Followers

Saturday, May 29, 2010

BN masih ada masa tarik sokongan kaum Cina: Dr Mahathir

JOHOR BAHRU: Tun Dr Mahathir Mohamad percaya Barisan Nasional (BN) masih mempunyai masa untuk menarik sokongan daripada masyarakat Cina sebelum pilihan raya umum akan datang.
Bekas Perdana Menteri berkata, masyarakat Cina akan menyokong BN jika parti pemerintah itu terus melayan masyarakat itu dengan adil serta menjaga kepentingan mereka seperti di dalam bidang perniagaan.

"Jikalau layanan (BN) kepada mereka (masyarakat Cina) adalah adil, saya fikir mereka akan sokong Barisan Nasional," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Wacana Kepimpinan dan pelancaran Kelab Veteran MAYC di sini hari ini.
Perdana Menteri Malaysia keempat itu berkata demikian ketika ditanya mengenai kemerosotan sokongan masyarakat Cina terhadap BN sebagaimana yang berlaku dalam beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini.

Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu adil dalam menjaga kepentingan semua kaum di negara ini dan masyarakat Cina memerlukan peluang perniagaan dan jika kerajaan tidak mewujudkannya, maka adalah sukar bagi masyarakat itu untuk menyokong kerajaan.

Bekas Presiden Umno itu berkata, beliau memulakan karier politik sebagai seorang "Malay Ultra" dan ramai dikalangan masyarakat Cina menganggap sebagai malapetaka apabila beliau menang dalam pilihan raya.

"Bagaimanapun kita (BN) menang pada (pilihan raya umum) hasil sokongan mereka (masyarakat Cina)," katanya.
Mengenai langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi beberapa barang keperluan utama, beliau berkata rakyat perlu menerima hakikat bahawa harga akan meningkat.

"Saya fikir kita perlu menerima hakikat harga barangan akan naik dan kita tidak boleh sentiasa menjangkakan apabila kita membeli, harga akan kekal pada kadar sama," katanya sambil menambah ketika beliau menjadi Perdana Menteri harga satu tong minyak adalah kira-kira ASS$30, berbanding kini yang mencecah AS$80 satu tong.

Malah, katanya, harga minyak dunia pernah mencecah AS$140 satu tong tidak lama dulu.

Dr Mahathir, bagaimanapun, meminta sebarang langkah penarikan balik subsidi oleh kerajaan dilakukan secara berperingkat, supaya rakyat tidak terlalu menanggung beban akibatnya.

Terdahulu, presiden MAYC, Tan Sri Sanusi Junid, yang juga bekas Menteri Besar Kedah dan bekas Menteri Pertanian menyerahkan kad keahlian pertama kelab Veteran MAYC kepada Dr Mahathir.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 ahli Umno pelbagai peringkat itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman. - Bernama

ILI: 4 kluster baru dikesan di NS, Johor, Melaka

PUTRAJAYA: Sejumlah empat laporan kejadian kluster penyakit serupa influenza (ILI) dikesan dalam tempoh 24 jam lalu, membabitkan tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Johor dan Melaka.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata bagi Negeri Sembilan, kejadian kluster itu dilaporkan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Air Hitam, Jempol dan kediaman di Kampung Senama Tengah, Rembau.

Dua lagi kluster itu ialah di kediaman di Taman Pancasila, Johor Bahru, Johor dan kediaman di Taman Bukit Rambai, Melaka.
"Terdapat sejumlah 75 kluster ILI yang masih aktif di seluruh negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata, sehingga kini sejumlah 534 kes ILI dirawat di seluruh negara, di mana 9.4 peratus atau 50 daripada jumlah itu disahkan positif influenza A(H1N1).

Beliau berkata, jumlah kes H1N1 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula adalah enam kes di mana lima daripadanya adalah individu yang mempunyai faktor risiko.

"Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) adalah 14,794 kes dengan 87 kematian. Tiada kematian baru dilaporkan," katanya.
Dr Mohd Ismail berkata, seperti kebanyakan negara lain, jangkitan influenza A(H1N1) masih aktif dan orang awam perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah kawalan dan pencegahan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus influenza A(H1N1) serta langkah-langkah pencegahan boleh melayari laman web http://www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my, atau menghubungi hotline kementerian di talian 03-8881 0200/0300. - Bernama

Pembinaan jambatan bengkok perlu diteruskan: Dr M

JOHOR BAHRU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini mengulangi pendapatnya bahawa kerajaan perlu meneruskan pembinaan jambatan bengkok merentasi Selat Tebrau.
"Ya," adalah jawapan ringkas beliau terhadap pertanyaan pemberita sama ada beliau masih berpendapat pembinaan jambatan bengkok perlu diteruskan untuk menggantikan Tambak Johor.

