Followers

Wednesday, February 3, 2010

5 tan gula dirampas dari kedai runcit

NILAI: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PKPDK&K) Negeri Sembilan hari ini merampas lima tan metrik gula pasir kasar bernilai kira-kira RM8,250 dari sebuah kedai runcit di Taman Semarak di sini.

Timbalan Pengarah PKPDK&K Negeri, Mohd Nor Musa, berkata rampasan tersebut dibuat hasil aduan orang ramai bahawa kedai itu menjual gula pada harga RM1.80 sekilogram yang melebihi harga yang ditetapkan iaitu RM1.65 sekilogram.

"Kita telah menghantar dua orang pegawai kita untuk menyamar bagi membeli gula di kedai ini dan resit yang dikeluarkannya memang tertera harga RM1.80 sekilogram," katanya kepada pemberita di premis berkenaan.

Beliau berkata jika sabit kesalahan, pemilik kedai tersebut boleh didenda sehingga RM15,000. - Bernama

Batik 1Malaysia diperkenal esok

KUALA LUMPUR: Batik 1Malaysia yang bakal dijadikan pakaian acara rasmi serta pada majlis 1Malaysia akan diperkenalkan kepada umum pada program 1Malaysia di Dataran 1Malaysia, Pantai Klebang, Melaka malam esok.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata batik hasil rekaan Kraftangan Malaysia akan dipakai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, serta semua menteri yang hadir pada majlis itu.

Beliau berkata, rekaan itu telah mendapat persetujuan Perdana Menteri setelah diperagakan kepada beliau pagi tadi.

"Perdana Menteri telah meneliti rekaan ini sebanyak dua kali dan beliau dapati semua rekaan tersebut menarik, cuma memerlukan beberapa ubahsuai agar lebih sesuai dengan tuntutan mereka yang akan memakainya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet di pejabatnya di bangunan Sultan Abdul Samad di sini, hari ini.

Rekaan batik itu pertama kali dipertontonkan kepada Perdana Menteri dan anggota Kabinet pada 20 November lalu.

Rais berkata, selain angka satu (1) yang jelas tertera di bahagian dada, pilihan warna juga mewakili semua warna yang terdapat pada bendera Malaysia yang digabungkan dengan elemen kaum di negara ini iaitu Melayu, Cina, India dan etnik di Sabah dan Sarawak.

Bagi menyemarakkan lagi pemakaiannya, beliau telah meminta semua program yang membabitkan 15 jabatan di bawah kementerian itu mengenakan pakaian batik tersebut dalam setiap majlis anjurannya.

Rais turut menggesa semua pengusaha batik untuk turut serta mengeluarkan rekaan yang mencerminkan identiti 1Malaysia kerana yakin fesyen tersebut mampu menarik perhatian masyarakat.

"Fesyen batik 1Malaysia ini dijangka mendapat perhatian masyarakat asalkan pihak kraftangan menggunakan taktik pemasaran yang positif dan menyeluruh dan untuk itu saya telah meminta pihak kraftangan (Kraftangan Malaysia) mengadakan satu majlis bagi membolehkan pakaian batik ini diperagakan kepada umum," katanya.

Rais berkata, rekaan itu tidak akan diletakkan di bawah Akta Hakcipta kerana jika berbuat demikian hasrat kerajaan untuk memperkembangkan 1Malaysia akan terhalang.

"Cadangan kita ialah supaya fesyen ini boleh dibeli di mana-mana, justeru kita tidak akan mengehadkan, siapa sahaja boleh membuat dan menjualnya asalkan setiap rekaan mempunyai angka 1 dan jika boleh saya nak minta supaya pada Mac ini, pakaian batik ini sudah boleh dibeli oleh orang ramai," katanya. - Bernama

Al-Qaeda terus serang AS sehingga Osama mati atau ditangkap

WASHINGTON: Al-Qaeda akan terus menyerang Amerika Syarikat (AS) sehinggalah Osama bin Laden dan orang kanannnya mati atau ditangkap, menurut Pengarah Perisikan Kebangsaan AS, Dennis Blair, semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata Al-Qaeda pasti akan meningkatkan lagi usaha menyerang AS dalam tempoh tiga hingga enam bulan dari sekarang.

