Followers

Thursday, October 29, 2009

Indonesia hargai tindakan tegas Malaysia dalam kes Mantik

JAKARTA 29 Okt. — Pemerintah Indonesia pada Khamis menyatakan penghargaan terhadap tindakan tegas yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam menangani kes pembantu rumah Indonesia yang mati dipercayai didera majikannya, Mantik Hani.

Jurucakap Presiden, Dino Patti Djalal berkata, Indonesia juga menghargai kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia bahawa hak-hak warganegara Indonesia di Malaysia adalah sama dengan hak-hak rakyat Malaysia.

"Harus dilindungi keselamatannya (warganegara Indonesia), tidak kira sama ada status orang yang terlibat ”legal” atau ”illegal” (pendatang dengan izin yang sah atau tidak),” katanya dalam kenyataan di sini. - Bernama

Syarikat korporat dan IPT perlu jalin kerjasama, kata Ismail

KUALA LUMPUR 29 Okt. — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mahu melihat lebih banyak kerjasama terjalin di antara syarikat korporat dan institusi pengajian tinggi bagi mewujudkan program latihan keusahawanan untuk golongan muda.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementerian sentiasa menyokong usahasama daripada mana-mana pihak bagi melatih golongan belia dan mempersiapkan mereka dengan kemahiran sebelum bergelar usahawan.

"Sebagai contoh, kerjasama yang terjalin di antara syarikat telefon mudah alih tempatan, CSL Group of Companies dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sejak Ogos lepas dengan mewujudkan program ”On Job Education” bagi melatih golongan belia dalam bidang keusahawanan serta pemasangan telefon mudah alih.

"Usaha itu secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan cawangan Kedai Konsep CSL ke-107 dan SSTHER MOBILE di Kompleks Pertama di sini hari ini. - Bernama

Rakyat perlu terus sokong Kerajaan BN, kata Muhyiddin

KOTA TINGGI 29 Okt. — Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat perlu meneruskan sokongan mereka terhadap kerajaan pimpinan Barisan Nasional agar usaha memajukan negara ini dan menjadikan mereka sebagai bangsa yang berjaya, tercapai.

"Kerajaan komited dalam usaha membela nasib rakyat pelbagai lapisan di negara ini dan ini dapat dibuktikan melalui Bajet 2010 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini,” katanya pada majlis bersama pemimpin di Kampung Felda Sungai Mas, Pengerang, lebih kurang 35 kilometer dari sini hari ini. - Bernama

Sekolah agama dibantu untuk perkasa pendidikan Islam

KOTA TINGGI 29 Okt. — Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan mendaftarkan Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Menengah Agama Negeri sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan dalam usaha memperkasakan pendidikan Islam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pendaftaran berkenaan amat bertepatan dalam menjaga kebajikan dan menghargai jasa guru agama sekaligus membuktikan kerajaan sentiasa komited dalam memartabatkan pendidikan Islam.

"Dengan pendaftaran ini, sekolah-sekolah agama akan menikmati pelbagai kemudahan seperti bantuan sumbangan bagi urusan pentadbiran sekolah, bantuan modal bagi pembangunan fizikal sekolah, guru terlatih, mengekalkan kurikulum agama negeri yang menggunakan kurikulum Azhari (Buuth Al Azhari) dan skim saraan yang setimpal dengan kululusan serta pengalaman guru,” katanya ketika merasmikan Multaqa” Guru Agama Kerajaan Johor dan mesyuarat agung Persatuan Kebangsaaan Guru-guru Agama Malaysia Barat Cawangan Johor di sini hari ini. - Bernama

Rakyat sedar pembangkang tidak mampu - Muhyiddin

KOTA TINGGI 29 Okt. — Pelbagai kepincangan yang melanda pakatan parti pembangkang merupakan bukti jelas bahawa mereka tidak mampu mentadbir dengan baik sebagaimana Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, pertikaian dan perselisihan berlarutan di antara parti-parti pembangkang mengenai pelbagai isu telah menyedarkan rakyat tentang ketidakmampuan mentadbir negeri-negeri yang dimenangi mereka pada pilihan raya umum tahun lepas.

"Rakyat sudah sedar tentang ketidakmampuan mereka (pakatan pembangkang), mereka asyik berselisih (faham) sesama sendiri di dalam banyak hal sehingga menjejaskan taraf hidup rakyat di negeri-negeri yang mereka perintah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Ilham Desa di Kampung Mawai Baru di sini, hari ini. - Bernama

Wad remaja di tiga hospital menjelang 2011 - Tiong Lai

KUALA LUMPUR 29 Okt. — Kerajaan akan menubuhkan wad remaja di tiga hospital iaitu hospital di Sungai Petani, Ipoh dan Kota Baharu menjelang 2011 bagi membendung masalah kesihatan melibatkan golongan remaja yang kini semakin meningkat, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Selain itu, beliau berkata, Malaysia juga memerlukan lebih ramai doktor kesihatan remaja bagi mengawal penularan ”Penyakit Berkaitan Seks” (STD) dan HIV/AIDS di kalangan remaja kini.

