Followers

Thursday, September 2, 2010

Media arus perdana perlu berpegang kepada prinsip berfakta: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata media arus perdana mampu bersaing dengan media baru seperti blog dan internet selagi ia masih berpegang kepada prinsip menyiarkan laporan berfakta.

Perdana Menteri berkata, kelebihan dan kekuatan yang dimiliki media perdana hari ini masih tidak terdapat pada media baru yang boleh diterima dan dipercayai pembaca.
"Bagi saya ada satu kekuatan, satu kelebihan media arus perdana yang mungkin kurang kekuatan pada media baru atau portal.
"Ini kerana media arus perdana boleh digangagap sebagai 'fact base' (berasaskan fakta) dan ini adalah sesuatu yang masih dituntut masyarakat," katanya pada majlis berbuka puasa bersama warga The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), di Balai Berita, petang tadi.

Najib turut meluangkan masa melawat bahagian editorial Berita Berita dan Harian Metro sebelum berbuka puasa dengan lebih 1,000 warga NSTP.

Perdana Menteri berkata, kecenderungan berita internet atau blog ialah ia boleh dibangunkan secara peribadi dan ini membezakan bahan atau berita itu sama ada ia berprinsip, bertanggungjawab dan berasaskan kebenaran.

"Seperti kita tahu media baru memuatkan banyak bahan berasaskan kepada pendapat, tidak semestinya fakta, mengandungi pendapat peribadi atau mungkin juga digunakan pendapat orang lain disiarkan dalam blog itu.

"Oleh itu mungkin juga cerita itu kurang benar, kurang tepat, tapi disiarkan dan inilah yang mesti dibezakan oleh masyarakat kita, masyarakat mesti ada keupayaaan untuk membuat penilaian, tahu membezakan kekuatan media perdana dan media baru," katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu media arus perdana seperti NSTP terus berpegang kepada peranannya sebagai akhbar yang menyajikan fakta, disulami dengan pendapat bernas bagi meneruskan kesinambungan perjuangan dan pembangunan negara.

Muhyiddin yakin rakyat Indonesia di Malaysia tidak terpengaruh dengan BENDERA

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau percaya sebahagian besar rakyat Indonesia yang berada di negara ini tidak akan terpengaruh dengan seruan kumpulan di negara itu dikenali Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (BENDERA) supaya mereka pulang ke Indonesia dan tidak lagi bekerja di negara ini.
"Saya percaya sebahagian besar mereka yang berada di sini adalah orang yang menghargai apa yang telahpun kita buat untuk menolong mereka dan kita di sini juga amat menghargai pentingnya sumbangan perkhidmatan mereka kepada warga Malaysia.
"Saling memerlukan ini saya fikir adalah sesuatu yang patutnya menjadi asas pertimbangan, bukannya kerana ada seruan pihak di sana. Kalau mereka pulang ke sana pun mungkin mereka tak dapat jaminan dari Bendera ke, apa ke, mengatakan mereka akan memperoleh pendapatan dan pekerjaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai gesaan Koordinator BENDERA, Mustar Bona Ventura Manurung, supaya Jakarta segera mencari jalan untuk membawa pulang kira-kira dua juta warga Indonesia yang bekerja di negara ini, dan seterusnya memutuskan hubungan diplomatik dengan Kuala Lumpur bagi mempertahankan kehormatan serta kedaulatan negara itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan Malaysia juga tidak perlu memberi reaksi terhadap tuntutan berkenaan kerana apa yang lebih penting adalah menyelesaikan masalah secara diplomasi bagi menjaga hubungan jangka panjang kedua-dua pihak.

Untuk itu, katanya, segala isu berbangkit mengenai hubungan kedua-dua negara akan dibincangkan dalam mesyuarat Menteri Luar kedua-dua negara dalam pertemuan di Kota Kinabalu dalam masa terdekat.

