Followers

Saturday, January 9, 2010

PPIM tawar sukarelawan pantau rumah ibadat

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menawarkan sukarelawan bagi membantu pihak berkuasa memantau keselamatan rumah-rumah ibadat.

Setiausaha Kerja PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata penawaran sukarelawan itu adalah antara langkah awal yang diambil oleh persatuan tersebut dalam usaha membantu polis.

"Kita harap sukarelawan kita dapat memainkan peranan mereka dan setakat ini telah ada lebih 300 orang yang menyatakan persetujuan untuk sama-sama membantu memantau keselamatan rumah ibadat dan penambahan sukarelawan ini juga akan diperkembangkan ke seluruh negara dalam usaha kita membantu memastikan keharmonian dapat dikekalkan.

"Dengan ini, PPIM harap dapat membantu meredakan keadaan yang kelihatan sedikit tegang berikutan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah mingguan Katolik, Herald," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain itu, beliau juga mengesa kerajaan supaya mereka yang terbabit dengan insiden membakar gereja dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). - Bernama

Dr Mahathir ingatkan rakyat supaya bertenang

SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menasihati rakyat supaya bertenang berikutan insiden membaling bom api di empat gereja sekitar Kuala Lumpur dan tidak bertindak melakukan perbuatan di luar kawalan yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.

Beliau berkata, lebih mudah untuk mengawal golongan sofistikated, berpendidikan dan bersikap terbuka dalam perkara yang membabitkan sentimen keagamaan tetapi bukan mereka yang "dikatakan" kurang berpendidikan dan tidak rasional.

"Satu-satunya cara untuk menyelesaikan isu ini adalah untuk bertenang, tetapi bagaimana anda boleh beri jaminan bahawa mereka yang kurang berpendidikan akan turut akur dan bertenang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan sambutan Hari Keluarga Proton 2010 yang diadakan sempena ulang tahun ke-25 Proton di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, lebih baik untuk membincangkan isu sensitif seperti isu keagamaan secara tertutup dan tidak terlalu brsikap ghairah dengan mengadakan perhimpunan awam dan demonstrasi.

"Di negara ini, isu sensitif tertentu perlu diselesaikan secara tertutup tetapi apabila ada peristiwa umum dengan mahkamah membuat keputusan, maka sesetengah pihak mungkin berasa gembira dan ada juga yang tidak gembira... saya berasa tidak gembira," katanya merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember yang membenarkan Gereja Roman Katolik di Malaysia menggunakan kalimah "Allah" dalam penerbitan mingguannya, Herald.

Mengenai gesaan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) yang meminta penerbitan media supaya tidak memainkan isu perkauman dalam penerbitan mereka, Dr Mahathir berkata pengamal media perlu lebih matang untuk tidak memainkan isu seperti itu.

Beliau turut menggesa masyarakat Malaysia supaya tidak dipaksa bersetuju dengan pandangan terbuka berhubung isu sensitif tertentu yang diterima dan diamalkan oleh beberapa negara maju.

"Kita hidup dalam masyarakat yang pelbagai agama, pelbagai ekonomi, pelbagai budaya dan pelbagai bahasa... kita tidak seharusnya dipaksa bersetuju dengan apa yang dikatakan peradaban dan pandangan terbuka negara maju.

"Kita telah pun muncul sebagai sebuah negara maju dalam acuan kita sendiri dan ini tidak bermakna bersikap terlalu bebas sehingga mula berjalan ke sana sini tanpa berpakaian dan sebagainya. Itu adalah cara mereka (negara maju) yang menganggapkan diri mereka maju dan bukannya kita," katanya. - Bernama

Satu lagi gereja dilempar bom api

PETALING JAYA: Sebuah lagi gereja di Jalan Othman di sini, Good Shepherd Lutheran Church, turut menjadi sasaran bom api, dipercayai berlaku serentak dengan tiga insiden semalam.

