Followers

Saturday, June 6, 2009

H1N1: Remaja mengandung korban pertama di Dominica

SANTO DOMINGO: Korban pertama Influenza A (HIN1) disahkan di Republik Dominica, membabitkan seorang remaja yang sedang mengandung, semalam.

Setiausaha Kesihatan Awam Bautista, Rojas Gomez mengumumkan, remaja itu adalah antara enam orang yang berdaftar kerana menghidap virus H1N1.

"Remaja itu meninggal dunia di pusat rawatan di Santo Domingo kerana H1N1," kata Rojas.

Pihak berkuasa kesihatan negara itu juga mengesahkan setakat ini 44 kes HIN1 dilaporkan.

Minggu lalu, kerajaan Dominica menafikan dakwaan pegawai Russia bahawa negara di pulau Caribbean itu tidak melaporkan jumlah sebenar mereka yang disahkan menghidap virus berkenaan.

Ini kerana warga Russia dilaporkan ramai yang menghidap virus H1N1 selepas melawat kepulauan berkenaan tetapi Dominica melaporkan hanya dua pesakit disahkan H1N1.

Sebelum ini, beberapa kes H1N1 di benua Amerika Selatan, termasuk di Peru dikaitkan dengan Dominica selepas mangsa pulang daripada berkunjung ke negara itu. - AFP

H1N1: Kes ketujuh hari ini babit pelancong Australia

KUALA LUMPUR: Malaysia mengesahkan satu lagi ke Influenza A(H1N1) hari ini membabitkan pelancong Austalia berusia 15 tahun, menjadikan tujuh kes setakat ini.

Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Hasan Abdul Rahman, berkata kanak-kanak perempuan yang tiba di Kuala Lumpur bersama ibunya itu kini dirawat di hospital selepas dikesan di pusat saringan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Bagaimanapun, emak kanak-kanak itu tidak menunjukkan sebarang simptom tetapi dikuarantin sebagai tindakan pencegahan.

Sabah & Sarawak: Pengasah mahu kemuka isu e-diesel kepada PM

KOTA KINABALU: Persatuan Nelayan Negeri Sabah (Pengasah) akan membawa isu keengganan kerajaan Sabah menyokong cadangan persatuan itu mengurus tadbir perniagaan pembekal dan peruncit subsidi diesel (e-diesel) dan petrol (e-petrol) nelayan di seluruh negeri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak lama lagi demi kepentingan 15,000 nelayan kecil Bumiputera.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Abdul Rahim Ismail, berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Pengerusi Pengasah, Madrah Talih, kelmarin.

"Ketika ini perniagaan itu diurus Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) iaitu agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan negeri," katanya pada siang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Pengasah di sini, kelmarin.

Hadir sama Pendaftar Persatuan Nelayan Malaysia, Sa'adom Abdul Wahab.

Abdul Rahim berkata, perniagaan e-diesel dan e-petrol sepatutnya boleh ditadbir urus Pengasah berikutan kelemahan Ko-Nelayan mengurusnya sehingga ramai nelayan tidak mendapat kemudahan itu terutama nelayan kecil Bumiputera hidup miskin yang beroperasi di pesisir pantai.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis, berkata isu itu pernah dibahasnya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sembilan bulan lalu dan tidak mendapat persetujuan kerajaan negeri.

"Sepatutnya Pengasah diberi peluang mengurus penyaluran subsidi itu kerana mereka lebih mengenali dan memahami nasib nelayan berbanding Ko-Nelayan.

"Ketika subsidi e-diesel dan e-petrol diperkenalkan pada 1 Jun 2006 mungkin mereka tidak mampu mengurusnya dan diserahkan kepada Ko-Nelayan tetapi kini keadaan sudah berubah dan Pengasah boleh menjadi pembekal dan peruncit bahan bakar itu.

"Saya menyokong usaha persatuan itu untuk membawa isu berkenaan kepada Perdana Menteri, namun sebelum itu ia perlu dibincangkan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan agensi berkaitan penyaluran subsidi berkenaan seperti LKIM," katanya.

Abdul Rahim memberi contoh, penyaluran e-diesel dan e-petrol berjalan lancar di Semenanjung kerana ditadbir urus Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) sehingga ramai nelayan hidup kaya berbanding di Sabah yang hidup miskin.

Beliau turut mengumumkan, LKIM Sabah menerima peruntukan RM20 juta tahun ini untuk menjayakan pelbagai projek meliputi infrastruktur perikanan, dana nelayan dan transformasi perikanan.

Terdahulu, Jamrah menyuarakan ketidakpuasan hati persatuan mewakili 15,000 nelayan kecil di seluruh Sabah itu kerana kegagalan mereka menikmati e-diesel dan e-petrol yang ditadbir urus Ko-Nelayan.

