Followers

Thursday, May 27, 2010

Subsidi: Kerajaan dapatkan pandangan semua pihak sebelum buat keputusan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mendapatkan maklum balas dan pandangan pelbagai pihak sebelum membuat keputusan sama ada akan menarik balik pemberian subsidi secara berperingkat.
Proses itu akan dijalankan secara telus bagi membolehkan rakyat memahami implikasi dan mahu sebarang keputusan diambil dikongsi semua pihak, kata Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini, sebentar tadi.

380,000 ahli Umno yang gagal dikesan dikeluarkan daripada senarai

KUALA LUMPUR: Umno mengeluarkan 380,000 ahli dari senarai keahlian kerana tidak dapat dikesan atau meninggal dunia dalam proses pemutihan keahlian.
Perdana Menteri yang Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berkata jumlah ahli Umno setakat ini 3,159,484 orang.

Pemansuhan subsidi berperingkat tidak bebankan rakyat: Idris Jala

KUALA LUMPUR: Makmal Rasionalisasi Subsidi mencadangkan supaya subsidi terhadap barang-barang kawalan seperti gula, tepung dan minyak masak dimansuhkan secara berperingkat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Beliau berkata, pemansuhan itu disaran supaya dibuat secara berperingkat supaya pelaksanaannya tidak membebankan rakyat, dan menurutnya cadangan mengenai pemansuhan itu akan dibawa kepada kabinet tidak lama lagi untuk diperhalusi dan dibuat keputusan muktamad.

"Ia akan dibawa kepada kabinet tidak lama lagi, berserta dengan beberapa saranan, termasuk hasil maklum balas orang ramai hari ini berkenaan perkara tersebut," katanya ketika ditemui semasa melawat Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Makmal itu mencadangkan supaya subsidi tepung dimansuhkan kerana harganya dilihat akan meningkat kepada 20 sen satu kilogram menjelang hujung tahun ini, dan 25 sen pada tahun depan.

Harga gula pula meningkat 20 sen sekilogram setiap enam bulan sehingga 2012, dan harga minyak masak pula meningkat 15 peratus sekilogram menjelang hujung tahun ini, dan 15 peratus lagi tahun depan.

Makmal itu juga menjangka harga petrol meningkat 10 hingga 15 sen seliter pertengahan tahun ini, dan akan meningkat 10 sen setiap enam bulan sehingga 2012.

Mengulas tempoh yang dicadangkan untuk melaksanakan pemansuhan subsidi itu, Idris berkata, masanya tidak ditetapkan kerana ia bergantung kepada jemaah menteri untuk mengkaji terlebih dulu perkara tersebut.
"Tiada tempoh masa, kerana ia perlu dibentangkan di peringkat kabinet terlebih dulu, dan jika kabinet kata perlu buat lebih banyak kajian, mengenai perkara ini, perkara itu, semakan sana dan sini... ia akan ambil masa," katanya. - Bernama

Dr Mahathir kaji “baik-buruk’ perjanjian Malaysia-Singapura

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau masih mengkaji persetujuan yang dicapai antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong.

"Saya belum kenal pasti kebaikan dan keburukan. Saya, pada mulanya, agak semua masalah dapat diselesaikan, tapi ada masalah nampak tidak disentuh," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucap utama pada persidangan Meniti Hari Tua Secara Sihat di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, antara isu yang belum disentuh adalah air selepas tamat perjanjian pada 2011 dan soal jambatan baru.
"Yang lainnya saya masih kaji sama ada tepat dengan Butir-butir Perjanjian (PoA) yang telah dibuat," katanya ketika diminta mengulas persetujuan membangunkan bersama tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Tanjung Pagar, Singapura, dan memindahkan stesen KTM dari situ ke Woodlands.

Beliau berharap, lawatan tiga hari Najib ke Singapura Sabtu lalu sudah dapat menyelesaikan semua masalah terutamanya berkenaan isu jambatan memandangkan lalu lintas di Tambak Johor semakin sesak. - Bernama

H1N1: KPT lanjut tempoh cuti IPT jika keadaan mendesak

GEORGETOWN: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak menolak kemungkinan melanjutkan tempoh bercuti untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai langkah berjaga-jaga untuk menyekat penyebaran gelombang kedua virus Influenza A(H1N1).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata langkah berjaga-jaga kini giat dijalankan walaupun keadaan sekarang masih terkawal.

"Kami hanya akan melanjutkan tempoh bercuti pelajar IPT sekiranya keadaan menjadi mendesak," katanya selepas merasmikan Pertandingan Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan 2010 di Universiti Sains Malaysia di sini, semalam.
Saifuddin berkata, pihak IPT sentiasa berbincang dengan Kementerian Kesihatan mengenai perkembangan penyakit itu.

