Followers

Sunday, May 16, 2010

Perintah berkurung Thailand tidak dikuatkuasakan

BANGKOK: Thailand memutuskan untuk tidak menguatkuasakan perintah berkurung di Bangkok pada ketika ini kerana yakin pasukan keselamatan masih mampu mengawal keadaan walaupun angka kematian meningkat kepada 25 orang ketika pertempuran antara tentera dan penunjuk perasaan anti-kerajaan masuk hari keempat, hari ini.
Penolong Ketua Staf Tentera, Aksara Kerdpol, berkata tidak perlu menguatkuasakan perintah itu pada ketika ini.
Awal hari ini, Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva dalam ucapan mingguannya melalui televisyen berkata perintah berkurung mungkin perlu dikuatkuasakan untuk meminimumkan kerugian.
Aksara berkata, pasukan keselamatan akan memantau keadaan dari semasa ke semasa dan akan membuat keputusan mengenai perkara itu apabila perlu.

Setakat jam 4 petang, seorang maut dan 15 lagi cedera dalam pertempuran hari ini yang berpusat di kawasan Bon Kai dan Din Daeng, menjadikan angka kematian kepada 25 dan 215 cedera.

Pusat Penyelesaian Keadaan Darurat (CRES) hari ini meminta warga tua, wanita dan kanak-kanak yang menyertai penunjuk perasaan itu meninggalkan kawasan perhimpunan itu menjelang 3 petang esok.

CRES, bagaimanapun tidak menyebut apa yang akan berlaku di tapak perhimpunan itu selepas tempoh itu.
Sementara itu, pemimpin kumpulan penunjuk perasaan baju merah, Natthawut Saikua mahu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), campur tangan dalam krisis itu dan bertindak sebagai orang tengah ketika rundingan di antara kerajaan dan kumpulan penunjuk perasaan itu.

"Kami berpendapat tiada organisasi lain yang boleh bersikap adil terhadap kami kecuali PBB," katanya.

Beliau berkata, kumpulan baju merah bersedia untuk memulakan rundingan baru dengan kerajaan bagi menyelesaikan isu itu dan mengadakan proses berdamai.

Kerajaan masih belum memberikan maklum balas terhadap perkembangan terbaru itu tetapi sebelum ini, pemimpin kumpulan baju merah turut membuat tawaran sama tetapi ditolak kerajaan.

Thailand sebelum ini menyatakan bahawa ia tidak memerlukan campur tangan asing untuk menyelesaikan isu itu kerana ia boleh mengendalikan mereka dan kerajaan juga telah menutup pintu bagi rundingan kerana rundingan sebelum ini gagal.

"Tidak akan berpatah balik," kata Abhisit sebelum ini yang merujuk kepada operasi tentera akan diteruskan kerana semua penyelesaian melalui politik dan secara aman tidak berjaya berikutan kumpulan baju merah enggan keluar dari kawasan yang diduduki mereka.

Lagipun, kerajaan Thailand tidak mahu tunduk kepada militan bersenjata yang terdapat di kalangan penunjuk perasaan berkenaan dan mahu menggulingkan kerajaan tanpa mengikut saluran demokrasi.

Bantahan itu bermula 12 Mac dalam usaha mereka mendesak kerajaan membubarkan Parlimen tetapi apa yang bermula sebagai bantahan secara aman telah bertukar menjadi pertempuran besar-besaran dengan letupan bom, berbalas tembakan termasuk menggunakan peluru hidup dan bom tangan dan juga kehadiran penembak hendap.

Penunjuk perasaan berkenaan berkumpul di kawasan seluas empat kilometer persegi di pusat bandar raya ini yang turut menempatkan kompleks beli-belah, hotel lima bintang dan pejabat sejak 3 April, yang telah melumpuhkan kegiatan ekonomi di kawasan itu. - Bernama

DAP rampas kerusi Parlimen Sibu

SIBU: DAP merampas kerusi Parlimen Sibu apabila calonnya, Wong Ho Leng, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew, dan calon Bebas, Narawi Haron, pada pilihan raya kecil hari ini.

Ho Leng menang dengan majoriti 398 undi. Beliau memperoleh 18,845 undi manakala Hui Yew mendapat 18,447 undi. Narawi pula hanya meraih 232 undi dan hilang wang deposit. Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wong See Meng, pada jam 10.57 malam tadi di Dewan Suarah di sini.

Sejumlah 37,919 atau 70 peratus daripada 54,695 pemilih berdaftar mengundi di 45 pusat pengundian.