"Fakta bahawa begitu ramai orang Indonesia bekerja di Malaysia ini sudah lama diterima dan kita tak pernah menghalang kerana kita tahu ini untuk kebaikan bersama, bukan saja untuk Malaysia tapi juga untuk Indonesia.
"Atas dasar itu kita tak mahu bersikap terlalu emosi, kita harus bersikap rasional dan segala apa tindakan yang kerajaan kedua-dua negara akan ambil, tidak bersandar kepada sentimen sekelompok manusia yang mungkin ada muslihat-muslihat tertentu," kata Muhyiddin. - Bernama

Kerajaan jamin keselamatan 2 juta rakyat Indonesia di Malaysia

PUTRAJAYA: Kerajaan hari ini memberi jaminan keselamatan kepada lebih dua juta rakyat Indonesia yang berada di Malaysia, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein

Malaysia bukan pusat proses, edar syabu utama di dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia bukanlah pusat pemprosesan dan pengedaran dadah jenis syabu utama di dunia walaupun banyak rampasan dadah terbabit, yang bernilai jutaan ringgit, dilakukan kebelakangan ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata selepas diselidik, kebanyakan dadah yang dirampas itu berasal dari negara luar yang dibawa oleh warga asing untuk kegunaan warga mereka sendiri seperti pelajar dan pelancong.
"Kebanyakan dadah yang dibawa masuk adalah dadah jenis end-product (yang telah disiapkan), dan bukannya dadah yang diproses di negara ini."
"Dadah itu adalah untuk kegunaan rakan senegara mereka sendiri seperti dari Nigeria, Turki, Iran dan terbaru Bulgaria," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Pengarah JSJN, Datuk Zulhasnan Najib Baharudin kepada beliau di Bukit Aman di sini hari ini.

Majlis itu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Othman berkata usaha warga asing untuk menjadikan negara ini sebagai pusat pengedaran dan pemprosesan dadah dengan mewujudkan makmal dadah haram sejak 2006 gagal apabila seringkali dihapuskan pihaknya.
"Sejak 2006 hingga kini, kita telah menyerbu 14 buah makmal memproses dadah jenis syabu dan heroin terbesar di negara ini, ia telah berkurangan dan sukar untuk dikesan.

"Kami juga berjaya menangkap 89 orang warga Iran dan merampas dadah jenis syabu sebanyak 245kg bernilai hampir RM6 juta pada tahun ini sahaja," katanya.

Justeru, katanya dadah boleh didapati dari mana-mana negara sekalipun memandangkan penyalahgunaan bahan terlarang itu adalah masalah global.

"Tidak semestinya negara ini sahaja yang dijadikan tempat memproses dadah. Sumber boleh datang dari mana-mana. Dadah masalah global, bukan berlaku di negara kita sahaja," katanya.

Othman berkata Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), sebuah agensi antarabangsa yang ditubuhkan bagi menjelaskan kepada dunia akan bahaya pengedaran dan penyalahgunaan dadah, tidak pernah meletakkan Malaysia sebagai pusat pengedaran atau pemprosesan dadah.

Katanya kerjasama berterusan semua pihak perlu dalam menyalurkan maklumat mengenai mana-mana kes dadah untuk mengelakkan negara ini digelar sebagai pusat pengedaran dan pemprosesan dadah.

Sementara itu, Zulhasnan yang telah berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 38 tahun akan bersara wajib pada 12 September ini.

Menurut kenyataan Bukit Aman, sepanjang tempoh tiga tahun Zulhasnan menjadi pengarah, prestasi jabatan telah meningkat sebanyak 19 peratus pada 2009 berbanding 2008.

Prestasi tangkapan keseluruhan jabatan meningkat sebanyak 37 peratus , iaitu tahap tertinggi sepanjang jabatan ini ditubuhkan. - BERNAMA

Undang-undang kecil diwujud tubuh komuniti berpagar: TPM

PUTRAJAYA: Undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan dan Akta Hak Milik Strata akan diwujudkan bagi mengawal selia penubuhan komuniti berpagar dan komuniti yang mempunyai pengawal keselamatan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan di Bangunan Putra Putra, di sini, tengah hari tadi.

