Followers

Tuesday, August 25, 2009

Sabah & Sarawak: Belajar 3M pada usia lanjut

26 wanita warga emas rebut peluang diberikan kerajaan

TENOM: Sudah berusia 60 tahun pun masih ingin belajar membaca, menulis dan mengira (3M)? Mengapa sudah tua baru hendak belajar? Mengapa tidak bersekolah ketika muda?

Itulah persoalan yang mungkin terlintas di fikiran umum apabila diberitahu masih ada anggota masyarakat sudah lanjut usia masih mempelajari 3M. Malah, bagi sesetengah orang, ia mungkin tidak masuk akal.

Pada usia mencecah 60 tahun, penduduk Kampung Bakuku, Ulu Tomani dekat sini tidak pernah patah semangat untuk menimba ilmu walaupun waktu itu seharusnya diluangkan untuk bermesra dengan anak cucu.

Bukan untuk mencapai kecemerlangan akademik, bukan juga untuk mendapatkan pekerjaan yang menawarkan gaji tinggi di sektor awam atau swasta.

Sebaliknya, 26 wanita yang sebahagian besarnya warga emas menghambakan diri untuk menimba ilmu 3M yang tidak pernah dinikmati.

Kemiskinan yang menghimpit tidak memberi peluang mereka menimba ilmu secara formal. Faktor jarak kampung 25 kilometer untuk ke pekan kecil Kemabong, dekat sini, melalui jalan tidak berturap dan dikelilingi hutan tidak membolehkan mereka ke sekolah.

Tinjauan Berita Harian di kampung itu baru-baru ini mendapati, walaupun sibuk mengikuti kelas anyaman disediakan pegawai dan kakitangan Kraftangan Malaysia dengan kerjasama Sabah Forest Industry (SFI) di kampung itu, mereka tidak mahu melepaskan menyertai kelas dewasa.

Peluang menimba ilmu secara formal yang seolah-olah sudah terpadam daripada perjalanan hidup mereka, terbuka luas apabila Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran menyediakan program Kelas Dewasa sejak April 2008.

Ia bertujuan membasmi buta huruf di kalangan masyarakat luar bandar, sekali gus membolehkan mereka menikmati pembangunan negara.

Di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakuku, 26 wanita yang tidak pernah menikmati pendapatan tetap dan hanya menjadi suri rumah merebut peluang mengenal huruf dan konsep 3M.

Setiap Selasa, Rabu dan Khamis, wanita berusia antara 35 hingga 60 tahun itu berada dalam kelas selama dua jam mulai jam 2 petang.

Dengan dibimbing guru sekolah berkenaan, Daniel Chiong, mereka diajar mengenal huruf bagi membolehkan membaca dan menulis, selain mengira.

"Kebanyakan mereka tidak pernah menerima pendidikan sebelum ini. Sejak mengikuti kelas ini, mereka sudah boleh membaca dan menulis perkataan dan ayat mudah.

"Mereka juga sudah boleh mengira dan membuat Matematik mudah. Awalnya memang sukar tetapi berkat kesungguhan, sekarang mereka sudah boleh berbuat demikian" katanya.

Suliya Ambun, 60, berkata beliau tidak akan melepaskan peluang ke kelas setiap jam 2 petang Selasa, Rabu dan Khamis.

"Sebelah pagi saya membantu suami di kebun. Habis kerja di kebun, saya pulang memasak. Petang saya masuk kelas.

Asda Ngilo, 43, menerima galakan daripada suami dan anaknya untuk menyertai kelas itu.

"Saya tidak pernah menyesal tidak mampu membaca dan menulis sebelum ini kerana ibu bapa saya memang tidak mampu menyekolahkan saya ketika kecil.

"Sekarang saya gembira kerana sudah mengenal huruf dan mengeja," katanya.

Kementerian Pelajaran menyediakan 195 Kelas Dewasa di seluruh negara, iaitu 93 sekolah rendah di Semenanjung yang keseluruhan pelajarnya adalah Orang Asli dan 102 sekolah rendah yang membabitkan pribumi di Sabah dan Sarawak.

Selain SK Bakuku, sekolah lain di Sabah yang turut menyediakan kelas berkenaan ialah SK Tumunda Salimandut di Kota Marudu dan SK Kampung Solob di Sipitang.

Setiap kali hadir, pelajar diberi elaun RM15 selain RM4 untuk membeli makanan dan minuman. Mereka perlu mengikuti kelas bahasa Melayu dan Matematik 200 jam dalam 100 hari dari Mac lalu hingga November depan.

