Followers

Saturday, September 25, 2010

TASKA terbabit dalam kematian bayi diarah henti operasi: Shahrizat

KUALA LUMPUR: Dua Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA), satu di Putrajaya dan satu lagi di Seremban yang menyebabkan berlaku kematian bayi semasa penjagaan mereka, diarah menghentikan operasi selama tiga hari.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata langkah itu dibuat bagi membolehkan penyiasatan yang lebih terperinci dijalankan terhadap TASKA berkenaan.

Isnin lalu, seorang bayi perempuan berusia tiga bulan, Nur Azwa Safrina Khairul Anuar didapati mati ketika dalam buaian di sebuah Taska di Paroi, Seremban.
Manakala, Selasa lalu, seorang bayi perempuan juga berusia tiga bulan, Farisha Nur Hazreen Mohd Fairuz mati dikatakan akibat tercekik susu yang diberikan pengasuhnya di sebuah Taska di Presint 8, Putrajaya.

"Siasatan awal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati kedua-dua Taska ini tidak berdaftar dengan JKM dan dengan itu JKM mempunyai kuasa untuk mendakwa kedua-dua Taska tersebut," kata Shahrizat dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jika disabit kesalahan, pihak TASKA terbabit boleh diambil tindakan undang-undang iaitu denda tidak melebihi RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

"Jika ia membabitkan kesalahan berulang, denda RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali akan dikenakan," katanya.
Shahrizat berkata, selain tindakan undang-undang oleh pihak polis dan JKM, ibu bapa kanak-kanak berkenaan juga boleh mengambil tindakan undang-undang sivil terhadap Taska terbabit.

Beliau menjelaskan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 turut memperuntukkan bahawa sekiranya Taska mendedahkan kanak-kanak sehingga mengalami kecederaan fizikal, sama ada menyebabkan kematian atau sebaliknya, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Peranan dan tanggungjawab pengusaha Taska adalah sangat berat dan penting dalam menentukan keselamatan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka dan sehubungan itu mereka mesti mematuhi piawaian minimum dan syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.

Ibu bapa juga perlu peka dan boleh merujuk di laman web JKM untuk memastikan status sesebuah Taska sama ada berdaftar atau pun tidak dengan JKM dan orang ramai boleh melaporkan kepada JKM, Taska yang tidak berdaftar atau menghubungi Nur di talian 15999, tambahnya. - Bernama

Muhyiddin ajak ibu bapa galakkan anak-anak guna Internet tingkat pembelajaran

MUAR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengajak semua ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka menggunakan kemudahan internet untuk meningkatkan pembelajaran mereka.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kemudahan internet ini banyak memberi faedah dan membolehkan wakil rakyat berhubung dengan orang ramai.

Beliau berkata demikian ketika sidang video dengan seorang bapa pelajar sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Pasir, Mohd Salleh dari Parit Lanjut, Bukit Pasir di sini, hari ini.
Muhyiddin berada di sekolah itu hari ini untuk meninjau kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Pasir yang dibangunkan oleh Telekom Malaysia.

Beliau yang diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Wira Kamaruddin Siaraf; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Halim Shafie dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Zamzamzairani Mohd Isa menghabiskan masa selama sejam untuk mendengar taklimat kemajuan projek tersebut.

Muhyiddin turut menyaksikan interaksi di antara pelajar sekolah tersebut dengan pelajar Sekolah Menengah Puteri, Cyberjaya di mana wakil pelajar kedua-dua sekolah menyatakan betapa berfaedahnya kemudahan tersebut untuk kemajuan pembelajaran.

Projek infrastruktur gentian optik yang dilaksanakan Telekom Malaysia di sekolah itu menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan 10Mbps, satu akses internet yang pantas bagi aplikasi pengajaran dan pembelajaran.
Melalui teknologi tersebut, seorang guru pakar mampu mengajar mata pelajaran kepada pelajar beberapa buah kelas di sekolah yang sama dan sekolah-sekolah lain.

