Followers

Wednesday, June 3, 2009

Sabah & Sarawak: Tarif air bagi Kota Belud paling rendah

kOTA KINABALU: Tarif air di Kota Belud yang ditetapkan pada 45 sen setiap satu meter padu adalah kadar terendah di Sabah berbanding 90 sen pada kuantiti sama di daerah lain.

Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan, Datuk Japlin Akim, berkata kadar itu sentiasa dipertahankan pihaknya walaupun Jabatan Bekalan Air Sabah bercadang menaikkan tarif berkenaan.

"Tarif air itu ditetapkan lebih 10 tahun lalu dan tidak berubah walaupun berlaku kenaikan di seluruh Sabah.

" Antara lain, ia berpunca daripada sumber air yang mudah diperoleh di Kota Belud berbanding daerah lain," katanya pada sesi dialog dengan penduduk Kampung Labuan dan Wakap, Kota Belud di sini, kelmarin.

Beliau menjawab soalan seorang penduduk Kampung Labuan, Datu Mustapha Ghairullah, mengenai ketiadaan bekalan air di kampung itu sejak 23 tahun lalu sedangkan mereka membayar sewa meter bekalan air.

Japlin berkata, masalah bekalan air bersih yang dihadapi penduduk Kota Belud dijangka berakhir tidak lama lagi dari sumber yang disalurkan menerusi Loji Pemprosesan Air Bersih Bayayat yang siap Disember lalu dan dibantu Loji Pemprosesan Air Bersih Kota Belud sedia ada.

Katanya, loji pemprosesan air bersih Bayayat dan Kota Belud mampu menghasilkan air pada kapasiti 33 juta liter sehari, berbanding permintaan 30 juta liter dalam tempoh itu yang dengan sendirinya mengatasi pergantungan kepada sumber air perigi tiub, perigi dan sungai di beberapa kampung.

Bagaimanapun, katanya, pengeluaran air dalam kapasiti tinggi gagal dimanfaatkan ketika ini berikutan masalah paip meliputi paip usang berusia lebih 30 tahun, saluran kecil dan kampung langsung tiada kemudahan itu.

"Ketika Jabatan Bekalan Air daerah menguji kedua-dua loji air berkenaan dengan kapasiti penuh, mereka mendapati banyak paip bocor kerana sudah usang dan perlu diganti.

"Kampung yang ada paip termasuk Kampung Labuan dan Wakap tiada masalah untuk mendapatkan bekalan air bersih tidak lama lagi," katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Najib Muntok memberi jaminan akan meminta Jabatan Bekalan Air Daerah menyiasat dakwaan penduduk Kampung Labuan dan Wakap yang hanya membayar sewa meter bekalan meter air tetapi tidak menikmati kemudahan berkenaan sejak dua dekad lalu.

0 comments: