Followers

Thursday, September 17, 2009

Mukhriz berpendapat Dr Mahathir tak kisah isu 'kalung selipar'

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata bapanya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mungkin tidak mengambil kisah dengan cadangan seorang anggota MIC agar beliau (Dr Mahathir) dikalungkan dengan selipar.

"Saya tak tahu. Saya ingat dia pun tak kisah, saya tak sempat tanya lagi," katanya kepada pemberita di sini ketika diminta mengulas respon Dr Mahathir mengenai isu berkenaan.

Ketika membahaskan satu usul pada persidangan MIC baru-baru ini, seorang anggota perwakilan, M Sukumaran, mencadangkan agar Dr Mahathir dikalungkan dengan selipar sebagai membantah kenyataan negatif bekas Perdana Menteri itu terhadap kepemimpinan MIC.

Setelah dikecam hebat dan dianggap biadab, Sukumaran memohon maaf secara terbuka dan juga dilaporkan berkata ingin menemui Dr Mahathir untuk meminta maaf.

Ketika ditanya sama ada MIC juga perlu memohon maaf atas kebiadaban anggotanya itu, Mukhriz berkata itu terpulang kepada parti berkenaan tetapi pada pandangannya mungkin lebih elok parti itu berbuat demikian untuk meredakan keadaan.

"Saya pun terima banyak SMS dan panggilan kawan-kawan dari MIC yang menyatakan bahawa sebenarnya pendirian itu tidak dikongsi oleh MIC.

"Oleh itu, kita tak perlu rasa gusar bahawa ini satu trend. Jadi itu agak melegakan hati saya," katanya. - Bernama

Noordin Mat Top terbunuh: Ketua Polis Indonesia

JAKARTA: Militan paling dikehendki di Indonesia, Noordin Mohammad Top, terbunuh dalam serbuan di sebuah rumah di bandar Solo, Jawa Tengah, pagi tadi, kata Ketua Polis Indonesia, Bambang Hendarso Danuri.

Ditanya apakah benar Noordin sudah terbunuh, Danuri berkata: "Ya, ya, ya."

Beliau baru saja mengadakan mesyuarat dengan Presiden Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Noordin yang dilahirkan di Malaysia disyaki menjadi dalang serangan bom di dua hotel mewah di Jakarta Julai lalu serta serangan lain di Bali dan Jakarta.

Pada sidang media kemudian, Danuri, sambil memegang gambar menunjukkan ujian cap jari Noordin sama dengan dalam fail polis.

Katanya, polis turut merampas dokumen, komputer riba dansenjata dalam serbuan itu.

Meida tempatan sebelum ini heboh melaporkan kematian Noordin bulan lalu tetapi ujian forensik membuktikan mereka tersilap. - Reuters.

Dr Mahathir tak marah Sukumaran tapi sedih dikecam ahli Umno sendiri

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak sedih atau marah dengan cadangan seorang anggota MIC agar gambar beliau dikalung selipar.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak merasakan apa-apa dengan kecaman tersebut kerana "bukan saya jadi apa-apa".

"Ini kerana kecaman itu datang daripada anggota parti lain dan iannya tidak merugikannya," katanya kepada Bernama di sini.

Sebaliknya, Dr Mahathir berkata, beliau amat sedih dan marah sekiranya kecaman datang daripada ahli Umno sendiri seperti yang pernah berlaku.

"Ini bukan kali pertama saya dikecam. Dulu orang dah lupa macam mana pemimpin Umno kecam saya. Nazri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz) dan Menteri Besar Kedah dahulu nak buang saya daripada Umno.

"Tapi masa itu tak ada siapa bagi reaksi apa pun. Tak ada orang berani cakap apa," katanya.

Cadangan kalungan selipar itu dibuat oleh Timbalan Ketua MIC bahagian Paya Besar, Pahang, M Sukumaran, pada perhimpunan agung MIC Ahad lalu di ibu negara kerana mendakwa Dr Mahathir mencampuri urusan parti itu melalui kenyataan yang dibuatnya.

Berikutan itu, Sukumaran dikecam hebat dan dianggap sebagai biadab.

Beliau kemudian memohon maaf dengan memberi alasan beliau telah terlepas cakap.

Malah, anggota MIC itu ingin menemui Dr Mahathir untuk meminta maaf secara peribadi.

Mengulas lanjut isu itu, Dr Mahathir berkata: "Tiba-tiba saya jadi popular. Orang semua pertahankan saya. Seperti yang saya katakan, dulu saya kena kecam, kena kata...suruh buang daripada Umno. Tapi orang tak react (beri reaksi). Pasal apa dulu tak react, kali ini react.

