Followers

Sunday, October 18, 2009

Gempa sederhana gegar Indonesia

JAKARTA: Gempa bumi sederhana pada magnitud 5.8 melanda kepulauan Sulawesi, Indonesia, hari ini, kata ahli seismologi, sebentar tadi.

Bagaimanapun, katanya, tiada laporan berlaku sebarang kerosakan dan amaran tsunami tidak dikeluarkan.

Agensi Klimatologi dan Meteorologi Indonesia, berkata gempa yang berlaku jam 3.23 petang tadi waktu Indonesia itu menggegarkan timur laut bandar Kendari dan tenggara wilayah Sulawesi.

Ekonomi negara dijangka pulih tahun depan: Awang Adek

KUALA TERENGGANU: Keadaan ekonomi negara dijangka kembali pulih tahun depan dengan mencatatkan pertumbuhan yang positif sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata, keyakinan dan andaian itu berdasarkan pergerakan ekonomi dunia sekarang yang menunjukkan ke arah pemulihan.

"Dalam suku pertama dan suku kedua pertumbuhan ekonomi negara kita pada tahun ini mencatatkan pertumbuhan yang negatif dan dunia pun macam itu.

"Bagaimanapun ada baiknya apabila penguncupan pada akhir suku kedua ia kecil sedikit iaitu 3.9 peratus berbanding sebelum ini penguncupannya sehingga enam dan tujuh peratus," katanya selepas merasmikan majlis Konvokesyen Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) kedua di sini, hari ini.

568 graduan yang mengikuti pengajian tiga tahun di KIST Induk di Bachok menerima diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen terbabit.

Dr Awang Adek berkata, tidak dinafikan dalam keadaan ekonomi yang lembab, ramai yang berhadapan dengan masalah diberhentikan kerja, namun ia hanya bersifat sementara.

"Apabila ekonomi kembali pulih, pelaburan bertambah, sudah tentu peluang pekerjaan akan wujud. Mereka yang diberhentikan itu akan diambil semula bekerja," katanya.

Katanya, negara mengalami kekurangan eksport yang agak ketara iaitu kira-kira 20 peratus dan apabila kilang-kilang ini kembali beroperasi tahun depan, majikan akan mengupah kembali tenaga kerja.

Dr Awang Adek juga berkata, kerajaan juga banyak mengadakan program-program latihan dan kemahiran yang dikendalikan Kementerian Sumber Manusia untuk mereka yang diberhentikan kerja.

"Sebenarnya di negara ini kerja memang banyak, tinggal lagi ada antara kita yang suka memilih kerja. Peluang kerja begitu banyak di sektor perladangan dan restoran-restoran tetapi kebanyakannya tidak diminati oleh pekerja kita," katanya. - Bernama

Populariti Mahmud Abbas menurun 12.1 peratus, Fatah kekal popular

BAITULMUQADDIS: Keyakinan rakyat Palestin terhadap presidennya, Mahmud Abbas jatuh kepada 12.1 peratus berbanding 17.8 pada Jun lalu, menurut undi yang dilakukan Pusat Media dan Komunikasi Jerusalem (JMCC), hari ini.

Undian itu menunjukkan, walaupun popularitinya menurun sejak beberapa minggu kebelakangan ini, namun partinya yang membawa fahaman sekular, Fatah lebih popular berbanding kumpulan Hamas.

Ketika ditanya sama ada rakyat negara itu siapa yang akan mereka undi dalam pilihan raya presiden yang diadakan tahun depan, Mahmud Abbas mendapat undian yang sama dengan Perdana Menteri Hamas, Ismail Haniya dan pemimpin Fatah, Marwan Barghuti yang ketika ini dipenjarakan seumur seumur hidup di penjara Israel.

Berdasarkan kaji selidik itu, ketiga-tiga mereka akan memperoleh undian antara 16 hingga 17 peratus.