Sehingga kini, kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi di bawah projek SchoolNet itu telah dilaksanakan di 20 buah sekolah di Putrajaya dan lima buah sekolah di Cyberjaya.

Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Pasir menjadi sekolah yang pertama di luar Lembah Klang untuk menerima projek tersebut. - Bernama

Tamadun Melayu lenyap jika sistem pemerintahan, institusi diraja terhapus

PETALING JAYA: Tamadun dan bangsa Melayu dikhuatiri lenyap jika sistem pemerintahan dan institusi diraja tidak terus dipertahankan, kata pensyarah Jabatan Pengajian Cina Universiti Tunku Abdul Rahman, Dr Tee Boon Chuan.

Beliau berkata, masyarakat perlu sedar bahawa sistem pemerintahan beraja yang menjadi tunjang masyarakat Melayu, mempunyai sejarah panjang dan keunikan tersendiri.

Katanya, masyarakat Melayu satu ketika dulu, begitu memandang tinggi sistem pemerintahan beraja sehingga ia mampu menjadi satu daripada faktor perkembangan tamadun Melayu di Nusantara.
"Budaya dan cara hidup yang diamalkan oleh keluarga diraja menjadi warisan turun-temurun, dan keunikan tatacara serta amalan dalam institusi itu sendiri telah menjadi sebahagian daripada identiti bangsa dan tamadun Melayu.

"Jika ia (institusi diraja) lenyap dan dihapuskan, maka terhapuslah Melayu, dan Melayu hanya akan tinggal nama dan rupa bentuk sahaja, tetapi semangatnya telah tiada," katanya ketika ditemui pada Persidangan Kebangsaan Bandingan Pengajian Melayu dan Pengajian Cina di kampus universiti berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, faktor lain yang menyebabkan institusi diraja wajar dipertahankan ialah kehilangan serta kekurangan salinan kuno yang menggambarkan kehebatan tamadun Melayu suatu ketika dulu, ke tangan pihak asing.

"Jadi, apa yang kita ada kini hanyalah sistem beraja yang dianggap sebagai pemegang sejarah dan warisan tamadun Melayu, dan usaha menghapuskan institusi diraja boleh disamakan dengan usaha melenyapkan warisan dan tamadunnya," kata Dr Tee yang turut membentangkan kertas kerja bertajuk ''Benarkah Melayu Itu Suatu Bangsa Taoisme'' pada persidangan tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata, persidangan berkenaan mampu membuka ruang lebih besar kepada cendekiawan dan orang ramai bagi memahami kebudayaan serta cara hidup masyarakat Melayu dan Cina di negara ini.

Dr Tee berkata, ia kerana usaha memahami kedua-dua kaum kurang dilakukan sehingga kadangkala menimbulkan banyak pergeseran, walaupun mereka berusaha memelihara ketenangan yang dinikmati.

"Ada berapa cendekiawan Melayu yang pakar dalam bahasa Cina, dan berapa orang pula cendekiawan Cina yang pakar dalam bahasa Melayu? Kalau kita tengok semula, bilangannya amat mengecewakan.

"Keadaan yang tidak sihat ini perlu diubah, dan diharap persidangan ini dapat membuka lembaran baru kepada kedua-dua kaum untuk terus memahami aspek budaya dan latar belakang kaum masing-masing dengan lebih mendalam," katanya. - Bernama

Siasatan kes pembunuhan Sosilawati dijangka selesai masa terdekat: KPN

GEORGETOWN: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, hari ini berkata siasatan kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, dijangka selesai dalam tempoh terdekat.
"Polis masih meneruskan siasatan (kes pembunuhan Sosilawati)...kita akan selesai tidak lama lagi," katanya selepas menghadiri majlis rumah terbuka Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob sempena Hari Raya Aidilfitri di sini.

