Followers

Monday, July 6, 2009

Harry Potter 6 bakal 'meletup'

LONDON: Filem ke-6 Harry Potter yang dilancarkan untuk tayangan perdana di sini, esok, diramal mendapat sambutan hangat remaja di seluruh dunia.

Filem terbaru siri itu bertajuk Harry Potter and the Half-Blood Prince sepatutnya ditayangkan November tahun lalu tetapi syarikat Warner Brothers menundanya lapan bulan bagi mendapatkan sambutan yang biasanya lebih hangat pada musim panas.

Meskipun perubahan jadual itu mencetuskan kemarahan peminat Harry Potter, keputusan membahagikan cerita terakhir berdasarkan buku itu kepada dua filem menerima sokongan mereka.

Penulis J K Rowling menyiarkan buku terakhir siri Harry Potter bertajuk Harry Potter and the Deathly Hallows tahun lalu tetapi bagi pembikinan filem itu yang sudah meraih AS$4.5 bilion (RM15.75 bilion), tarikan siri itu akan berlanjutan hingga 2011.

Filem Harry Potter and the Half-Blood Prince mula ditayangkan di kebanyakan negara Eropah pada 15 Julai dan dua hari kemudian di Amerika dan Jepun. � AFP

343 pengidap H1N1 sudah sembuh: Liow

PUTRAJAYA: Jumlah pengidap Influenza A (H1N1) atau selesema babi di negara ini yang sudah sembuh ialah 343 orang berbanding 91 orang yang masih dirawat di hospital, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Jumlah yang sudah sembuh ini adalah tinggi, meskipun berlaku peningkatan kes yang mendadak," katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kontak yang sedang menjalani kuarantin berjumlah 1,016, namun tiada antara mereka yang mempunyai simptom H1N1.

Katanya, sebanyak 75 kes baru dilaporkan setakat 8 pagi tadi yang membabitkan 41 kes import dan 34 jangkitan tempatan.

Liow berkata, sembilan daripada 34 kes jangkitan tempatan berlaku di kalangan peserta Persidangan Farmaseutikal Asia Pasifik yang berlangsung di Pulau Pinang pada 27 hingga 30 Jun lalu.

Dengan 75 kes baru itu, ia menjadikan keseluruhan kes yang dilaporkan di negara ini setakat ini sebanyak 434 kes, katanya.

Sementara itu, seramai empat pelajar Sekolah Menengah Tsun Jin yang sedang dikuarantin disahkan positif H1N1, katanya. - Bernama

H1N1: USM nafi tutup sebuah pusat pengajian

GEORGETOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) menafikan bahawa ia akan menutup sebuah pusat pengajiannya berikutan wabak influenza A (H1N1).

Pemangku Naib Canselornya, Profesor Omar Osman, berkata pihaknya tidak menutup mana-mana pusat pengajian sebaliknya aktiviti dalam kampus termasuk proses pembelajaran berjalan seperti biasa.

"Keadaan di USM terkawal dan pelajar serta ibu bapa tidak perlu bimbang kerana kita sudah mengambil beberapa langkah berjaga-jaga selepas seorang peserta dari negara jiran yang menyertai Simposium Rantau Asia Pasifik (APPS 2009) anjuran Pusat Pengajian Sains Farmasi disahkan positif H1N1 baru-baru ini.

"Peserta berkenaan sudah dikuarantin di Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala 120 pelajar USM yang terbabit dalam simposium itu dihubungi untuk tidak kembali ke kampus dan mengadakan kuarantin di rumah bagi menanganinya," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini, kononnya USM akan menutup sebuah pusat pengajian berikutan terdapat peserta yang mengikuti simposium anjuran USM dijangkiti H1N1.

Omar berkata, kesemua penuntut yang terbabit dalam simposium itu diberikan kebenaran oleh USM untuk menyambung pengajian pada 13 Julai ini dan pihak universiti akan menyusun semula jadual pembelajaran bagi memenuhi keperluan kursus mereka.

