Followers

Thursday, October 8, 2009

3 gempa di Vanuatu hasil tsunami kecil tetapi amaran dibatalkan

WELLINGTON, New Zealand: Tiga gempa bumi kuat menggegarkan selatan Pasifik berhampiran kepulauan Vanuatu hari ini, menghasilkan tsunami kecil hanya selepas seminggu gelombang ombak besar meragut 178 nyawa di kepualauan Samoa dan Tonga.

Tiada laporan awal kerosakan dan semua amaran tsunami dibatalkan.

Namun, amaran awal itu menyebabkan ribuan penduduk melarikan diri ke tanah tinggi di sekurang-kurangnya tiga pulau Pasifik itu.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang berpangkalan di Hawaii mengeluarkan amaran tsunami serantau untuk 11 negara dan wilayah selepas gempa bumi bermagnitud 7.8 berlaku 294 kilometer di barat laut pulau Vanuatu Santo pada kedalaman 35 kilometer.

Dua lagi gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.3 menyusul di kawasan sama.

Pusat itu membatalkan amaran tsunami selepas bacaan paras laut menunjukkan gelombang yang dihasilkan gempa bumi itu terlalu kecil untuk menyebabkan kerosakan.

Tiada laporan awal kecederaan atau kerosakan di Vanuatu, iaitu rantaian 83 pulau yang terletak lebih 2,200 kilometer di barat laut Sydney, Australia.- AP

Produk plum, prun kering ada logam plumbum berlebihan diharamkan

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengharamkan 16 jenama produk buah kering yang diimport dari China, Taiwan dan beberapa negara Asia kerana mengandungi logam plumbum melebihi paras yang dibenarkan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata produk buah kering antaranya plum kering dan prun kering itu mengandungi paras plumbum yang agak tinggi iaitu antara 0.11 dan 30.3 bahagian sejuta (ppm) atau miligram (mg)/kilogram (kg).

Beliau berkata paras plumbum yang ditetapkan di negara ini ialah dua bahagian sejuta ppm atau mg/kg di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, dan jika kandungan logam melebihi paras berkenaan, tindakan undang-undang akan dikenakan.

"Mana-mana pihak yang terlibat, jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983 boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Kementerian Kesihatan 2009 di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan U.S Food and Drug Administration (USFDA) menerusi laman webnya http://www.fda.gov yang bertajuk "Consumers Warned Not to Eat Certain Imported Dried Plums" pada Khamis lalu.

Liow berkata produk berkenaan adalah "The Original Chinese Candy", "Dried Plums with Pickle and Lemon", "Saladitos Con Pepino Y Limon", "Saladitos 6 Count", "Saladitos Salted Prunes", "Saladitos Chinese Candy", "Its Fruit Chinese Style Dried Prune" dan "Salted Plum Suckers".

Produk lain adalah "Salados Salted dried plums", "7 Salted Plums", "Preserved Liquariced Prune", "Preserved Plums:Preserved Salted Prunes", "Preserved Plums:Preserved Red Prunes", "Preserved Fruit Pitted Prunes", "Chan Pui Mui Preserved Plum" dan "Ka Po Preserved Plum".

Liow berkata kementerian terus memantau untuk memastikan produk berkenaan tidak terdapat dalam pasaran tempatan.

Beliau berkata kementerian juga akan meneruskan pemantauan di pintu masuk dengan meletakkan pemeriksaan Tahan Lima (Tahan, Uji dan Lepas) dalam Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) untuk semua produk yang terlibat.

Plumbum adalah bahan cemar dalam makanan yang boleh mendatangkan masalah kepada kesihatan manusia dalam jangkamasa panjang akibat daripada pengumpulan bahan cemar dalam badan.

Beliau berkata kesan yang mungkin berlaku adalah gangguan kepada sistem saraf dan perkembangan otak terutama di kalangan kanak-kanak.

"Sehubungan itu, kementerian ingin menasihatkan pengguna supaya tidak membeli produk-produk yang terlibat, manakala penjual dinasihatkan supaya melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ataupun Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat sekiranya produk berkenaan terdapat di premis mereka," katanya.

Liow berkata pengimport atau ejen yang mengimport produk terbabit diminta menghentikan pengedaran dan memaklumkan kepada PKD atau JKN berdekatan untuk tindakan seterusnya. - Bernama

Undang-undang pencegahan 18 negara dikaji

PUTRAJAYA: Kerajaan membuat kajian perbandingan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan undang-undang pencegahan dari 18 buah negara termasuk Amerika Syarikat dalam usahanya meminda ISA.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata negara berkenaan termasuklah Singapura, Australia, Tanzania, Brunei, India, United Kingdom, Thailand, Bangladesh, Ireland, Ghana, Uganda, Timor Leste, Korea Selatan, Macau, Bahrain dan Sri Lanka.