Semalam, pasukan forensik polis dilaporkan sekali lagi melawat ladang milik suspek utama kes pembunuhan Sosilawati yang terletak di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, Selangor.
Sosilawati, 47, pemandu Kamarudin Shansuddin, 44, peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang pada 30 Ogos selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 September lalu, polis mengesahkan mereka telah dipukul sampai mati sebelum mayat mangsa dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong. – Bernama

Malaysia cadang bangunkan Sekolah Perubatan Johns Hopkins di Serdang

NEW YORK: Malaysia bakal menjadi hab bagi latihan perubatan berkemahiran tinggi apabila kerajaan pada dasarnya bersetuju cadangan membangunkan Sekolah Perubatan Johns Hopkins berserta hospital 600 katil dan sebuah pusat penyelidikan, melalui pelaburan swasta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata institusi itu kemungkinan diwujudkan di sekitar Serdang.“Perjanjian usahasama antara syarikat Malaysia dengan Johns Hopkins Medical International dijangka ditandatangani pada November di Kuala Lumpur,” kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia yang mengikuti lawatan kerja beliau ke sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak kedua ASEAN-Amerika Syarikat dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Sebelum itu, Najib mengadakan pertemuan dengan Presiden Global Ventures Johns Hopkins Medical International di hotel penginapannya di sini.

Menurut Perdana Menteri, sekolah perubatan itu adalah yang terkemuka di dunia dan mempunyai kurikulum baru yang berbeza berbanding kurikulum yang lain.

"Mereka menggunakan falsafah "Genes To Society" iaitu satu pendekatan perubatan bersifat peribadi," kata Perdana Menteri.
Katanya, sekolah perubatan itu menyediakan program graduan selama empat tahun dan bercadang mengambil 100 pelajar setiap tahun dari seluruh dunia.

"Johns Hopkins mempunyai nama yang amat baik. Ideanya ialah bagi menjadikan Malaysia sebagai hab," katanya.

Pada masa ini, terdapat sekurang-kurangnya tiga hospital kerajaan berdekatan dengan Serdang yang boleh digunakan sebagai hospital latihan iatu Hospital Serdang, Hospital Putrajaya dan Hospital Kajang.

Baru-baru ini, laporan akhbar memetik sumber sebagai berkata bahawa pelaburan itu mungkin membabitkan kira-kira RM1.8 bilion.

Kampus Johns Hopkins University terdapat di China, Singapura, Itali dan Amerika Syarikat. - Bernama

Reman suspek kes ugut isteri jutawan India dilanjut enam hari

SEPANG: Tempoh tahanan reman dua suspek kes ugut isteri jutawan dari India, Allal Kathan Muturaja yang dilaporkan hilang di Banting sejak awal tahun ini, dilanjutkan enam hari lagi oleh Mahkamah Majistret Litar di sini, hari ini.
Majistret Hurman Hussain membenarkan permohonan polis berhubung perkara itu bagi membolehkan kedua-dua suspek membantu siasatan kes mengugut isteri jutawan itu yang juga warganegara India, S Usharani, 27.

Ia adalah kali kedua tempoh tahanan reman mereka dilanjutkan.
Kedua-dua suspek disyaki terbabit dengan perbuatan mengugut Usharani bagi memperoleh wang RM100,000 sebagai pendahuluan 10 peratus daripada RM1juta yang kononnya bagi membebaskan Muturaja, 34.

Mereka yang memakai baju lokap berwarna oren, dibawa ke mahkamah pada 9.30 pagi.

Turut kelihatan peguam yang mewakili kedua-dua lelaki itu, Chelvarajan R Suppiah. - Bernama

Laporan berita berserta bukti kukuh perlu diamalkan pengamal media: Maglin

PETALING JAYA: Laporan dan penerbitan berita berserta bukti yang kukuh perlu diamalkan oleh setiap pengamal media supaya media massa terus disegani dan dihormati masyarakat, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D’Cruz.
Katanya, corak laporan yang tidak berasaskan bukti kukuh akan mengundang salah faham dan kontroversi sekaligus akan menyebabkan mereka hilang pengaruh sebagai sumber yang boleh dipercayai oleh masyarakat dalam mendapatkan maklumat.