"Kami hairan kenapa kerajaan negeri tidak menyokong usaha Pengasah sedangkan ia untuk kebaikan nelayan terutama nelayan kecil Bumiputera," katanya.

Sabah & Sarawak: Saliran jejas usaha tanam padi dua kali setahun

TAMPARULI: Pesawah di Kampung Rongolis, kira-kira 40 km dari sini, merayu Jabatan Pengairan Saliran (JPS) membaiki segera sistem saliran bagi membolehkan mereka mengusahakan tanaman padi dua kali setahun seperti dirancang tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penanam Padi Kampung Rongolis, Gubod Sedau, berkata kelewatan JPS melaksanakan pembaikan sistem saliran sawah di kampung itu membantutkan rancangan petani melaksanakan penanaman padi dua kali setahun.

"Mengikut perancangan, kira-kira 35.2 hektar daripada 48 hektar sawah di Kampung Rongolis boleh diusahakan dengan tanaman padi dua kali setahun dan dijadual mula dilaksanakan bulan depan.

"Bagaimanapun, pelaksanaan itu tertakluk kepada keadaan kemudahan terutama sistem saliran yang membolehkan sawah memperoleh bekalan air cukup," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Rancangan penanaman padi dua kali setahun itu membabitkan 57 petani yang sebelum ini mengusahakan tanaman padi secara komersial.

Gubod berkata, selain sukar mendapatkan bekalan air untuk sawah, petani kampung itu tidak banyak menghadapi masalah mengusahakan sawah mereka dengan tanaman padi dua kali setahun.

Sehubungan itu, katanya, jika masalah sistem saliran dapat ditangani segera oleh JPS, rancangan menanam padi dua kali setahun di kampung itu berupaya dilaksanakan, sekali gus mencapai sasaran pengeluaran hasil padi 10 metrik tan sehektar setiap musim tuaian.

Beliau berkata, penanaman padi dua kali setahun itu menggunakan kaedah pembahagian kawasan mengikut blok sawah kampung bagi memastikan keberkesanannya.

Katanya, petani mempersetujui empat blok sawah diwujudkan iaitu blok Pinotoki, blok Pinogayo, blok Morugi dan blok Sawah merangkumi kawasan seluas 48 hektar.

Gubod berkata, usaha itu mendapat kerjasama dan pemantauan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tuaran serta Jabatan Pertanian Tuaran.

Sabah & Sarawak: Pusat maklumat PTPTN dapat sambutan

KOTA KINABALU: Pusat maklumat Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang diwujudkan di ibu negeri pada Oktober lalu menerima purata 15 hingga 20 pengunjung sehari, kebanyakannya pelajar dan ibu bapa yang mahu mendapatkan maklumat mengenai pinjaman PTPTN.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Hou Kok Chung, berkata pusat maklumat itu turut menerima kira-kira 25 pertanyaan sehari mengenai pinjaman PTPTN menerusi telefon daripada pelajar dan ibu bapa di seluruh negeri.

Katanya, langkah PTPTN mewujudkan pusat itu berjaya mengatasi kerumitan mengenai pinjaman PTPTN dialami pelajar dan ibu bapa di Sabah yang sebelum ini terpaksa mengajukan masalah di ibu pejabat PTPTN di ibu negara.

"Penubuhan pusat maklumat ini adalah antara hasil dialog Kementerian Pengajian Tinggi dengan pihak pengurusan institusi pengajian tinggi (IPTS) di Sabah tahun lalu.

"Saya berterima kasih kepada PTPTN kerana mengambil kira maklum balas IPTS negeri ini. Sejak beroperasi, seramai 650 orang kebanyakannya pelajar dan ibu bapa telah mengunjungi pusat berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan Sektor Pengurusan IPTS, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi dengan pegawai pengurusan IPTS Zon Sabah, di sini, kelmarin.

Hou berkata, penubuhan pusat maklumat itu antara langkah drastik dilaksanakan kementerian dalam usaha menambah baik sistem penyampaiannya supaya lebih lancar dan cekap.

"Usaha menambah baik sistem penyampaian kementerian akan diteruskan berdasarkan maklum balas IPTS dan orang ramai mengenai pelbagai perkara yang memerlukan peningkatan.

"Kementerian sentiasa bersedia mendengar maklum balas yang diberikan tidak kira sama ada sedap didengar atau sebaliknya, namun biarlah yang berbentuk membina," katanya.

Mengenai maklum balas berhubung dasar membabitkan IPTS yang dibangkitkan IPTS di Sabah pada sesi dialog tahun lalu, Hou berkata, pihaknya akan merumuskan tindakan pada seminar IPTS kebangsaan akhir tahun ini.

