Followers

Saturday, June 6, 2009

Sabah & Sarawak: Pusat maklumat PTPTN dapat sambutan

KOTA KINABALU: Pusat maklumat Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang diwujudkan di ibu negeri pada Oktober lalu menerima purata 15 hingga 20 pengunjung sehari, kebanyakannya pelajar dan ibu bapa yang mahu mendapatkan maklumat mengenai pinjaman PTPTN.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Hou Kok Chung, berkata pusat maklumat itu turut menerima kira-kira 25 pertanyaan sehari mengenai pinjaman PTPTN menerusi telefon daripada pelajar dan ibu bapa di seluruh negeri.

Katanya, langkah PTPTN mewujudkan pusat itu berjaya mengatasi kerumitan mengenai pinjaman PTPTN dialami pelajar dan ibu bapa di Sabah yang sebelum ini terpaksa mengajukan masalah di ibu pejabat PTPTN di ibu negara.

"Penubuhan pusat maklumat ini adalah antara hasil dialog Kementerian Pengajian Tinggi dengan pihak pengurusan institusi pengajian tinggi (IPTS) di Sabah tahun lalu.

"Saya berterima kasih kepada PTPTN kerana mengambil kira maklum balas IPTS negeri ini. Sejak beroperasi, seramai 650 orang kebanyakannya pelajar dan ibu bapa telah mengunjungi pusat berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan Sektor Pengurusan IPTS, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi dengan pegawai pengurusan IPTS Zon Sabah, di sini, kelmarin.

Hou berkata, penubuhan pusat maklumat itu antara langkah drastik dilaksanakan kementerian dalam usaha menambah baik sistem penyampaiannya supaya lebih lancar dan cekap.

"Usaha menambah baik sistem penyampaian kementerian akan diteruskan berdasarkan maklum balas IPTS dan orang ramai mengenai pelbagai perkara yang memerlukan peningkatan.

"Kementerian sentiasa bersedia mendengar maklum balas yang diberikan tidak kira sama ada sedap didengar atau sebaliknya, namun biarlah yang berbentuk membina," katanya.

Mengenai maklum balas berhubung dasar membabitkan IPTS yang dibangkitkan IPTS di Sabah pada sesi dialog tahun lalu, Hou berkata, pihaknya akan merumuskan tindakan pada seminar IPTS kebangsaan akhir tahun ini.

Katanya, rumusan itu akan dibuat serentak dengan maklum balas menerusi sesi dialog zon lain di seluruh negara.

"Kini cuma tinggal dialog IPTS Zon Selatan pada 2 Julai ini," katanya.

Beliau berkata, perjumpaan dengan IPTS Zon Sabah kali ini bertujuan mengemas kini maklumat IPTS mengenai pindaan Akta IPTS 1996 yang diluluskan Parlimen baru-baru ini.

Turut diterangkan, katanya, ialah maklumat mengenai Audit dan Pemeriksaan IPTS bagi tahun ini, pengurusan aduan IPTS dan Sistem Penilaian Kendiri terhadap IPTS.

0 comments: