Followers

Sunday, October 4, 2009

Majlis raya bersama menteri tukar suram selepas tetamu mati

KANOWIT: Suasana kemeriahan Aidilfitri bersama menteri dengan 300 penduduk kampung di dewan Pejabat Daerah di sini malam tadi bertukar suram apabila seorang tetamu majlis rebah dan mula muntah darah.

Tetamu berkenaan, seorang bapa tunggal berusia dalam lingkuan 40an yang duduk di meja barisan depan, tiba-tiba rebah ketika makanan mula dihidangkan.

Tetamu majlis itu kemudian membawa lelaki berkenaan ke luar dewan di mana dua doktor dari Hospital Daerah Kanowit yang turut hadir cuba memulihkan mangsa tetapi beliau muntah darah.

Mangsa yang dikenali sebagai Wong Sing Hing, kemudian dibawa ke hospital berdepan dengan dewan itu tetapi meninggal dunia dalam perjalanan.

Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, dan Menteri Muda Pembangunan Tanah dan Luar Bandar Sarawak, Datuk Gramong Juna, adalah tetamu khas pada majlis anjuran masyarakat Islam dari tiga buah kampung di sini.

Menurut rakan karib mangsa Leong Khing Hee, seorang pemimpin masyarakat Cina dari Bazar Machan di sini, rakannya itu adalah seorang bapa tunggal dengan dua orang anak dan tidak sihat sejak kebelakangan ini.

Katanya, beliau telah menasihatkan mangsa supaya mendapatkan rawatan tetapi mangsa berkata ia adalah masalah kecil sahaja.

Walaupun majlis tersebut diteruskan dengan nyanyian dan cabutan tiket bertuah namum kejadian itu menjadi kejutan kepada semua tetamu. - Bernama

Gempa di Padang: Pelajar Malaysia mungkin sambung belajar dalam negara

SELAMA: Kerajaan memberi jaminan akan membantu pelajar Malaysia yang terjejas pelajaran mereka akibat gempa bumi di Padang, Indonesia dengan kemungkinan meneruskan pengajian di dalam negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan bagaimanapun memberi ruang kepada ibu bapa pelajar terbabit mengemukakan masalah mereka serta cadangan mengatasinya.

"Ada ibu bapa yang mahu teruskan pengajian anak mereka di Padang apbila situasi di sana pulih nanti, jadi terpulang kepada mereka," katanya di sini, hari ini.

Angin kencang, laut bergelora sehingga Selasa

KUALA LUMPUR: Angin kencang dengan laut bergelora disertai ombak mencapai ketinggian 3.5 meter di perairan di negeri sebelah utara, pantai timur dan Sabah dijangka berterusan sehingga Selasa.

Angin kencang barat daya dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) di perairan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Layang-Layang, Labuan dan Sabah adalah berbahaya kepada bot kecil, kegiatan rekreasi laut dan sukan laut, kata Jabatan Meteorologi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Angin kencang dan laut bergelora itu juga melanda Phuket dan Samui di Thailand selain Condore, Reef North dan Palawan. - Bernama

Penduduk kampung guna tangan gali mangsa gempa

JUMANAK, Indonesia: Disebabkan bantuan luar tidak kunjung tiba, penduduk kampung menggunakan tanggan untuk menggali tanah bagi mengeluarkan mangsa gempa bumi yang memusnahkan empat daerah di Sumatera Barat.

Sekurang-kurangnya 644 mangsa tertimbus dan dianggap mati di perkampungan di kaki bukit di daerah Padang Pariaman.

Jika disahkan, angka korban gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter Rabu lalu akan meningkat kepada lebih 1,300 mangsa dengan kira-kira 3,000 masih hilang.

Tahap kemusnahan yang dialami perkampungan pedalaman baru mula diketahui.

Sehingga kini usaha mencari dan menyelamat ditumpukan di ibu negeri Sumatera, Padang, yang didiami 900,000 penduduk dan di mana beberapa bangunan tinggi roboh.

