Followers

Friday, May 15, 2009

Tuntutan pulau ikut rundingan

PUTRAJAYA: Malaysia mahu pertikaian mengenai tuntutan bersama Kepulauan Spratly di Laut China Selatan yang membabitkan beberapa negara diselesaikan menerusi rundingan dan undang-undang antarabangsa, Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, penyelesaian kepada tuntutan bertindih seperti itu mempunyai mekanisme tersendiri dan isu berkenaan akan dapat diselesaikan dengan baik jika masing-masing berpegang kepada prosedur terbabit.

“Kita percaya segala-gala ini boleh diselesaikan menerusi rundingan... kita ada proses dan mekanisme untuk selesaikan soal tuntutan. Prinsip dari segi undang-undang antarabangsa ada mekanisme bagi merundingkan kawasan yang bertindih,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas berucap pada Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2009 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar kelmarin yang memetik laporan agensi berita asing mengenai amaran China bahawa ia mempunyai ‘kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan terhadap Kepulauan Spratly.

Laporan itu memetik jurucakap Kementerian Luar China, Ma Zhaoxu, sebagai memaklumkan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa Beijing tidak mahu bertolak-ansur terhadap tuntutan kepulauan berkenaan oleh negara lain.

Ma juga mendakwa China memiliki hak dan kuasa berdaulat terhadap kepulauan di Laut China Selatan serta laut yang berdekatan dengannya.

Selain Malaysia dan China, Kepulauan Spratly yang sesetengah pihak percaya memiliki sumber gas dan minyak yang kaya turut dituntut sama ada sepenuhnya atau sebahagian, oleh Taiwan, Vietnam serta Filipina.

Perdana Menteri berkata, semua pihak boleh mengelak daripada menjadikan isu itu sesuatu yang tidak dapat diselesaikan jika masing-masing berpegang kepada prosedur sedia ada.

“Saya percaya jika kita berpegang kepada prosedur sedia ada untuk selesaikan sebarang tuntutan yang bertindih, kita boleh mengelak daripada masalah yang terlalu berat atau terlalu kusut,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Panglima Angkatan Tentera, Datuk Seri Abdul Aziz Jaafar, berkata Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan meneruskan rondaan seperti biasa, walaupun China memberi amaran supaya menjauhi kepulauan itu.

“Kita mengadakan rondaan di pulau-pulau (termasuk Spratly) yang berada dalam jarak 200 batu nautika dalam perairan kita sejak 1980-an dan akan meneruskannya seperti biasa.

“Amaran China itu bukanlah sesuatu yang baru kerana mereka sudah mendakwa dan memberitahu dunia bahawa Kepulauan Spratly itu milik mereka sejak dulu lagi, walaupun hak pemilikan sebenarnya belum diputuskan,” katanya.

Abdul Aziz yang juga Panglima Tentera Laut berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan rakan sejawat dari Britain, Laksamana Sir Jonathan Band di Wisma Pertahanan di ibu negara, semalam.

China sebelum ini dilaporkan memberi amaran kepada semua negara jiran supaya menjauhi pulau di Laut China Selatan, termasuk Kepulauan Spratly dengan mendakwa Beijing memiliki kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan terhadap perairan itu.

Gadis sembunyi bayi bawah katil

SUNGAI PETANI: Perbuatan seorang gadis melahirkan anak luar nikah dan membungkus bayi lelakinya dengan kain batik serta dimasukkan dalam plastik hitam sebelum menyembunyikannya di bawah katil terbongkar apabila dia mengalami perdarahan teruk.

Gadis berusia 27 tahun itu dari sebuah kampung di Bukit Selambau dekat sini, dan cacat sebelah mata kini dimasukkan ke Hospital Sik (HS).

Sumber berkata, doktor yang melakukan pemeriksaan ke atasnya mendapati gadis itu mempunyai tanda baru melahirkan anak manakala ibu bapanya terkejut kerana tidak menyedari anak mereka hamil.

