Followers

Tuesday, December 22, 2009

Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia dilancar 3 Januari

KUALA LUMPUR: Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia bagi golongan yang bekerja sendiri dan mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap bulanan akan dilancarkan pada 3 Januari tahun depan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dalam satu kenyataan hari ini berkata simpanan di bawah skim itu akan menerima dividen tahunan yang diisytiharkan oleh KWSP, sebagai tambahan kepada 5.0 peratus sumbangan dari kerajaan (terhad kepada maksimum RM60 setahun bagi tempoh lima tahun akan datang).

Tidak seperti skim simpanan KWSP yang biasa, jumlah caruman ke dalam Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia adalah bergantung kepada tahap kemampuan pencarum sepenuhnya.

Pencarum boleh memilih untuk mencarum minimum RM50 atau maksimum RM5,000 sebulan sebagai simpanan persaraan masing-masing.

KWSP berkata, simpanan di bawah skim itu juga boleh dikeluarkan tertakluk kepada syarat dan prosedur semasa pengeluaran KWSP.

Mereka yang berminat memohon skim itu boleh mengisi borang KWSP 16G(1M) yang boleh diperolehi di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara atau memuat turun dari laman web www.kswp.gov.my.

Bagaimana pun, individu yang belum menjadi ahli KWSP perlu terlebih dahulu mengisi borang KWSP 3 dan mengemukakannya kepada KWSP sebelum memohon menyertai skim ini. - Bernama

6,600 pelajar terpilih ke tingkatan satu SBP

KUALA LUMPUR: Hanya 6,600 pelajar daripada 95,286 permohonan terpilih untuk meneruskan pengajian mereka ke Tingkatan Satu sekolah berasrama penuh (SBP) bagi tahun 2010.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata pengumuman mengenai mereka yang berjaya itu akan dibuat esok.

"Semakan dan keterangan lanjut mengenai kemasukan ini boleh dibuat secara dalam talian dengan melayari laman web www.moe.gov.my, manakala bagi yang tidak berjaya mendapat tempat, mereka boleh membuat rayuan secara dalam talian di e-rayuan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, tempoh rayuan adalah 20 hari, bermula esok hingga 12 Januari, namun keputusan rayuan tertakluk kepada kekosongan tempat yang ada setelah proses pendaftaran murid yang menerima tawaran dibuat pada 11 Januari.

Seramai 517,908 murid darjah enam menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, dan daripada jumlah itu seramai 48,171 berjaya memperoleh A bagi setiap mata pelajaran yang diambil. - Bernama

Tenaga elektrik Bakun tak disalur ke Sabah kerana kos tinggi

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk tidak menyalurkan bekalan elektrik dari projek hidroelektrik Bakun ke Sabah disebabkan oleh kos yang tinggi, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon, berkata kos yang tinggi itu disebabkan permintaan bekalan elektrik yang rendah di Sabah iaitu dalam lingkungan 300 megawatt sahaja.

"Sebaliknya, pembinaan stesen janakuasa yang lebih efektif dari segi kos adalah lebih wajar dipertimbangkan bagi memenuhi permintaan elektrik di Sabah khususnya di Pantai Timur," katanya menjawab soalan Senator Datuk Maijol Mahap.

Noriah berkata pembinaan talian penghantaran yang jauh dari projek hidro elektrik Bakun ke Sabah serta melalui kawasan yang mempunyai muka bumi yang mencabar, turut memberi impak terhadap kos penyaluran bekalan elektrik dari projek itu ke Semenanjung.

Beliau berkata ia juga satu daripada perancangan jangka panjang bagi memenuhi keperluan bekalan elektrik di Semenanjung serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

"Pada masa ini, bahan api fosil membekalkan lebih daripada 90 peratus keperluan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kebergantungan yang begitu besar kepada bahan api fosil akan mendedahkan Semenanjung kepada risiko perbekalan serta harga bahan api yang tidak menentu sekaligus boleh menjejaskan keselamatan bekalan elektrik bagi Semenanjung.

Noriah berkata, dalam perancangan pembangunan tenaga elektrik berasaskan sumber hidro bagi negeri Sabah, kerajaan telah mengenal pasti dua stesen janakuasa hidro yang berpotensi iaitu di Ulu Padas dan Liwagu sebagai satu daripada usaha untuk mengatasi masalah bekalan elektrik di negeri itu. - Bernama

Tiada cadangan perkenal skim pinjaman buku teks di IPT

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi tidak bercadang untuk mewujudkan Skim Pinjaman Buku Teks seperti di sekolah menengah dan rendah kepada penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT).

Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata ini kerana senario pelajaran dan pembelajaran di IPT berbeza dengan di sekolah.