"Seorang pengamal media perlu sentiasa berhat-hati dalam setiap apa yang ditulis, mereka sewajarnya tidak menulis atau mencipta sesuatu perkara yang belum disahkan lagi kebenarannya.
"Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, penerbitan bahan berita yang tidak disertakan bukti yang kukuh boleh mencetuskan salah faham dan kekeliruan di kalangan masyarakat sekaligus boleh menggugat keamanan di kalangan kaum dan semangat Gagasan 1Malaysia yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Bandingan Pengajian Melayu dan Pengajian Cina di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata, kerajaan menerusi kementeriannya sedang mempergiatkan usaha bagi menyemarakkan semangat Gagasan 1Malaysia di kalangan rakyat Malaysia khususnya pada golongan muda.

"Sejajar dengan matlamat ini, kami kini giat memberi penerangan di sekolah-sekolah, di universiti dan di kolej untuk menyampaikan mengenai wawasan negara dan menyemai semangat cintakan negara di kalangan rakyat Malaysia.
"Kami akan cuba sedaya upaya agar gerak kerja untuk mendidik warga Malaysia akan dapat melakar transformasi Malaysia yang bersatu dan berjaya dalam mencapai Wawasan 2020," katanya. - Bernama

Menteri Pelajaran tidak ada kuasa eksekutif: Muhyiddin

MUAR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan bahawa Menteri Pelajaran tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana pegawai perjawatan tetap kerajaan seperti pengetua sekolah.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran mencabar pemimpin DAP, Lim Kit Siang, untuk membuktikan di segi peruntukan perundangan kuasa-kuasa yang dimiliki oleh menteri untuk mengambil tindakan disiplin.

"Lim Kit Siang tolonglah, fahamlah, pergi masuk sekolah belajar undang-undang, tentang pentadbiran atau tentang pengurusan. Dia (Kit Siang) tidak ada pengalaman, dia ketua pembangkang tetapi tidak tahu apa-apa," katanya di Dewan Sri Pekembar, Pagoh hari ini.
Muhyiddin mengulas dakwaan Kit Siang bahawa beliau enggan menggunakan kuasanya sebagai menteri untuk mengambil tindakan terhadap seorang pengetua di Kulaijaya dan seorang guru di Bukit Selambau yang didakwa mengeluar kenyataan berbaur perkauman baru-baru ini.

Terdahulu, beliau merasmikan program Lonjakan Kecemerlangan Pendidikan Parlimen Pagoh 2010, yang turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr Zulkurnain Awang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebarang tindakan tatatertib terhadap kakitangan kerajaan berjawatan tetap mestilah mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

Selain itu, menurut beliau, setiap tuduhan juga perlu disiasat dengan teliti, manakala pegawai kerajaan yang dituduh itu diberikan peluang seadil-adilnya untuk menjawab tuduhan terhadap mereka.
"Kita mesti bersikap adil selaras dengan peruntukan Perlembagaan," katanya.

Muhyiddin berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyiasat tuduhan terhadap guru dan pengetua itu telah pun selesai menjalankan tugas mereka.

Jawatankuasa siasatan itu diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha kementerian.

Muhyiddin berkata, di dalam kes pengetua dan guru sekolah terbabit yang juga adalah pegawai kerajaan berjawatan tetap, kuasa untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka terletak di bahu Ketua Setiausaha Negara.

"Saya tidak boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya di atas desakan politik DAP atau lain-lain pihak. Perkara ini melibatkan perjawatan tetap kerajaan dan kita mempunyai prosedur dan peraturan mengenainya," katanya.

Muhyiddin berkata, tindakan yang diambilnya itu adalah berlainan dengan sikap emosional dan politikal Kit Siang.

"Kit Siang tidak faham, tak pernah jadi pegawai kerajaan. Dia orang politik, 100 peratus totok politik. Dia tidak faham dengan soal pentadbiran," katanya.

Katanya, pemimpin pembangkang itu hanya mahu menarik sokongan golongan tertentu.