Terdahulu pada dialog "Wacana Kepimpinan" di sini, Dr Mahathir berkata pembinaan jambatan bengkok tidak memerlukan persetujuan Singapura kerana keseluruhan jambatan itu terletak di dalam wilayah Malaysia.
"Itu adalah hak kita kerana kita mahu membinanya (jambatan bengkok) di dalam wilayah kita," katanya sambil menambah keadaan berlainan jika kerajaan mahu membina sebuah jambatan lurus bagi menggantikan Tambak Johor.

Pembinaan jambatan lurus memerlukan persetujuan Singapura, tetapi beliau tetap berkeyakinan bahawa republik itu akan mempersetujui pembinaannya kerana ia adalah sesuatu yang baik.

Dr Mahathir berkata semasa menjadi perdana menteri, beliau pernah berunding dengan Singapura untuk membina jambatan lurus menggantikan Tambak Johor tetapi menghentikan rundingan itu selepas dua tahun menunggu jawapan daripada republik itu.

Hanya selepas itu, katanya, beliau mencadangkan pembinaan jambatan bengkok yang tidak memerlukan persetujuan Singapura.
Bagaimanapun bekas Perdana Menteri itu berkata, projek pembinaan jambatan bengkok itu dihentikan apabila penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi, mahu terus berunding dengan Singapura untuk membina jambatan lurus.

"Saya jadi PM selama 22 tahun, rundingan dengan Singapura tiada hasil," katanya.

Dr Mahathir berkata, pembinaan jambatan bengkok yang mempunyai ketinggian 25 meter dari tanah akan membolehkan bot serta kapal kecil belayar dari Timur dan Barat Selat Tebrau buat pertama kali. - Bernama

PM prihatin golongan petani, nelayan, penternak: Noh

SEGAMAT: Langkah kerajaan mengecualikan sektor pertanian daripada cadangan pemotongan bantuan subsidi bernilai berbilion ringgit setiap tahun sebagai bukti keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap golongan petani, nelayan dan penternak negara ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata ia juga bukti Perdana Menteri mahu terus membela golongan rakyat yang masih memerlukan pembelaan daripada kerajaan.

"Datuk Seri Najib mahu memastikan bantuan sabsidi untuk sektor pertanian tidak dipotong. Ini menunjukkan beliau hendak menolong rakyat terutama petani, nelayan dan pernternak yang masih memerlukan pembelaan," katanya ketika merasmikan Mini MAHA di Dataran Segamat hari ini.
Sehubungan itu, konvensyen yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam telah membincangkan hala tuju baru Dasar Pertanian Negara yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Antara resolusi konvensyen itu adalah mewujudkan pusat sehenti bagi membantu penternak dalam memasarkan hasil ternakan ruminan mereka terutama kambing.

Noh berkata, sebagai permulaan, kementerian akan mewujudkan one-stop centre di Segamat dengan belanja RM500,000 sebagai projek printis pada tahun ini.

"Pusat itu penting untuk bukan sahaja membantu penternak kambing di daerah ini tetapi negeri Johor amnya dalam memasarkan hasil ternakan mereka dengan harga yang berpatutan," katanya.
Noh juga mengarahkan Jabatan Veterinar menjalankan kajian mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya memakan daging kambing menyebabkan penyakit darah tinggi.

Beliau hairan bagaimana orang Arab yang memakan daging kambing tetapi tidak pula mengalami penyakit darah tinggi. - Bernama

Kes jenayah kanak-kanak dipercepat: Shahrizat

KLANG: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bekerjasama erat dengan pihak Jabatan Peguam Negara bagi mempastikan mereka yang terbabit dalam kes jenayah terhadap kanak-kanak dibawa ke muka pengadilan dengan segera.
Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata langkah itu menunjukkan kerajaan sangat serius dalam menangani perkara itu terutama yang membabitkan kes penderaan dan pembuangan bayi.

"Sekarang ini sebarang kes jenayah terhadap kanak-kanak diberi keutamaan dan sebab itu kita lihat semalam seorang pelajar perempuan berumur 17 tahun bersama kakaknya yang terbabit dalam kes pembuangan bayi dibawa ke mahkamah dengan cepat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Projek Jalinan Rakyat Wanita Umno bahagian Kota Raja di sini hari ini.
Shahrizat berkata demikian ketika mengulas mengenai perintah tahanan reman selama empat hari yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam semalam ke atas pelajar perempuan terbabit dan kakaknya yang berusia 24 tahun bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi lelaki baru lahir yang ditanam berhampiran dengan Stesen Keretapi Padang Jawa di Shah Alam, Isnin lalu.

Shahrizat turut kesal dengan tindakan sesetengah ibu bapa yang mengamalkan budaya lepas tangan kepada pihak lain sekiranya anak-anak mereka terbabit dengan kes seperti kehamilan dan kelahiran anak luar nikah.

