Followers

Thursday, November 18, 2010

BAKTI rai 300 anak yatim, warga emas, OKU

PETALING JAYA: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, bersama-sama anggota Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) hari ini meraikan 300 orang anak yatim, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di sebuah hotel di Subang Jaya.
Rosmah yang juga Yang Dipertua BAKTI turut menyampaikan sumbangan sejumlah RM125,000 kepada 25 rumah kebajikan dengan setiap rumah kebajikan menerima RM5,000, selain cenderahati kepada golongan yang tidak bernasib baik, sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan Deepavali.
Antara rumah kebajikan yang terbabit ialah Rumah Kebajikan Karunai Illam, Tara Foundation, Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah, Malaysian Mental Health Association, Persatuan Sindrom Down Malaysia, Yayasan Bestari, Rumah Penyayang Tun Abdul Razak Pekan, Pahang, Persatuan India Muar, Johor, Pusat Dakwah Jeli, Kelantan dan The Chik Sin Thong, Pahang.
Turut hadir, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, dan Ahli Kehormat BAKTI, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. - BERNAMA

Seorang maut, dua cedera dalam kemalangan

KINABATANGAN: Seorang maut dan dua lagi cedera selepas terlibat dengan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 68 Jalan Sandakan-Lahad Datu, pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Deputi Superintenden (DSP) Jaini Abdul Kadir berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Myvi dikenalpasti sebagai Nursia Yusof, 24, berasal dari Tawau meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu kereta jenis Proton Waja yang cedera parah di bahagian kaki dikenali sebagai Mohd Yasin Patongi, 43, dan seorang lagi pemandu kereta jenis Kembara (identiti belum dikenalpasti) hanya mengalami kecederaan ringan.

”Dalam kejadian 10.50 pagi itu, mangsa yang maut dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Kinabatangan menuju ke Sandakan sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Kembara dari arah bertentangan.

”Kereta mangsa kemudian berpusing semula ke arah kiri jalan sebelum sebuah kereta jenis Proton Waja dari arah Kinabatangan-Sandakan melanggar kereta mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, kelmarin.

Jaini berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Daerah Kinabatangan untuk dibedah siasat dan dua lagi yang mengalami kecederaan turut dihantar ke hospital terbabit untuk menerima rawatan.

Katanya, pihaknya menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan itu di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalanraya agar lebih berhati-hati ketika memandu bagi mengelak kejadian tidak diingin berlaku.

Nicol, Wee Wern ke suku akhir skuasy

GUANGZHOU 18 Nov.- Pemain skuasy wanita nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David dan Low Wee Wern melangkah mara ke peringkat suku akhir dalam acara perseorangan wanita skuasy kejohanan Sukan Asia ke-16 di sini hari ini.

Selepas memenangi kejohanan Qatar Classic minggu lepas, Nicol, 26, mengambil masa hanya 26 minit untuk menewakan pemain Korea Selatan Park Eun Ok, 11-3, 11-7 dan 11-6 untuk mara ke peringkat suku akhir.

"Eun Ok bermain dengan baik berbanding sebelum ini, persembahannya semakin mantap dan saya terpaksa bekerja keras untuk mengutip mata. Ia perlawanan yang cukup baik," kata Nicol kepada pemberita selepas menamatkan perlawanan di Asian Games Town Gymnasium, hari ini.

Dalam pertembungan suku akhir nanti beliau akan berentap dengan pemain dari India Dipika Rebecca Pallikal, yang terdahulu menewaskan pemain tuan rumah Gu Jinyue dengan straight set 11-4, 12-10 dan 11-1 dalam masa 23 minit.

Dalam pertemuan di Terbuka Chennai Mac lepas Nicol menewaskan pemain India itu 3-0. - Bernama

Anwar hina tanah air sendiri - Tun Abdullah

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan Malaysia sebuah negara Islam moden sebagai satu penghinaan terhadap tanah air sendiri.