Bagaimanapun, kejadian itu hanya disedari kira-kira jam 2 petang tadi oleh seorang paderi, Augustine Mutusamy, 43, yang lalu di hadapan gereja terbabit dan melihat dua kesan terbakar pada dinding bangunan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata pihaknya menerima laporan kira-kira jam 2.05 petang dan terus berkejar ke lokasi.

Katanya, siasatan mendapati dua kesan terbakar pada dinding gereja dan beberapa botol pecah di kawasan itu.

"Melihat kepada kesan terbakar, polis percaya kejadian ini bukan baru sebaliknya serentak dengan tiga lagi kejadian baling bom api, iaitu masing-masing di Petaling Jaya, Desa Melawati dan Damansara, namun ia tidak disedari pihak gereja," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Arjunaidi berkata, berdasarkan maklumat pengurusan gereja, pengawal yang ditugaskan menjaga bangunan itu melaporkan tiada sebarang kejadian mencurigakan sehingga jam 1 pagi semalam.

"Polis kini menyiasat secara terperinci kes ini mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan," katanya.

Malaysia tetap agenda pembangunan teknologi hijau 26 Januari

MIRI: Hala tuju pembangunan teknologi hijau negara akan ditetapkan setelah mesyuarat pertama Majlis Teknologi Hijau Negara yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Putrajaya pada 26 Januari ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin, berkata lapan menteri bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, akan menganggotai majlis itu yang juga komponen untuk mempromosi aplikasi teknologi hijau selaras dengan objektif dan matlamat Dasar Teknologi Hijau Negara.

Selain beliau, anggota Kabinet lain yang terbabit dalam majlis ini ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat; Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor; dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Kong Cho Ha.

"Mesyuarat pertama ini menjadi langkah susulan selepas pelancaran Dasar Teknologi Hijau oleh Perdana Menteri Julai lalu," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, majlis itu mungkin akan menjemput pakar luar negara dalam bidang pembangunan teknologi hijau untuk menganggotai jawatankuasa teknikal yang bakal ditubuhkan bagi memantapkan lagi usaha kerajaan memajukan teknologi berkenaan di negara ini.

Selepas mesyuarat pertama ini, Chin berkata Najib dijangka melancarkan Skim Pinjaman Mudah Teknologi Hijau di Putrajaya.

Katanya, pelancaran skim pinjaman ini merupakan susulan kepada pengumuman dalam Bajet 2010 berkenaan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion untuk membangunkan teknologi hijau di negara ini.

Katanya, di bawah skim ini syarikat pembekal teknologi hijau boleh membuat pinjaman sehingga RM50 juta sementara syarikat pengguna pula boleh mendapat pinjaman maksimum RM10 juta.

Chin juga berkata, kementeriannya buat julung kalinya akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Greentech dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM 2010) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 14 hingga 17 Oktober depan.

Katanya, Mesyuarat Meja Bulat Menteri-Menteri berkaitan Teknologi Hijau dan program institusi pengajian tinggi awam tempatan dan luar negara akan turut diatur semasa pameran dan persidangan antarabangsa itu. - Bernama

PM umum RM15.6 juta untuk baik pulih dua pangsapuri

RAWANG: Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengumumkan peruntukan sebanyak RM15.6 juta bagi membaik pulih 5,000 unit pangsapuri Seri Anggerik dan Seri Cempaka di Bandar Bukit Sentosa, dekat sini yang rosak dipukul ribut lapan tahun lalu. Perdana Menteri berkata, peruntukan itu diberikan setelah berpuashati dengan penjelasan penduduk dan memahami kesulitan yang dihadapi mereka. "Sebelum datang ke sini saya telah meninjau ke kawasan itu. Keadaan flat itu cukup buruk. Macam flat berhantu, macam tak ada orang. Bumbungnya dah rosak dan tercabut dan tidak boleh digunakan lagi. Perkara ini bukan baru. Ia telah berlalu lebih lapan tahun.

"Saya telah berbincang dengan wakil penduduk. Mereka minta saya timbang apa-apa peruntukan khas untuk membaik pulih flat itu.