Tetapi gempa bumi itu menyebabkan kemusnahan teruk di kawasan bukit Pariaman yang mana seluruh lereng bukit runtuh lalu menimbus empat perkampungan dengan lumpur dan batu.

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, berkata harapan menemui mangsa terbabit selamat adalah tipis.

“Kita boleh percaya bahawa semua mereka sudah mati. Justeru, kita kini menunggu untuk pengkebumian," katanya kepaada pemberita. - AP

Pasukan Smart mula operasi di Padang

PADANG: Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart) hari ini memulakan gerakan mencari dan menyelamat di dua buah hotel di sini iaitu Hotel Mariani International dan Hotel Jakarta.

Pasukan yang terdiri daripada 25 anggota dan diketuai Kapten Mohd Halimi Taib, itu memulakan gerakan di Hotel Mariani International, Jalan Bundo Kandung di sini pada 10 pagi waktu tempatan dan kemudian bergerak ke Hotel Jakarta selepas mendapati tiada mangsa terperangkap di hotel pertama.

"Fokus kita pada hari ini ialah mengenal pasti kawasan runtuhan yang masih terdapat mangsa yang terperangkap dan membantu pasukan penyelamat Indonesia dan negara lain bagi mengeluarkan mayat atau mangsa runtuhan yang mungkin masih hidup," kata Mohd Halimi kepada Bernama di sini.

Pasukan Smart itu yang tiba di sini semalam, adalah kumpulan pertama dari Malaysia menyalurkan bantuan ke kawasan tragedi bersama-sama pasukan perubatan yang terdiri daripada 31 anggota iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan dan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

Mereka mendirikan khemah di kawasan lapang bersebelahan runtuhan Rumah Sakit Selasih, di sini bersama kira-kira 22 petugas media cetak dan elektronik dari Malaysia, sebagai pusat operasi.

Sementara itu, pemilik Hotel Mariani International, Arif Hosein, 68, berkata ketiga-tiga mangsa yang terperangkap di hotel itu sudah dikeluarkan Jumaat lalu dan hanya seorang mangsa yang dikeluarkan terselamat iaitu seorang warga Singapura.

"Setakat ini kami percaya memang sudah tidak ada lagi mangsa dalam runtuhan melalui pemeriksaan nama-nama orang yang menginap, lagi pun tiada seorang pun yang datang ke sini mencari saudara-mara mereka yang hilang," katanya.

Arif yang menyifatkan kejadian gempa itu sebagai yang paling dahsyat pernah dialaminya, berterima kasih dengan pelbagai bantuan yang diberikan masyarakat dunia terutamanya dari Malaysia.

"Kejadian gempa kali ini benar-benar luar biasa. Kalau di televisyen mereka bilang hanya 7.6 pada skala Richter, tapi saya ingat melalui gegarannya yang kuat, ia seperti lebih daripada itu mungkin 9 (skala Richter).

"Bantuan juga cepat kami terima terutamanya daripada pemerintah, kami juga bersyukur ramai yang datang menolong," katanya.

Sementara itu, 17 anggota Bank Muamalat Malaysia berserta sukarelawan, tiba di sini pada 9 pagi waktu tempatan dengan membawa bekalan makanan, khemah dan ubat-ubatan. - Bernama

Muhyiddin dedah taktik kotor pembangkang sebar surat palsu

SELAMA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan kini wujud taktik kotor pembangkang yang menyebarkan surat palsu kononnnya pencalonan Tan Sri Mohd Isa Samad mewakili Barisan Nasional (BN) di Bagan Pinang tidak mendapat restu pucuk pimpinan.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri meminta pengundi Bagan Pinang dan petugas BN berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan dakyah kotor pembangkang sepanjang tempoh berkempan pilihan raya kecil itu.

Bercakap pada sidang medianya selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Larut di sini, hari ini, Muhyiddin berkata dakwaan itu tidak benar kerana pencalonan Mohd Isa diperakui parti dan BN.

