Followers

Thursday, September 16, 2010

Najib puji kecekapan polis tangani kes Sosilawati

SANDAKAN: Datuk Seri Najib Razak memuji kecekapan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dapat menyelesaikan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dengan cepat.
Sambil menyampaikan ucapan syabas dan tahniahnya kepada PDRM, Perdana Menteri mahu pasukan polis turut diberi ruang dan masa untuk menguruskan kes berkenaan agar semua yang terbabit dapat dihadapkan ke muka pengadilan.
"Ini satu kejayaan (pihak polis) yang begitu memberangsangkan. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak PDRM kerana dapat bertindak cepat, pantas dan dapat membongkar mereka yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan mangsa berkenaan.
"Saya berharap mereka dapat mencari bukti-bukti yang jelas yang boleh dikemukakan di mahkamah supaya mahkamah tidak merasa ragu untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal degan angkara yang cukup kejam yang telah dilakukan oleh mereka itu," katanya.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Juara Rakyat peringkat Sabah dan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di sini hari ini, sebagai mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang menyifatkan kes pembunuhan jutawan kosmetik itu berusia 47 tahun dan tiga rakannya yang lain telah selesai.

Tiga yang lain pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shansuddin, 44, peguam peribadinya Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pegawai CIMB bank cawangan Kampung baru, di sini, Noorhisham Mohamad, 38 dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lepas, dipercayai dipukul sampai mati dan dibakar di Ladang Gadong dan abunya dibuang di Sungai Panchau, Banting, Selangor

Pada majlis yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman serta ketua parti komponen Barisan Nasional (BN), Najib juga melancarkan program pemberian susu percuma kepada pelajar sekolah rendah yang dinamakan "Program Susu 1Malaysia".
Najib berkata polis tidak boleh bertindak terburu-buru membawa kes berkenaan ke mahkamah kerana mereka terpaksa mencari bukti kukuh yang boleh mensabitkan semua yang dituduh di muka pengadilan.

"Setakat ini (mereka akan) didakwa tetapi pendakwaan mesti disabitkan kesalahan di mahkamah. Ini yang kita mesti berikan masa dan ruang secukupnya (kepada polis) untuk mencari bukti yang boleh dibawa ke mahkamah sehingga tidak ada keraguan sama sekali. Sebab kalau nak jatuhkan hukuman, ia kena melangkaui keraguan munasabah," katanya.

Mengenai pemberian susu percuma itu yang dijangka dilaksanakan pada bulan depan, beliau berkata Program Susu 1Malaysia berkenaan akan dilaksanakan secara berterusan.

Katannya sebagai permulaan susu berkenaan akan diberikan kepada pelajar Tahun 1 hingga Tahun 3 sebelum diperluaskan secara berperingkat-peringkat kepada kelas pelajar lebih tinggi.

Najib berkata kos permulaan bagi program berkenaan ialah RM4 juta dan akan ditambah dari semasa ke semasa.

Katanya kerajaan negeri Sabah telah memberi jaminan kepada beliau bahawa negeri itu berupaya membekalkan susu mencukupi bagi mejayakan program berkenaan secara berterusan. -BERNAMA

Siasatan kes Sosilawati tanpa unsur perkauman: KPN

BANTING: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang baru memegang tampuk kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini berkata siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain dilakukan tanpa sebarang unsur perkauman.
Kes siasatan Sosilawati adalah kes jenayah biasa kerana ada penjenayah dan ada mangsa, katanya ketika sesi dialog bersama pemimpin masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di sini hari ini sempena lawatan pertama beliau ke Selangor sebagai Ketua Polis Negara.
Pada sesi dialog itu beliau berkata siasatan terhadap kes-kes yang ada unsur perkauman seperti kes pembakaran gereja di Petaling Jaya dan surau di Johor dijalankan berlandaskan undang-undang.
Beliau berkata masyarakat perlu faham bahawa proses pendakwaan kes itu adalah di bawah bidang kuasa Peguam Negara bukannya polis.