"Bagi Amerika Syarikat undang-undang pencegahan yang dikaji ialah Patriot Act 2001 dan Homeland Security Act 2002," katanya, sambil menambah kata bahawa akhirnya ISA akan dipinda mengikut acuan negara ini sendiri.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di sini, beliau berkata hasil perbincangan kementerian dengan badan bukan kerajaan, ahli akademik dan orang ramai, tiada pihak yang mahukan ISA dimansuhkan.

"Mereka mahukan ISA dikekalkan bagi menjamin keselamatan negara dan rakyat tetapi dipinda bagi ditambahbaik lagi termasuk di sudut menjaga hak asasi manusia dan ketelusan," katanya.

Abu Seman berkata, perbincangan akan terus diadakan sebelum pindaan akta itu dibentangkan pada sesi Parlimen bulan ini.

Mengenai ancaman Benteng Dekomrasi Rakyat (Bendera) dari Indonesia yang sentiasa membawa buluh runcing ketika berdemonstrasi kononnya mahu menyerang Malaysia hari ini, beliau berkata:

"Buluh runcing tak ada. Yang ada buluh yang digunakan oleh nelayan untuk menangkap ikan di perairan negara."

Beliau berkata, pasukan keselamatan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan walaupun setakat ini tiada maklumat serangan itu akan berlaku. - Bernama

Kemunculan ribuan ikan duri mungkin kerana gempa

JERTEH: Hasil tangkapan luar biasa ikan duri oleh nelayan di Kuala Kemasin dan Pantai Senok, Bachok, semalam berkemungkinan berpunca daripada kejadian gempa bumi yang berlaku baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Meteorologi Wilayah Timur, Azmi Daud, berkata fenomena kemunculan ribuan ikan dari dasar laut kebiasaannya terjadi apabila adanya kejadian bencana alam kerana ikan akan mencari kawasan yang lebih selamat.

"Biasanya haiwan seperti ikan laut ini mempunyai ketajaman deria yang kuat dan sensitif dan setiap kali berlaku bencana alam seperti gempa bumi dan seumpamanya, ia berkumpul dan timbul di sesuatu kawasan yang sama dalam kuantiti yang luar biasa banyaknya," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, nelayan di sekitar Kuala Kemasin dan Pantai Senok terkejut apabila memperoleh hasil tangkapan ikan duri sehingga 5,000 kilogram hanya dalam tempoh dua jam turun ke laut.

Seorang nelayan, Mat Zin Omar, 44, berkata kejadian itu adalah kali pertama berlaku sejak dia menjadi nelayan 15 tahun lepas.

"Kebiasaannya hasil tangkapan paling banyak diperoleh adalah sekitar 1,000 kilogram sahaja. Kejadian ini memang sesuatu yang luar biasa," katanya.

Beliau berkata, nelayan menganggapnya satu rezeki yang tidak dijangka dan mereka kini menjual ikan duri terbabit kepada peraih pada harga RM4.60 sekilogram. - Bernama

PM lancar Majlis Kembara Penjagaan Kesihatan Malaysia

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijadual melancarkan Majlis Kembara Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) pada Disember yang antara lain bertujuan meletakkan Malaysia sebagai hab penjagaan kesihatan di rantau ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pada peringkat awal majlis itu akan ditubuh sebagai satu jabatan di kementerian dan bertanggung jawab kepada satu jawatankuasa penasihat.

"Jawatankuasa penasihat yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop akan memulakan tugas pada 16 Oktober ini.

"Bagi memastikan kejayaannya, kerajaan bekerjasama erat dengan sektor swasta bagi mengukuhkan industri penjagaan kesihatan terutamanya bagi pelancongan kesihatan.

"Kita mempunyai keupayaan dan banyak sumber. Institut Jantung Negara (IJN) dan hospital-hospital swasta di Malaysia semuanya mempunyai kemudahan lengkap dan berupaya untuk memberikan khidmat terbaik dalam industri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Kementerian Kesihatan di sini hari ini.