H1N1: 184 lagi dengan gejala ILI dikesan

KUALA LUMPUR: Seramai 184 pesakit baru dengan gejala seakan influenza (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan 173 kes telah dibenar pulang sehingga jam 9 pagi ini.

Tiada kematian baru akibat Influenza A (H1N1) dilaporkan dalam tempoh itu dan angka korban kekal 77 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata jumlah semasa kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara sehingga hari ini ialah 726 iaitu di 94 buah hospital termasuk 7 hospital swasta.

"Daripada jumlah kes ILI yang sedang dirawat, hanya 75 pesakit atau 10 peratus adalah kes influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal.

"Daripada 75 orang pesakit influenza A (H1N1) yang menerima rawatan di hospital, sebanyak 16 kes atau 21 peratus sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Untuk makluman, 15 daripada 16 kes yang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko iaitu kanak bawah 5 tahun (7), penyakit kronik (6) dan obesiti (2)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Harga telur ayam turun sedikit esok

KUALA LUMPUR: Harga telur ayam di Semenanjung turun dua sen berkuatkuasa esok.

Menurut kenyataan Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia hari ini, telur gred AA akan dijual pada harga 24.5 sen berbanding 26.5 sen pada masa ini, gred A 24 sen (26 sen), gred B 23 sen (25 sen), gred C 22 sen (24 sen), gred D 21 sen (23 sen) dan gred E 20 sen (22 sen).

Harga baru itu adalah berdasarkan kepada permintaan pasaran dan bekalan, kata kenyataan itu. - Bernama

Badai kedua landa Filipina


PENDUDUK di penempatan Taytay, wilayah Rizal, di Timur Filipina bergerak menggunakan rakit buatan sendiri.

Parma sebabkan bumbung terbang, air sungai melimpah

MANILA: Taufan Parma membadai Filipina semalam, menyebabkan bumbung rumah tercabut, menumbangkan tiang elektrik, manakala air sungai melimpah dan sekurang-kurangnya dua orang terbunuh, kata pegawai.

Taufan terbabit, yang kedua dalam tempoh lapan hari, melanda kepulauan Luzon sebelum bergerak menuju ke selatan Taiwan, ketika beribu-ribu penduduknya mula dipindahkan ke kawasan selamat.

Ibu negara Filipina, Manila terselamat daripada taufan kali ini. Bandaraya itu bagaimanapun belum pulih daripada taufan yang melanda 26 September lalu, mengakibatkan banjir terburuk dalam tempoh 40 tahun dengan sekurang-kurangnya 288 orang terbunuh manakala rumah tiga juta penduduk musnah.

Cagayan dan Isabela adalah dua wilayah yang paling teruk dilanda Taufan Parma, apabila angin kencang dan hujan lebat menyebabkan hubungan jalan raya dan telekomunikasi terputus di beberapa bandar.

“Kemusnahan yang dialami memang teruk. Kami sedang membersihkan jalan dan lebuh raya bagi membawa bantuan kepada mangsa,” kata Ketua Polis Cagayan, Roberto Damian.

Seorang pegawai kanan tentera di Isabela, leftenen Kolonel Loreto Magundayo, berkata seorang lelaki lemas selepas dihanyutkan arus deras manakala seorang lagi terbunuh akibat kesejukan.

Sementara itu, berpuluh ribu penduduk dipindahkan ke tempat selamat di seluruh Filipina ketika taufan terus membadai, walaupun seorang pegawai berkata ancaman bencana lain dijangka berkurangan selepas Parma bertukar arah malam kelmarin dan tidak melandai Manila yang masih ditenggelami air di beberapa daerah. - AP

Mangsa gempa masih belum terima bantuan


SEORANG wanita lalu di hadapan sebuah masjid yang runtuh di Kampung Patamuan, di Padang Pariaman, Sumatera Barat.

Penduduk perlu khemah, berlindung dalam tinggalan bangunan

KARIMUN, RIAU: Mangsa gempa di perkampungan Marunggi, daerah Pariaman Selatan, Sumatera Barat yang mana rumah mereka ranap masih belum menerima apa-apa bantuan dalam bentuk makanan mahupun khemah, kata penduduk tempatan.