"Proses pembelajaran di Pusat Pengajian Sains Farmasi berjalan seperti biasa dan hanya mereka yang terbabit saja diberikan penangguhan kelas sehingga 13 Julai ini," katanya.

Katanya, semua tindakan yang diambil USM adalah mengikut prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi memastikan tiada jangkitan berlaku di dalam kampus.

Selain itu, beliau berkata, pihak universiti juga membuka kaunter khas bagi memberi maklumat serta nasihat kepada penuntut termasuk menyediakan dua talian hotline 24 jam iaitu 04-6534948 dan 04-6534938 untuk sebarang pertanyaan berhubung wabak berkenaan.

"Universiti juga sudah mengeluarkan peringatan kepada seluruh warga kampus supaya berhati-hati dengan wabak ini serta menangguhkan perjalanan ke luar negara terutamanya ke negara-negara yang terbabit secara langsung," katanya. - Bernama

H1N1: 75 kes terbaru, 34 jangkitan tempatan

PUTRAJAYA: Sebanyak 75 kes terbaru selesema babi (H1N1) dilaporkan sehingga jam 8 pagi tadi, termasuk 41 kes import dan 34 jangkitan tempatan dikesan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu.

Sehingga kini, ia menjadikan kes terkumpul 434 di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata demikian di sini, hari ini.

Sabah&Sarawak: 164 terima bantuan JKM

Penerima tambahan kepada 589 yang dikesan menerusi Projek Cari

MENUMBOK: Seramai 164 anggota masyarakat di sini dipilih menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Projek Cari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, baru-baru ini.

Mereka adalah tambahan kepada 589 penerima sedia ada skim bantuan kementerian berkenaan melalui pembayaran bulanan yang dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata 164 penerima terbabit adalah keluarga miskin, warga tua, orang kurang upaya (OKU), ibu dan bapa tunggal serta pesakit kritikal yang memerlukan pembelaan.

"Penapisan yang dilaksanakan JPKA mendapati mereka layak menerima bantuan bulanan. Projek Cari adalah usaha kerajaan untuk memastikan golongan miskin dan kurang bernasib baik menerima pembelaan, sekurang-kurangnya RM300 sebulan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Hari Bertemu Pelanggan Sempena Bulan Kebajikan bersama penduduk daerah kecil Menumbok di Dewan Awang Semaun, di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu, John Teo Mau Sing dan Penolong Pengarah JPKA, Jais Asri. Daerah kecil Menumbok membabitkan mukim Menumbok, Kilugus dan Tanjung Aru.

Program itu memberi peluang kepada anggota masyarakat yang memerlukan bantuan mengemukakan permohonan dan jika memenuhi kriteria, ia akan diluluskan serta-merta.

Azizah berkata, Projek cari membuktikan keprihatinan Barisan Nasional (BN) memelihara keharmonian masyarakat dengan memastikan anggota masyarakat kurang bernasib baik menikmati pembangunan negara.

"Masalah rakyat adalah agenda utama sejajar konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diilhamkan oleh Perdana Menteri," katanya.

Azizah turut meluangkan masa melawat seorang pesakit, Mintri Robinson, 56, yang layak diberi bantuan bulanan RM300 melalui Skim Bantuan Pesakit Kronik dan Terlantar di Kampung Sikalong, di sini.

Sabah&Sawarak: Sedia pelan tangani tumpahan minyak KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Sabah dan Jabatan Alam

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Sabah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyediakan pelan menangani tumpahan minyak di perairan negeri ini berikutan peningkatan jumlah kapal dagang yang menggunakan perairan berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman, berkata bencana berkenaan boleh berlaku pada bila-bila masa sama ada akibat pelanggaran kapal atau kecuaian manusia dan memerlukan pelan pembersihan komprehensif.

“Kerajaan negeri bimbang bencana itu ia akan merosakkan kawasan perairan sensitif kerana kebanyakan perairan di negeri ini dikategorikan sebagai Taman Laut.