Sementara itu, Dr Zulkurnain yang turut berada pada sidang media itu berkata, pihak yang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pegawai kerajaan berjawatan tetap DG48 adalah Ketua Setiausaha Negara.

"Hanya pihak yang melantik (pegawai kerajaan) saja berkuasa dan berhak untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai berkenaan, menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai kerajaan berjawatan tetap," katanya. - Bernama

Najib tawar bantu Obama atasi fenomena Islamophobia di AS

NEW YORK: Malaysia mahu membantu Amerika Syarikat (AS) mengatasi fenomena Islamophobia di kalangan masyarakat kuasa besar itu supaya mereka tidak salah faham dan berpandangan negatif terhadap agama Islam.
Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sudah menyuarakan perkara itu kepada Presiden Barack Obama ketika mencelah dalam mesyuarat kedua pemimpin ASEAN-Amerika di kotaraya New York, Jumaat (waktu tempatan).

Malah, Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Obama kerana pendirian tegasnya terhadap cadangan seorang paderi di Florida untuk membakar kitab suci Al-Quran yang akhirnya membatalkan hasratnya.
Sungguhpun mesyuarat itu lebih berkisar soal perdagangan, keselamatan dan isu serantau, Najib sempat menarik perhatian Presiden Obama mengenai peningkatan fenomena Islamophobia di Amerika Syarikat kebelakangan ini.

Ensiklopedia dalam talian Wikipedia mentafsirkan Islamophobia sebagai ketakutan atau kebencian terhadap agama Islam dan penganutnya.

"Langkah paling penting ialah memberi kefahaman asas mengenai agama Islam bahawa ia membawa nilai-nilai sejagat dan selari dengan konsep pemodenan dan agama yang progresif.

"Islam juga dapat menjamin hak, bukan sahaja orang Islam tetapi juga hak bukan Islam," kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerjanya selama enam hari di New York.
Fobia itu meningkat berikutan cadangan pembinaan pusat Islam dan sebuah masjid di tapak "Ground Zero" iaitu lokasi serangan pada 11 September 2001 yang meranapkan Pusat Dagangan Dunia New York.

Seorang paderi di Florida yang mulanya mengugut untuk membakar kitab suci Al-Quran sempena ulang tahun serangan pengganas 9/11 membatalkan hasratnya berikutan gesaan Obama yang menegaskan bahawa langkah itu hanya menguntungkan al-Qaeda dan membahayakan beribu-ribu tentera AS di Afghanistan dan Iraq.


Mengulas langkah untuk mengatasi fenomena Islamophobia, Najib menegaskan perlunya kefahaman yang lebih baik tentang Islam di kalangan rakyat Amerika Syarikat.

Sebagai contohnya, Perdana Menteri merujuk kepada kajian majalah Time baru-baru ini menunjukkan 26 peratus rakyat Amerika menyangka Presiden Obama adalah beragama Islam.

Najib: "Ini bererti di Amerika Syarikat, pengetahuan tentang perkara seperti ini adalah amat rendah dan peningkatan terhadap apa itu Islam sebenarnya amat perlu dilakukan.

"Dan juga kita tidak seharusnya ditekan oleh kumpulan-kumpulan yang ekstrem yang bersuara lantang hingga mengambarkan seolah-olah seluruh Amerika Syarikat tidak setuju (dengan Islam), tetapi ia (kumpulan ekstrem) sebenarnya cuma kumpulan kecil."

Kaji selidik itu juga menunjukkan tahap keraguan rakyat Amerika hinggakan ada berpendapat seorang Muslim tidak seharusnya menjadi Presiden.

Tunjuk perasaan bagi membantah cadangan pembinaan masjid di Ground Zero kemudian turut diadakan berhampiran bangunan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ketika berlangsungnya sesi ke-65 Perhimpunan Agung PBB.

Najib dijadual menyampaikan ucapan sulungnya pada perhimpunan agung PBB (UNGA) pada Isnin.