Katanya, apa yang menghairankan ialah ibu bapa adalah orang yang duduk serumah dengan anak-anak tetapi tidak mahu mengambil tahu kebajikan dan masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka.

"Saya nampak kita dah mula ada budaya lepas tangan kepada pihak lain. Untuk tangani isu seperti ini, semua pihak kena bertanggungjawab. Ibu bapa jangan lepas tangan kerana kerajaan ada tanggungjawab dan polisi, kita ada institusi yang nak bantu ibu nak bersalin termasuk bersalin anak luar nikah dan kita juga boleh ambil anak-anak itu selepas bersalin.
"Kita sebagai ibu bapa buat apa. Kalau anak kita hamil luar nikah kita mesti bantu, kalau tidak tahu nak buat apa pergi ke hospital mereka tahu di mana nak hantar atau Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Yang saya hairan macam mana kes-kes seperti ini ibu bapa tidak tahu langsung sedangkan mereka duduk serumah dengan anak-anak, kalau mereka tidak tahu langsung macam mana orang lain nak tahu," katanya.

Justeru, Shahrizat berkata kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ibu bapa yang didapati gagal menjalankan tanggungjawab mereka dalam menangani masalah anak-anak yang terlibat dalam kes seperti itu.

"Ini sebagai amaran bahawa kes seperti ini tiada belas kasihan dan tidak boleh dimaafkan. Saya juga sudah maklumkan kepada pihak polis supaya segerakan penyiasatan dan jika ada bukti (berlaku kelalaian) ibu bapa akan dipertanggungjawabkan," katanya. - Bernama

Lebih banyak buku sejarah Islam perlu diterbitkan: Rosmah

KUALA LUMPUR: Lebih banyak buku tentang sejarah dan masyarakat Islam di Asia Tenggara perlu diterbitkan bagi mewujudkan kesedaran generasi akan datang mengenai perkara itu, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata, walaupun buku mengenai topik itu telah banyak diterbitkan dalam pelbagai bahasa, namun ia juga perlu diterbitkan di negara ini bagi meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai warisan tempatan dan menangkis gambaran salah mengenai umat Islam yang sering dipaparkan media Barat.

"Oleh itu, industri buku Malaysia perlu memberi penekanan terhadap usaha menulis dan menerbitkan hasil penemuan mengenai warisan tempatan dan asal usul budaya," katanya ketika melancarkan tiga buku tulisan penulis Pakistan di Muzium Islam di sini.
Buku berkenaan, Straits Muslims: Diasporas of the Northern Passage of the Straits of Malacca, Life of the Prophet Muhammad SAW (May Peace Be Upon Him) dan Philosophy of the Quran, adalah hasil karya Allahyarham Hafiz Ghulam Sarwar.

Rosmah berkata, tulisan Sarwar mengenai sejarah Islam merupakan sumbangan yang tidak ternilai harganya kepada budaya dan warisan Islam tempatan.

Dilahirkan pada 1873 di Lahore, Pakistan, Sarwar menghabiskan usia mudanya di Pulau Pinang sebelum menyertai Perkhidmatan Awam Tanah Melayu dari 1900 hingga 1928.

Pengarang beberapa buku mengenai Islam dan perbincangan antara agama itu meninggal dunia pada 1954. - Bernama

Malaysia rangka strategi ekonomi dengan Indonesia: Mustapa

JAKARTA: Malaysia sedang menyediakan strategi ekonomi bagi memantapkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Indonesia yang boleh memberi keuntungan dua hala.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata strategi itu akan dijadikanroad map (panduan) jelas mengenai bidang ekonomi akan diberi tumpuan, termasuk bidang pelancongan perubatan.

"Keutamaan saya sekarang ialah untuk berusaha mengurangkan halangan dagangan terhadap beberapa produk Malaysia untuk pasaran Indonesia dan keduanya ialah untuk mendapatkan lebih ramai pelabur Indonesia untuk menanam modal di Malaysia," katanya dalam perjumpaan dengan pengurus kanan beberapa syarikat Malaysia di sini.
Mustapa berkata, usaha itu adalah susulan kepada perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada rundingan tahunan Malaysia-Indonesia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara persetujuan yang dicapai dalam rundingan tahunan itu ialah Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) akan diadakan setiap tiga bulan, membabitkan beberapa kumpulan kerja.

Mustapa berkata, pada masa ini beberapa produk Malaysia seperti kosmetik, farmaseutikal dan makanan menghadapi kesukaran untuk dieksport ke Indonesia dan beliau berhasrat menggunakan forum JCM untuk berbincang dengan pihak Indonesia mengenai perkara itu, berkemungkinan pada bulan Julai nanti.

Katanya, masa ini syarikat Malaysia yang melabur di Indonesia adalah lebih banyak berbanding syarikat Indonesia yang melabur di Malaysia.
"Kita mahu juga orang kaya Indonesia melabur juga di Malaysia, selain di Singapura dan di Amerika Syarikat," katanya sambil menambah Malaysia sedang memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan berkualiti yang mampu menawar gaji tinggi kepada pekerja.

Mustapa berkata, peningkatan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara ini adalah penting lebih-lebih lagi kerana ekonomi Malaysia yang bergantung kepada perdagangan.

"Malaysia kini negara pengeskport ke-20 terbesar di dunia dan ia perlu terus berusaha untuk menembusi lebih banyak pasaran eksport.

"Pada masa sama Malaysia juga membuka ekonominya kepada pedagang dan pelabur asing," katanya. - Bernama

Rakyat perlu bijak nilai janji Anwar: PM

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata rakyat perlu menilai secara bijak setiap janji yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebenarnya hanya mahu mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri.
Perdana Menteri berkata, rakyat perlu mengingati kembali penipuan besar yang pernah dibuat Anwar ketika mencanangkan penubuhan kerajaan baru pada 16 Sept 2008.

"Dia (Anwar) dah berjanji macam-macam, sebab dia nak kuasa, saya berharap rakyat berhati-hati dengan janjinya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Najib mengulas janji terbaru Anwar yang kononnya akan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II yang dilantik di kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.

Janji itu dilihat sebagai satu gimik politik dalam usaha Anwar untuk terus mendapat sokongan masyarakat Cina. Janji terbaru Anwar itu disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan Rabu lalu.

Najib berkata: "Rakyat harus berhati-hati kerana janjinya tidak semestinya dapat ditunaikan. Kadang-kadang dia cakap lain kepada orang Melayu dan cakap lain kepada orang Cina.

"Terpulang kepada rakyat, yang penting rakyat tidak boleh telan bulat-bulat kerana dia sendiri tahu dia tak boleh tunaikan," katanya.
Perdana Menteri berkata, rakyat juga perlu sedar bahwa Anwar sebenarnya kini semakin hilang pengaruh di kalangan pemimpin pakatan pembangkang.

"Setiausaha Agungnya (Datuk Salehuddin Hashim) pun sudah letak jawatan. Jadi mesti ada sesuatu yang tak betul berlaku dalam kepimpinan PKR. Dia sudah hilang pengaruh dan wakil rakyatnya sendiri.

"Kalau mereka puas hati mereka takkan pindah (letak jawatan). Puncanya ialah mereka tidak puas hati," katanya.

Perdana Menteri berkata, sebab itulah Anwar kini terpaksa menaburkan pelbagai janji politik yang tidak mampu ditunaikannya. - Bernama

Makmal khas rangka strategi gerak ekonomi luar bandar

SEMPORNA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menubuhkan makmal khas untuk merancang dan merangka strategi untuk menggerakkan ekonomi masyarakat luar bandar.
Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata makmal yang diletakkan di bawah Unit Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Model Baru Ekonomi (MBE) kementerian itu bagi memenuhi keperluan menjana ekonomi kumpulan sasar.

"Kita telah menubuhkan badan khas (makmal di peringkat kementerian) yang diketuai oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Mohd Nashir Baba, yang akan menyusun dan memberi fokus kepada usaha untuk kita menggerakkan ekonomi masyarakat luar bandar.
"Seperti yang saya katakan, tidak mencukupi sekiranya kita cuma membekalkan penduduk luar bandar dengan kemudahan elektrik, air dan jalan raya tetapi kita juga perlu menyediakan peluang dan kemudahan ekonomi di tempat mereka," katanya.

Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Pemimpin Bersama Petani anjuran Jabatan Pertanian di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan bantuan peralatan dan kemudahan pertanian serta insentif tanaman semula kelapa sawit bernilai RM300,000.

Beliau berkata, anggota makmal berkenaan akan mengenal pasti potensi ekonomi di sesuatu tempat yang boleh dimajukan sama ada daripada segi pertanian, perikanan, industri desa dan peruncitan yang diyakini boleh membantu masyarakat luar bandar meningkatkan ekonomi mereka.
Terdahulu dalam ucapannya, Shafie mahu masyarakat petani dan pegawai awam yang terbabit dalam sektor berkenaan supaya melihat pertanian bukan sekadar penyumbang kepada ekonomi negara tetapi juga sebagai sektor pekerjaan penting untuk rakyat.

Katanya, sumber tenaga manusia dalam sektor pertanian perlu terus dipertingkatkan kerana melaluinya transformasi sektor berkenaan ke tahap penghasilan tinggi dapat dilakukan dengan berkesan.

Dengan cara itu juga, katanya, negara akan berupaya mencapai sasaran mengurangkan jumlah import produk makanan dan barangan berasaskan pertanian. - Bernama