"Dulu bila saya kena kecam, tak ada sesiapa pertahankan saya. Taklah secara terbuka. Orang senyap-senyap beranilah tapi orang kenamaan dan orang terkenal tak beranilah pertahan saya."

Dr Mahathir berkata, beliau sedih apabila orang partinya sendiri dan orang yang duduk dalam kabinetnya sendiri mengecamnya.

Katanya, beliau lebih marah terhadap kecaman yang dilontarkan oleh ahli Umno dan bekas anggota Kabinetnya daripada kecaman yang dibuat oleh ahli MIC.

"Saya duduk dalam Umno dari mula parti itu ditubuhkan. Yang tegur saya ini belum beranak pun lagi," katanya.

Mengenai hasrat Sukumaran ingin menemuinya untuk memohon maaf, Dr Mahathir berkata: "Minta maaf tak apa, tak minta maaf pun tak apa. Bagi saya tak ada apa-apa. Saya yang sedih bila orang parti saya sendiri, orang yang duduk dalam kabinet saya sendiri kecam saya,"

Dr Mahathir berkata Sukumaran kini menjadi mangsa percakapannya sendiri.

Selasa lepas, Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu mengumumkan penggantungan serta-merta keanggotaan Sukumaran ekoran kecamannya itu. - Bernama

H1N1: Tiada kematian dilaporkan

KUALA LUMPUR: Tiada kematian akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan sehingga jam 9 pagi tadi dan angka korban pandemik itu kekal 76 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata seramai 156 pesakit baru dengan gejala penyakit seakan influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Katanya, pada masa sama seramai 189 pesakit telah dibenar pulang, menjadikan baki kes ILI yang sedang dirawat di 98 buah hospital termasuk 11 hospital swasta di seluruh negara adalah 881 orang.

"Daripada jumlah pesakit yang dirawat, 141 pesakit (19%) telah disahkan positif H1N1," katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Ismail berkata, 30 (18%) kes sedang dirawat di ICU dan tiada kemasukan baru manakala tujuh lagi kes telah keluar dari ICU.

Katanya, daripada 30 kes yang sedang dirawat di ICU, 23 kes (77%) mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (7), penyakit respiratori kronik (3), obesiti (6), kanak-kanak bawah 5 tahun (5) dan hamil (2).

PDRM rancang guna satelit cegah penyeludupan manusia

KUALA LUMPUR: Malaysia sering dilabel sebagai negara persinggahan bagi kegiatan pemerdagangan dan penyeludupan manusia selain didakwa kurang bersungguh menangani jenayah merentas sempadan itu.

Hakikatnya daya tarikan Malaysia sebagai negara yang dijadikan transit bukanlah kerana kelemahan kawalan dan penguatkuasaan oleh pasukan keselamatan tetapi kerana kedudukan Malaysia yang mempunyai sempadan laut dan darat yang luas hingga negara ini menghadapi kesan limpahan jika berlaku masalah ekonomi di negara jiran.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, memberitahu Bernama bahawa tiada negara termasuk Malaysia yang mahu atau rela terbabit dalam kancah menyeludup, menjual dan memperdagangkan manusia, kerana jenayah ini dipandang jijik dan bertentangan dengan hak kebebasan manusia.

Namun, katanya, di negara tertentu kegiatan penyeludupan manusia tetap berlaku disebabkan kedudukan geografi dan kemakmuran ekonomi yang menjadi tumpuan rakyat asing hingga Malaysia menjadi mangsa keadaan dengan dijadikan transit kegiatan haram itu.

Musa berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah komited untuk menangani kegiatan haram itu dengan merangka beberapa usaha serta kerjasama komprehensif agar kegiatan memperdagangkan manusia dihapuskan sepenuhnya.

Antaranya Malaysia kini menggiatkan lagi jalinan kerjasama dengan Australia bagi bertukar-tukar dan berkongsi maklumat, pengalaman dan kepakaran masing-masing.

Musa berkata, PDRM kini dalam perancangan untuk mengaplikasikan secara total penggunaan teknologi canggih seperti satelit bagi mengesan dan memantau kedudukan kapal-kapal yang melalui perairan negara terutamanya yang cuba menyeludup manusia keluar ke negara ketiga.

"Jenayah tersebut kemungkinan dapat dikekang dengan menggunakan satelit untuk mengesan dan memantau mana-mana kapal yang mencurigakan. Bagaimanapun kita akan bincang terlebih dahulu cadangan tersebut termasuk penambahan bot untuk kawalan marin kerana ia memerlukan kos yang tinggi," katanya.

