Followers

Friday, November 20, 2009

KDNK Q3 kuncup kepada 1.2 peratus

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatatkan peningkatan pada suku ketiga dengan penguncupan sederhana kepada 1.2 peratus pada suku ketiga 2009 berbanding penguncupan 3.9 peratus pada suku kedua disebabkan oleh pengembangan positif permintaan dalam negeri dan permintaan luar yang semakin stabil.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, ketika mengumumkan angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) itu, berkata pertumbuhan didorong oleh permintaan dalam negeri disebabkan penggunaan swasta yang lebih kukuh dan perbelanjaan sektor awam yang lebih tinggi.

Beliau berkata, ekonomi dunia yang bertambah baik, terutama ekonomi serantau, membantu menstabilkan sektor luaran.

Dari segi penawaran, semua sektor ekonomi, kecuali pertanian, mencatat prestasi yang lebih baik. - Bernama

Najib kemuka formula penyelesaian krisis kepada MCA

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak mengemukakan formula penyelesaian yang dapat mengembalikan kredibiliti dan keyakinan ahli MCA dan masyarakat Cina terhadap parti kedua terbesar dalam Barisan Nasional (BN) itu.

Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan pemimpin MCA yang bertelagah sedang menimbangkan cadangan formula dan berharap mereka dapat menerima cadangan itu.

Katanya, beliau juga sudah mengarahkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk meneruskan perbincangan dengan pemimpin MCA berdasarkan formula yang dinyatakan itu kerana beliau akan menghadiri persidangan Ketua Negara Komanwel.

20 jemaah haji dikesan positif H1N1

JEDDAH: Sebanyak 20 kes Influenza A (H1N1) dilaporkan di kalangan jemaah haji, menurut laporan akhbar harian berbahasa Inggeris Daily Arab News.

Laporan itu memetik Menteri Kesihatan, Dr Abdullah Al-Rabeeah, sebagai berkata 12 daripada mereka kini dirawat manakala baki dalam pemerhatian.

"Kami berharap mereka akan sembuh dalam masa dua hari," katanya.

Beliau berkata, tiada kes jangkitan penyakit lain dilaporkan dalam kalangan jemaah haji dan tindakan kementerian melakukan persediaan awal pada musim haji kali ini mendatangkan hasil.

"Tumpuan kami pada tahun ini adalah terhadap selesema babi dan Jabatan Bagi Pencegahan Perubatan serta agensi haji melantik 80 perunding bagi pusat penjagaan intensif pada masa musim ini," katanya.

Al-Rabeeah berkata, perunding berkenaan termasuk pakar daripada pusat jangkitan penyakit Arab Saudi, negara Arab lain dan Amerika Syarikat dengan sejumlah 10,000 petugas kesihatan termasuk 100 doktor, 60 daripada mereka pakar asing bagi penyakit berjangkit serta 147 jururawat asing bagi unit penjagaan intensif dan pusat kecemasan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan menyediakan 14 hospital di Mekah dengan 2,782 katil, termasuk 244 katil unit penjagaan intensif dan 287 katil di wad kecemasan.

Terdapat juga 35 pusat kesihatan kekal di Makkah, sembilan pusat kesihatan bermusim di sepanjang Lebuh Raya Makkah-Madina dan empat pusat di Masjidil Haram di Mekah, 28 pusat kesihatan di Mina, 46 di Arafat dan enam di Muzdalifah. - Bernama

Hujan lebat di Kelantan, Terengganu, Pahang hingga Selasa

KUALA LUMPUR: Hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat dijangka berterusan hingga Selasa di semua daerah di Kelantan dan Terengganu.

Jabatan Meteorologi yang mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat kuning dalam kenyataannya hari, menyatakan keadaan itu boleh menyebabkan banjir di kawasan rendah berdekatan tebing sungai.

Hujan lebat dari semasa ke semasa juga dijangka berterusan di daerah Jerantut, Kuantan, Pekan, Maran dan Rompin di Pahang yang boleh menyebabkan banjir.

"Orang ramai diminta berhati-hati dan mematuhi arahan berpindah jika banjir berlaku di kawasan mereka," menurut kenyataan itu.

Kawasan pantai di Kelantan, Terengganu dan Pahang juga terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut dan keadaan ini dijangka berterusan sehingga Selasa ini.

Sementara itu, keadaan laut bergelora setinggi 3.5 meter dengan angin selaju 40 hingga 50 kilometer sejam dijangka berlaku di perairan berhampiran Kelantan dan Terengganu dan juga di Terumbu Layang-Layang, Palawan dan utara Sabah dekat Kudat sehingga Ahad.

Keadaan itu berbahaya kepada bot kecil dan semua akiviti di laut.

- Bernama