Bilangan itu lebih tinggi berbanding 36,379 atau 67.77 peratus daripada 53,679 pemilih berdaftar yang keluar mengundi pada pilihan raya umum lalu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Timbalan Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Sibu selama lima penggal, Datuk Robert Lau Hoi Chew, pada 9 April lalu.
Pada pilihan raya umum lalu, Hoi Chew mengekalkan kerusi Sibu dengan majoriti 3,235 undi, mengalahkan Ho Leng dan Lim Chin Chuang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), juga dalam pertandingan tiga penjuru.

Keputusan terkini pilihan raya kecil Sibu: DAP 8,409, BN 8,167, Bebas 101


SIBU: Keputusan undian terkini pilihan raya kecil Parlimen Sibu selepas penjumlahan 59 daripada 111 peti undi ialah DAP 8,409, BN 8,167 dan Bebas 101.

PKR parti kian runtuh: Muhyiddin

KUANTAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini sudah semakin hilang sokongan apabila semakin ramai pemimpin dan penyokong parti itu dilihat mula meninggalkan parti berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata rakyat juga semakin sedar bahawa parti itu hanya memperjuangkan individu tertentu saja dan tidak memberi faedah langsung kepada rakyat. "PKR? Parti Kian runtuh?... setiap hari ada batu batan yang jatuh dan runtuh, sebahagian besar pemimpin yang sokong PKR dulu juga sudah hilang keyakinan, parti itu tidak berjuang untuk rakyat tapi untuk individu," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Pahang di sini, hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas krisis parti berkenaan yang dilihat semakin buruk apabila semakin ramai pemimpin dan penyokong parti itu mula meninggalkan parti berkenaan.

Terbaru, PKR Cabang Ipoh Barat semalam dibubarkan selepas 19 daripada 25 Ahli Jawatankuasanya meletakkan jawatan.

Muhyiddin secara sinis berkata, PKR patut dibubarkan terus saja, dan semua pemimpin dan penyokong parti itu beralih menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya yakin (krisis yang sedang berlaku dalam PKR) ini akan membuka mata rakyat bahawa parti ini tidak memberi faedah kepada rakyat.., elok bubar dan sokong Perdana Menteri," katanya.
Mengulas krisis politik di Thailand yang dilihat semakin meruncing, Muhyiddin berharap krisis itu akan dapat diatasi segera.

"Kita memerhati dengan dekat apa yang berlaku di sana, dan baru-baru ini wakil Perdana Menteri Thailand datang ke sini untuk beri taklimat situasi di sana. Agak membimbangkan.

"Sebagai negara jiran, kita harap Thailand akan dapat menyelesaikannya," katanya. - Bernama

59 kes terbaru H1N1 semalam

PUTRAJAYA: Sejumlah 59 pesakit lagi disahkan positif virus Influenza A(H1N1) sehingga petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul individu yang dijangkiti virus tersebut di seluruh negara ialah 14,385.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sebanyak 595 kes penyakit serupa influenza (ILI) pula masih dirawat di dalam wad dengan 77 disahkan positif H1N1. Menurutnya, 12 kes H1N1 itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan sembilan daripadanya membabitkan individu yang mempunyai faktor risiko. “Penularan H1N1 bukan saja masih aktif dalam negara malah di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengingatkan mereka yang mempunyai simptom ILI seperti deman, batuk, selsema dan sakit tekak mengelakkan tempat-tempat yang menjadi tumpuan orang ramai.

Dr Mohd Ismail menasihatkan mereka yang mempunyai gejala ILI supaya segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital berhampiran kerana rawatan awal penting untuk mengelakkan komplikasi dan kematian.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini H1N1 serta maklumat pusat kesihatan kerajaan yang menyediakan kemudahan vaksinasi boleh melayari laman web www.moh.gov.my atau h1n1.moh.gov.my.
Selain itu, mereka juga boleh menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-888-10200 dan 03-888-10300 setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam. - Bernama

China kekal Piala Thomas

KUALA LUMPUR: China menewaskan Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir Piala Thomas di Stadium Putra, Kompleks Sukan Bukit Jalil, di sini sebentar tadi.

Pemain perseorangan pertama China, Lin Dan mengalahkan Taufik Hidayat 21-7, 21-14 untuk meraih mata pertama.
Pasangan bergu China, Cai Yun/Haifeng menambah mata kedua selepas menewaskan pasangan Indonesia, Markis Kido/Hendra Setiawan 25-23, 16-21, 21-12.
Chen Jin melengkapkan kemenangan mudah China apabila menewaskan Simon Santoso 19-21, 21-17 21-7 dalam permainan perseorangan kedua.

