Followers

Thursday, December 17, 2009

Kerajaan menerusi NKRA komited tingkat taraf hidup rakyat

KUALA LUMPUR: Kerajaan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) komited untuk meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah dalam usaha untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar di Malaysia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata kerajaan mensasarkan untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar kepada 2.8 peratus menjelang 2010 dan dua peratus pada 2012 daripada 3.8 peratus kini.

"Kita di kementerian tidak mahu tengok orang miskin lagi di Malaysia. Terdapat banyak peluang pekerjaan di negara kita. Rakyat perlu menggunakan peluang ini sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri hari terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Sunway, hari ini.

Hari terbuka GTP telah dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon, yang bertanggungjawab mengenai Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi.

Beliau juga Pengerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Shahrizat berkata bagi meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, kementerian itu akan melaksanakan bayaran bantuan kebajikan pada setiap satu haribulan mulai Januari tahun depan.

Katanya, kementerian itu juga berhasrat untuk meningkatkan jumlah usahawan wanita kepada 4,000 menjelang 2012 di bawah program Sahabat Amanah Ikhtiar.

Melalui Khidmat Pembangunan Sosial (SDS), katanya, kerajaan akan menyalurkan bantuan untuk mengelakkan golongan miskin dan mudah miskin daripada jatuh ke bawah garis kemiskinan.

Katanya matlamat SDS adalah untuk mencapai pendapatan isi rumah secara keseluruhan kepada pengagihan secara berkesan.

Oleh itu, Shahrizat mengalu-alukan rakyat untuk menggunakan hari terbuka ini sebagai peluang untuk memberi pendapat atau pandangan bagi menjayakan hasrat kerajaan dalam mengurangkan kemiskinan tegar di negara ini.

"Kerajaan akan memberi perhatian yang serius terhadap pandangan dan pendapat yang dilontar oleh rakyat," katanya. - Bernama

Inkues Teoh ditangguh lagi ke 7 Januari depan

SHAH ALAM: Prosiding inkues bagi menyiasat kematian setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock di Mahkamah Majistret Shah Alam ditangguhkan sekali lagi ke 7 Januari depan.

Peguam Gobind Singh Deo, ketika dihubungi media memberitahu kes itu akan disebut semula pada tarikh berkenaan bagi membolehkan kesemua pihak terbabit memberitahu perkembangan terkini kepada mahkamah terhadap keputusan bedah siasat kedua mayat Teoh.

Pihak media difahamkan laporan bedah siasat oleh pakar patologi dari Hospital Sungai Buloh itu masih belum disiapkan.

Tarikh perbicaraan baru bagi kes itu akan ditetapkan pada 7 Januari nanti, menurut Gobind, peguam bagi keluarga Teoh.

Pada 22 November lalu, sekumpulan pakar patologi di Jabatan Forensik, Hospital Sungai Buloh yang diketuai Ketua Unit Patologi Dr Shahidan Md. Noor selesai melakukan bedah siasat kali kedua ke atas mayat mendiang yang digali semula sehari sebelum itu.

Mayat Teoh dikebumikan semula pada 24 November di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Adun Seri Kembangan, Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor yang berpejabat di plaza itu. - Bernama

Malaysia tewaskan Vietnam untuk emas Sukan Sea

MALAYSIA mengakhiri penantian 20 tahun pingat emas bola sepak Sukan Sea apabila menewaskan Vietnam 1-0 di Laos, sebentar tadi.

Gol kemenangan hasil jaringan sendiri pemain Vietnam, Mai Xuan Hop pada minit ke-84.

Dunia di persimpangan genting tangani perubahan iklim: PM

COPENHAGEN: Dunia kini di persimpangan genting dan generasi masa depan akan menanggung akibat kesan perubahan iklim jika pemimpin masa kini tidak sanggup berkorban dan mengambil langkah tegas bagi menanganinya, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, dunia tidak perlu menunggu hingga 2050 untuk melihat kesan perubahan iklim kerana negara pulau seperti Maldives akan tenggelam jika suhu dunia meningkat hanya sebanyak 1 darjah Celcius lagi.