"Mengapa jadi penghinaan? Dia (Anwar) yang menghina, sebab itu dia kata itu penghinaan. Mungkin sudah ada dalam fikiran dia yang kita ini hina...kita tak dapat terima pandangan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdullah diminta mengulas mengenai kenyataan ketua pembangkang itu bahawa pengiktirafan yang diberi oleh negara asing terhadap kemajuan Malaysia sehingga dianggap sebagai sebuah negara Islam moden adalah satu penghinaan.

Anwar berkata demikian semasa ditemu bual oleh Sky News Australia dua hari lepas, dalam usahanya mencari sokongan antarabangsa selepas cubaan terdahulu untuk meraih sokongan Amerika Syarikat berhubung pertuduhan liwat yang sedang dihadapinya, gagal. - Bernama

AS mahu kerjasama banteras pemerdagangan manusia

PUTRAJAYA 18 Nov.- Amerika Syarikat mengharapkan kerjasama lebih rapat dengan Malaysia bagi membanteras aktiviti pemerdagangan manusia, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya, harapan itu disuarakan oleh Duta Amerika yang bertanggungjawab bagi Membanteras Pemerdagangan Manusia, Luis CdeBaca, yang mengadakan pertemuan dengannya hari ini.

"Malah mereka meminta saya melawat Amerika tahun depan agar mereka dapat tunjukkan bagaimana cara mereka menangani masalah ini," katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu di sini.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak akan ke negara itu selagi kedua-dua pihak belum memutuskan perkara-perkara asas bagi memeterai apa-apa kerjasama konkrit kerana menurutnya, "apa yang diputuskan nanti perlu ada keadaan menang-menang di mana Malaysia turut mendapat manfaat daripada hubungan itu".

Sementara itu CdeBaca berkata jenayah pemerdagangan manusia boleh disamakan dengan "perhambaan zaman moden".

Menurutnya, kerajaan Amerika memberikan komitmen untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi membanteras aktiviti keji itu, yang menyaksikan manusia diberikan layanan yang amat buruk, sama ada sebagai pelacur atau buruh paksa.

"Kami berbincang mengenai pelbagai cara bagi Malaysia untuk bekerjasama sebagai satu pasukan dalam meyiasat siapa yang menjadi dalang kegiatan ini yang menjadikan mangsa sebagai hamba, memindahkan mangsa dan mendedahkan mereka kepada eksploitasi; di samping mengkaji bagaimana cara membanteras masalah ini yang turut wujud di Malaysia dan Amerika," katanya.

CdeBaca berkata, Amerika komited untuk bekerjasama dengan semua negara di seluruh dunia, sekaligus menjanjikan kebebasan diberikan kepada semua sebagaimana yang dijamin bukan sahaja oleh Amerika, tapi juga oleh Artikel 4 Deklarasi Sejagat mengenai hak asasi manusia. - Bernama

Bantuan pemulihan disalur jika tiada banjir kedua

TANJONG KARANG 18 Nov. - Bantuan pemulihan kepada petani di Perlis dan Kedah yang terlibat dalam bencana banjir baru-baru ini akan diberi apabila kerajaan pasti bencana alam itu tidak akan melanda negeri terbabit buat kali kedua.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, pihaknya telah mencadangkan pemberian bantuan itu tetapi Kabinet berpendapat ia perlu dikaji terlebih dahulu bagi memastikan gelombang kedua banjir tidak melanda kedua-dua negeri itu.

"Kabinet berpendapat bantuan yang kita berikan kelak tidak akan bermakna jika betul gelombang banjir kedua akan melanda Perlis dan Kedah. Peruntukan sudah ada dan hanya menunggu kepastian bahawa negeri-negeri itu tidak akan dilanda banjir buat kali kedua.

"Sekiranya kita dapat kepastian ia tidak akan berlaku, kita akan terus salurkan bantuan," katanya di sini hari ini.