Katanya, rumusan itu akan dibuat serentak dengan maklum balas menerusi sesi dialog zon lain di seluruh negara.

"Kini cuma tinggal dialog IPTS Zon Selatan pada 2 Julai ini," katanya.

Beliau berkata, perjumpaan dengan IPTS Zon Sabah kali ini bertujuan mengemas kini maklumat IPTS mengenai pindaan Akta IPTS 1996 yang diluluskan Parlimen baru-baru ini.

Turut diterangkan, katanya, ialah maklumat mengenai Audit dan Pemeriksaan IPTS bagi tahun ini, pengurusan aduan IPTS dan Sistem Penilaian Kendiri terhadap IPTS.

Sabah & Sarawak: Tiga terpilih Tokoh Guru Sabah

KENINGAU: Tiga warga pendidik dipilih sebagai Tokoh Guru Sabah 2009 sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri ke-38 di sini, semalam.

Bekas Ketua Nazir Sabah, Aminah Musally, 59, Bekas Pegawai Pelajaran Lahad Datu, Zainal Abdin Laja, 59 dan Allahyarham Datuk Shuhaibun Yussof dipilih berdasarkan ketokohan serta kredibiliti masing-masing sepanjang bertugas sebagai guru dan menjawat pelbagai jawatan penting dalam perkhidmatan sebelum bersara.

Aminah yang berasal dari Beaufort, menyifatkan penghargaan itu sebagai pencapaian tertingginya selepas menunaikan tanggungjawab dalam perkhidmatan pendidikan.

"Kita mesti berbangga dengan kerjaya sebagai guru dan ikhlas dalam berbakti terhadap bangsa, agama dan negara.

"Saya mungkin bersara daripada perkhidmatan tetapi tetap menabur bakti," katanya.

Beliau ditemui selepas menerima anugerah daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Zainal Abdin berkata, keikhlasan dalam tugas adalah perkara utama untuk membolehkan pendidik menyerap rasa tanggungjawab terhadap kerjaya itu.

"Saya masih dipanggil `cikgu' walaupun sudah bersara dan bagi saya, itu adalah pencapaian tersendiri yang wajar dibanggakan," katanya.

Datin Ripah Julang, 63, yang hadir mewakili arwah suaminya, terharu dengan pengiktirafan itu.

"Bagi pihak keluarga, saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan dan penghormatan ini akan kami kenang selama-lamanya," katanya.

Shuhaibun meninggal dunia pada 25 Mac lalu selepas bersara daripada perkhidmatan pada Disember 1989.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh.

Sabah & Sarawak: Dana RM400 juta untuk bina rumah mesra rakyat

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM400 juta dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) untuk pembinaan projek perumahan rakyat demi keselesaan penduduk negeri ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin berkata projek perumahan yang dibina Jabatan Perumahan Negara (JPN) itu meliputi Projek Perumahan Rakyat (PPR), Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) dan Rumah Mesra Rakyat.

"Kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk memajukan projek pembinaan rumah dengan menyalurkan peruntukan besar membantu mencapai sasaran semua rakyat negeri ini memiliki kediaman sendiri.

''Projek seumpama ini juga memanfaatkan penduduk Sabah khususnya mereka yang berpendapatan rendah," katanya kepada media selepas melakukan kunjungan hormat terhadap Yang di-pertua Negeri Sabah Tun Ahmad Shah Abdullah di Istana Negeri, di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah PPR, Jabatan Perumahan Negara, Wan Hussin Wan Hassan dan Pengarah Bahagian Penilaian dan Penyelarasan Jabatan Landskap Negara, Nurshukhah Daud.

Lajim berkata, JPN kini sedang membina beberapa projek perumahan kos rendah untuk menampung permintaan rakyat khususnya di bandar raya ini, Sandakan dan Tawau.

"JPN memberi keutamaan kepada projek perumahan di kawasan bandar kerana menyedari permintaan yang tinggi terutama daripada golongan yang berpendapatan rendah dan mempunyai keluarga ramai.

“Projek perumahan di negeri ini semakin penting berikutan populasi penduduk yang kian meningkat” katanya.

Lajim juga berkata, JPN sentiasa berusaha memberi keutamaan kepada Sabah untuk mengembangkan lagi projek perumahan bagi memastikan rakyat mampu memiliki kediaman yang serba lengkap dan selesa.

“Kini dengan sewa hanya RM124 sebulan, golongan berpendapatan rendah mampu mendiami rumah yang selesa dengan menginap di pangsapuri yang berkonsepkan mesra rakyat mempunyai tiga bilik” katanya.