Followers

Sunday, November 29, 2009

Kajian komprehensif dibuat mengenai GST

IPOH: Kerajaan sudah menjalankan kajian yang agak lama dan komprehensif mengenai rancangan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata kajian itu penting bagi memastikan pelaksanaannya tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat di samping memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara kompetitif.

"Kita telah membuat kajian yang mendalam...matlamat kita adalah untuk menjaga kesejahteraan rakyat," katanya ketika diminta mengulas kebimbangan sesetengah pihak terhadap pelaksanaan GST.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Rang Undang- undang berhubung pengenalan GST akan dibentangkan untuk bacaan pertama pada akhir sidang semasa Dewan Rakyat dan Ahmad Husni kelmarin berkata kerajaan merancang mengenakan GST pada kadar empat peratus.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis Qurban Umno Bahagian Gopeng di sini hari ini, Ahmad Husni berkata sebanyak 143 buah negara telah melaksanakan GST dan dijadikan contoh dalam kajian berkenaan.

Katanya, dalam kelompok negara Asean, selain Malaysia, hanya Brunei dan Myanmar yang belum memperkenalkan GST.

Kerajaan menjangka pendapatan tahunan meningkat RM1 bilion, setahun lalu GST diperkenalkan bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan dan dijangka dilaksanakan 18 bulan selepas bacaan kedua pada Mac tahun depan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Husni berkata krisis kewangan yang melanda Dubai dijangka tidak akan menjejaskan Malaysia kerana pelaburan negara di sana lebih kepada perdagangan eksport semula yang melibatkan negara-negara Teluk.

Sementara itu, Ahmad Husni yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata peruntukan sebanyak RM1.7 juta telah diluluskan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi pembinaan jambatan baru di Kampung Manjoi bertujuan mengatasi masalah banjir.

Katanya, MBI juga akan membelanjakan sebanyak RM300,000 bagi menaik taraf pasar Manjoi selain membesarkan dua surau di kampung berkenaan membabitkan perbelanjaan kira-kira RM700,000.

- Bernama

Doa mohon hapuskan PM tidak masuk akal: Hishammuddin

KLUANG: Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mendoakan supaya Allah menghapuskan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Umno jika Kerajaan Pusat enggan memberikan royalti minyak kepada Kelantan disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata perbuatan itu sebenarnya menggambarkan kelemahan dalam pemerintahan Nik Aziz sekaligus menunjukkan perpecahan kritikal di dalam PAS.

"Kita di dalam Umno bukan mahu mendoakan Pas berpecah tetapi kita bersyukur kerana apa yang Pas tuduh, akhirnya perkara itu terkena tempias kepada mereka (Pas) sendiri.

"Mereka (Pas) tuduh Umno menimbulkan perkara yang boleh pecah belahkan Pas, kita (Umno) yang lagakan pemimpin mereka, tetapi bila kita sabar dalam cara kita bawa diri kita, akhirnya tuhan tunjukkan mereka yang terkena tempias mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis korban Umno Bahagian Sembrong dan pembasmian kemiskinan Giat Mara, di Kampung Contoh, dekat Kahang, di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Nik Aziz berkata beliau dan penyokongnya sudah mendoakan agar Perdana Menteri mengubah fikiran supaya memberikan royalti kepada negeri itu, jika tidak beliau akan berdoa supaya Allah menghapuskan masa depan Najib dan Umno. - Bernama

Pemilihan MCA wajar jika ia jalan penyelesaian kemelut: Hishammuddin

KLUANG: Pemimpin MCA bebas membuat apa saja cadangan, termasuk pemilihan semula dalam tempoh 60 hari asalkan ia mampu menyelesaikan kemelut kepimpinan yang dialami parti itu, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Naib Presiden Umno itu berkata, jika pemilihan semula itu dilihat sebagai jalan penyelesaian terbaik, ia harus diadakan.

"Kalau ia bukannya menimbulkan masalah lain atau menggagal menyelesaikan masalah sedia ada, ia (pemilihan) harus diadakan.

"Tapi jika ia gagal seperti EGM baru baru ini, pemilihan yang dicadangkan itu hanya membuang masa," katanya selepas merasmikan Seminar MCA Bahagian Sembrong di Hotel Prime City, di sini hari ini.

Pertingkat kerjasama negara jiran banteras lanun: Zahid

LANGKAWI: Kerjasama dengan negara jiran perlu ditingkatkan dalam usaha membanteras kegiatan lanun di Laut China Selatan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata mengikut rekod, kegiatan lanun di perairan berkenaan sudah berkurangan, tetapi kerjasama erat akan terus dijalin di kalangan negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Indonesia.

"Kita mendapat tawaran daripada Australia untuk membantu, bagaimanapun kerjasama sedia ada dengan negara jiran dari segi latihan bersama dan peralatan mampu mengawal perairan itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Maritim di Awana Porto Malai di sini, hari ini.