"Setakat ini kami masih belum menerima apa-apa bantuan sama ada dari kerajaan atau pihak swasta," kata Riyaldi, seorang penduduk tempatan ketika dihubungi pagi semalam.

Riyaldi menerangkan penduduk di kawasan terjejas memerlukan khemah untuk berlindung kerana rumah mereka runtuh.

"Penduduk kini terpaksa berlindung dalam tinggalan bangunan dan bergantung kepada baki bekalan makanan," katanya.

Riyaldi berharap penduduk di kampung itu akan menerima pakej bantuan tidak lama lagi, terutama khemah yang boleh melindungi mereka daripada panas dan hujan.

PENDUDUK berhati-hati melalui suatu kawasan yang mengalami tanah runtuh di daerah Koto Timur, Padang Pariaman.

"Kami juga bimbang anak kami mungkin sakit jika terus hidup dalam keadaan serba kekurangan," tambahnya.

Menurutnya lagi, penduduk kampung cuba mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa tempatan dengan mengambil gambar rumah yang runtuh dan menghantarnya kepada pihak berkuasa berkaitan.

"Kami mendengar kampung lain menerima bekalan mi segera dari penyumbang. Kami berharap kami juga dapat bantuan seperti itu berikutan bekalan makanan kami semakin berkurangan," katanya.

Kira-kira 80 peratus rumah di perkampungan Marunggi runtuh berikutan gempa bumi. Rumah yang rosak terletak merentasi kampung seperti di pasar Kurai Taji, Kampung Apar, Palak Aneh, Kampung Sikumbang dan Tebing Runtuh. � Agensi

Gegaran tak sekuat dijangka


PENDUDUK mandi dan mencuci pakaian di sungai di Padang selepas dilanda gempa bumi Rabu lalu.

Tekanan terkumpul boleh cetus gempa 30 kali lebih kuat

JAKARTA: Gempa bumi berukuran 7.6 Richter yang melanda Padang Rabu lalu, walaupun menyebabkan ramai terkorban dan memusnahkan banyak bangunan, tidaklah sekuat yang dijangka boleh berlaku oleh pakar.

Menurut pakar geologi, Danny Hilman Natawidjaja dan Institut Sains Indonesia, tekanan memang terkumpul sejak beberapa siri gegaran dalam beberapa tahun lalu, di garisan kepingan bumi di bawah bandar yang mempunyai 900,000 penduduk itu.

"Mengikut kajian kami tekanan seperti yang terkumpul boleh menyebabkan gempa bumi lebih besar iaitu sehingga lebih 8 Richter dan boleh mencetuskan tsunami," katanya yang sudah mengkaji kawasan itu sejak 12 tahun lalu.

Natawidjaja dan rakan penyelidiknya Profesor Kerry Sieh dari Universiti Teknologi Nanyang Singapura, percaya tekanan yang terkumpul boleh mencetuskan gempa bumi sekuat 8.8 Richter iaitu 30 kali lebih kuat daripada gempa bumi Rabu lalu.

"Dari perspektif sains, ia boleh berlaku esok, bulan depan atau tahun depan. Tetapi saya akan terperanjat jika ia tidak berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya.

"Secara peribadi saya amat bimbang," katanya.

Pada 2004, gempa bumi berukuran 9.15 Richter dengan pusat gegaran 600 km di utara Padang, mencetuskan tsunami yang menyebabkan 232,000 orang terkorban di beberapa negara dengan jumlah tertinggi di wilayah Aceh.

Natawidjaja berkata, gempa bumi berukuran 8.8 boleh mencetuskan tsunami setinggi 4-10 meter.

Pakar geologi itu berkata, walaupun Padang terletak di kawasan gempa paling aktif, pihak berkuasa bandar itu masih gagal membuat persediaan untuk menghadapi bencana itu.