Ismail berkata demikian selepas seorang daripada pemimpin masyarakat setempat membangkitkan isu mengapa kes surau di Negeri Sembilan yang dibaling cat dan botol arak tidak dibawa ke mahkamah sedangkan kes pembakaran gereja ada yang dihadapkan ke mahkamah.

Ismail turut mengarahkan polis Selangor termasuk daerah Kuala Langat supaya memantau peningkatan penglibatan golongan belia di daerah itu dalam kegiatan jenayah.

Sementara itu, Ismail berkata beliau akan melihat keperluan menambah anggota dan sokongan logistik di Ibu Pejabat Polis Daerah itu dan keperluan meletakkan seorang Assisten Komisioner Polis bagi mengetuai polis di sana berbanding hanya seorang Superitendan ketika ini.
Perkara itu dibangkitkan oleh Ketua Bahagian MCA Kuala Langat, Datuk Eii Kim Hock yang menyatakan bahawa kekuatan polis di daerah itu perlu ditingkat memandangkan pembangunan pesat di daerah itu yang dikelilingi oleh Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang dan kawasan pesisiran pantainya yang panjang.

Beliau berkata penduduk di daerah itu juga kini berjumlah 200,000 orang.
Eii berkata beliau berharap kereta peronda polis di daerah ini ditingkatkan kerana kehadiran mereka dijalan raya melegakan hati penduduk dan mereka kini merasa yakin dan selamat dengan kehadiran polis.

Beliau turut berterima kasih dengan tindakan polis di Kuala Langat kerana berjaya membanteras kegiatan mesin judi di daerah itu dan memuji tindakan pantas polis dalam menyiasat kes pembunuhan Sosilawati walaupun semasa sambutan Hari Raya.

Ismail dalam pada itu berkata polis berjaya menurunkan kadar indeks jenayah di daerah itu sebanyak 14 peratus dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini. - BERNAMA

Kes Sosilawati: Suspek utama ada 7 aduan jenayah komersial

BANTING: Polis mengenal pasti suspek peguam dalam pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya mempunyai tujuh laporan jenayah komersial yang membabitkan jumlah RM7.1 juta sejak 2005.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata maklumat itu diperoleh daripada siasatan polis dan penilaian semula kes yang dilaporkan di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPPD) Kuala Langat.
Sementara itu, mengulas kes kehilangan dua individu sebelum ini, beliau berkata, kes pembunuhan seorang gadis 19 tahun dan ahli perniagaan dari Chennai, India, S Usharani, 24, yang akan disiasat.
Katanya, siasatan kes kehilangan ahli perniagaan itu baru bermula kerana isteri mangsa hanya membuat laporan polis pada 8 September lalu.

Bagi kes kedua pula, Khalid berkata, pihaknya tidak pernah menutup kes terbabit, sebaliknya polis masih belum menemui petunjuk bagi membantu siasatan.

"Apabila suami wanita yang hilang dipanggil memberi kenyataan buat kali kedua, kami mendapati beliau menceritakan apa yang berlaku seperti diterangkan kepada pihak media," katanya ketika mengiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sempena Hari Polis Bertemu Masyarakat di sini, sebentar tadi.

Khalid berkata, bagi tujuh kes jenayah komersial dan kehilangan dua individu sebelum ini akan disiasat polis Selangor, manakala kes Sosilawati akan disiasat polis Bukit Aman dan Kuala Lumpur.

Kerajaan laksana program susu 1Malaysia bulan depan

SANDAKAN: Kerajaan akan melaksanakan Program Susu 1Malaysia ke sekolah rendah di seluruh negara, bermula bulan depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata buat permulaan, bekalan susu dari Sabah itu akan memanfaatkan murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga, membabitkan kos RM4 juta.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Juara Rakyat, di sini, sebentar tadi.