Musa berkata, PDRM telah membuktikan komitmennya dalam membanteras jenayah itu apabila memberkas 199 individu yang didapati cuba menyeludup keluar manusia dari negara ini ke negara ketiga sama ada menggunakan jalan laut atau udara dalam tempoh 4 Januari hingga 9 Ogos lalu.

"Kita menangkap 108 warga Afghanistan, tujuh daripadanya cuba keluar secara haram melalui udara, selebihnya melalui perairan, warga Pakistan 47 orang melalui laut dan 10 udara. Yang lain-lain warga Iran, India dan juga Iraq," katanya.

Dalam tempoh itu, 21 orang tekong, 15 daripadanya warga Indonesia dan enam warga tempatan, telah ditahan manakala seramai 14 ketua sindiket, lima dari Iraq, empat dari Iran dan negara lain seperti Pakistan, Sudan, Myanmar turut diberkas.

"Hakikatnya PDRM tidak pernah memejam sebelah mata dalam masalah serius ini dan kita semua tahu bahawa pemerdangan manusia menyebabkan kehidupan normal bertukar kepada mimpi ngeri.

"Justeru kita bersama-sama negara luar khususnya Australia sentiasa berusaha menjejaki dalang yang berada di belakang kegiatan ini, sama ada wujud sindiket di negara hos seperti Pakistan dan Afghanistan, juga bagaimana mereka boleh melalui Indonesia untuk ke Australia dan negara ketiga lain dan siapa yang membantu mereka," katanya.

Beliau berkata, PDRM tidak akan teragak-agak untuk mendakwa pihak yang mendapat manfaat dari mengeksploitasi orang yang diperdagangkan dan pihaknya juga tidak akan berkompromi jika didapati wujud penglibatan oleh penguatkuasa sendiri termasuk mereka yang membuat, mendapatkan, memberi dan menjual dokumen perjalanan atau dokumen pengenalan yang bertujuan membantu kegiatan penyeludupan.

Musa berkata, PDRM bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa berada dalam keadaan siapsiaga sepenuhnya dan turut memperhebatkan lagi kawalan keselamatan dan rondaan bersepadu di sepanjang perairan negara.

Buktinya, Polis Gerakan Marin (PGM) banyak kali berjaya menumpaskan pelbagai jenayah di perairan hinggakan jenayah lanun dan rompakan laut di Selat Melaka berkurangan dan diharapkan indeks jenayah pemerdagangan manusia juga akan diturunkan hasil rondaan dan pemantauan yang koodinasi dan optimistik.

Beliau berkata, jika kegiatan haram itu mahu dicegah, perlu ada kesepakatan antara negara-negara berkenaan khususnya dalam aspek pertukaran maklumat, perkongsian kepakaran dan pembentukan undang-undang seragam untuk memastikan aktiviti memasuki negara secara tidak sah itu dapat dibendung di peringkat akar umbi.

"Kita punya kemampuan untuk membuat pemantauan sendiri tanpa bantuan lain tetapi jika ia sudah terkeluar dari sempadan negara kita, takkan kita nak ceroboh. Inilah pentingnya kerjasama bersama negara luar seperti Australia" katanya.

Beliau berkata, Malaysia bukan sahaja dilihat sebagai negara transit malahan juga negara destinasi apabila warga negara lain masuk ke negara ini untuk mencari kerja atau menggunakan negara ini sebagai perlindungan apabila negara mereka terlibat dalam peperangan.

"Kita mahukan pelancong bagi menggalakkan sektor pelancongan dan ekonomi negara tetapi mereka ini yang datang secara halal kemudiannya tidak mahu balik ke negara masing-masing atau menyeludup ke luar ke negara ketiga. Pelarian yang datang secara haram juga kita terpaksa tanggung, jadi beban kepada kita," katanya. - Bernama

H1N1: 899 kematian di Brazil

BRASILIA: Brazil mengesahkan 899 kes kematian akibat selesema babi atau Influenza A (H1N1), menjadikan negara paling teruk dilanda pandemik itu.

Mengumumkan angka itu, Kementerian Kesihatan Mexico bagaimanapun berkata jumlah korban dan mereka yang disahkan dijangkiti H1N1 didapati menurun dengan ketara sejak lima minggu lalu.

Brazil menjadi negara paling tinggi mempunyai angka kematian akibat H1N1 sejak Ogos lalu, mengambil alih daripada Amerika Syarikat yang kini mempunyai 593 kes kematian.

Jiran Brazil, Argentina pula mempunyai 512 kes kematian.

Dalam buletin terbaru Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, sehingga 6 September lalu 3,205 penduduk di dunia menjadi korban H1N1 sejak wabak itu menyerang di Mexico, Mac lalu. - AFP