"Maka, sejajar dengan prinsip rakyat didahulukan maka pihak kerajaan bersedia untuk membantu dan dengan itu saya isytiharkan peruntukan RM15.6 juta untuk membaik pulih pangsapuri tersebut," katanya ketika berucap merasmikan Program Juara Rakyat yang dihadiri lebih 20,000 pengunjung di tapak ekspo Bandar Bukit Sentosa, Hulu Selangor, hari ini.

Turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafei Apdal; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi; dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Pengguna wajar pulau peniaga naik harga

MELAKA: Pengguna wajar memulau peniaga yang menaikkan harga makanan dan minuman berikutan harga gula dinaikkan 20 sen sekilogram bermula 1 Januari lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga makanan dan minuman berikutan kenaikan harga gula.

"Ada kopi 0 daripada 90 sen secawan dinaikkan RM1, saya harap pengguna pandai, jangan masuk kedai atau restoran yang pengusahanya menaikkan harga secara mendadak," katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Besar Melaka Sentral dan pasaraya Tesco di sini, hari ini.

Beliau berkata, peniaga juga diingatkan tidak menaikkan harga barangan lain yang tiada kaitan dengan gula.

Katanya, bahagian penguatkuasa kementerian itu sedang membuat pemantauan di seluruh negara dan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang cuba menaikkan harga sewenang-wenangnya.

"Orang ramai juga perlu menyahut kempen kurangkan pengambilan gula dalam makanan dan minuman sebagai langkah menjaga kesihatan diri," katanya. - Bernama

Umno bukan parti perkauman: Najib

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menegaskan parti itu bukan parti perkauman yang menjulang kepentingan orang Melayu.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata Umno adalah parti yang menghormati peranan dan kedudukan kaum lain di negara ini.

Muhyiddin lakukan lawatan rasmi ke London

LONDON: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan melakukan lawatan rasmi pertama beliau ke United Kingdom mulai hari ini hingga 14 Januari ini, kata Kementerian Pendidikan Malaysia dalam kenyataan di sini.

Lawatan itu adalah susulan undangan Menteri Kanak-kanak, Sekolah dan Keluarga Ed Balls dan Menteri Perniagaan, Inovasi dan Skil United Kingdom Lord Peter Mandelson untuk menyertai dan menyampaikan ucaptama di Forum Teknologi dan Pembelajaran Dunia, yang akan diadakan di sini dari 11 hingga 13 Januari ini.

Kenyataan itu berkata Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran akan menyampaikan ucaptama di Forum Teknologi dan Pembelajaran Dunia itu dari 11 hingga 13 Jan di Queen Elizabeth II Conference Centre (QEIICC) di sini.

Selain Muhyiddin, forum berkenaan dijangka turut disertai kira-kira 50 Menteri Pendidikan dan warga pendidik dari 70 negara seluruh dunia.

Forum itu bermatlamat membantu pemimpin pendidikan dunia membincangkan dan mengkaji bagaimana teknologi yang mampu menambah baik kualiti serta akses kepada pendidikan.

Perbincangan dan pembentangan di forum itu akan berkisar kepada tema utama forum iaitu "Re-imagining Education" yang merangkumi tiga tema kecil iaitu "enabling regeneration and economic recovery" (membolehkan regenerasi dan pemulihan ekonomi); "striving for excellence" (berusaha untuk kecemerlangan); dan "preparing for the future" (persediaan untuk masa depan).

Semasa berada di United Kingdom, Muhyiddin akan mengambil peluang meningkatkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan United Kingdom dalam bidang pendidikan.

ni termasuk mengkaji peluang pendidikan yang terdapat di United Kingdom bagi membolehkan guru dan pegawai pendidikan meningkatkan kelayakan, kemahiran dan pengalaman mereka melalui pemberian latihan di institusi pengajian tinggi yang sesuai di United Kingdom.