Katanya, pada mulanya bapa gadis itu menghubungi ambulans untuk membantu anaknya mendapatkan rawatan di hospital, selepas dia mengadu mengalami sakit perut yang teruk.

“Doktor yang melakukan pemeriksaan kemudian menyoal siasat gadis itu dan dia mengaku melahirkan anak bersendirian ketika ibu bapanya tiada di rumah, Isnin lalu.

“Dia pada mulanya memberitahu bayi lelaki yang dilahirkan itu sudah ditanam di belakang rumah.

“Selepas didesak, dia mengaku membungkus bayi yang masih hidup ketika dilahirkan dengan kain batik sebelum memasukkannya dalam beg plastik hitam dan disimpan di bawah katil dalam bilik tidurnya kerana takut diketahui keluarga,” katanya di sini, semalam.

Polis yang ke rumahnya jam 2.53 petang kelmarin menemui satu bungkusan plastik hitam yang mengandungi mayat bayi di bawah katilnya.

Sumber berkata, bayi berkenaan sudah cukup sifat dan mayatnya sudah berbau kerana sudah tiga hari disorokkan.

Mayat bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, untuk dibedah siasat. Difahamkan bayi mati akibat lemas.

Bapa dan abang gadis itu yang datang menuntut mayat bayi di HSAH bagaimanapun enggan ditemubual.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali yang dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Katanya, polis kini sedang mencari teman lelaki gadis itu kerana kesalahan mengadakan hubungan luar nikah dengannya.

Penempatan UNHCR di Labuan terbakar hangus



MANGSA kebakaran di penempatan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) di Kampung Muslim, Labuan, Sabah, semalam, bertarung nyawa menyelamatkan harta benda dan keluarga masing-masing. Kejadian jam 11.30 pagi itu memusnahkan hampir 270 daripada 450 kediaman, menyebabkan kira-kira 3,000 orang hilang tempat tinggal.

LABUAN: Kira-kira 3,000 orang hilang tempat tinggal dalam kebakaran yang berlaku di penempatan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) di Kampung Muslim dekat sini, semalam.

Kebakaran pada 11.30 pagi itu memusnahkan hampir 270 daripada 450 kediaman, menyebabkan keluarga dan kanak-kanak yang terjejas terpaksa mencari perlindungan sementara di Dewan Orang Ramai Perbadanan Labuan.

Ini kali kedua penempatan UNHCR, yang dihuni oleh penduduk setempat dan warga Filipina yang memegang dokumen IMM13 atau pas kerja, terbabit dalam kebakaran sejak 1996.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Labuan, Irwan Husin, berkata lebih 120 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba Labuan, Balai Bomba Jawa dan Balai Bomba Layang-Layangan tiba di tempat kejadian pada jam 11.45 pagi selepas menerima panggilan lima minit sebelumnya.

"Angin kuat dan cuaca panas menyukarkan kerja menyelamatkan 270 kediaman terbabit. Bagaimanapun, api dapat dikawal daripada merebak ke 180 unit kediaman lain," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, anggota Bomba Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Bekalan Air, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Polis Diraja Malaysia, Rela dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut membantu operasi memadam kebakaran serta menyelamatkan mangsa.

ANGGOTA bomba memadam kebakaran di penempatan UNHCR di Kampung Muslim, Labuan semalam. - Bernama

Irwan berkata, punca dan jumlah kerugian masih disiasat.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan sehingga jam 3.15 petang semalam.

Seorang penduduk, Abidin Julahi, 35, berkata beliau sedang berbual bersama keluarganya ketika kebakaran berlaku.

"Waktu itu jam 11.30 pagi, saya terdengar jeritan kuat di luar rumah saya... asap... asap... asap, dan selepas saya tengok, kebakaran itu merebak dekat dengan rumah saya. Tiada apa yang dapat saya lakukan selain menyelamatkan harta benda dan anak-anak.

“Kami anggarkan hampir 800 buah rumah di empat blok musnah," katanya kepada Bernama di sini, semalam.