“Perairan Sabah berisiko tinggi menghadapi bencana tumpahan minyak kerana ia digunakan sebagai laluan kapal dagang. Jika bencana itu berlaku, ia memberi kesan buruk terhadap nelayan, industri pelancongan dan ekosistem marin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup latihan pembersihan pantai akibat tumpahan minyak peringkat negeri, di pantai Teluk Likas, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah JAS Sabah, Abdul Razak Manap dan Pengarah JPAS, Yabi Yangkat.

Sukarti berkata, persediaan bagi menghadapi kemungkinan bencana itu perlu dibuat secara rapi bagi memastikan semua tindakan mengawal bencana mampu diselaraskan.

“Usaha bersepadu menangani tumpahan minyak dan mengelakkan bencana itu adalah tanggungjawab semua pihak, termasuk syarikat swasta.

“Persediaan awal perlu kerana jika bencana ini berlaku, ia memberi kesan besar kepada ekonomi dan alam sekitar yang menyebabkan kerugian bernilai jutaan ringgit,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, JPAS dan JAS yang bertindak sebagai urus setia bencana tumpahan minyak peringkat negeri, harus mengadakan latihan pembersihan pantai dari semasa ke semasa.

Langkah itu penting bagi memastikan pegawai dan kakitangan kedua-dua agensi berkenaan mampu menggunakan peralatan dalam situasi sebenar.

Sabah&Sawarak: Sedia pelan tangani tumpahan minyak

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Sabah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyediakan pelan menangani tumpahan minyak di perairan negeri ini berikutan peningkatan jumlah kapal dagang yang menggunakan perairan berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sukarti Wakiman, berkata bencana berkenaan boleh berlaku pada bila-bila masa sama ada akibat pelanggaran kapal atau kecuaian manusia dan memerlukan pelan pembersihan komprehensif.

“Kerajaan negeri bimbang bencana itu ia akan merosakkan kawasan perairan sensitif kerana kebanyakan perairan di negeri ini dikategorikan sebagai Taman Laut.

“Perairan Sabah berisiko tinggi menghadapi bencana tumpahan minyak kerana ia digunakan sebagai laluan kapal dagang. Jika bencana itu berlaku, ia memberi kesan buruk terhadap nelayan, industri pelancongan dan ekosistem marin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menutup latihan pembersihan pantai akibat tumpahan minyak peringkat negeri, di pantai Teluk Likas, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah JAS Sabah, Abdul Razak Manap dan Pengarah JPAS, Yabi Yangkat.

Sukarti berkata, persediaan bagi menghadapi kemungkinan bencana itu perlu dibuat secara rapi bagi memastikan semua tindakan mengawal bencana mampu diselaraskan.

“Usaha bersepadu menangani tumpahan minyak dan mengelakkan bencana itu adalah tanggungjawab semua pihak, termasuk syarikat swasta.

“Persediaan awal perlu kerana jika bencana ini berlaku, ia memberi kesan besar kepada ekonomi dan alam sekitar yang menyebabkan kerugian bernilai jutaan ringgit,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, JPAS dan JAS yang bertindak sebagai urus setia bencana tumpahan minyak peringkat negeri, harus mengadakan latihan pembersihan pantai dari semasa ke semasa.

Langkah itu penting bagi memastikan pegawai dan kakitangan kedua-dua agensi berkenaan mampu menggunakan peralatan dalam situasi sebenar.

Sabah&Sarawak: Perlu bijak, kreatif cari peruntukan alternatif


JINAB yang ditemani Mohd Rashid merasmikan Hari Alam Sekitar dan Pelancaran Pusat Kitar Semula Taman Inanam Laut Fasa I dan II, Kota Kihabalu, semalam.

Ketua komuniti tidak harus desak harap wakil rakyat hulur bantuan

KOTA KINABALU: Ketua komuniti tidak harus hanya mengharapkan peruntukan wakil rakyat untuk menjalankan kegiatan kemasyarakatan, terutama membabitkan aspek kebersihan di kawasan masing-masing, sebaliknya harus kreatif mendapatkan peruntukan alternatif.

Pengerusi jawatankuasa penduduk taman perumahan, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ketua kampung harus bijak berusaha mendapatkan bantuan peruntukan daripada pelbagai agensi kerajaan yang sedia membantu menjayakan program berkaitan kebersihan.

Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Jainab Ahmad, ketika menekankan aspek itu, berkata wakil rakyat mempunyai peruntukan terhad dan tidak mampu disalurkan untuk pembangunan di semua kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen.

"Janganlah asyik mendesak wakil rakyat menyediakan peruntukan. Saya faham, anggota masyarakat mahukan wakil rakyat membantu menyediakan peruntukan. Bagaimanapun, peruntukan Adun dan Ahli Parlimen terhad dan tidak mencukupi.

"Oleh itu, kita sebagai ketua komuniti mesti bijak mencari peruntukan. Kerajaan mempunyai pelbagai agensi yang sedia membantu jika kita memohon peruntukan," katanya ketika berucap merasmikan Hari Alam Sekitar dan Pelancaran Pusat Kitar Semula Taman Inanam Laut Fasa I dan II, Inanam, di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Penduduk taman berkenaan, Mohd Rashid Mohd Tahir.

Dengan mengambil contoh kebijaksanaan jawatankuasa penduduk taman itu, Jainab yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai, berkata usaha jawatankuasa berkenaan harus dipuji kerana kreatif dalam usaha mendapatkan peruntukan membina pusat kitar semula.

"Mohd Rashid dan ahli jawatankuasanya memohon mendapatkan peruntukan daripada agensi kerajaan untuk menyediakan pusat kitar semula. Saya memuji kebijaksanaan mereka. Saya harap ketua komuniti dalam DUN Karambunai ini mencontohi usaha ini," katanya.

Jainab berkata, wakil rakyat tidak mampu menyediakan peruntukan untuk semua kemudahan yang dimohon komuniti dan jika berlaku kerosakan pada infrastruktur yang disediakan kerajaan, wakil rakyat sering dipersalahkan.

Sabah&Sarawak: Pegawai tak turun padang diselar

TAWAU: Pembantu Menteri Kewangan negeri, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan semalam menyelar segelintir pegawai kerajaan yang tidak pernah turun padang untuk melihat keadaan sebenar masyarakat luar bandar, menyebabkan mereka tidak mendapat maklumat tepat keperluan rakyat.

Beliau berkata, pegawai terbabit lebih gemar duduk di pejabat berhawa dingin dan mendengar taklimat daripada kakitangan bawahan berbanding melihat sendiri masalah penduduk.

Katanya, tindakan pegawai terbabit tidak berkesan bagi menyelesaikan masalah penduduk kerana keputusan yang dibuat hanya berdasarkan pemahaman yang diperoleh daripada maklumat disampaikan kakitangan bawahan.

"Jika pegawai itu sendiri turun padang melihat keadaan masyarakat di kampung, sudah tentu maklumat yang diperoleh lebih terperinci kerana mereka melihat dan merasai sendiri keadaan sebenar dialami penduduk.

"Oleh itu, pegawai kerajaan harus mengamalkan pendekatan turun padang bagi memberi penerangan kepada masyarakat, khususnya di kawasan pedalaman," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program info bestari di Kampung Inderasabah, di sini semalam.

Pada program itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pertanian, polis dan Kolej Komuniti mengadakan dialog dengan penduduk kampung dan pameran.

Tawfiq yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas, berkata lebih menyedihkan ialah ada pegawai kerajaan yang dijemput untuk menyelesaikan masalah penduduk, enggan hadir.

"Ada segelintir pegawai kerajaan tidak berminat turun padang bagi menyelesaikan masalah penduduk walaupun sudah dijemput. Mereka harus datang kerana masyarakat mengharapkan kehadiran mereka untuk memberikan cadangan mengenai sesuatu masalah," katanya.

Katanya, sejajar konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak, pegawai kerajaan tidak boleh melepaskan tanggungjawab turun padang hanya kepada pemimpin politik.

Sebaliknya, konsep berkenaan harus turut dipraktik pegawai kerajaan sejajar fungsi mereka sebagai pelaksana pembangunan yang dirancang pemimpin politik.