UPP tahan lori tangki bawa 8,140 liter petrol di Bukit Kayu Hitam


BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam menahan sebuah lori tangki membawa 8,140 liter petrol berdekatan pekan Asun, di kilometer 15.1 lebuh raya Utara-Selatan, semalam. 


Komander UPP Kedah, Mohd Noor Idris, berkata lori itu ditahan kira-kira jam 9.15 pagi selepas ia dipercayai berpatah balik dari kawasan perindustrian ringan Bukit Kayu Hitam menuju Alor Setar. “Ketika pemeriksaan, pemandunya berumur 57 tahun berasal dari Bedong, Kedah mengakui membawa 8,140 liter petrol tanpa dokumen dan permit," katanya di sini, hari ini. Beliau berkata, petrol bernilai lebih RM14,600 serta lori tangki itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut. 

Katanya, ia disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - Bernama

Gempa bumi sederhana gegarkan Indonesia

JAKARTA: Gempa bumi sederhana pada magnitud 5.8 melanda wilayah Utara Sulawesi, Indonesia, tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan amaran itu, kata jabatan Kaji selidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS).
Gempa jam 8.33 pagi (waktu tempatan) berlaku di 120 kilometer (km) barat daya di wilayah ibu kota Manado pada kedalaman 130 km.
Tiada laporan berhubung kerosakan atau terkorban diterima. - AFP

PKR Ipoh Barat lumpuh apabila 488 ahli keluar parti

IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Ipoh Barat hari ini lumpuh apabila 488 anggotanya termasuk anggota jawatankuasanya (AJK) bertindak keluar daripada parti itu hari ini selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR di peringkat negeri Perak yang didakwa dikuasai orang yang berkepentingan peribadi.
Ketua Cabang PKR Ipoh Barat, Fauzi Muda, membuat pengisytiharan itu hari ini di kediamannya di Taman Malar, Ulu Kinta di sini.

"Oleh yang demikian dimaklumkan bahawa PKR Cabang Ipoh Barat dengan rasminya dibubarkan setelah 19 daripada 25 anggota AJK cabang yang sah telah mengosongkan jawatan mereka.

"Antara 19 AJK itu, 14 orang bertindak keluar parti dan lima orang meletak jawatan," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya, tindakan keluar parti itu bukan kerana mereka membenci PKR atau mengkhianati perjuangan yang dibawa penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi ia sebenarnya bermatlamat mahu menghancurkan "syaitan dan firaun kecil" yang sedang bermaharajalela dalam PKR.

Justeru, beliau meminta Pas dan DAP memikirkan semula kedudukan masing-masing dalam pakatan itu setelah banyak anggota PKR bertindak keluar parti kerana PKR sendiri tidak lagi mempunyai harga diri dan nilai.
Beliau berkata, semua borang keluar parti yang telah diisi dan ditandatangani bekas anggota itu akan diserahkan kepada ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Fauzi turut mencabar Naib Pengerusi PKR Perak, Madzi Hassan, untuk menjelaskan kepada rakyat dan anggota PKR di peringkat akar umbi berhubung skandal penyelewengan wang sumbangan kepada PKR berjumlah RM250,000 yang didakwanya berlaku semasa Madzi menjadi Bendahari PKR Perak pada 2008 dan 2009.

"Skandal penyelewengan wang dana ini menjadi isu hangat dalam mesyuarat negeri pada Disember 2009 sehingga tuduh-menuduh individu tertentu yang didakwa menggelapkan wang itu," katanya.

Fauzi berkata, beliau akan membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan supaya menyiasat penipuan mesyuarat agong cabang baru-baru ini kerana banyak cabang tidak mempunyai korum yang mencukupi untuk bermesyuarat.

Katanya, berkata beliau kini mewujudkan Pertubuhan Kebajikan dan Tindakan Suara Rakyat Perak yang akan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan dan ia akan bergerak sebagai platform kebajikan serta politik.

Pada 20 April lalu, Ketua Penerangan Wanita PKR Perak, Soraya Sulaiman, dan Timbalan Ketua Wanita PKR Bahagian Bagan Serai, Roshanita Mohd Basir, mengumumkan keluar daripada parti itu kerana telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi PKR yang telah jauh tersasar daripada hala tuju sebenar. - Bernama