"Penggunaan kaedah pelajaran dan pembelajaran di IPT yang berasaskan teori dan praktikal, kajian kes dan pembelajaran secara berkumpulan memerlukan sumber rujukan yang lebih meluas dan tidak terhad kepada sesebuah buku rujukan sahaja.

"Justeru, istilah buku teks jarang digunakan di IPT," katanya menjawab soalan Senator Datuk Saripah Aminah Syed Mohamed pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Saifuddin berkata, di samping itu kerajaan menyediakan kemudahan perpustakaan yang mencukupi di IPT untuk rujukan sama ada berbentuk buku ataupun bahan-bahan bacaan termasuk secara atas talian.

"Ini memberikan peluang secukupnya untuk pelajar membuat rujukan dalam pelajaran dan pembelajaran mereka di IPT," katanya. - Bernama

Media Malaysia lapor isu Malaysia-Indonesia dengan baik: Kohillan

KUALA LUMPUR: Meskipun segelintir pihak cuba mensensasikan beberapa isu yang timbul antara Malaysia dan Indonesia, media di negara ini tetap melaporkan isu-isu berkenaan dengan baik.

Timbalan Menteri Luar, A Kohillan Pillay, berkata media Malaysia tidak mengikut rentak media Indonesia dalam melaporkan isu-isu kecil seperti tarian Pendet.

"Syabas media Malaysia sebab main muziknya dengan baik jika dibandingkan dengan media Indonesia," katanya pada persidangan Dewan Negara di sini, hari ini bagi menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin mengenai sama ada kerajaan berhasrat mewujudkan jawatankuasa khas dari kedua-dua negara untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan.

Kohillan berkata, kedua-dua negara telah menubuhkan Kelompok Tokoh-tokoh Kenamaan (EPG) pada tahun lepas, selain kunjungan pemimpin ke negara itu bagi mengeratkan hubungan.

Bagaimanapun, katanya, selain usaha berkenaan, media tetap memainkan peranan penting bagi meredakan masalah berkenaan.

Menjawab soalan Senator Abdul Rahman Bakar mengenai usaha terkini kerajaan bagi menyemarakkan keakraban dan setia kawan antara Malaysia dan Indonesia, Kohillan berkata, kementerian itu akan meneruskan formula terbaik bagi mencari alternatif dan strategi yang berkesan.

"Dalam hal ini saluran rasmi diplomasi seperti rundingan tahunan, mesyuarat Suruhanjaya Bersama, mesyuarat Jawatankuasa Sosio Ekonomi dan mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama digunakan untuk mencari penyelesaian tuntas bagi setiap isu," katanya.

Kohillan berkata, kementerian juga bekerjasama dengan pejabat perwakilan Malaysia di Indonesia dan badan bukan kerajaan untuk mengadakan program sosial dan budaya serta mengambil maklum pandangan dan cadangan menteri-menteri, tokoh-tokoh terkemuka dan ahli Parlimen. - Bernama

Model Ekonomi Baru Malaysia diminati pelabur Jepun

KUALA LUMPUR: Masyarakat perniagaan Jepun berminat mendapatkan maklumat penuh Model Ekonomi Baru Malaysia dan kemajuan yang dicapai di pelbagai koridor ekonomi, terutama Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak.

Perkara itu dinyatakan pada temu bual oleh Nikkei Business Jepun bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menjelaskan kepada majalah mingguan itu mengenai perancangan umum untuk meningkatkan ekonomi negara kepada pendapatan lebih tinggi berbanding status ekonomi pendapatan sederhana tinggi sedia ada.

Kerajaan sudah merangka Model Ekonomi Baru berasaskan inovasi, kreativiti dan sumber pertumbuhan bernilai tinggi, katanya.

"Model ini bertujuan mengalihkan pergantungan kami daripada sektor pembuatan yang menggunakan tenaga pekerja separuh mahir dan berkos rendah kepada sektor yang memberi tumpuan terhadap perkhidmatan moden dan teknologi tinggi yang bergantung kepada pekerja mahir dan berpendapatan tinggi," katanya pada temubual sejam itu.

"Bagi merealisasikannya, kami perlu meningkatkan pelaburan dalam pembangunan modal insan dan membangunkan asas yang kukuh dalam penyelidikan dan pembangunan, reka cipta dan kejuruteraan dan mengkomersilkan aktiviti penyelidikan," katanya.

Bagi pembangunan koridor, beliau berkata, ia bertujuan menyebar luas pembangunan ekonomi di seluruh negara dengan tumpuan khusus.

"Pembangunan koridor berjalan lancar. Ada yang bergerak lebih cepat berbanding yang lain," katanya dan menambah, Iskandar Malaysia memperoleh pelaburan besar, terutama dari Timur Tengah.