Najib berkata, beliau juga memberitahu Obama bahawa Malaysia mengalu-alukan proses damai yang sedang diusaha antara Palestin dan Israel ke arah mencapai penyelesaian konflik berasaskan prinsip kewujudan bersama dua negara.

Perdana Menteri juga menjelaskan mengenai pertemuan beliau dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas di ibu pejabat PBB, Khamis.

Menurut Najib, pemimpin Palestin itu menjelaskan mengenai laluan yang begitu sukar untuk mencapai penyelesaian konflik yang berpanjangan memandangkan pendirian keras rejim Tel Aviv selain masalah kerjasama dengan kumpulan Hamas.

Bagaimanapun, Mahmoud Abbas memberitahunya bahawa keadaan di Tebing Barat kini bertambah baik berbanding masa dulu.

Ia bermakna, menurut Najib, jika rakyat Palestin memilih kedamaian sebagai satu langkah ke hadapan dan bukannya konflik, bererti mereka boleh mendapat masa depan yang lebih baik dan terjamin.

"Peringkat awal sudah boleh lihat dengan baik di Tebing Barat, tetapi masih ada masalah dalaman iaitu dengan Hamas, bagi membolehkan mereka bertindak sebagai satu suara," kata Najib.

Menyentuh pertemuannya dengan Wakil Khas Amerika Syarikat ke Afghanistan dan Pakistan, Richard Holbrooke, Najib berkata, mereka berbincang mengenai pemergian pasukan perubatan dari Malaysia pertengahan bulan depan ke sana atas jemputan kerajaan Afghanistan.

Najib berkata, Holbrooke juga menceritakan kepadanya betapa dahsyatnya kesan banjir di Pakistan baru-baru ini terhadap 20 juta rakyat negara itu, yang disifatkan lebih buruk daripada bencana tsunami.

"Rakyat Pakistan ditimpa musibah yang amat dahsyat dengan kediaman, ternakan, sekolah dan jalan raya musnah teruk. Daripada aspek sosial, bencana ini lebih dahsyat skalanya berbanding tsunami," katanya. - Bernama

MAIPS, Persatuan Islam China kongsi pengalaman

BEIJING: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Persatuan Islam China akan memanfaatkan perkongsian pengalaman terutama dalam usaha membangunkan masyarakat Islam.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah masyarakat Islam di Cina mempunyai pengalaman tersendiri dalam menjalani kehidupan mereka begitu juga dengan umat Islam di Perlis.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs mengadakan pertemuan selama sejam dengan kepimpinan Persatuan Islam China yang diketuai Pengerusinya, Cheng Guan Yuan, di sini malam tadi; yakin jalinan hubungan antara MAIPs dan persatuan itu akan memberi manfaat kepada kedua pihak.
Raja Muda Perlis yang mengetuai delegasi MAIPs dalam rangka lawatan kerja selama seminggu ke China sejak 20 September lalu tiba di sini dari Xian semalam.

Turut menyertai lawatan itu ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu; Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Azizan Hamid; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Abdul Malik Hussin dan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya.

Terdahulu, baginda dan delegasi menunaikan solat Jumaat di Masjid Niu-Jie serta melawat muzium masjid itu.

Pada sebelah petang meninjau pasar mini Islam dan melawat masjid Dong Si yang juga antara masjid terkemuka di sini.
Sebelum itu, baginda bertemu dengan masyarakat Islam di Shanghai dan Xian termasuk melawat beberapa masjid terkemuka bagi bertukar-tukar fikiran dengan pegawai masjid.

Khamis lalu, baginda dan delegasi melawat Masjid Besar Xian yang diasaskan lebih 600 tahun lalu dan bertemu imam besarnya, Ma Liang ji.

Ma yang juga dikenali sebagai Mohd Yunus Ma gembira dengan kehadiran Raja Muda Perlis kerana selama ini beliau memang mengenali ayahanda baginda,
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Ma yang berusia 80 tahun berkata, masjid itu menerima kehadiran lebih 1,000 jemaah pada setiap kali solat Jumaat manakala sepanjang Ramadan pada setiap tahun, masjid itu juga menerima kehadiran ribuan jemaah untuk solat sunat Tarawih setiap malam.