"Pada pandangan saya, Padang tidak bersedia langsung. Struktur sedia ada

tidak direka bentuk untuk berdepan dengan gegaran

besar dan berikutan itu kerosakan yang disaksikan amat teruk," katanya. � Reuters

Harapan temui mangsa hidup tipis

PADANG: Lebih banyak mayat tiba di hospital di sini semalam selepas empat hari gempa bumi magnitud 7.6 melanda Sumatera Barat dengan harapan menjumpai mangsa mereka terselamat dalam timbunan runtuhan semakin tipis.

Hospital Dr M Djamil di sini terpaksa memindahkan rumah mayat sementaranya ke kawasan lain bagi menambah ruang bagi jumlah mayat yang meningkat.

"Ia tidak mencukupi lagi, kini kami menerima terlalu banyak mayat setiap hari," kata Priyo, seorang pegawai Briged Bergerak (Brimob) yang bertanggungjawab menguruskan ketibaan mayat di hospital itu.

Beliau berkata, pada hari biasa, kawasan rumah mayat di hadapan hospital digunakan untuk menguruskan sebarang kematian. Namun sejak gempa Rabu lalu di mana hospital terbabit turut mengalami kerosakan, bahagian itu tidak lagi boleh digunakan berikutan terlalu banyak dinding rosak dan runtuhan.

Katanya, sebelum jam 10 pagi semalam, 103 mayat dihantar ke hospital terbabit.

Priyo berkata, sesetengah mayat masih belum dituntut keluarga. Pasukannya, sudah membuat pengumuman pada papan kenyataan bersama gambar bagi membantu proses mengenal pasti mayat.

"Kami berharap keluarga akan mengenal pasti mayat dan menuntutnya segera," katanya.

Sementara itu, Rustam Pakaya, ketua Pusat Krisis Kementerian Kesihatan berkata, pasukannya sudah mula memeriksa kawasan terpencil di luar Padang, kelmarin.

Katanya, satu daripada kawasan paling teruk terjejas ialah Pondok Cina di mana semua rumah musnah akibat dan dianggarkan 21,600 penduduk terjejas.

"Agak teruk keadaan di sana. Semalam (Jumaat) satu pasukan membersihkan sebuah rumah dan menemui 35 mayat. Bayangkan 35 mayat dalam sebuah rumah," kata Rustam.

Rustam berkata, Pusat Krisis itu masih mengalu-alukan bantuan dari badan antarabangsa. Bantuan sudah tiba dari beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan Singapura, katanya.

Tiga hospital di bandar ini tidak lagi berdepan kekurangan bekalan ubatan dan kakitangan berikutan suntikan bantuan, katanya. � Agensi

Guru dihempap mayat 48 jam


SUCI bersama suaminya ketika dirawat di hospital di Padang, semalam.

13 pelajar merangkak cari perlindungan selepas ditimbusi runtuhan bangunan, besi

PADANG: Seorang guru bahasa Inggeris, Suci Refikawulan Sari menceritakan bagaimana beliau merangkak untuk mencari tempat perlindungan bersama 13 pelajarnya apabila tangga dan bumbung runtuh menyebabkan mereka ditimbusi dengan runtuhan, debu dan besi.

"Saya melihat pelajar yang lain dihempap tiang yang jatuh menyebabkan semua orang menjerit," katanya.

Guru berusia 25 tahun itu menenangkan dirinya dengan mengingati bayinya walaupun kakinya tersangkut pada tiang yang runtuh dan dihempap mayat selama 48 jam.

"Saya memujuk diri sendiri bahawa saya perlu terus hidup, saya perlu melihat bayi lelaki saya berusia 14 bulan membesar. Saya mahu melihat dia menjadi dewasa dan menjadi orang yang baik," katanya.

Suci yang terbaring di sebuah katil hospital dalam keadaan lemah adalah seorang daripada dua mangsa yang dibawa keluar dari runtuhan di sekolah Prayoga di Padang selepas kejadian gempa bumi terbesar Sumatera itu.

Seorang daripada pelajarnya, Ratna Kurnia Sari, 20, turut terbaring dan ditemui masih hidup.