"Kita kini di persimpangan genting, kita bercakap soal generasi masa depan dan ia (tindakan menangani perubahan iklim) perlu berlaku sekarang

"Ini memerlukan pengorbanan dan kesanggupan politik untuk menyediakan peruntukan bagi mencapai sasaran global bagi pelepasan karbon," katanya berucap pada majlis bersama kira-kira 200 rakyat Malaysia di sini malam tadi.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib berada di ibu negara Denmark ini untuk menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2009 (CP15).

Merujuk mesyuarat Kabinet Maldives yang diadakan di bawah laut baru-baru ini, Perdana Menteri berkata tindakan Pesiden Mohamed Naseed itu ialah untuk menunjukkan kepada dunia betapa negaranya dan negara pulau lain menghadapi ancaman besar akibat perubahan iklim.

Malah, katanya, ancaman akibat pemanasan global seumpama itu juga dihadapi negara lain, termasuk Malaysia yang mula merasai cuaca luar biasa di mana taburan hujan jauh meningkat dan banjir melanda kawasan yang tidak pernah mengalami bencana itu.

"Batu Pahat ditenggelami air, ini belum pernah berlaku. Itu adalah antara contoh kesan ringan pemanasan global," katanya sambil menambah baru-baru ini bongkah ais besar terpisah dari benua Antartika dan bergerak ke arah Australia.

Sehubungan itu, Najib berkata pemimpin dunia perlu sepakat berusaha menangani kesan perubahan iklim kerana masalah itu tidak dapat diselesaikan sebarang negara secara bersendirian.

"Kita perlu bangkit melepaskan diri daripada kekangan kepentingan negara masing-masing. Jika kita hanya memikirkan penyelesaian berasaskan negara, kita hanya membuang masa di Copenhagen.

"Kita perlu melonjak dan mencari penyelesaian global. Hanya dengan cara itu apabila 2050 menjelang, kita dapat menghirup udara bersih dan selamat daripada ancaman perubahan iklim," katanya.

Menyentuh konsep 1Malaysia, Perdana Menteri percaya ia dapat memantapkan perpaduan nasional dan menjurus kepada kekuatan masyarakat Malaysia untuk menghadapi cabaran masa depan sebagai satu negara.

Najib berkata, konsep 1Malaysia dapat melenyapkan prasangka dan ketidakpuasan hati di antara kaum yang merasakan sesetengah dasar kerajaan meminggirkan mereka.

"Sudah tiba masanya kita menghadapi cabaran sebagai satu negara," katanya.

Perdana Menteri berkata, semangat 1Malaysia itu juga mampu melonjakkan negara ke tahap kejayaan lebih tinggi dan beliau berikrar akan memimpin negara ke arah kecemerlangan.

"Sebagai Perdana Menteri anda semua, saya komited untuk memimpin Malaysia ke tahap lebih tinggi. Diharapkan apabila sampai waktunya anda semua akan menyokong saya," katanya.

Raja bawa misi berbeza


EMPAT tonggak (dari kiri) Nasriq, Aidil Zafuan, Muslim Ahmad dan Sabre sedia gempur kubu Vietnam, petang ini.

Vietnam ghairah lakar sejarah, Malaysia mahu akhiri kemarau

BERBEZA dengan Vietnam, kesebelasan skuad negara tidak punya 'misi melakar sejarah' dalam pemikiran apabila turun ke gelanggang, hari ini untuk cuba menamatkan kemarau penantian pingat emas yang sudah berlanjutan selama 20 tahun.

Apa yang mahu dicapai ialah kepuasan diri, betapa peluang terjelma untuk memperagakan aksi di pentas tertinggi, tidak akan sama sekali dipersiakan.

“Jika Vietnam mahu buru sejarah, biarkanlah mereka. Ia tidak penting untuk kami ketika ini. Apa yang saya mahu ialah pemain kekal dengan perancangan permainan yang ditetapkan. Jika pada akhirnya nanti, sejarah itu terjadi, maka terjadilah ia,” kata jurulatih, K Rajagobal.

Malah, dihujani pelbagai soalan oleh sekumpulan wartawan Vietnam yang mahu tahu kesebelasan pilihannya, Rajagobal lebih mahu menumpukan perhatian kepada kekuatan pasukannya - tanpa mahu terganggu tidur angkara terlalu memikirkan apa bakal disajikan lawan.

“Ini pentas terbaik, jadi pemain perlu tahu betapa peluang sebegini tidak akan hadir selalu. Mereka perlu bijak memanfaatkannya. Jangan terlalu fikirkan apa yang menanti. Sebaliknya, buat tugas yang diberi dan nikmati detik final itu nanti,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan, petang semalam.

