleh pegawai tentera kepada syarikat berpangkalan di Afrika Selatan selepas diambil dari pangkalan TUDM tahun lalu.

Selain enjin, bahagian lain pesawat pejuang itu juga dilaporkan dicuri. - AFP

PMR: 28,188 pelajar peroleh semua A

PUTRAJAYA: Seramai 28,188 pelajar memperoleh semua A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah tahun ini berbanding 26,378 pada tahun lalu.

Ketika mengumumkan analisis keputusan peperiksaan itu di sini hari ini, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata Gred Purata Nasional (GPN) pada tahun ini ialah 2.83 berbanding 2.78 tahun sebelumnya.

Beliau berkata, calon luar bandar yang mendapat semua A ialah 4,775 berbanding 4,345 pada 2008 manakala 87,936 pelajar melepasi tahap minimum (A,B,C,D) berbanding 88,565 tahun sebelumnya.

"Pelajar yang mendapat semua E pula adalah 123 orang daripada 159 pada tahun lalu," katanya. - Bernama

PMR: Bilangan calon dapat semua A meningkat

PUTRAJAYA: Bilangan calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini mendapat A dalam semua subjek meningkat 1,810 atau 0.41 peratus kepada 28,188 berbanding 26,378 tahun lalu.

Gempa sederhana melanda Indonesia awal pagi ini

JAKARTA: Gempa bumi sederhana melanda Indonesia hari ini, tetapi tiada amaran tsunami dan laporan kerosakan dikeluarkan.

Jabatan Kajiselidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), berkata gempa pada magnitud 5.6 itu berlaku pada jam 6.37 pagi tadi waktu tempatan, pada ke dalaman 76 kilometer dan tercetus di tengah-tengah 199 km barat - barat laut Saumlaki.

Kedudukan Indonesia terletak di lingkaran api Pasifik iaitu di mana pertemuan plat benua yang menyebabkan kadar aktiviti gunung berapi dan seismik yang tinggi.

Gempa pada magnitud 7.6 melanda kepulauan Sumatera 30 September lalu dan meragut lebih 1,000 nyawa. - AFP