"Ratna dan saya selamat kerana ada udara di kawasan yang sempit tempat kami terperangkap. Kami menjerit meminta tolong beberapa kali tetapi tiada yang datang," kata Suci sambil menambah beliau mengetahui masa melalui telefon bimbitnya.

Hari pertama dilalui dengan keadaan yang sunyi. Hari kedua mereka dapat menarik perhatian pekerja penyelamat yang memberikan mereka air, susu dan roti melalui celah runtuhan konkrit berkenaan.

Dalam keadaan berbaring di hospital sama, Ratna dengan tenang menyifatkan keadaan ngeri berlaku terhadap rakannya yang lain, Veronica Claudia Tansil yang remuk di bawah runtuhan.

"Saya menjerit dan menangis, 'Mama, mama." Saya bersama guru saya, saya memegang tangannya dan rakan saya Claudia di belakang saya," kata Sari.

"Saya mahu memegang tangannya tetapi lantai dan siling jatuh ke atasnya. Tangan Claudia terlepas apabila lantai dan siling mengenai beliau. Saya terjatuh dan dia terjatuh atas kaki saya," katanya.

Ratna adalah mangsa pertama dibawa keluar dari runtuhan. Suci dibawa beberapa jam selepas itu. � AFP

Kaji vaksin barah pangkal rahim


Serviks yang diserang barah.

Pakar perubatan anggap penyelidikan tempatan, ujian lumuran pap perlu diutama

NATALIE Morton, 14, dan Ashleigh Cave, 12, mungkin hanya memikirkan kesihatan diri, khususnya mengelak barah pangkal rahim apabila mengambil pelalian mencegah virus human papilloma (HPV) - penyebab penyakit maut berkenaan.

Malangnya, keadaan berlaku sebaliknya apabila Morton meninggal dunia manakala Cave pula lumpuh separuh badan selepas mengambil pelalian berkenaan.

Memang secara umumnya tiada ubat yang benar-benar selamat secara 100 peratus. Ini kerana setiap ubat memiliki kesan yang berbeza kepada individu yang turut memiliki tahap daya tahan yang berbeza. Perlu diingat juga, setiap ubat memiliki kesan sampingannya namun lazimnya, kesan sampingan yang kecil ini tenggelam jika manfaat ubat itu terbukti lebih besar.

Bagaimanapun dalam kes pelalian mencegah HPV, ia masih baru dilaksanakan termasuk di negara maju seperti Amerika Syarikat yang diperkenalkan pada 2006 dan tahun lalu di Britain.

Program pelalian ini sudah dinyatakan pada satu majlis anjuran MCA April lalu dan hanya secara rasmi diumumkan pada Jumaat lalu. Justeru apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan pelaksanaan program pelalian mencegah HPV bermula tahun depan kepada 300,000 remaja perempuan 13 tahun, ia sebenarnya mencetuskan banyak persoalan, termasuk apakah keputusan itu dibuat secara terburu-buru.

Pangkal rahim terjejas dengan HPV.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Pakar Kesihatan Awam, Datuk Dr Maamor Othman, berkata kebanyakan data berkaitan keberkesanan vaksin mencegah HPV itu hanyalah berasaskan kajian dari barat.

"Mungkin sebelum kita memulakannya di Malaysia, kita memerlukan kajian tempatan. Namun apa yang lebih utama, kerajaan perlu meningkatkan langkah pencegahan dan kesedaran mengenai HPV itu terlebih dulu," katanya.

Beliau berkata, setakat ini hanya ada dua syarikat pengeluar vaksin mencegah HPV di bawah jenama Gardasil dan Cervarix.

"Mungkin kita masih perlu menunggu untuk beberapa tahun lagi sebelum membuat keputusan. Melakukan perbandingan dengan vaksin jenama lain juga perlu dalam melihat yang mana lebih efektif dan berbaloi dari segi kos," katanya.