Jelas, pada usia yang sudah lanjut, ilmu yang disediakan secara percuma oleh Kementerian Pelajaran bagaikan bulan jatuh ke riba untuk warga emas di pedalaman. Kesungguhan mereka menimba ilmu seharusnya menjadi pendorong untuk pelajar yang mengikuti pembelajaran secara formal di sekolah.

Sabah & Sarawak: Stok mercun Aidilfitri

Seludup melalui Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar elak taktik dikesan

TELUK SEPANGGAR: Ada berani? Belum pun anak bulan Syawal ditinjau untuk penentuan tarikh raya puasa, sekumpulan 'penjenayah profesional' lebih cepat bertindak mencari jalan menyeludup mercun masuk ke Sabah minggu lalu, dipercayai untuk diedar menjelang sambutan Aidilfitri.

Menyedari ketangkasan pihak berkuasa terutama Kastam Diraja Malaysia (KDRM) mengesan setiap percubaan penyeludupan terutama laluan darat termasuk menyusup di hutan, kumpulan berkenaan mengalih taktik dengan menggunakan laluan halal' iaitu Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar, di sini.

Mengisytiharkan barang dibawa masuk sebagai tepung, pakaian dan perkakasan elektrik walaupun hakikatnya ia adalah rokok, minuman keras dan mercun, mereka dipercayai berjaya melepasi pemeriksaan pelabuhan di negara asal sambil berharap tuah sama turut dinikmati di Sabah.

Difahamkan, barang seludup itu adalah stok untuk jualan pasaran gelap dengan harga jauh lebih rendah dan sesetengahnya sudah ada pembeli yang membuat tempahan.

Selicik mana sekalipun akal mereka, anggota KDRM Sabah jelas jauh lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Pergerakan mencurigakan barang yang melepasi pemeriksaan diperhati dengan rapi tanpa disedari suspek yang mengira `keuntungan atas angin'.

Pengarah KDRM Sabah, Datuk Md Yusof Mansor, berkata penyeludup terbabit berasa lebih selamat menggunakan pelabuhan kerana yakin tiada pemeriksaan ketat dilakukan sebaik lulus perisytiharan di negara asal.

"Berdasarkan beberapa siri rampasan barang seludup, KDRM Sabah mendapati ada barang dibawa masuk melalui Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.

"Ia dikesan menerusi dokumen perisytiharan barang dikemukakan, kononnya barang itu adalah tepung, pakaian dan barang elektrik tetapi apabila diperiksa lanjut, ia adalah rokok, minuman keras dan mercun," katanya di sini, baru-baru ini.

Mengikut Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), KDRM tidak boleh menyekat kemasukan kontena yang mematuhi syarat pihak berkuasa pelabuhan di negara asal barang itu dibawa.

Md Yusof berkata, pihaknya cuma boleh membuat pemeriksaan selepas barang dipunggah dan jumlah barang terlalu banyak untuk diperiksa menyebabkan ada beberapa kes barang larang terlepas pandang seperti minuman keras, rokok dan mercun.

"Ada yang berjaya dirampas semula ketika cuba diseludup ke pasaran gelap. Ada juga ejen cuba melawan dengan alasan barang melepasi tapisan di pelabuhan dengan menunjukkan dokumen perisytiharan barang," katanya.

Minggu lalu, KDRM Sabah melakukan rampasan terbesar mercun di negeri itu setakat ini iaitu 239 kotak bernilai RM250,000 di sebuah rumah tidak bernombor di Menggatal, dekat sini.

Rampasan itu membawa kepada penahanan seorang suspek lelaki berusia lingkungan 30-an bagi membantu siasatan manakala pemilik kediaman masih dikesan.

Penjualan dan permainan mercun adalah kesalahan mengikut Akta Kastam 1967 dan sesiapa didapati melindungi, menyimpan, menyembunyi atau memiliki mercun melakukan kesalahan mengikut Seksyen (1)(d) akta itu.

Mereka yang disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai mercun dan tidak lebih 20 kali ganda nilai bahan letupan berkenaan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

KDRM Sabah turut merampas 27,500 kotak rokok larang pelbagai jenama bernilai RM27,500 membabitkan cukai RM249,000, dan 105 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai RM6,480 dengan cukai RM12,005 selepas menahan sebuah van di Jalan Beaufort-Papar, Beaufort, Khamis lalu.

Md Yusop berkata, seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Antara jenama minuman keras kerap diseludup ialah Jack Daniels, Absolut Vodka, Chivas Regal, Red Horse dan Heineken manakala rokok pula Tex, LA, Surya Gudang Garam, Era, Astro, Fit, John, 500 dan Champion.