Sesungguhnya, Malaysia tidak harus dibelenggu bimbang kerana peningkatan aksi dipamerkan sejak kekalahan 1-3 kepada lawan sama di peringkat kumpulan lalu, harus kini mencetus bimbang Vietnam.

Malah, kepahitan itu tampak jadi pengajaran paling berguna dengan pemain kelihatan amat bersemangat untuk paling utama - menebus dendam kekalahan, dengan kilauan emas hanya hadir di penghujung pemikiran.

"Kami tahu apa kemampuan mereka, sama seperti Vietnam tahu kekuatan kita. Saya yakin final kali ini akan jadi permainan menarik,” kata Rajagobal.

Meneliti sesi latihan pula, Rajagobal tampak akan terus menaruh harapan kepada barisan hampir sama - dengan Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohd Muslim Ahmad, Nasriq Baharom serta Mohd Sabre Mat Abu bakal diberi kepercayaan menerajui benteng.

Posisi Safiq Rahim dan K Gurusamy di tengah tidak terjejas, ketika Baddrol Bakhtiar serta S Kunanlan juga berkemungkinan besar diberi tanggungjawab mengepalai bahagian tengah.

Ketika latihan itu juga, Ahmad Fakri Saarani - penjaring gol kemenangan ketika menentang Thailand - kembali di barisan depan, bersama-sama Norshahrul Idlan Talaha. Zaquan Adha Abdul Radzak mungkin akan sekadar berwatak pembantu.

Siaran langsung

RADIO Televisyen Malaysia (RTM) menerusi TV2 dan TV3 akan menyiarkan perlawanan akhir bola sepak Malaysia menentang Vietnam, jam enam petang ini.

Inilah kali pertama Malaysia dan Vietnam bertemu pada perlawanan akhir Sukan Sea yang menyaksikan negara kali terakhir menang emas pada 1989 di Kuala Lumpur.

Malaysia belum putuskan sertai Perjanjian Usahasama Trans Pasifik

KUALA LUMPUR: Malaysia belum memutuskan sama ada akan menyertai lapan negara lain dalam Perjanjian Usahasama Trans Pasifik (TPP), Dewan Negara di beritahu hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Mustapa Mohamed, berkata ketika ini kementerian berkenaan sedang berbincang pihak industri bagi menentukan pendirian negara.

"Keputusan itu akan dibuat dalam masa terdekat sebelum mesyuarat TPP seterusnya yang akan diadakan pada Mac tahun depan di Australia," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Maijol Mahap yang bertanya adakah Malaysia turut berminat untuk menyertai TPP pada persidangan Dewan Negara di sini.

TPP adalah satu kerjasama dagangan antara Brunei, Singapura, Chile, New Zealand, Amerika Syarikat (AS), Australia, Peru dan Vietnam. - Bernama

Kenderaan asing bawa keluar lebih 20 liter petrol mungkin dirampas

KUALA LUMPUR: Kenderaan asing yang ingkar mematuhi peraturan untuk membawa hanya 20 liter petrol dan diesel ketika keluar melalui sempadan negara mungkin akan dirampas, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata tindakan tegas itu mampu mematahkan usaha penyeludupan minyak dan pembelian luar biasa di sempadan.

"Mana-mana kenderaan yang kita (penguatkuasa) syaki akan ditahan. Jika lebih 20 liter kita berhak untuk rampas dengan kereta-kereta sekali," katanya kepada pemberita selepas merasmikan dan melancarkan produk keluaran koperasi dan pembiayaan kereta nasional di sini hari ini.

Larangan penjualan petrol dan diesel melebihi 20 liter kepada kenderaan asing di stesen minyak yang terletak dalam lingkungan 50 kilometer dari pintu sempadan negara berkuatkuasa semalam.

Seorang pengusaha stesyen minyak di Bukit kayu Hitam menjadi peniaga pertama dikenakan tindakan selepas larangan itu dikuatkuasakan.

Ismail Sabri berkata larangan itu dijangka berterusan sehingga mekanisme baru sistem pengurusan subsidi minyak untuk rakyat dimulakan Mei tahun depan. - Bernama

Malaysia capai sasaran 30 emas di Sukan Sea

KUALA LUMPUR: Malaysia memenangi emas ke-30 di Sukan Sea Laos menerusi Mohd Fauzi Khalid yang menewaskan Vietnam dalam acara pencak silat lelaki 75 kilogram (kg) sebentar tadi.