Dr Maamor berkata, jika kesedaran masyarakat mengenai HPV dan barah pangkal rahim sememangnya tinggi, langkah pencegahan awal tidak perlu menelan belanja besar.

"Kita perlu ingat faktor risiko barah pangkal rahim adalah mereka yang beranak ramai dan ramai pasangan seksual (lelaki atau perempuan) dan kebersihan alat kelamin itu sendiri.

"Sehubungan itu, setiap wanita mesti melakukan pemeriksaan pelvis berjadual bagi mengesan sebarang perubahan sel di sekitar pangkal rahim. Wanita perlu peka kepada kepentingan ujian lumuran pap (pap smear)," katanya.

Kenyataan Dr Maamor ada benarnya, kerana dalam kes vaksin barah pangkal rahim, hanya ada dua pemain utama dalam usaha pengeluarannya. Ini secara langsung, menyebabkan harganya masih mahal walaupun sudah ditolak kos subsidi oleh kerajaan.

Walaupun Cervarix sudah didaftarkan dan disenaraikan sebagai selamat di pasaran 95 negara, namun ia masih tidak mendapat kelulusan Pihak Pentabdiran Ubat dan Makanan Amerika Syarikat (FDA). Satu daripada alasan yang tipikal adalah ia membabitkan dua syarikat berbeza - satu dari Amerika dan satu lagi dari Britain.

Namun sejak 1930, Amerika, menerusi melalui FDA mengharamkan penggunaan teknik khas dalam penyediaan vaksin (adjuvant in vaccine) yang bertindak meningkatkan sistem imun sekali gus membolehkan seseorang itu tidak perlu mendapat suntikan susulan dalam tempoh yang singkat.

Cervarix hanya mencegah dua strain atau jenis HPV - jenis 16 dan 18 (sedangkan ada 100 jenis HPV dengan 13 dikaitkan sebagai punca barah).

Gardasil pula mencegah jenis 16 dan 18 dan dua lagi jenis yang menyebabkan ketuat kelamin.

Selain itu, walaupun vaksin mencegah HPV disuntik, kelengkapan makmal untuk ujian lumuran pap juga harus disediakan. Ini kerana walaupun mendapat suntikan pelalian namun setiap wanita masih perlu melakukan ujian lumuran pap setiap tahun.

Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melancarkan subsidi pemeriksaan pelvik bagi mereka yang kurang berkemampuan. Namun, masalah sebenarnya bukan subsidi tetapi lokasi yang menyediakan ujian itu.

Di luar Kuala Lumpur misalnya, cuma ada 15 klinik yang berdaftar dengan kementerian untuk melakukan ujian lumuran pap dan bukan semua klinik desa menyediakan perkhidmatan itu.

Kemudahan ujian lumuran pap hanya tertumpu di bandar besar dan jika di hospital kerajaan, dikatakan membabitkan karenah birokrasi apabila individu itu perlu menunggu berbulan-bulan lamanya bagi melakukan ujian selepas membuat temujanji.

Jadi, adakah kesukaran melakukan pap smear itu menjadikan vaksin sebagai pilihan yang terbaik?

Jawapannya tidak. Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Prof Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata pemberian vaksin mencegah HPV bukan bermaksud ia melindungi seseorang itu 100 peratus.

"Walaupun ada vaksin tetapi setiap orang perlu menjalani pap smear mengikut jadual dan mengekalkan cara hidup sihat. Walaupun ada vaksin tetapi masih mengamal-amalkan gaya hidup bertukar pasangan ia masih boleh menyebabkan barah pangkal rahim," katanya.

Kemujaraban vaksin melindung 70 peratus kemungkinan diserang barah pangkal rahim tetapi masih ada ruang 30 peratus untuk barah terjadi.

"Memang di Britain misalnya ada laporan kematian dan kecacatan kecil yang dikaitkan dengan pelalian HPV, tetapi setakat ini semua laporan perubatan menafikan kaitannya dengan suntikan," katanya.