Noh berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar hari ini yang memetik permintaan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi Perlis, Sabry Ahmad supaya kementerian mempercepatkan bantuan pemulihan kepada petani yang sawah mereka ditenggelami banjir untuk membolehkan tanaman semula padi dibuat akhir bulan ini. - Bernama

BN kekal konsep pemuafakatan

PUTRAJAYA 18 Nov. - Barisan Nasional (BN) akan terus mengamalkan konsep pemuafakatan dan tidak bercadang membuat perubahan besar dalam soal memilih calon untuk pilihan raya akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN mempunyai kata pemutus dalam proses pemilihan calon, rundingan dan perbincangan sentiasa diadakan dengan pemimpin parti-parti komponen BN.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berpendapat, perkara itu bukan sesuatu yang penting untuk dibincangkan pada Konvensyen BN pada 28 November ini.

"Saya tidak fikir itu satu mauduk (tajuk) yang sangat penting untuk dibincangkan di situ (Konvensyen BN) kerana kita sudah wujud satu mekanisme dan tradisi yang masih baik.

"Saya tidak lihat (perlu) satu perubahan besar dalam soal memilih calon. Yang pentingnya, mesti ada konsep musyawarah sebelum kita capai kata putus yang biasanya dibuat oleh Pengerusi BN," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet mengenai pembangunan modal insan di sini hari ini. - Bernama

Perdagangan Malaysia-India berganda

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Perdagangan antara Malaysia dan India dijangka berganda menjelang 2015 berikutan pelbagai perjanjian penting dimeterai antara kedua-dua negara.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, antaranya ialah Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif, beberapa memorandum persefahaman dalam bidang pelancongan, teknologi maklumat dan perkhidmatan, perubatan tradisional serta dalam kerjasama penyelidikan dan pembangunan.

"Langkah penting ini akan memberi kesan ketara dalam peningkatan perdagangan dan aliran masuk pelaburan antara Malaysia dan India.

"Kami yakin hubungan antara negara dan negara akan dapat dilihat dengan ketara dan lebih meluas dengan banyak inisiatif mula berlaku dan menjana hasil," katanya semasa berucap pada Persidangan TiE Asia-Pasifik 2010 di sini hari ini.

Najib berkata, kerajaan Malaysia telah memulakan langkah menyediakan peluang unik untuk perniagaan mengakses pasaran kewangan dan modal memandangkan kerajaan menyedari bagi usahawan untuk berjaya, mengakses kepada pembiayaan dan modal yang mencukupi adalah penting.

Beliau berkata, Bursa Malaysia bekerjasama dengan The Indus Entrepreneurs (TiE) bagi menggalakkan lebih banyak perniagaan India dan bukan penduduk untuk memanfaatkan peluang pasaran modal Malaysia boleh tawarkan. - Bernama

5 maut dalam serangan ke atas lapangan minyak firma Perancis

LAGOS, Nigeria: Lelaki bersenjata membunuh lima orang yang mengawal lapangan minyak di pesisir yang diusahakan firma Perancis, Perenco SA, di Cameroon.
Serangan lewat malam Selasa itu dilancarkan ketika sebuah kapal yang beroperasi di lapangan minyak dekat perairan Nigerian.
Bagaimanapun, tiada kumpulan militan dari negara terbabit yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Serangan itu membunuh tiga askar Cameroon dan dua kontraktor keselamatan Cameroon yang mengawal lapangan minyak itu.

“Perenco kini memberikan segala sokongan yang mampu kepada pihak berkuasa the Cameroon dalam kala duka ini dan akan memberikan maklumat lanjut pada masa yang sesuai," menurut kenyataan syarikat itu.

Teluk Guinea yang kaya dengan minyak kini menjadi sasaran serangan lanun, kebanyakan dari Nigeria dan Cameroon.

Sementara itu, militan dari Nigeria melancarkan siri serangan baru sejak beberapa hari lalu dengan menyerang dua lapangan minyak di pesisir dan menculik sekurang-kurangnya 14 pekerja, termasuk tujuh rakyat asing. - AP

Hong Kong sahkan kes selesema burung pertama sejak 2003

HONG KONG: Hong Kong mengesahkan kes selesema burung pertamanya dalam tempoh tujuh tahun dengan mangsa seorang wanita berusia 59 tahun dalam keadaan serius selepas pulang daripada lawatan di China. - AFP