"Kita ada beberapa hospital yang menyediakan rawatan kepada remaja yang menjurus ke arah suasana mesra remaja, namun kita akan kuatkan lagi dengan penubuhan wad remaja menjelang tahun 2011.

"Ini kerana dalam tahun 2008, kira-kira 300,000 golongan remaja mendapatkan rawatan di klinik dan daripada jumlah itu sebanyak 4,214 atau 1.4 peratus remaja menjalani rawatan seksual serta masalah kesihatan yang melibatkan reproduktif.

Kita kena lebih peka terhadap isu ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Dunia Persatuan Antarabangsa Kesihatan Remaja kali kesembilan di sini hari ini. - Bernama

Persetujuan dicapai bagi sokongan pindaan ISA, kata Hishammuddin

PUTRAJAYA 29 Okt. — Majoriti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemegang kepentingan telah mencapai persetujuan untuk menyokong usaha kerajaan meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini berkata, mereka mahu menumpukan kepada lima isu utama iaitu tempoh tahanan, hak dan layanan tahanan dan keluarga, kuasa menteri, persepsi kuasa-kuasa di bawah ISA digunakan untuk kepentingan politik dan tahanan tanpa perbicaraan.

"Kita tengok kalau isu itu dapat disenaraikan dan diperincikan supaya memudahkan pindaan kepada ISA,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat dengan badan NGO dan Majlis Peguam. - Bernama

Transformasi ekonomi baru


Najib Tun Razak melawat proses pemasangan pesawat Airbus yang direka oleh jurutera tempatan di Spirit AeroSystems Sdn. Bhd. di Subang, semalam. Turut hadir Pengarah Urusan Airport Malaysia, Tan Sri Bashir Ahmad (kiri).


SUBANG 28 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, transformasi model ekonomi baru akan menjadikan negara sebagai penyedia pakej perkhidmatan, kemudahan dan teknologi terbaik yang menjamin pulangan lumayan kepada pelabur.

Menurutnya, sasaran daripada sebuah negara berpendapatan sederhana kepada berpendapatan tinggi itu juga dapat menukar persepsi bahawa negara ini hanya dikenali sebagai penyedia kos tenaga buruh rendah.

“Kita tidak lagi mahu dikenali sebagai sebuah negara yang hanya mampu menawarkan kekuatan tenaga buruh rendah.

“Tetapi kita mahu Malaysia menjadi negara yang mampu memberi pulangan terbaik kepada mana-mana pelabur bersama kemudahan dan teknologi yang turut ditawarkan dalam pakej,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan pusat Kemudahan Pembuatan dan Reka Bentuk Aeroangkasa Malaysia, Spirit AeroSystem Sdn. Bhd. (Spirit) di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Spirit AeroSystem Inc., Jeff Turner dan Pengarah Urusan Spirit Malaysia, Francis Hiew.

Pusat yang dikendalikan Spirit Malaysia, anak syarikat Spirit AeroSystem Inc. berpangkalan di Kansas, Amerika Syarikat (AS) itu merupakan pembekal bebas pemasangan komponen kapal terbang terbesar di dunia.

Ia yang terletak bersebelahan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini berkeluasan 22,336 meter persegi akan mengeluarkan sub pemasangan komposit bagi pesawat ruang sayap tunggal Airbus.

Selain itu, Spirit akan menubuhkan pasukan kejuruteraan reka bentuk dalaman yang akan mengusahakan pemasangan bagi reka bentuk pesawat Airbus terkini, A350 XWB.

Apabila beroperasi sepenuhnya, kemudahan Spirit dijangka memberi peluang pekerjaan kepada kira-kira 450 orang dalam pelbagai sektor pemasangan, pembuatan, kejuruteraan, komersial dan khidmat sokongan.

Tambah Perdana Menteri, berdasarkan semangat Malaysia Boleh, segalanya mampu direalisasikan, malah pelancaran pusat itu juga akan menjadi pencetus kepada kecemerlangan negara dalam industri aeroangkasa.

“Dengan semangat Malaysia Boleh, tiada yang mustahil, saya terfikir Presiden AS, Barack Obama telah meniru tag line kita itu apabila memperkenalkan tag line ‘Yes We Can’, jika diterjemah ia sama,” katanya sambil berseloroh.

Najib mahukan pelabur melihat Malaysia bukan sekadar negara yang sesuai untuk pelaburan tetapi sebagai rakan kongsi strategik dan komitmen negara adalah jelas iaitu sedia berdiri bersama, berjalan seiring, membantu dan menyokong dengan penuh dedikasi.

“Kita akan pastikan agensi dan jabatan kerajaan memberi kerjasama bersungguh-sungguh sebagai suatu entiti dengan fokus menyediakan perkhidmatan terbaik dan berkualiti.

“Dengan kesungguhan ini diyakini bukan sahaja syarikat pelaburan biasa datang ke negara ini, sebaliknya menarik rangkaian pelabur antarabangsa yang berkualiti dan terbaik untuk melabur di sini,” katanya.