Sementara itu, Parti Fatah mendapat 40 peratus undi berbanding Hamas yang hanya memperoleh 18.7 peratus bagi pilihan raya umum 2010 negara itu, di mana kebanyakan mereka lebih cenderung ke arah parti Mahmud Abbas. - AFP

Maklumat H1N1 sekali dalam seminggu

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan hari ini, memaklumkan bahawa kenyataan media mengenai penularan kes Influenza A(H1N1) hanya akan dikeluarkan seminggu sekali memandangkan terdapat trend penurunan kes berkenaan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata kementerian memutuskan bahawa kenyataan media hanya akan dikeluarkan setiap Rabu, berbanding setiap hari sebelum ini.

Dr Mohd Ismail juga memaklumkan bermula esok, perkhidmatan Talian Bebas (03-88810200 atau 03-88810300) hanya akan beroperasi pada Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

"Bagaimanapun, sebarang pertanyaan mengenai H1N1 masih boleh dihantar melalui e-mel kepada Kementerian Kesihatan di alamat cprc_h1n1@moh.gov.my," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Maklumat terkini berkaitan penyakit berkenaan juga masih boleh diperolehi menerusi laman web www.moh.gov.my atau www.h1n1.moh.gov.my.

Mengulas situasi terkini H1N1, Dr Mohd Ismail berkata, hari ini seramai 102 pesakit baru dengan gejala influenza-like-illness (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan, sementara 126 kes discaj.

Sehingga kini, jumlah semasa kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara adalah sebanyak 580 kes di 76 hospital termasuk tiga hospital swasta, katanya.

"Daripada jumlah kes ILI yang sedang dirawat, hanya 23 pesakit atau empat peratus adalah kes influenza A(H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal," katanya.

Beliau berkata, daripada 23 orang pesakit Influenza A(H1N1) yang menerima rawatan di hospital, sebanyak lima kes atau 22 peratus sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Pada hari ini tiada kemasukan kes baru ke ICU dan seorang telah discaj. Kesemua lima kes yang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko seperti obesiti (1), penyakit kronik (2) dan kanak-kanak bawah lima tahun (2)," katanya.

Dr Mohd Ismail turut memaklumkan tiada kematian akibat influenza A(H1N1) yang dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kematian kekal 77 orang. - Bernama

Kementerian tunggu WHO umum tahap ancaman terkini H1N1

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan masih menunggu pengumuman daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai status wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1) di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin hari ini, berkata laporan WHO itu akan dapat menentukan sama ada Influenza A(H1N1) itu masih ancaman di Malaysia .

Walaupun tidak terdapat kes kematian berikutan wabak itu dilaporkan sejak sebulan lepas, kementerian masih meneruskan langkah berjaga-jaga bagi mencegah penularannya,” katanya di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri Sabah di sini.

Beliau juga menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan yang sesuai termasuk mendapatkan rawatan segera jika mereka mempunyai simptom penyakit serupa influenza. - Bernama

60 terbunuh dalam serangan anti-Taliban

RAWALPINDI (Pakistan): Kira-kira 60 militan terbunuh dalam tempoh 24 jam selepas serangan besar-besarkan dilakukan terhadap Taliban di Selatan Waziristan, hari ini, menurut pihak tentera Pakistan.

“ Dalam tempoh 24 jam itu, dilaporkan 60 pengganas terbunuh dalam operasi Rah-e-Nijat. Di pihak keselamatan Pakistan pula, lima askar terbunuh dan 11 yang lain cedera,” katanya pihak tentera dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.

Jurucakapnya, berkata kumpulan askar sudah menghantar laporan kehilangan nyawa ke ibu pejabat di bandar Rawalpandi, di mana ia dikepung kumpulan lelaki bersenjata minggu lalu. - AFP

Taufan Lupit pula badai utara Manila

Ribuan penduduk diarah segera berpindah

MANILA: Gabenor wilayah utara Filipina, Nestor Fengwan mengarahkan berpuluh-puluh ribu penduduk di kawasan yang dilanda taufan baru-baru ini meninggalkan kediaman mereka apabila satu lagi taufan baru, Lupit, dijangka melanda.

"Mereka mesti berpindah jika mahu selamat, tetapi ada sebilangan lagi masih berdegil," katanya.

Beliau berkata, pesawat tentera sudah membawa bekalan makanan ke kawasan yang tidak dapat dihubungi melalui jalan darat.

