Followers

Wednesday, July 15, 2009

H1N1: Angka kematian 137 di Argentina

BUENOS AIRES: Korban influenza A (H1N1) di Argentina terus melonjak dengan terbaru 137 orang, menjadikan negara itu paling ramai maut selepas Amerika Syarikat sejak wabak itu melanda.

Kementerian Kesihatan berkata, peningkatan ketara itu berlaku dalam masa tiga gari daripada 94 kematian kepada 137 dengan 3,056 orang lagi disahkan menghidap virus H1N1.

Argentina kini di belakang Amerika Syarikat dari segi angka kematian teramai iaitu 211 maut dan 37,000 disahkan menghidap virus itu.

Mexico negara ketiga dengan 124 kematian dan 12,521 disahkan dijangkiti. - AFP

RM7 juta untuk vaksin Influenza A (HIN1)

PUTRAJAYA: Kerajaan dianggarkan akan membelanjakan RM7 juta bagi mendapatkan vaksin Influenza A (H1N1) yang dijangka berada di pasaran hujung tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata harga sebenar vaksin itu bagaimanapun belum diketahui setakat ini.

"Kementerian sudahpun membuat permohonan bagi mendapatkan bekalan vaksin ini untuk digunakan oleh 200,000 petugas barisan hadapan bagi memastikan perkhidmatan perubatan dan perkhidmatan asas terjaga dan berterusan semasa krisis berlaku," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata syarikat swasta terutama yang menyediakan perkhidmatan penting seperti bank dan stesen petrol dinasihat menyediakan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) bagi mengelakkan syarikat mereka terjejas akibat penularan virus H1N1.

Beliau berkata penyediaan pelan tersebut adalah sebagai garis panduan dalam mencegah dan mengawal penularan penyakit berkenaan di premis perniagaan masing-masing, selain memastikan perkhidmatan asas yang mereka sediakan berterusan dan tidak menyulitkan pelanggan.

"Kalau mereka ada BCP mereka akan ambil langkah-langkah pencegahan dan langkah-langkah kawalan secepat mungkin, (contohnya) kalau seorang pekerja sakit suruh balik rumah. Kalau tak buat macam tu, ia akan menular dalam pejabat itu, semua sakit dan satu pejabat akan tutup, dan kalau ia melibatkan syarikat yang mengedar makanan, air dan sebagainya, seluruh negara akan terjejas," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata rangka penyediaan pelan tersebut boleh didapati di laman web kementerian iaitu www.moh.gov.my dan sehingga kini hanya lima atau enam buah syarikat yang dikenal pasti mempunyai pelan itu walaupun mereka telah diminta berbuat demikian sejak dua tahun lalu.

Mengenai situasi semasa H1N1 di dalam negara, beliau berkata sejumlah 21 kes baru dilaporkan, yang terdiri daripada tujuh kes import dan 14 kes jangkitan tempatan, namun hanya satu kes dirawat di hospital kerana komplikasi dehidrasi manakala baki 20 lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Katanya jumlah keseluruhan kes kini meningkat kepada 825 kes, 562 daripadanya adalah kes import dan 263 lagi kes jangkitan tempatan, dengan 703 atau 85.2 peratus daripadanya telah sembuh, 97 atau 11.8 peratus menerima rawatan sebagai pesakit luar dan baki 25 orang atau 3 peratus sedang dirawat di hospital. Tiada kematian dilaporkan.

Tiada kejadian wabak H1N1 terbaru dalam komuniti dilaporkan, manakala Sekolah Rendah Sulaiman 1, Kuala Terengganu dan tiga buah kelas di tiga sekolah berbeza iaitu Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Kebangsaan Intan Baiduri, Gombak, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Kebangsaan Mantin, Negeri Sembilan akan tamat tempoh kuarantin hari ini, katanya.

Dr Mohd Ismail meminta pihak hospital, pusat kesihatan, lain-lain agensi dan orang ramai meneliti garis panduan yang dikeluarkan kementerian berhubung pelaksanaan pencegahan dan mitigasi dalam pandemik H1N1 di negara ini, supaya pelaksanaan aktiviti mitigasi berjalan dengan cekap dan berkesan.

Beliau berkata terdapat 22 langkah pencegahan dan kawalan yang perlu dilaksanakan serta-merta, dan garis panduan tersebut telah diedarkan dan dimuatnaik ke laman web kementerian.

Dr Mohd Ismail berkata, mereka yang mengalami sakit ringan seperti demam biasa dan sakit tekak tidak semestinya perlu mendapatkan rawatan di hospital, sebaliknya boleh mendapatkan ubat di farmasi dan berehat di rumah.

Beliau berkata pesakit yang perlu mendapatkan rawatan di hospital adalah mereka yang mempunyai gejala seperti sesak nafas, sakit dada, sawan dan berkelakuan pelik, atau mereka yang sememangnya menghidapi penyakit kronik seperti sakit paru-paru, sakit jantung dan sakit buah pinggang, atau mereka yang mempunyai ketahanan badan yang kurang atau mereka yang berisiko tinggi seperti obesiti dan wanita yang hamil.

Jika terdapat sebarang keraguan mereka boleh mendapatkan nasihat daripada kementerian dengan menghubungi talian 03-8881 0200, 03-8881 0300, 03-8883 4414 dan 03-88834415, dan mereka yang hendak ke hospital pula dinasihat agar memakai topeng muka supaya penyakit itu tidak tersebar kepada orang lain termasuk doktor dan pegawai yang bertugas. - Bernama

Virus H1N1 tidak dapat dikawal: WHO

WASHINGTON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengizinkan pengeluar ubat menghasilkan vaksin selesema babi (H1N1) dan menggesa semua negara menyuntik vaksin anti virus berkenaan yang tidak dapat dikawal.

WHO juga menekankan, suntikan perlu dimulakan ke atas jururawat, doktor dan pekerja teknikal, kata Pengarah WHO bagi Penyelidikan Vaksin, Dr Marie-Paule Kieny.

Beberapa laporan menunjukkan virus baru itu menyerang secara berbeza daripada selesema biasa kerana lebih banyak membabitkan golongan muda, gemuk dan sihat menyebabkan bahagian paru-paru berpenyakit.

Kieny juga memberi taklimat kepada wartawan mengenai penemuan Kumpulan Pakar Penasihat Strategik SAGE bahawa H1N1 tidak dapat dikawal dan setiap negara perlu diberi suntikan imunisasi kepada rakyat.

Di BANGKOK, Kementerian Kesihatan Thailand melaporkan tiga lagi kematian berkaitan H1N1, menjadikan jumlah yang maut di negara itu mencapai 24 orang.

Paichit Varachit, timbalan setiausaha tetap Kementerian Kesihatan Umum Thailand berkata mangsa terbaru adalah wanita berusia 67 tahun dan 57 tahun di sini dan seorang wanita berusia 32 tahun di tengah wilayah Samut Sakhon.

Paichit berkata, mereka mempunyai masalah kesihatan sampingan sebelum dijangkiti virus, menjadikan mereka lebih terancam terdedah.

Kementerian turut melaporkan tambahan 176 jangkitan kelmarin menjadikan jumlah yang dijangkiti kepada 4,057 orang. � AP