Followers

Tuesday, August 10, 2010

Penggunaan simbol 1Malaysia perlu ikut garis panduan: PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata tidak ada sekatan untuk menggunakan "1Malaysia" selagi ia mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

"Pertamanya, sesiapa yang mahu menggunakan simbol (logo) 1Malaysia, mesti menggunakan rekaan logo rasmi.
"Ini bermakna bentuk dan saiz huruf 1Malaysia mesti digunakan dan perkataan 'Malaysia' di masukkan di bahagian bawah.
"Nombor '1' boleh diisi dengan logo syarikat dan stail lain yang serupa. Semua itu dibenarkan," katanya dalam jawapan kepada soalan yang dikemukakan oleh Asman dalam blognya www.1Malaysia.com.my.

Soalan Asman ialah: "Saya ingin bertanya tentang penggunaan nama 1Malaysia. Sempena 1Malaysia diwujudkan, kawan saya telah menggunakan nama 1Malaysia untuk membuat satu permainan online. Adakah ini dibenarkan?"

Najib juga meminta penggunaan "1Malaysia" memenuhi aspirasi nilai-nilai 1Malaysia.

"Sebagai contoh, sesuatu produk atau perkhidmatan perlu berkualiti, dan mewakili ciri-ciri positif. Selain daripada itu, jika ia untuk nama syarikat, nama '1Malaysia' perlu didaftarkan dengan Pendaftar Syarikat," katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau berharap "1Malaysia" digunakan dalam bentuk yang mencerminkan semua nilai baik yang beliau sebutkan itu, termasuk kecekapan, kecemerlangan, meritokrasi dan banyak lagi.

"Agar '1Malaysia' tidak disalah guna, tetapi sebaliknya dicirikan melalui lakaran mahupun semangat," katanya. - BERNAMA

Dunia hormati bahasa Melayu jika Malaysia berjaya: Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata bahasa Melayu akan hanya dihormati oleh dunia jika Malaysia mampu mencapai tahap kejayaan lebih tinggi.
Beliau berkata, untuk membina sebuah negara yang lebih unggul, rakyat Malaysia terlebih dulu perlu berfikiran terbuka untuk menggunakan teknologi bagi mendapatkan pengetahuan dan maklumat dalam pelbagai bahasa, terutama bahasa Inggeris, sebelum Malaysia dapat meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengetahuan dan dihormati di mata dunia.
"Walaupun kita mahu berbangga dengan bahasa kita sendiri, kita perlu sedar yang orang lain mungkin tidak melihatnya sebagai penting untuk mempelajari bahasa ini jika ia dilihat tidak berguna kepada mereka.
"Untuk membolehkannya (untuk bahasa kebangsaan diiktiraf), Malaysia perlu berjaya dan perlu mempunyai akses kepada pengetahuan, yang kebanyakannya terdapat dalam bahasa Inggeris...dengan itu baru orang lain akan belajar bahasa kita," katanya ketika menyampaikan syarahan umum mengenai impak teknologi ke atas masa depan pengajian tinggi sempena ulang tahun ke-10 Universiti Terbuka Malaysia (OUM) di sini, hari ini.

Dr Mahathir mengulangi pendiriannya bahawa belajar bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa lain bukan bermakna seseorang itu tidak cintakan bahasa ibunda.

"Belajar bahasa Inggeris bukan bermakna kita tidak patriotik. Kita belajar bahasa-bahasa lain untuk mendapatkan pengetahuan kerana kita mahu dihormati...apabila kita berpengetahuan, kita boleh gunakannya untuk memperbaiki diri sendiri, tidak kira ianya dalam apa juga bahasa," katanya.

Memberikan contoh orang Greek, China dan Arab, Dr Mahathir berkata, mereka sudah sampai ke tahap tinggi, lebih ramai orang berminat mempelajari bahasa mereka, khususnya untuk memahami tamadun mereka.
"Dalam dunia sekarang, pendidikan adalah faktor paling penting dalam membina sebuah negara berjaya," katanya.

Beliau menggesa penuntut institusi pengajian tinggi menjadi lebih kreatif dan memanfaatkan teknologi moden untuk membangunkan sistem lebih baik yang dapat memberi faedah kepada lebih ramai orang dengan akses lebih mudah kepada pengetahuan dan maklumat.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir melahirkan kebimbangan mengenai cadangan membenarkan mahasiswa terbabit dalam politik, di mana mereka mungkin mengabaikan pelajaran jika mereka menghabiskan terlalu banyak masa berpolitik.

Merujuk kepada pembabitan pemimpin sekarang dalam politik semasa menjadi penuntut, beliau berpendapat pembabitan mereka bukan dalam "politik sebenar" tetapi lebih kepada aktiviti mahasiswa.