Liow berkata, sektor pelancongan kesihatan pada masa ini menyumbang sejumlah RM300 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kementerian mensasarkan industri berkenaan untuk menyumbang lebih RM1 bilion KDNK. - Bernama

Malaysia perlu lebih ramai saintis, penyelidik: TPM

KUALA LUMPUR: Malaysia benar-benar memerlukan lebih ramai saintis, penyelidik, inovator dan pelopor dalam sains dan teknologi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sasaran di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan ialah untuk mempunyai 60 penyelidik, saintis dan jurutera bagi setiap 60,000 tenaga kerja tetapi pada hari ini negara hanya dapat mencapai 18 peratus daripada bilangan yang diperlukan.

"Kita bersedia melakukan apa saja bagi menangani kekurangan mereka yang berbakat dalam saintifik, kerana kunci bagi ekonomi yang dinamik dan bertenaga ialah berkaliber tinggi, aktif dan modal insan yang berasaskan prestasi," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan dan Ekspo Antarabangsa Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi 2009 (PECIPTA 2009) di sini hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata peningkatan dorongan terhadap penyelidikan, pembangunan dan komersialisasi di universiti adalah langkah yang positif dan menggalakkan.

Katanya, ia selaras dengan agenda kerajaan bagi memacu negara untuk menjadi sebuah negara maju pada 2020 melalui proses transformasi modal insan bagi melahirkan mereka yang berpendidikan dan inovator dan usahawan yang memahami, pada masa depan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menegaskan adalah menjadi hasrat kerajaan menggalakkan kerjasama antara industri dan universiti supaya dapat sama-sama menyumbang dalam perkongsian mantap universiti-industri yang akan mengubah pasaran menjadi syurga peluang perniagaan dengan penemuan yang inovatif dan pengurusan sumber yang mampan.

Sokongan rakyat di Bagan Pinang terus meningkat: MB

PORT DICKSON: Sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang terus meningkat dan kini berada di kedudukan yang amat baik, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

"Setelah masuk enam hari berkempen, saya merasa amat bersyukur kerana dah lapan pilihan raya kecil diadakan sejak pilihan raya umum Mac 2008, tapi inilah pilihan raya kecil yang kita rasa sedap hatilah sebab kita tengok grafnya cantik.

"Sokongan rakyat terhadap BN bagus dan kita harap sokongan ini berterusan sampai pada hari mengundi Ahad ini," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian kolam air Telok Kemang di bawah skim bekalan air Batu Hampar di sini, hari ini.

Keadaan ini, katanya, telah menyebabkan parti pembangkang berasa tertekan dan mereka kini terpaksa membuat pelbagai strategi termasuk melemparkan tohmahan kepada para pemimpin BN.

"Di sini saya nak beritahu penduduk Bagan Pinang jangan keliru. Jangan dengar tohmahan orang. Macam-macam duia nak tohmah pemimpin BN," katanya.

Mohamad berkata, setakat semalam sokongan pengundi Melayu, India dan Cina terhadap BN menunjukkan komitmen yang amat tinggi.

"Sokongan pengundi India dan Cina terhadap BN amat bagus manakala orang Melayu memang 'hardcore' kitalah. Jadi, itu yang pembangkang sakit jiwa tu. Dia (pembangkang) kata SPR tak telus...dan sebagainya.

"Sama juga semasa kempen pada pilihan raya umum 2008, dia kata SPR tak telus, tapi apabila dah menang di beberapa tempat, kenapa tak cakap SPR tak telus? SPR yang sama juga, tapi bila dah menang tak cakap pun.

"Ini semua hipokrit yang tertinggi... orang hipokrit yang amat melampau sekali. Contohnya, bila dia menang kes mahkamah, dia kata inilah titik permulaan sistem kehakiman yang amat baik di negara ini, tapi bila tak menang, dia pula kata inilah sistem yang paling buruk di dunia.

"Dalam apa juga hal, apabila tak menyebelahi mereka, dia kata semua tak betul....SPR tak betul, SPRM tak betul, polis tak betul, askar tak betul, undi pos tak betul dan pelbagai lagi... habis siapa yang betul? Ini semua dia nak mengelirukan rakyat. Dia cuma nak memutarbelitkan isu sebab dia rasa dah panas," katanya

Mohamad juga meminta pengundi Bagan Pinang supaya jangan terpengaruh dengan cakap pembangkang, sebaliknya menetapkan pendirian untuk hanya mengundi BN pada Ahad ini untuk masa depan yang lebih baik. - Bernama

Paris-KL kerjasama bidang baru


Najib Tun Razak berjabat tangan dengan Francois Fillon semasa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Perancis itu di Paris, semalam. – BERNAMA


PARIS 7 Okt. – Perancis mahu hubungan dua hala dengan Malaysia terus diperkukuhkan dengan kedua-dua negara mencerna bidang-bidang baru antaranya melibatkan pengurusan sisa buangan, pengangkutan darat dan tenaga nuklear.

Mengulas hasil pertemuan dengan Perdana Menteri Perancis, Francois Fillon di sini semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kuasa nuklear di Eropah itu juga berharap hubungan sedia ada dalam bidang pertahanan dan pelancongan dapat diteruskan.

Katanya, dalam pertemuan di pejabat Fillon di Hotel Matignon itu, beliau turut membangkitkan hasrat AirAsia untuk mendapatkan hak pendaratan di Lapangan Terbang Orly di sini atas pertimbangan syarikat penerbangan tambang murah negara itu merupakan pembeli utama di dunia untuk pesawat Airbus A320.

‘‘Beliau (Fillon) menyatakan AirAsia telah ditawarkan hak pendaratan di luar Paris dan untuk Paris, ia akan kaji permohonan syarikat penerbangan ini.

‘‘Selain itu kita turut berbincang mengenai cabaran untuk membentuk kerangka kewangan global yang baru, konflik nuklear Iran dan kedudukan Myanmar. Ini ditanyakan beliau kepada saya dan saya telah memberi penjelasan berhubung pendirian Malaysia dalam perkara ini,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Pertemuan dengan Fillon adalah antara jadual padat yang dipenuhi Perdana Menteri dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke negara ini.

Perancis ialah rakan ketiga terbesar Malaysia dari Kesatuan Eropah (EU) sementara Malaysia ialah rakan dagangan kedua terbesar Perancis dari ASEAN dengan dagangan dua hala sekitar 4.0 bilion euro setahun.

Tahun lepas, eksport Malaysia ke Perancis bernilai 1.8 bilion euro sementara import berjumlah 1.6 bilion euro.

Fillon, kata Najib, turut memberitahu bahawa hampir 90 peratus bekalan elektrik di Perancis disalurkan menerusi tenaga nuklear.

Ditanya sama ada Malaysia bercadang menjadikan nuklear sebagai sumber tenaga baru, Perdana Menteri berkata, tumpuan kini adalah untuk meningkatkan bekalan tenaga elektrik daripada tenaga hidro dan solar.

‘‘Memang ada asas yang kuat untuk kita membangunkan loji tenaga nuklear sebagai sumber bekalan tenaga elektrik tetapi ia mengambil masa untuk diputuskan, bukannya serta-merta,” kata beliau.

Mengenai penggunaan projek hidroelektrik Bakun yang dikatakan terlalu mahal, beliau berkata, ia kini sedang dikaji sama ada bekalan sumber tenaga dari projek itu boleh disalurkan untuk Semenanjung atau terhad di Sarawak.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, konsep 1Malaysia kian menjadi jenama perpaduan nasional yang utuh sehingga tidak timbul kritikan daripada mana-mana pihak termasuk parti-parti pembangkang.

‘‘Tidak ada persoalan mengenai gagasan itu termasuk elemen-elemen yang cuba mencela Jalur Gemilang,” katanya. – UTUSAN

Add to Google

Pas kian tertekan – Muhyiddin

PORT DICKSON 7 Okt. – Pas mencari pelbagai alasan termasuk berhasrat mengambil perintah injunksi bagi menangguhkan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang kerana mereka kini berada dalam keadaan terdesak dan tertekan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, menyedari sokongan rakyat semakin terhakis, Pas kini cuba menimbulkan apa juga isu bagi melambat-lambatkan proses demokrasi yang sepatutnya dihormati oleh semua pihak.

“Saya telah membaca kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mahu proses pilihan raya itu diteruskan. Saya percaya perkembangan ini berlaku disebabkan Pas berada dalam keadaan tertekan,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah Projek Perumahan Rakyat di Ladang Siliau dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Pengarah Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang Pas, Salehuddin Ayub yang mahu mendapatkan perintah injunksi mahkamah untuk menangguh pilihan raya kecil itu.

Dakwa Salehuddin ia berikutan terdapat pertindihan daftar pemilih di kalangan anggota tentera yang telah bersara tetapi masih lagi tersenarai sebagai pengundi undi pos.

Muhyiddin berkata, beliau tidak hairan dengan tindakan Pas itu kerana dalam keadaan terdesak parti itu sanggup melakukan apa sahaja.

“Inilah pembangkang. Mereka benar-benar tertekan kerana kempen tidak cukup. Mereka perlukan lebih masa untuk berkempen. BN tidak ada masalah walaupun diberi sehari untuk menghadapi pilihan raya. Kita akan melaluinya mengikut peraturan,” katanya.

Kawalan di sempadan dipertingkat, tiada pergerakan Bendera dilaporkan

KUCHING: Polis Diraja Malaysia meningkatkan kawalan di semua pintu masuk utama dari Kalimantan Barat ke Sarawak sebagai langkah berjaga-jaga berikutan ancaman satu kumpulan pelampau Indonesia untuk menyerang Malaysia hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh, berkata kawalan oleh anggota Pasukan Gerakan Am ditambah bermula hari ini khasnya di pos sempadan Tebedu dan Serikin selain di beberapa jalan keluar masuk haram di sempadan Sarawak dan Kalimantan.

"Setakat ini kita tidak ada menerima sebarang laporan pergerakan masuk kumpulan dikenali Bendera itu," katanya kepada pemberita selepas pada majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Sarawak dan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.

Mohmad berkata, polis juga akan membuat beberapa sekatan di jalan-jalan utama keluar masuk ke sempadan negeri itu selain membuat pemantauan di kawasan perindustrian dan perladangan yang banyak menggunakan khidmat tenaga kerja Indonesia.

Katanya, pasukan polis dari bahagian Jabatan Siasatan Jenayah telah membuat pemantauan dan setakat ini tidak ada sebarang kejadian luar biasa yang berlaku di kawasan terbabit.

Mengenai penduduk Sarawak yang mahu ke Kalimantan, Mohmad berkata belum ada laporan mengatakan rakyat Malaysia yang ke Kalimantan diancam ataupun diganggu ketika berada di sana.

Konsul Malaysia di Pontianak, M Zairi M Basri, ketika dihubungi Bernama berkata keadaan di Pontianak ketika ini adalah tenang dan tidak ada kejadian yang menunjukkan wujudnya aktiviti anti-Malaysia.

Katanya, berdasarkan kepada pemantauan di terminal bas utama Pontianak semalam kerana ada syarikat menyediakan perkhidmatan pengangkutan dari Pontianak ke Kuching, tidak ada perkara luar biasa yang berlaku.

"Keadaan di sini aman dan tiada aktiviti luar biasa yang melibatkan kempen Bendera walaupun kita difahamkan Bendera ada anggotanya di sini," kata Zairi.

Terdapat kira-kira 200 rakyat Malaysia di Pontianak terdiri daripada pekerja selain ahli perniagaan yang sering berulang alik dari Pontianak ke Malaysia.

"Tidak ada masalah ini sini. Hujung minggu ini kita akan mengadakan majlis rumah terbuka Malaysia di Pontianak dan kita jemput sekali Gabenor Kalimantan Barat kerana hubungan Malaysia dan Indonesia di sini cukup baik," katanya. - Bernama

Gempa 8.0 magnitud landa Kepulauan Vanuatu

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 8.0 magnitud melanda Kepuluan Vanuatu, 796 kilometer (km) tenggara Honiara, Kepulauan Solomon, jam 6.03 pagi Malaysia.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataannya menyebut tiada ancaman tsunami berikutan kejadian itu.

Sementara itu Reuters melaporkan, Pusat Amaran Tsunami Hawaii masih menilai sama ada untuk mengeluarkan ancaman tsunami bagi seluruh Kepulauan Pasifik berikutan dua kejadian gempa di Vanuatu dan Solomon berukuran 7.8 dan 7.3 mangnitud.

Gempa di Vanuatu: Amaran tsunami terhadap 11 negara Pasifik

SYDNEY: Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami terhadap 11 negara termasuk Papua New Guinea serta pulau peranginan popular di Fiji, Vanuatu dan New Caledonia, hari ini.

Ini berikutan dua gempa kuat berukuran 7.8 skala Richter melanda Kepulauan Vanuatu pada jam 9.03 pagi waktu tempatan, diikuti 15 minit kemudian gempa kedua jam 9.18 pagi yang berukuran 7.3 Richter.

Pusat amaran yang berpusat di Hawaii itu juga melebarkan amaran tsunami itu terhadap negara Pasifik Barat termasuk Australia, New Zealand, Indonesia, Amerika Samoa dan Samoa.

Sementara itu, jurucakap polis Noumea, ibu negara Vanuatu berkata, mereka meramalkan tsunami melanda jam 11.15 pagi waktu tempatan (0015 GMT). - Reuters