Muhyiddin juga akan meninjau usaha transformasi dan inovasi dalam pendidikan di institusi pendidikan United Kingdom, termasuk melawat sebuah sekolah, iaitu Sunbury Manor School di sini.

Sekolah itu adalah sekolah menengah komuniti dan juga sekolah pakar yang mengaplikasikan persekitaran pembelajaran dengan menggunakan teknologi virtual.

Lawatan juga bertujuan menambah baik secara berterusan sistem pendidikan di Malaysia, termasuk memperkukuh aspek kepimpinan pendidikan serta penggunaan teknologi terkini bagi menambah baik kualiti pendidikan dan kemahiran, kata kenyataan itu.

Timbalan Perdana Menteri akan turut mengadakan perjumpaan dengan penuntut serta komuniti Malaysia di London serta memberi penjelasan dan berdialog dengan mereka mengenai perkembangan dan isu-isu semasa negara.

Selain itu, Muhyiddin akan mengadakan sesi pertemuan bersama pelabur berpotensi tinggi dari United Kingdom bersama Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (Mida).

Beliau juga akan melawat Pusat Pengajian Islam Oxford (OXCIS) dan berjumpa dengan penuntut Malaysia di University Oxford, melawat Auditorium Malaysia di OXCIS-Oxford Centre for Islamic Studies dan memberi ceramah bertajuk "Islam dan isu-isu kritikal di Malaysia yang mempunyai penduduk berbilang agama".

Lawatannya pada kali ini dijangka dapat membawa keuntungan kepada sektor pendidikan dan ekonomi negara.

Bukan sahaja kerjasama dua-hala dalam bidang pendidikan sedia ada di antara Malaysia dan United Kingdom dapat dimantapkan, malah bidang kerjasama baru dalam pendidikan dan ekonomi dapat diterokai dan dipertingkatkan, kata kenyataan itu.

Yang paling utama, menurut kenyataan itu, hubungan diplomatik yang erat antara kedua-dua negara akan bertambah kukuh dengan rangka lawatan Timbalan Perdana Menteri ke United Kingdom pada kali ini. - Bernama

Agong titah semua pihak bertenang, hormati tempat ibadah

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, menitahkan seluruh rakyat Malaysia supaya saling menghormati tempat ibadah tanpa mengira kaum.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini, Seri Paduka amat berharap agar semangat perpaduan dan hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara ini sentiasa dijaga.

Tuanku Mizan menitahkan semua pihak terutamanya umat Islam agar bertenang berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan penggunaan kalimah Allah.

Seri Paduka menzahirkan harapan itu kerana kerajaan sedang mengambil langkah perlu berikutan keputusan mahkamah itu dan semua pihak sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

"Bagi menjamin suasana aman dan harmoni di antara penganut yang berlainan agama, maksud dan rujukan kalimah Allah dalam konteks umum hendaklah menepati sifat yang ditetapkan oleh Islam kerana amalan ini sekian lama telah diterima baik oleh semua penganut agama lain di Malaysia," titah Tuanku Mizan.

Menurut kenyataan itu, Tuanku Mizan memandang serius terhadap isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan perintah yang dikeluarkan sebelum ini bagi membenarkan penggunaan kalimah "Allah" oleh majalah mingguan Katolik, Herald, berikutan persetujuan Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Paderi Roman Katholik Malaysia berdasarkan kepada kepentingan negara. - Bernama

H1N1: 12,799 maut sejak Mac 2009

GENEVA: Wabak Influenza A (H1N1) sudah meragut sekurang-kurangnya 12,799 nyawa seluruh dunia, sejak ia pertama kali dikesan di Mexico pada Mac 2009.

Pertubuhan Kesihatan Dunia, berkata data terkini yang disiarkan oleh agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan peningkatan 579 kematian daripada data sebelumnya yang disiarkan sembilan hari lalu.

Negara sekitar Amerika terus mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu, sekurang-kurangnya 6,880 mangsa, manakala eropah mencatatkan 2,554 kematian disebabkan virus itu. - AFP