“Peluang mereka dalam cubaan serangan ini sukar diramal, tapi mereka akan terus mencuba," katanya menjawab soalan kemungkinan al-Qaeda akan menyerang dalam tempoh terdekat.

Blair berkata, rangkaian pengganas bermula pada serangan 11 September 2001 dan pengganas akan terus mensasarkan AS sehinggalah Osama dan orang kanannya, Ayman al-Zawahiri ditangkap atau dibunuh.

“Kami menilai bahawa al-Qaeda akan terus menyerang atau meningkatkan lagi kekuatannya untuk memastikan lebih banyak kematian dan kerosakan, bagi menjejaskan ekonomi AS dan sebaliknya," katanya kepada Jawatankuasa Perisikan Senat. - AFP

Tiada unsur jenayah dalam kematian Dr Cynthia

KUALA LUMPUR: Mahkamah Koroner di sini hari ini memutuskan bahawa kematian Dr Cynthia Joseph adalah sebagai nahas atau kemalangan, bukannya akibat perbuatan jenayah.

Koroner Tasnim Abu Bakar berkata, segala keterangan dan ekshibit yang dikemukakan dalam prosiding itu adalah terlalu jauh untuk mengaitkan kematian wanita itu dengan sebarang elemen jenayah.

"Semua saksi telah memberikan fakta bahawa mereka tidak nampak sebarang kecederaan dalaman atau pun luaran pada mayat Dr Cynthia," kata beliau dalam keputusan bertulisnya.

Katanya, fakta jumlah kuantiti dadah "midazolam" yang dijumpai pada hati dan buah pinggang si mati tidak dapat memberikan jawapan tepat sama ada Dr Cynthia telah mengambil sendiri atau telah diberi dadah secara berlebihan sehingga menyebabkan kematiannya.

Dr Cynthia, 42, meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai Cheras di sini pada 27 Sept, 2004 dan mayatnya telah digali semula pada 2 Disember, 2004 selepas keluarganya membuat laporan polis untuk mengetahui punca sebenar kematiannya.

Mayatnya digali semula oleh polis apabila keluarganya mengesyaki kematian doktor itu berpunca daripada perbuatan khianat.

Lapan saksi dipanggil memberikan keterangan, termasuk suami mendiang, Dr Retnarasa Annarasa, serta bapa mendiang, Joseph Sebastian.

Dalam keputusan hari ini, mahkamah juga tidak dapat memastikan bagaimanakah Dr Cynthia menemui ajalnya pada 27 September, 2004.

"Daripada keterangan saksi, mahkamah telah mengumpulkan fakta bahawa pada 25 September, 2004, Dr Cynthia telah pengsan dan dibawa oleh ambulans ke Pusat Perubatan Pantai, Cheras.

"Setibanya di sana, Dr Cynthia telah diberi rawatan kecemasan oleh saksi keenam, Dr Ravi Apparow yang kemudian mengesahkan si mati mengalami "hypoglyecemia" iaitu kandungan gula yang rendah dalam darah," kata Tasnim.

Katanya, pada 27 September, 2004, Dr Cynthia telah dijumpai jururawat dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tiada denyutan nadi.

"Usaha menyelamatkannya gagal dan saksi keenam mengesahkan sebab kematian Dr Cynthia sebagai cardiac arrest," kata Tasnim.

Bedah siasat secara lengkap juga tidak dapat dilakukan memandangkan keadaan mayat si mati, yang digali semula dua bulan selepas kematiannya, telah mereput, katanya lagi.

Sebastian, ketika ditemui di luar mahkamah berkata beliau menerima keputusan koroner hari ini kerana hanya ingin mendapatkan kebenaran dalam kematian anaknya. - Bernama