Gerakan anti-Malaysia tidak cerminkan sentimen seluruh rakyat Indonesia

KUALA LUMPUR: Tindakan agresif gerakan anti-Malaysia di Indonesia dibangkitkan oleh segelintir pihak saja dan ia tidak mencerminkan sentimen keseluruhan rakyat republik itu, kata Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd Isa, yang akan menamatkan perkhidmatannya hari ini.
"Saya melihat bahawa tindakan ini tidak mencerminkan sentimen keseluruhan dan saya percaya bahawa kedua-dua kerajaan akan dapat mencari penyelesaian yang baik terhadap isu ini," katanya selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan kakitangan Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) sempena persaraannya di sini, hari ini.
Rastam, 59, akan digantikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha 1 Kementerian Luar, Datuk Mohd Radzi Abdul Rahman berkuatkuasa esok.
Kumpulan yang menggelar diri sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) baru-baru ini berdemonstrasi dan melemparkan najis manusia di pekarangan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta merancang mengusir keluar rakyat Malaysia dari Indonesia.

Rastam yang pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia pada tahun 1999 berkata, diplomat sentiasa memainkan peranan untuk menentukan hubungan baik antara dua negara.

"Tetapi kadang-kala kita tidak dapat kawal perasaan individu atau perasaan kumpulan-kumpulan tertentu, di Malaysia pun kita tak dapat kawal perasaan individu-individu terhadap negara lain," katanya.

"Jadi dalam hal ini yang penting adalah semua pihak harus sedar bahawa dalam hubungan sesebuah negara itu, tindak-tanduk individu ataupun kumpulan sama ada untuk memburukkan negara sendiri atau memburukkan negara lain, akan menimbulkan masalah," katanya.
Beliau juga menasihatkan diplomat yang mengalami konflik seperti itu supaya bertenang dan memberi laporan yang tepat kepada kerajaan supaya satu keputusan yang baik boleh dibuat.

"Dalam keadaan seperti ini, diplomat di luar negara haruslah juga menentukan bahawa keselamatan diri, keluarga dan rakyat Malaysia dapat dijamin iaitu dengan mengambil langkah-langkah keselamatan tertentu. - Bernama

Kawalan keselamatan pintu masuk Sarawak-Kalimantan dipertingkat

KUCHING: Polis meningkatkan kawalan di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (KIK) Tebedu yang menjadi pintu keluar masuk utama rakyat Indonesia dari Kalimantan Barat ke wilayah Sarawak melalui jalan darat.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Mohd Jamali Umi, berkata langkah itu bukan hanya kerana musim perayaan ini tetapi juga disebabkan isu anti-Malaysia yang sedang berlaku di Indonesia.
"Anggota kita termasuk dari Cawangan Khas dan Pasukan Gerakan Am akan memantau perjalanan keluar masuk warga Indonesia untuk memastikan tidak ada kejadian di luar kawalan berlaku," katanya kepada Bernama hari ini.
Mohd Jamali berkata jumlah warga Indonesia yang balik dan keluar melalui CIQ Tebedu meningkat kepada hampir 25,000 orang secara purata pada Ogos lepas berbanding sekitar 15,000 pada bulan yang tiada perayaan.

Katanya, selain kawalan di pintu masuk utama Kompleks KIK Tebedu, polis turut membuat sekatan jalan raya di jalan utama keluar masuk menuju Tebedu selain mengadakan pemeriksaan terhadap bas ekspres Kuching-Pontianak.

Mohd Jamali berkata Kompleks KIK Tebedu dibuka dari 6 pagi hingga 6 petang tetapi kawalan oleh pasukan keselamatan di kawasan terbabit adalah 24 jam sehari.

Beliau juga menasihatkan masyarakat tempatan khasnya yang akan balik berhari raya menggunakan jalan Trans Borneo melalui bandar Serian, agar tidak memandu terlalu laju dan berbahaya.
"Anggota polis akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik selain membuat rondaan di jalan utama Kuching ke Serian dan Sri Aman," katanya. - BERNAMA