Emas berkenaan menepati sasaran ditetapkan Majlis Sukan Malaysia (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), sehari sebelum berakhir temasya itu, esok.

Pengecualian bayaran bil elektrik RM20 ke bawah kekal hingga Disember

KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengumumkan pengecualian pembayaran bil elektrik sebanyak RM20 dan ke bawah kekal sehingga Disember 2010, kata menterinya, Datuk Peter Chin Fah Kui di sini, sebentar tadi.

PM doa Malaysia juarai bola sepak Sukan Sea

COPENHAGEN: Datuk Seri Najib Razak berharap skuad bola sepak kebangsaan yang akan beraksi pada perlawanan akhir Sukan Sea Laos, hari ini akan bermain bersungguh-sungguh dengan semangat 1Malaysia untuk memperoleh pingat emas.

Perdana Menteri berkata kejayaan itu penting bagi rakyat Malaysia yang menantikan kemenangan setelah kali terakhir Malaysia menjadi juara 20 tahun lalu.

"Saya berdoa pasukan Malaysia akan mencapai kejayaan dan saya percaya setiap rakyat Malaysia juga akan berdoa akan kejayaan pasukan kita," katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri jamuan makan malam bersama rakyat Malaysia di sini malam tadi.

Malaysia akan bertemu Vietnam bagi menentukan juara Sukan Sea petang ini.

Sebelum ke perlawanan akhir, Malaysia kalah kepada Vietnam 3-1 tetapi mengejutkan juara bertahan Thailand 2-1 pada peringkat kumpulan sebelum menundukkan tuan rumah Laos 3-1 pada perlawanan separuh akhir.

Najib, yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, berada di ibu negara Denmark ini untuk menghadiri sidang kemuncak mengenai perubahan iklim yang berakhir esok. - Bernama

Negara kaya janji AS$22 bilion perangi pemanasan global

COPENHAGEN: Negara-negara kaya semalam menjanjikan sumbangan sehingga AS20 bilion (RM66 bilion) sebagai usaha memerangi isu pemanasan global, sekali gus memperlihatkan titik permulaan Sidang Kemuncak Mengenai Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini.

Jepun mengetuai inisiatif itu dengan menjanjikan bantuan 1.75 trilion Yen (AS$19.5 bilion), termasuk 1.3 trillion Yen dalam Dana Awam khusus kepada negara sedang membangun bagi menangani perubahan iklim.

Jepun kini bersama empat negara lain komited dengan inisiatif dana itu, termasuk Australia, Britain, Perancis, Norway dan Amerika Syarikat.

Semua lima negara berkenaan berjanji akan mewujudkan dana berkenaan untuk menangani isu penebangan hutan, yang menjadi punca utama peningkatan suhu dunia yang membawa kepada kemarau, ribut petir dan perubahan cuaca tidak menentu.

"Jepun mengambil berat perkara ini dan bertanggungjawab kepada komuniti dunia," kata Menteri Alam Sekitarnya, Sakihito Ozawa ketika mengumumkan dana terbesar daripada negara itu.

Negara Eropah pula sudah menyatakan persetujuan untuk menyalurkan 7.2 bilion Euros (AS$10.6 bilion) sebagai dana permulaan untuk tempoh tiga tahun dari 2010 hingga 2012 bagi membantu negara sedang membangun bagi menangani perubahan iklim.

Dalam satu kenyataan bersama enam kerajaan negara terbabit, mereka secara kolektif bersetuju memperuntukkan AS3.5 bilion mulai 2010 hingga 2012 sebagai dana untuk membiayai aktuviti perhutanan semula.

Pengumuman itu dilihat sebagai satu momentum awal bagi memperlihatkan komitmen 120 negara di dunia yang berkumpul di sidang kemuncak itu sehingga esok bagi menangani isu pemanasan global, terutama kesannya terhadap negara membangun dan miskin. - AFP

Malaysia tolak keganasan: Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak menyokong sebarang aktiviti keganasan dan tidak akan membenarkan negara ini menjadi pusat bermulanya kegiatan itu, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebentar tadi.