Jabatan kaji cuaca melaporkan, Lupit, perkataan Filipina yang bermaksud 'kejam', mengumpulkan kekuatan sepanjang malam dan berubah menjadi taufan dengan kelajuan angin dari 130 kilometer meningkat kepada 160 kilometer sejam.

Ketua jabatan kaji cuaca kerajaan, Nathaniel Cruz, berkata taufan Lupit mungkin tidak membadai kawasan padat penduduk di utara Filipina, sebaliknya berubah arah menghala ke Taiwan awal minggu depan.

"Bagaimanapun, ia mungkin menyebabkan kemusnahan sama seperti taufan Parma sebelum ini. Lupit bergerak perlahan di laut timur Luzon dan diramal mengumpul semula kekuatan selepas itu," katanya.

"Kami memberitahu mereka mengenai taufan baru dan perlu lakukan perpindahan awal," kata Olive Luces yang mengetuai Pejabat Pertahanan Sivil di bandar Baguio, 210 kilometer ke utara Manila.

"Disebabkan landskap yang berbukit dan dihuni lebih 1.2 juta penduduk, bandar kawasan berkenaan adalah zon bahaya," kata Luces.

Oleh itu, penduduk yang tinggal di kawasan tanah rendah, dekat lurah dan cerun gunung adalah paling perlu dipindahkan.

Pusat Amaran Taufan Bersama kendalian tentera Amerika Syarikat di Hawaii, menjangka ribut itu mungkin mula melanda Rabu ini di wilayah timur laut, Isabela atau Cagayan sebelum bergerak ke Ilocos pada hari sama.

Di wilayah Benguet, polis diarah pergi dari rumah ke rumah bagi meminta penduduk berpindah sebelum taufan baru melanda, selepas sekurang-kurangnya 288 orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh berikutan taufan Parma sebelum ini.

Gempa raksasa ancam Sumatera


GAMBAR dari udara menunjukkan kemusnahan akibat gempa di Padang.

Perubahan cuaca punca bencana lebih kerap: PBB

SINGAPURA: Satu gempa bumi raksasa diramal melanda pulau Sumatera dalam tempoh 30 tahun yang mencetuskan tsunami gergasi sekali gus menjadikan gegaran bulan lalu pada skala kecil saja, kata seorang pakar geologi.

Selain itu, seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula berkata, perubahan cuaca dunia bermakna bencana alam pada masa depan adalah lebih besar dan kerap.

Gempa raksasa itu juga akan memakan masa lebih lama berbanding gegaran 7.6 skala Richter yang melanda Sumatera Barat pada 30 September lalu hingga meranapkan bandar Padang.

"Kami jangka gempa raksasa itu mencapai 8.8 skala Richter," kata Pengarah Pemantauan Bumi Singapura, Kerry Sieh ketika membentangkan pandangan pakar geologi di Universiti Teknologi Nanyang.

"Gempa itu juga akan berlangsung lima minit. Kekuatannya sehingga 7.6 skala Richter adalah kecil dibandingkan gempa besar," katanya. Gempa di Sumatera itu berlangsung 45 saat.

PASUKAN penyelamat meneruskan operasi mencari mangsa tanah runtuh di La Trinidad, wilayah Benguet selepas dilanda tuafan.

Angka korban rasmi adalah 1,115 sehingga Rabu lalu tetapi ramai lagi dipercayai maut selepas beberapa perkampungan tertimbus selain kira-kira 100,000 rumah musnah menyebabkan setengah juta penduduk hilang kediaman.

Katanya, gempa bulan lalu itu petanda gegaran lebih besar lagi berdasarkan catatan sejarah gempa selepas sampel terumbu karang dikaji.

Di Jakarta, Setiausaha Agung Rendah PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan, John Holmes berkata, perubahan cuaca dunia bermakna taufan lebih besar, banjir lebih buruk dan kemarau lebih lama selain kebakaran hutan.

Holmes berada di Indonesia selama dua hari selepas gempa 30 September lalu turut memberitahu:

"Tengok trend perkara itu. Berapa banyak bencana sudah berlaku dan sejauh mana kesannya," kata Holmes yang juga Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB.

"Ada perkaitan antara perubahan cuaca dan bencana lebih kerap," katanya. � AFP