Kerajaan semalam menyatakan kesediaan untuk mendengar pandangan semua pihak mengenai cadangan membenarkan mahasiswa aktif dalam politik. - Bernama

Bayi siap berbedak ditemui di Tampin

GEMAS: Seorang suri rumah menemui seorang bayi perempuan di hadapan rumahnya di Kampung Sungai Dua pagi tadi.

Bayi yang baru dilahirkan itu ditemui oleh Zaiton Tahir, 48, kira-kira 7.40 pagi.
"Saya melihat bungkusan berbalut kain batik di hadapan pintu saya. Bila saya periksa, ada bayi siap berbedak di dalamnya," katanya.
Bayi itu kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Air Kuning Selatan oleh seorang Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Bayi itu kini ditempatkan di Hospital Tampin.

Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Wooi Kooi Cheang, mengesahkan mengenai penemuan bayi itu dan siasatan sedang di jalankan.

Orang ramai ramai yang mengetahui atau mengesyaki ada wanita yang baru bersalin di kawasan mereka diminta menghubungi talian polis di nombor 06-4411221 atau 06-4411222. - BERNAMA

Syarikat tiada langkah halang aplikasi SMS disalah guna: Saksi

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu aplikasi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) yang digunakan untuk menghantar SMS ugutan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Terengganu terdedah kepada penyalahgunaan oleh pengguna.

Pemilik Syarikat Mobile Biz Network Sdn Bhd yang memiliki aplikasi perkhidmatan tersebut, Hazwan Abu Hassan berkata, pihaknya tidak mempunyai langkah untuk menghalang aplikasi berkenaan daripada disalahgunakan.
Katanya pengguna tidak perlu mendapatkan sebarang lesen daripada agensi tertentu seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengunakan aplikasi itu.
"Pengguna tidak perlu mengisi sebarang borang untuk mendapatkan identiti nama dan kata laluan bagi menggunakan aplikasi berkenaan," katanya semasa pemeriksaan balas pada perbicaraan Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir, iaitu Setiausaha Politik bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang dituduh menghantar ugutan jenayah menerusi SMS kepada tiga ADUN BN negeri itu.

Ahmad Ramzi didakwa atas empat tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS iaitu mengancam mendatangkan kematian ke atas ADUN Paka, Mohd Ariffin Abdullah jam 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E726 Kampung Kubang Parit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi ADUN, Abd Halim Jusoh (Permaisuri) dan Datuk Rosol Wahid (Ajil) antara 11.21 malam hingga 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.

Tertuduh turut didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan Internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga ADUN berkenaan.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun.

Ahmad Ramzi turut dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.

Ahmad Ramzi diwakili tiga peguam bela iaitu Datuk Hazman Ahmad, Mohd Noor Mahmood dan Rosli Abd Rahman manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Yusoff, Ooi Chooi Gaik dan Nur Azimul Azami.

Perbicaraan di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid bersambung 21 hingga 23 September ini. - BERNAMA

Larangan mahasiswa terbabit politik kekal: Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Larangan terhadap mahasiswa institusi pengajian tinggi daripada terbabit dalam politik kepartian kekal, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sini sebentar tadi.
Muhyiddin diminta mengulas cadangan supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda bagi membolehkan mahasiswa terbabit dalam politik kepartian.

Gempa bumi sederhana melanda utara Jepun

TOKYO: Gempa bumi pada ukuran 5.8 magnitud menggegarkan utara Jepun hari ini; tetapi tiada amaran tsunami dan laporan kerosakan diterima setakat ini.

Jabatan Kajiselidik Amerika Syarikat (USGS), berkata gempa bumi dasar laut yang berlaku pada jam 2.50 petang tadi dikesan di luar pesisir pantai Iwate, iaitu 515 kilometer utara Tokyo.
Katanya lagi, ia juga dikesan pada kedalaman kira-kira 21 kilometer.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan Agensi Meterologikal Jepun. - AFP

Tsunami kecil landa Kepulauan Vanuatu akibat gempa

SYDNEY: Tsunami kecil melanda pesisir pantai Vanuatu selepas gampa kuat berukuran 7.5 magnitud melanda negara di kepulauan Pasifik Selatan itu tengah hari tadi.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata, tsunami (ombak) berukuran 22 sentimeter (9 inci) melanda di pesisir pantai ibu negara Port Vila selepas gempa berukuran 7.5 magnitud menggegarkan bangunan dan memutuskan bekalan elektrik.
“Gempa yang berlaku agak kuat dan kami masih berasa gegaran susulannya," kata Pesuruhjaya Tinggi New Zealand kepada AP.
Gempa melanda jam 4.23 petang waktu tempatan (1.23 tengah hari Malaysia), di 40 kilometer di barat daya Port Vila dan di kedalaman 35 kilometer, menurut Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Bangunan yang menempatkan pejabat dan kediaman pesuruhjaya Tinggi New Zealand antara yang mengalami kerosakan teruk akibat gempa berkenaan.