Mengulas pertemuannya bersama tokoh-tokoh industri di Tokyo dan Osaka ketika misi pelaburan khusus dari 7 hingga 10 Disember, Muhyiddin berkata pertemuan terbabit "aktif dan membuahkan hasil".

"Kami berbincang mengenai pelbagai bidang kepentingan bersama serta insentif. Kami juga berbincang cara syarikat, seperti Toyota dapat membantu Malaysia meningkat ke hadapan dalam industri automotif."

Pada asasnya, beliau berkata, pelabur Jepun tidak sekadar berminat membuat pelaburan sekali di Malaysia, malah meluaskannya berdasarkan potensi yang boleh ditawarkan pada masa depan.

Muhyiddin berkata, ia adalah peluang untuk beliau menjelaskan dasar kerajaan Malaysia kepada masyarakat perniagaan Jepun.

Pada temubual itu, Nikkei Business juga meminta Muhyiddin mengulas perniagaan halal dan potensinya, sambil berkata, pelabur Jepun juga berminat dalam bidang itu.

"Malaysia sudah berjaya sebagai negara Islam paling maju dalam penetapan standard Halal, yang sangat ketat," katanya.

Beliau menjelaskan bagaimana makanan, produk dan perkhidmatan boleh dilabel sebagai halal.

"Kami yakin terdapat potensi besar, terutama dalam farmaseutikal dan kosmetik," katanya.

Sektor lain kepentingan bersama ialah kewangan dan perbankan Islam serta pelancongan.

Pelaburan Jepun di Malaysia melonjak kepada AS$1.87 bilion antara Januari dan September menerusi 45 projek yang diluluskan, menjadikannya pelabur asing terbesar di Malaysia.

Tahun lalu, jumlah pelaburan dari Jepun bernilai AS$1.6 bilion menerusi 60 projek yang diluluskan.

Setakat ini, terdapat 2,260 projek dengan penyertaan Jepun yang dilaksanakan dalam sektor pembuatan di Malaysia, dengan pelaburan bernilai AS$14.9 bilion.

Sejak lima tahun lalu, dagangan Malaysia dengan Jepun merekodkan aliran meningkat.

Tahun lepas, jumlah dagangan Malaysia dengan Jepun bernilai AS$41.1 bilion, dengan eksport AS$21.6 bilion dan import AS$19.5 bilion.

Jepun adalah pasaran eksport ketiga besar Malaysia tahun lepas dan sumber import kedua terbesar Malaysia.

Eksport utama Jepun ialah gas asli cecair, peralatan elektrik dan elektronik, produk kayu, produk kimia dan berasaskan kimia, perkakasan optik dan saintifik.

Import utama Malaysia dari Jepun pula membabitkan produk elektrik dan elektronik, mesin, alat ganti, produk fabrikasi, perkakasan pengangkutan, besi dan keluli. - Bernama

Had usia bas sekolah dilanjut sehingga 30 tahun

KUALA LUMPUR: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bersetuju melanjutkan had usia kenderaan bas sekolah daripada 20 tahun kepada 30 tahun berkuatkuasa 1 Januari 2010.

Pengerusi LPKP, Datuk Halimah Mohamed Sadique, berkata berikutan itu, LPKP mewajibkan pengusaha bas sekolah sentiasa melakukan pemeriksaan kenderaan secara berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi memastikan keadaan fizikal bas adalah baik dan menjamin keselamatan penumpang.

"Pelanjutan had usia ini diharap dapat memberi peluang kepada pengusaha bas yang mempunyai kenderaan berusia lebih dari 20 tahun untuk terus beroperasi dan memastikan perkhidmatan kepada pelajar sekolah dapat disediakan.

"Ia juga dapat membantu pengusaha bas sekolah mendapatkan pulangan sewajarnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun penetapan had usia itu tertakluk kepada kelulusan Puspakom.

Beliau berkata, bagi permohonan lesen baru dan ganti kenderaan, had usia kenderaan yang dilesenkan hendaklah tidak melebihi 20 tahun daripada tarikh pendaftaran kenderaan. - Bernama

Gempa sederhana landa Luzon, Filipina

MANILA: Gempa sederhana berukuran 5.4 magnitud melanda Kepulauan Luzon, awal pagi ini, tetapi Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS) mengesahkan tiada ancaman tsunami akibat gempa itu.

Gempa melanda jam 3.59 pagi waktu tempatan (1959 GMT) itu berpusat di 47 kilometer (km) di barat daya Bandaraya Llagan di kedalaman kira-kira 10km.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii juga tidak mengeluarkan amaran tsunami.

Setakat ini belum ada laporan mengenai kerosakan serta kecederaan akibat gempa itu. - AFP