Beliau berkata untuk memastikan keselamatan perairan negara, rondaan akan terus ditingkatkan termasuk menggunakan kapal selam dan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut, Jabatan Kastam, Pasukan Gerakan Polis Marin dan Jabatan Perikanan.

Sementara itu, 150 peserta dari 24 negara menyertai Persidangan Antarabangsa Maritim yang diadakan sempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (Lima 09). - Bernama

20 jemaah haji Malaysia meninggal di Tanah Suci

MAKKAH: Seramai 20 jemaah haji Malaysia meninggal dunia pada musim haji tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, hari ini.

Beliau berkata jemaah yang meninggal dunia itu disebabkan oleh sakit biasa seperti sakit tua dan bukan dijangkiti penyakit berjangkit seperti Influenza A (H1N1).

“Mereka yang meninggal dunia itu ialah 16 lelaki dan empat perempuan yang berusia 50 tahun ke atas.

“Jumlah ini sangat minimum jika dibandingkan dengan keseluruhan jemaah haji Malaysia yang berjumlah 26,000 orang.

"Jemaah haji Malaysia tiba di Tanah Suci sejak 20 Oktober lalu,” katanya kepada petugas media Tabung Haji di sini.

Selain itu, Jamil Khir juga berkata empat jemaah haji Malaysia yang sedang menerima rawatan di hospital Arab tidak dapat dibawa ke Arafah pada Khamis kerana berada dalam tidak sedarkan diri dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Bagaimanapun, katanya lebih 20 pesakit yang dirawat di hospital Tabung Haji di Aziziah dan Sisya dibawa ke Arafah oleh petugas perubatan Tabung Haji dengan ambulans.

Mengenai perkembangan jemaah haji Malaysia, beliau berkata mereka masih berada di Mina dan kebanyakannya telahpun selesai menjalankan ibadah melontar Jamrah dan mereka akan kembali semula ke Mekah untuk mengerjakan tawaf dan sae haji sehari dua lagi.

Jamil Khir berkata bagi jemaah haji yang belum berkesempatan untuk pergi ke Madinah, Tabung Haji akan menguruskan pemergian mereka ke sana setelah semua ibadah haji selesai dilakukan. Secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan operasi musim haji tahun ini yang berjalan lancar. - Bernama

Banjir kembali pulih di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Banjir di Terengganu semakin surut dan keadaan kembali normal apabila jumlah penduduk di daerah Kuala Terengganu, satu-satunya kawasan yang masih dilanda banjir, berkurangan kepada 40 orang.

Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri berkata, hanya sebuah pusat pemindahan mangsa banjir masih dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak.

Jurucakap itu berkata mangsa banjir yang masih berada di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak terdiri daripada penduduk Taman Desa, Pusu Tiga disebabkan air di kawasan rumah mereka belum kering sepenuhnya.

Beliau berkata mangsa-mangsa itu mungkin dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sekiranya keadaan cuaca terus bertambah baik hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri berkata paras air sungai utama di Terengganu semuanya berada di paras biasa sejak beberapa hari lalu. - Bernama

Pembekuan kemasukan pekerja Bangladesh ke Malaysia kekal: PM

PORT OF SPAIN: Malaysia tidak bercadang mengkaji semula sekatan pengambilan pekerja dari Bangladesh walaupun mendapat permintaan daripada pemimpin republik itu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, sekatan itu dilakukan bagi mengelak ejen pekerja asing menyalahgunakan kedudukan mereka sehingga ramai pekerja Bangladesh menjadi mangsa, apabila menjual harta dan ternakan untuk membiayai perjalanan ke Malaysia.

"Penipuan seperti inilah yang kita ingin elakkan. Mereka minta sekatan dikaji semula tetapi faham dalam keadaan sekarang, sukar untuk kita menambah pekerja asing," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina di sini, hari ini.

Pertemuan itu sempena Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di ibu negara Trinidad dan Tobago yang dihadiri 32 ketua kerajaan selain naib presiden, timbalan perdana menteri serta menteri kanan.

Sebelum itu, Kaunselor Buruh Bangladesh, Talat Mahmud Khan, dilaporkan berkata 70,000 pekerja Bangladesh yang memiliki visa dijangka tiba di Malaysia untuk bekerja dalam sektor perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.

Bagaimanapun, kerajaan membatalkan serta-merta visa kemasukan itu yang diluluskan pada 2007 bagi mengelak kemasukan pekerja asing terbabit kerana tiada keperluan.

Najib berkata, dalam pertemuan itu Sheikh Hasina melahirkan perasaan berpuas hati dengan hubungan dua hala dan perdagangan yang memihak Malaysia melalui pelaburan syarikat Malaysia di Bangladesh.