Perhubungan telefon juga terputus di Port Vila serta beberapa kawasan masih lagi terputus bekalan elektrik. - AFP

Malaysia patut bangunkan 'Gold Souk' sendiri: Muhyiddin:

KUALA LUMPUR: Malaysia patut membangunkan 'Gold Souk' sendiri, kawasan serupa Gold Souk di Dubai, untuk merancakkan industri pelancongan negara dan menjadikan Malaysia sebagai syurga beli-belah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kawasan sebegitu akan membantu mempromosikan serta menarik pengunjung tempatan dan antarabangsa untuk membeli dan menghargai barangan kemas tempatan dan industri batu permata.
Muhyiddin berkata dengan memanfaatkan aset terkemuka seperti Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), The Mall dan Hotel Seri Pacific serta bangunan-bangunan warisan berdekatan, konsep baru pelanggan berasaskan perniagaan boleh dibangunkan untuk menjadi satu lagi tarikan utama di negara ini.
"Berdasarkan pemerhatian saya, semasa saya dalam perjalanan ke hotel ini, saya lihat terdapat potensi besar untuk memanfaatkan nilai yang ada di kawasan ini.

"Konsep yang terlintas di fikiran ialah (termasuk) pembangunan Gold Souk Malaysia sendiri, kawasan yang serupa dengan Gold Souk di Dubai," katanya semasa melancarkan penjenamaan semula Hotel Seri Pacific dan program amal 1Malaysia Seri Pacific di sini hari ini.

Dubai Gold Souk atau Gold Souk ialah pasar tradisional di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu. Ia terletak di tengah-tengah pusat perniagaan komersil Dubai iaitu di Deira, dalam daerah Al Dhagaya.

Terdapat lebih 300 peniaga di Souk yang berniaga barangan kemas secara eksklusif.
Muhyiddin berkata bagi setiap inisiatif, tidak mengira kecil atau besar, adalah amat penting untuk merancakkan pertumbuhan industri pelancongan kerana sektor itu telah dimasukkan dalam senarai 12 sektor yang dikenal pasti dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di bawah Rancangan Malaysia Ke-10.

Katanya satu lagi konsep yang sesuai ialah termasuk menyediakan kawasan khas untuk perniagaan antarabangsa, organisasi, dewan perniagaan serta wakil perdagangan antarabangsa, yang terletak dalam atau berdekatan dengan PWTC untuk mereka mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

"Bagaimanapun, untuk merealisasikan pembangunan ini, isu utama yang sentiasa ditekankan oleh kerajaan seperti kebersihan sungai, logistik yang mesra pejalan kaki, serta penyelenggaraan dan pemodenan bangunan-bangunan sedia ada, perlu dilaksanakan dengan lebih serius lagi," katanya. - BERNAMA

Malaysia akan punyai model gaji minimum sendiri: Subramaniam

SHAH ALAM: Malaysia akan mempunyai model gaji minimum sendiri berdasarkan kepada situasi dan keperluan pekerja di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata model berkenaan akan mengambil kira faktor sektor, nasional dan serantau selain akan ada sektor tertentu yang mungkin tidak akan dimasukkan dalam model berkenaan.
Katanya, pungutan data mengenai gaji miniman di setiap sektor pekerjaan di negara ini sudah dibuat dan kementeriannya akan berjumpa dengan wakil setiap sektor untuk berbincang sebelum kertas Kabinet disediakan dan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri Oktober ini.

Bayi baru lahir ditemui di Rumah Mesra Rakyat

GEMENCHECH: Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui penduduk di kawasan Rumah Mesra Rakyat Kampung Sungai Dua, di sini dekat Tampin kira-kira jam 7.40 pagi tadi.

Gempa sederhana 5.2 magnitud landa Tonga

WELLINGTON: Gempa berukuran 5.2 magnitud melanda ibu negara Tonga awal pagi ini tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa sederhana itu berpusat di timur Nuku’alofa, ibu negara Tonga di Kepulauan Pasifik jam 9.25 pagi waktu tempatan (2025 GMT) di kedalaman 27 kiloemter, lapor Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS). Pada September 2009 lalu, sembilan orang terkorban selepas tsunami melanda utara Tonga di Kepulauan Niuatoputapu berikutan gempa berukuran 8.0 magnitud.

Tsunami berkenaan turut meragut nyawa 143 penduduk di Samoa manakala 34 lagi di kepulauan jirannya, Amerika Samoa. - AFP