"Sekiranya, mereka menasihatkan untuk menutup atau memberi cuti kepada pelajar berikutan penularan penyakit itu, kita tidak teragak-agak mematuhinya," katanya. - Bernama

Ada isu Malaysia-Singapura belum selesai

KUALA LUMPUR 27 Mei - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat masih ada isu yang belum diselesaikan dengan Singapura hasil lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak ke republik itu baru-baru ini.
Beliau berkata, di awal lawatan Perdana Menteri ke Singapura, beliau berharap semua masalah di antara kedua-dua negara dapat diselesaikan tetapi mendapati masih terdapat beberapa isu yang tidak disentuh.
“Antaranya ialahy isu harga air yang dibekalkan kepada Singapura, Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) untuk rakyat Malaysia yang bekerja di sana dan soal jambatan yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.
“Nampaknya cuma separuh isu yang diselesaikan tetapi saya fikir Najib tentu akan terus berusaha menyelesaikan masalah yang masih ada terutamanya isu jambatan yang menyebabkan kesesakan di Johor Bahru,” katanya. - Utusan

Mansuh subsidi perkukuh ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR 27 Mei – Malaysia perlu memansuhkan pemberian subsidi bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi agar lebih berdaya saing dan mampu menjadi sebahagian daripada komponen teras ekonomi global.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata, pemansuhan itu merupakan cadangan daripada makmal rasionalisasi subsidi bertujuan menggalakkan pemuliharaan yang lebih tinggi dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Menurut Idris, cabaran pada masa hadapan dijangka lebih kompetitif dan Malaysia perlu mengikuti perkembangan terkini ke arah pengaliran pengurangan subsidi global. - Utusan

Rundingan damai Palestin-Israel asas bagi lebih banyak kemajuan

PUTRAJAYA 27 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rundingan damai yang sedang berjalan antara Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan Israel perlu menjadi asas yang baik agar lebih banyak kemajuan dapat dicapai.
Bercakap kepada pemberita selepas rundingan sejam dengan pemimpin Palestin di pejabatnya di sini hari ini, Najib berkata, Mahmoud telah mengambil kedudukan yang wajar yang mana Malaysia percaya akhirnya ia akan membawa kepada pembentukan sebuah negara Palestin yang berdaulat.
Najib berkata, mereka berdua telah mengadakan perundingan “yang sangat berguna dan produktif”, yang mana Mahmoud telah memberi taklimat kepada pemimpin Malaysia mengenai perkembangan terbaru berhubung dengan rundingan itu.
"Jadi, Malaysia telah meminta kepemimpinan rakyat Palestin melalui Presiden Mahmoud Abbas agar meneruskan rundingan itu dan (pada masa yang sama) juga mendesak kerajaan Israel agar seboleh-bolehnya positif... ingat mengenai kedudukan wajar yang diambil oleh kerajaan ini (Palestin),” kata Najib dalam sidang akhbar bersama.
Mahmoud tiba di sini semalam untuk lawatan kerja tiga hari bagi meningkatkan keakraban hubungan dua hala antara Malaysia dan Palestin.
Ini merupakan lawatan rasminya yang kedua ke Malaysia selepas lawatan pertama pada 2007. – Bernama

Malaysia mungkin jadi pengimport minyak bersih pada 2011


KUALA LUMPUR 27 Mei – Malaysia berkemungkinan menjadi pengimport minyak seawal tahun depan sekiranya ia meneruskan kadar penggunaan petroleum seperti sekarang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala hari ini.
Rakyat Malaysia terus menjadi antara pengguna bahan api tertinggi perkapita dalam pola tabiat penggunaan bahan api dunia yang secara umumnya kekal tidak berubah, meskipun peningkatan harga minyak pada 2008.
Beliau juga berkata, kira-kira 70 peratus daripada subsidi gas petroleum cecair (LPG) kerajaan pergi kepada perniagaan komersial dan tidak sampai kepada golongan sasaran.
Kira-kira 30 peratus subsidi minyak masak juga disalahgunakan, katanya.
Beliau berkata, kerajaan mencadang untuk menghentikan secara perlahan-lahan subsidi petrol sejajar dengan langkah untuk meletakkan ekonomi Malaysia pada kedudukan yang lebih kukuh bagi merealisasikan aspirasi Wawasan 2020, iaitu untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
"Subsidi merupakan perlambangan perdagangan yang tidak tepat,” kata Idris semasa merasmikan Hari Terbuka Subsidi di sini bagi mendapat maklum balas daripada orang ramai mengenai subsidi.
"Tambahan pula, ia menimbulkan satu beban fiskal kepada ekonomi yang sedang meningkat maju seperti mana Malaysia patut menghindarinya. Oleh itu, kami sangat memerlukan satu strategi subsidi yang baik kerana ia tidak mampan,” katanya.
"Bagi menyelamatkan negara, kita perlu meningkatkan KDNK kita, rakyat Malaysia perlu sedar kita memberikan subsidi tertinggi — 4.6 peratus daripada KDNK malahan lebih tinggi berbanding Indonesia (2.7 peratus) & Filipina (0.2 peratus),” kata Idris, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).
Malaysia merupakan antara negara yang paling bersubsidi di dunia. Jumlah subsidinya sebanyak RM74 bilion pada 2009 bersamaan dengan RM12,900 bagi setiap isi rumah. – Bernama