Sebelum itu, ketika di Shanghai, baginda dan delegasi melawat masjid Xiao Tao Yuan dan Masjid Fu You bagi meninjau kegiatan masyarakat Islam di masjid-masjid. - Bernama

PGPO tingkatkan usaha bantu umat Islam selatan Thai

HATYAI: Perdana Global Peace Organisation (PGPO), akan mempertingkatkan usaha membantu umat Islam yang menjadi mangsa keganasan dengan bukan hanya memberi tumpuan kepada Palestin tetapi juga kepada umat Islam di beberapa wilayah yang bergolak di selatan Thailand.
Penasihat PGPO, Datuk Mukhriz Dr Mahathir, berkata PGPO yang sebelum ini memberikan tumpuan kepada Palestin perlu juga melihat umat Islam di rantau ini iaitu penduduk Islam di selatan Thailand yang menghadapi masalah.

Beliau berkata, PGPO sebelum ini mendapatkan sumbangan kira-kira RM1 juta untuk membina sebuah masjid baru di Kampung Pasir Jawa, Saiburi, Pattani sejak 2006 bagi kegunaan umat Islam di sana sebagai simbolik untuk mewujudkan keamanan kerana Islam bukanlah agama keganasan.
"Ini kita lakukan untuk tunjukkan sokongan kepada umat Islam di selatan Thailand. Kita tidak boleh lupakan jiran yang seagama dengan kita.

“Masjid yang dinamakan Masjid Kampung Pasir Jawa itu sudah lebih 90 peratus siap. Sebulan dua lagi ia boleh digunakan umat Islam," katanya di sini.

Beliau berkata, PGPO perlu melakukan sesuatu untuk menyampaikan mesej keamanan dan mahu mengasingkan imej keganasan dengan Islam kerana apa yang berlaku di tiga wilayah selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala tidak semestinya berkaitan dengan agama.

"Malangnya apabila berlaku keganasan ia dikaitkan dengan Islam. Selain itu kita juga akan bantu dari segi ekonomi. Kita mahu tingkatkan perdagangan antara Malaysia dan Thailand di kawasan yang bersempadan," kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.
Mukhriz berkata, Malaysia sendiri sejak dahulu mengamalkan dasar memperkayakan negara jiran kerana jika negara jiran bermasalah, tempiasnya turut terkena kepada Malaysia.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pattani, Nik Mukhtar Waba, berkata pihaknya sentiasa mengalu-alukan bantuan dari negara luar dalam membantu masyarakat Islam di Pattani.

Beliau berkata, walaupun banyak masjid dibina di wilayah bergolak, ia tidak sepatutnya menjadi masalah, sebaliknya beliau yakin pembinaan banyak masjid boleh membawa ketenteraman di wilayah-wilayah berkenaan.

"Sebenarnya pergolakan yang berlaku tidaklah serius seperti yang digembar-gemburkan. Sebenarnya pihak kerajaan masih dapat mengawal keadaan di wilayah-wilayah itu," katanya.

Beliau berkata, kerana itu ramai ahli perniagaan dari Malaysia tetap datang ke Malaysia untuk mengadakan ekspo dan pameran, dan usaha mereka itu mendapat sambutan yang baik daripada penduduk tempatan. - Bernama

Sidang Kemuncak New York: Presiden Obama adakan pertemuan dengan pemimpin ASEAN

NEW YORK: Pemimpin 10 negara anggota Asia Tenggara (ASEAN), Jumaat (waktu tempatan) mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini.
Pertemuan pemimpin ASEAN-AS itu dipengerusi bersama oleh Obama selaku tuan rumah dan Presiden Nguyen Minh Triet dari Vietnam yang juga pengerusi ASEAN.