Gempa 6.3 Richter gegar Portugal, Sepanyol, Morocco

MADRID: Gempa bumi berukuran 6.3 skala Richter menggegarkan Sepanyol, Protugal dan Maghribi tetapi tiada kerosakan besar atau kematian dilaporkan setakat ini.

Menurut Agensi Seismologi Sepanyol, gegaran berlaku jam 2.37 pagi waktu tempatan (0137 GMT) berpusat di Lautan Atlantik di 100 kilometer di barat daya Cape St Vincent di Portugal.

Agensi Penyelidikan Gelogikal Amerika Syarikat (USGS) pula melaporkan, gempa itu berukuran 5.7 mangnitud.

Media Sepanyol melaporkan, gegaran itu dirasai di bandar Seville, Cordoba dan Huelva.

Gegaran itu turut dilaporkan berlaku di pesisir pantai Atlantik di Morocco antaranya di bandar Tangiers, Rabat dan Casablanca. - AFP

Sabah & Sarawak: Rumah terbuka Krismas erat perpaduan

KOTA KINABALU: Anggota masyarakat di negeri ini tidak harus melepaskan peluang memeriahkan Rumah Terbuka Krismas Peringkat Kebangsaan, di Padang Merdeka, di sini 27 Disember ini.

Majlis itu dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah dan isteri, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar serta Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Program anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama kerajaan negeri dan bertemakan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ itu bermula pada jam 12.30 tengah hari hingga 6 petang.

Dalam kenyataannya di sini semalam, kementerian itu berkata, program berkonsep pemimpin turun padang itu bertujuan membolehkan pemimpin dan rakyat meraikan Krismas sambil tidak melupakan golongan kurang bernasib baik, kurang upaya dan warga tua.

Pengunjung berpeluang menikmati makanan tradisi masyarakat tempatan. Majlis yang akan diserikan dengan kehadiran Santa Claus dan Santa Rina yang memberi hadiah kepada kanak-kanak, selain persembahan artis seperti Jamal Abdillah, Stacy, Iqwal Hafiz , Karen Tan, Clarice John Matta dan Everitus Gungkit.

Hadirin turut dihiburkan dengan persembahan tarian 1Malaysia, persembahan Kumpulan Orkestera Tradisional Malaysia dan koir.

Sabah & Sarawak: 7,000 banjiri Pesta Bagandang


MUSA (tiga dari kanan) diarak dalam perahu berhias selepas merasmikan Pesta Bagandang dan Ekspo Perdagangan Beaufort di pekan Beaufort.

BEAUFORT: Kira-kira 7,000 orang membanjiri tapak tamu di pekan ini bagi memeriahkan Pesta Bagandang dan Ekspo Perdagangan Beaufort selama empat hari yang berakhir kelmarin.

Mereka yang datang dari daerah ini dan daerah berhampiran seperti Sipitang, Tenom, Papar dan Kota Kinabalu jelas terhibur dengan pelbagai acara kebudayaan dan sukaneka, selain berbelanja di puluhan gerai yang menyediakan pelbagai barangan.

Festival dan ekspo berkenaan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Ahmad; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Azizah Mohd Dun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan, Kamarlin Ombi.

Ketika berucap merasmikannya, Musa berkata, program seumpama itu mampu memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum, selain menggiatkan industri pelancongan di daerah ini.

"Melalui program seumpama ini, masyarakat pelbagai bangsa dan agama dapat berkumpul untuk sama-sama meraikannya. Secara tidak langsung, perpaduan yang sedia terjalin mampu diperkukuh," katanya.

Musa berkata, penganjuran festival dan ekspo tahunan itu turut meningkatkan industri pelancongan negeri ini yang sememangnya kaya dengan pelbagai khazanah alam semulajadi.

Selain itu, katanya, ia juga memberi peluang kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) memasarkan produk masing-masing, selain membina rangkaian pemasaran lebih luas melalui kerjasama dengan usahawan dari daerah lain.

"Kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri memberi manfaat kepada usahawan IKS. Inilah peluang untuk usahawan IKS membina rangkaian pemasaran secara lebih luas," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta usahawan terbabit menjadikan program berkenaan sebagai landasan untuk meningkatkan perniagaan pada masa depan.

Musa turut berharap muzik tradisional yang dimainkan pada festival itu dikekalkan pada tahun depan kerana ia adalah khazanah budaya yang harus dipertahankan.