"Dunia perubatan ini mudah dan telus. Ia berdasarkan fakta dan bukti. Kalau benar ia menyebabkan banyak komplikasi dan laporan itu diterbitkan dalam jurnal perubatan, dengan sendirinya produk itu akan dikeluarkan dari pasaran," katanya.

Jelasnya, walaupun setakat ini hanya ada dua syarikat pengeluar vaksin itu, tidak lama lagi selepas luputnya paten harta intelek akan banyak ubat-ubat generik muncul dan memberi pilihan kepada pengguna dengan harga yang jauh lebih murah.

"Keberkesanan sebenar ubat-ubatan akan mengambil masa berpuluh tahun untuk mengetahui kemujarabannya. Adakah kita perlu menunggu selama itu? Tentulah tidak. Perkiraan yang dibuat adalah berdasarkan beban ekonomi yang perlu ditanggung dengan statistik pesakit barah pangkal rahim di Malaysia," katanya.

Prof Abdul Rashid, pemberian vaksin mencegah HPV adalah pilihan terbaik kerana bukan semua wanita mahu melakukan ujian lumuran pap atas dasar malu dan akses yang terhad terutama di luar bandar.

Namun, fakta yang lebih tepat walaupun sudah mendapat suntikan vaksin, ujian lumuran pap masih perlu dilakukan. Jadi bukankah meningkatkan prasarana ujian lumuran pap di seluruh negara dan meningkatkan kesedaran tentang HPV dan barah pangkal rahim adalah jalan pertama yang perlu dibuat kerajaan sebelum memilih program pelalian mencegah HPV?

FAKTA: Barah pangkal rahim

  • Malaysia membelanjakan RM250 juta setahun untuk menguruskan barah pangkal rahim.
  • Daripada jumlah itu hanya sembilan peratus digunakan untuk ujian pengesanan awal barah pangkal rahim - ujian lumuran pap.
  • Daripada keseluruhan kes barah di Malaysia, barah pangkal rahim menduduki tempat kedua selepas barah payu dara.
  • Di peringkat global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan hampir 500,000 wanita diserang barah pangkal rahim setiap tahun.


Mengenali barah pangkal rahim
  • Disebabkan oleh jangkitan kuman human papillomavirus (HPV).
  • Pangkal rahim secara saintifiknya bertindak sebagai laluan. Darah mengalir dari uterus melaluinya untuk ke faraj ketika haid.
  • Pangkal rahim juga menghasilkan mukus yang membantu sperma bergerak ke dalam rahim. Ketika hamil, pangkal rahim tertutup rapat bagi melindung janin. Ketika proses kehamilan, pangkal rahim terbuka untuk membenarkan bayi lahir.
  • Barah pangkal rahim bermula seperti kebanyakan barah di mana-mana bahagian tubuh, ia bermula di dalam sel.
  • Selain HPV, faktor lain seperti merokok, sistem imun tubuh wanita, komplikasi pengambilan pil cegah hamil hanya sebahagian faktor lain yang dikaitkan dengan barah pangkal rahim.
  • HPV adalah virus yang sangat biasa ditemui pada lelaki dan wanita dan ada lebih 100 jenis HPV.
  • Lebih 50 peratus orang akan mengalami satu daripada jenis HPV itu sekali dalam hidupnya. Manakala jenis HPV yang lebih berisiko tinggi (misalnya jenis 16 dan 18) pula akan menjadi punca barah pangkal rahim.
  • HPV amat mudah berjangkit. Malah, kebanyakan orang dijangkiti HPV pada tahun-tahun pertama mereka aktif dalam hubungan seksual. Justeru, ujian lumuran pap sangat disarankan.


Faktor dijangkiti HPV.
  • Tidak melakukan rutin ujian lumuran pap
  • Sistem tubuh yang lemah
  • Usia (barah pangkal rahim lebih banyak terjadi pada wanita berusia 40 tahun ke atas).
  • Ramai pasangan seks atau perempuan yang melakukan hubungan intim dengan lelaki yang banyak pasangan seks.
  • Merokok
  • Komplikasi penggunaan pil perancang dalam masa yang panjang