Mesyuarat selama dua jam itu diadakan di Hotel Waldorf-Astoria di Park Avenue, dan dihadiri oleh kebanyakan ketua kerajaan negara-negara Asia Tenggara.
Mereka termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Sultan Hassanal Bolkiah dari Brunei Darussalam.

Pada mesyuarat itu, Najib diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman.

Turut hadir, Setiausaha Agung ASEAN, Surin Pitsuwan.

Sidang Kemuncak New York itu diadakan Obama, selepas pertemuan pertama beliau dengan pemimpin Asean di Singapura tahun lalu. Amerika Syarikat dilapor memberi tumpuan khusus kepada rantau itu yang diletakkan pada kedudukan kelima terbesar pasaran eksport komuniti perdagangan Amerika Syarikat. Terdahulu pemimpin ASEAN mengadakan pertemuan pada sarapan pagi dengan wakil Majlis Perniagaan AS.

Sejurus selepas sidang kemuncak itu, Najib mengadakan beberapa pertemuan termasuk dengan Utusan Khas AS ke Afghanistan dan Pakistan, Richard Holbrooke serta Pengasas Wikipedia, Jummy Wales. - Bernama

Penyokong, pemimpin BN perlu yakin menang pilihanraya: Dr Zambry

IPOH: Penyokong dan pemimpin Barisan Nasional (BN) Perak mesti mempunyai keyakinan untuk memenangi semula pilihanraya umum akan datang sebagai prasyarat sebelum berusaha ke arah kemenangan itu.
Pengerusi BN Perak yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata semangat kemenangan itu perlu untuk mengatasi serangan propaganda Pakatan Rakyat yang mempengaruhi psikologi penyokong BN.

Katanya, parti pembangkang menggunakan berita dan rencana dalam portal berita untuk menggambarkan kerajaan BN penuh dengan kemungkaran manakala mereka pemimpin yang sempurna.
"Sebagai parti yang prihatin dan dinamik, BN perlu sentiasa bersiap-sedia menghadapi pembangkang dengan mengukuhkan jentera parti.

"Kita tidak mahu ahli parti berasa selesa dan mengambil mudah persekitaran kerana ini proses pemantapan semangat serta jentera BN.

"Kita mesti sentiasa meneliti perkembangan baru dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah itu hingga memenangi pilihanraya umum akan datang," katanya di sini, petang tadi.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pusat Khidmat Masyarakat Bergerak BN di Bangunan UMNO dan Majlis Hari Raya BN Perak.
Pada majlis itu, Zambry juga menyampaikan derma siswa untuk pelajar sumbangan Yayasan Perak serta bantuan sara hidup untuk golongan kurang berada sumbangan Yayasan Bina Upaya.

Tiga suspek kes Sosilawati ditahan semula berhubung kes bunuh ahli perniagaan India

KUALA LUMPUR: Tiga suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, termasuk dua peguam adik beradik, ditahan semula bagi membantu siasatan polis berhubung pembunuhan seorang ahli perniagaan dari India.

Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah, berkata polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek esok.


Kehilangan ahli perniagaan, Allal Kathan Muthuraja, turut dikaitkan dengan suspek kes pembunuhan Sosilawati dan tiga yang lain, apabila dia dilapor hilang selepas dijemput kedua-dua peguam itu, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba di Malaysia 18 Januari lalu.
Rabu lalu, polis mengesahkan Muthuraja, 34, yang dilaporkan hilang sejak awal tahun ini, telah dibunuh.

Isteri mangsa, S Usharani, 24, membuat laporan mengenai kehilangan suaminya di Balai Polis Banting pada 8 September lalu dan memberi keterangan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, semalam.

Ketiga-tiga suspek sebelum ini ditahan reman selama seminggu sejak 12 September lalu, berhubung kes pembunuhan Sosilawati, 47, pemandu peribadi Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32.

Tempoh tahanan reman mereka kemudian dilanjutkan seminggu lagi dan berakhir hari ini.
Keempat-empat mangsa pembunuhan kejam itu dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu, selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 September lalu, polis mengesahkan kesemua mangsa dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Banting, Selangor. - Bernama