Mercun yang dirampas ialah bags, dinosaur eggs, 6 balls, double thunder clap dan netapna-naryluka.

Rakyat bimbang senario politik semasa: TPM

SEBERANG JAYA: Tan Sri Muhyhddin Yassin berkata ramai rakyat bimbang dengan senario politik tanahair berikutan permainan politik pembangkang yang tindak menguntungkan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat berasa tidak selamat berada di bawah pentadbiran pembangkang kerana terbukti mereka mengamalkan budaya asing.

Muhyiddin berkata demikian dalam sidang media di bilik operasi RTM di sini, hari ini.

Angin kencang, laut bergelora sehingga Jumaat

KUALA LUMPUR: Angin kencang Barat Laut dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan keadaan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berlaku di perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Phuket, Thailand, dijangka berterusan sehingga Jumaat ini.

Menurut Jabatan Meteorologi dalam kenyataannya hari ini menyatakan amaran angin kencang dan laut bergelora pada kategori pertama yang dikeluarkan Ahad lalu itu turut berbahaya bagi bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. - Bernama

PBT Sabah, Sarawak dibantu: Najib

PUTRAJAYA: Mulai tahun depan, Kerajaan Pusat akan memperuntukkan geran tahunan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah dan Sarawak, membabitkan peruntukan tambahan RM62.8 juta setahun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2009 di sini hari ini, Najib berkata langkah itu bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan PBT di negeri berkenaan.

Najib juga mengumumkan kenaikan kadar pemberian bayaran perkhidmatan kepada kerajaan-kerajaan negeri dari lima peratus untuk semua negeri, kepada 10 peratus untuk negeri-negeri di Semanjung Malaysia, dan 12 peratus kepada Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, pemberian itu akan membantu kerajaan negeri membiayai perbelanjaaan pembangunan dan mengurus tahunan.

H1N1: Kanak-kanak 3 tahun korban ke-70

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berusia tiga tahun menjadi korban ke-70 wabak Influenza A (H1N1) di negara ini.

Kematian kanak-kanak itu didaftarkan hari ini setelah disahkan oleh Jawatankuasa Semakan Kematian (Mortality Review Committee).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sejumlah 52 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Katanya, pada masa sama sejumlah 162 pesakit ILI telah dibenar keluar wad menjadikan baki seramai 1,345 pesakit ILI sedang menerima rawatan di 82 hospital di seluruh negara.

"Untuk makluman daripada jumlah pesakit yang sedang dirawat, hanya 202 pesakit (15%) yang disahkan positif H1N1," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, daripada 202 kes yang disahkan H1N1, 42 kes berada di ICU di mana lima kes adalah kemasukan baru dan terdapat dua kematian sementara 2 lagi kes dipindah keluar dari ICU.

"Daripada 42 kes yang sedang dirawat di ICU, 38 kes (95%) mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (15), obesiti (9), diabetes (6), kanak-kanak/bayi (3), hamil/postnatal (3) dan Sindrom Down (2)," katanya.

Beliau berkata, di peringkat global, laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan jumlah kes sehingga hari ini meningkat kepada 239,397 dengan 2,578 kematian.

Katanya, ini menunjukkan penularan pandemik H1N1 di dunia masih lagi aktif dengan jumlah negara sebanyak 182.

"Pihak WHO dalam laporannya juga mengingatkan bahawa angka-angka yang ditunjukkan tidak menunjukkan gambaran situasi sebenar memandangkan WHO kini tidak lagi mewajibkan pelaporan kes," katanya.

Korea Selatan lancar roket pertama ke angkasa

GOHEUNG, Korea Selatan: Korea Selatan melancarkan roket pertama ke angkasa dari tapak pelancaran di selatan negara itu, kira-kira empat bulan selepas Korea Utara melancarkan roketnya.

Roket dua peringkat Naro itu berlepas dari pusat angkasa negara itu di sebuah pulau di pantai selatan.

Korea Utara berkata, ia akan memantau bagaimana masyarakat antarabangsa bertindak balas terhadap pelancaran roket Seoul itu.

April lalu, Pyongyang melancarkan roket pelbagai peringkat dan mengisytiharkan ia untuk pembangunan aman program angkasanya.

Tetapi Majlis Keselamatan PBB mengutuknya sebagai pelanggaran resolusi menghalang Korea Utara daripada aktiviti berkaitan peluru berpandu balistik. - AP